Pages

Friday, 7 April 2023

PELANCONGAN


Atasi Kesan Kerenah Orang Tengah, Basmi Rasuah

SISTEM PENDIGITALAN PEKERJA ASING

 

KAPTEN (B) Mahadzir Tan Sri Mansor menganggap pihaknya bertuah kerana hasrat selari dengan iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai Kerajaan Perpaduan membanteras rasuah.

 

Usaha menghapuskan gejala dan musuh besar negara ini boleh dilakukan dalam apa juga bidang, dan pelbagai cara. Antara bidang yang penting dan penyumbang ekonomi negara, tetapi turut terpalit dengan kesan gejala rasuah ialah pelancongan.

 

Menurut Kapten Mahadzir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), persatuan beliau ditubuhkan untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan, dan inisiatif baharu para pemegang taruh dalam industri pelancongan.

 

“Pemegang-pemegang taruh dalam industri pelancongan mempunyai lebih daripada 50 persatuan pelbagai bidang pemfokusan. Perjanjian persefahaman atau MoU yang dimeterai pada 1 April lalu dengan WOWI HR-Malaysia yang berpengalaman luas pada peringkat antarabangsa diharap dapat membantu mempermudah proses permohonan,” kata beliau.


Datuk Dr Hassan Saad (tiga dari kiri), Prakash Gaier (lima dari kiri), Dato' Noor Zaleha Baharuddin (empat dari kanan), dan Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor (tiga dari kanan) selepas sidang media.


Dari kiri; Datuk Dr Hassan Saad, Prakash Gaier, Dato' Noor Zaleha Baharuddin, dan Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor.

                    
                   Dato' Noor Zaleha Baharuddin (kiri) dan Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor.

                                    
                             Ketua Pegawai Eksekutif WOWI HR-Malaysia Gaier (tengah).


                                              Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor (kanan).


MiTDA, tambahnya, akan berusaha memulihkan sektor pelancongan, serta merangka inisiatif dan bantuan bagi memacu semula sektor pelancongan yang merupakan antara penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

 

Kapten Mahadzir menegaskan sedemikian semasa sidang media Pengurusan Sistem bagi Mengatasi Masalah Pekerja Asing untuk Sektor Pelancongan oleh MiTDA dan WOWI HR-Malaysia di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada 7 April lalu.

 

Turut hadir ialah Pengerusi WOWI HR-Malaysia, Datuk Dr Hassan Saad; Ketua Pegawai Eksekutif WOWI HR-Malaysia, Prakash Gaier, dan Presiden MiTDA, Dato’ Noor Zaleha Baharuddin.

 

Menurut Dato’ Noor Zaleha, dianggarkan kini Malaysia kekurangan lebih daripada sejuta pekerja asing. Ia berlaku akibat pengambilan pekerja asing dibekukan, sementara mereka yang telah tamat tempoh pas lawatan dihanar pulang, dan tiada pengganti di sepanjang 2020 dan 2021.

 

“Umum mengetahui sektor kritikal seperti perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan, lebih-lebih lagi sektor pelancongan sangat memerlukan tenaga kerja asing,” kata Dato’ Noor Zaleha.

 

Sektor pelancongan, tambah beliau, memerlukan antara 15,000 hingga 20,000 pekerja. Usaha sedang dilakukan untuk mengambil seramai mungkin, termasuk pengambilan pekerja-pekerja asing bagi mengisi keperluan dalam semua sektor pelancongan, khususnya perhotelan.

 

Objektif MoU MiTDA dengan WOWI HR-Malaysia mengikut panduan Kementerian Sumber Manusia, dan kolaborasi dengan Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial, dan Pembangunan Sumber Manusia untuk melaksanakan sistem digital pengambilan tenaga kerja, khasnya untuk sektor pelancongan negara.

 

Dato’ Noor Zaleha, Kapten Mahadzir, Hassan dan Prakash yakin sistem digital pengambilan tenaga kerja dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja tersebut.

 

Terlebih dahulu, yang penting ialah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia bagi mengisi jawatan kosong yang diperlukan, di samping memilih dengan teliti pekerja asing bagi menampung keperluan mendesak pengusaha dalam semua sektor pelancongan.

 

Walaupun masih baharu di Malaysia, tetapi sistem pendigitalan ini telah lengkap dan pelaksanaannya mampu mencapai matlamat.

 

Tegas Kapten Mahadzir, pelaksanaan sistem ini dapat mengelakkan penyelewengan seperti penipuan dan rasuah. Ejen atau orang tengah adalah anasir yang amat menyumbang bagi berlakunya penyelewengan.

 

Tanpa penipuan dan rasuah, negara juga dapat menjimatkan perbelanjaan mengimport tenaga pekerja asing. Inilah yang saya maksudkan matlamat MiTDA selari komitmen kerajaan, khususnya Perdana Menteri terhadap pembasmian gejala rasuah,” tambah beliau dengan yakin.

 

Pentadbiran Malaysia kini memang berusaha mewujudkan sebuah sistem digital pada proses pengambilan tenaga pekerja, bagi memastikan kebajikan antara pekerja asing dengan majikan terjamin.

 

Matlamat membentuk sistem ini, menurut Datuk Seri Anwar adalah mengurangkan kerenah birokrasi dan penglibatan orang tengah yang dilihat tambah menyukarkan proses kemasukan, selain menyeragamkan kos pengambilan pekerja asing yang dilihat tidak selari, iaitu sekitar RM10,000 sehingga RM25,000.

 

Bukan sekadar menjadikan medium tersebut sebagai akses mudah untuk majikan di Malaysia dan pekerja asing di luar negara berinteraksi, tetapi segmen aduan antara yang akan turut tersedia untuk memastikan tiada penindasan melibatkan gaji atau penderaan berlaku dalam kalangan kedua pihak.

 

No comments:

Post a Comment