MUZIK
"UNTUK MAJU, KITA HARUS GOSTAN"
PENERBITAN Pancasona, sebuah syarikat penerbitan 360 darjah yang dimiliki loQue, baru-baru ini mengumumkan penerbitan Gostan.
Projek terbaharu ini dianggotai Asmidar, dan sudah tentulah ahli kumpulan monoloQue, iaitu Bakri, Loko, dan Harry.
Menurut loQue, walaupun nama yang berunsur negatif, tetapi Gostan yang dimaksudkan adalah untuk kita maju ke hadapan dan bergerak, bukan mundur.
“Ertinya, kita semua tidak boleh selesa dengan status quo landskap dunia seni yang rancak berkembang pada era modernisasi/globalisasi. Kita harus perkuatkan jati diri,” jelas loQue.
Menampilkan pelakon legenda Azhar Sulaiman yang melenggokkan tarian.
Sara Mac Lubis yang memegang watak Dang Penawar dalam video muzik Lagu Cinta.
Projek ini, tambah beliau, bertujuan memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu lama, dan penghargaan yang sewajarnya kepada pemuzik lama yang pernah berusaha memartabatkan lagu klasik tradisional.
“Gostan berusaha memperkenal semula lagu-lagu lama kepada pendengar dalam bunyi kontemporari moden, dengan tetap mengekalkan bunyi klasik lama,” jelasnya lagi.
Dalam projek ini, tambah loQue, 10 lagu dihasilkan. Beliau dengan kerjasama ahli yang lain turut menghasilkan dua lagu dengan unsur zapin, dan ghazal.
loQue (tengah) menjawab persoalan-persoalan pihak media semasa sesi sidang media.
loQue (empat dari kiri) bersama-sama karyawan video muzik Dia Datang.
“Gostan lebih daripada sekadar
album muzik. Ia merupakan penghormatan kepada pemuzik yang pernah bekerja keras
untuk memartabatkan lagu-lagu tradisional, dan lagu rakyat sebagai warisan
budaya kita yang kaya,” katanya lagi.
Dengan menerbitkan semula lagu-lagu
ini yang diberikan sentuhan moden, loQue dan ahli kumpulan cuba untuk menghidupkan nilai malar segar, dan intipati isi lagu Melayu lama.
Gostan
juga adalah peringatan peribadi kepada loQue tentang keunikan dan kepentingan pemuliharaan
lagu-lagu lama, dan bagaimana kita sebagai generasi baharu kini untuk membawa
lagu lama agar terus menjadi pilihan pendengar.
“Ia
adalah projek khas yang istimewa. Ditambah dengan penampilan dan kerjasama penyanyi Asmidar. Suara beliau memang lunak,
dan unik untuk membawa lagu klasik. Sukar penyanyi hari ini ada kepelbagaian
bakat seperti Asmidar,” tambah loQue.
Sebenarnya,
loQue dan jentera syarikat beliau telah lama mengusahakan projek ini dengan Asmidar.
Ia bermula dengan lagu pertama bertajuk Dia
Datang, yang merupakan nyanyian asal versi Dia Datang oleh Fadzil Ahmad.
Lagu
ini mula bersiaran pada 5 Mei 2023 lalu.
Selepas ini, loQue merancang untuk merakamkan Tari Tualang Tiga, dan Ketipang
Payung.
Asas
projek ini bermula apabila monoloQue menerbitkan Tak Seindah Wajah yang turut berganding dengan Asmidar. Walau
bagaimanapun, ketika itu, nama Gostan
dan keseluruhan konsep projek masih belum diputuskan.
“Idea
tersebut muncul setelah keputusan untuk
memanifestasi dan memberikan perspektif baharu kepada lebih banyak lagu rakyat,
dan klasik tradisional lama
telah berjaya dicapai oleh semua,” kata loQue.
Lagu-lagu
yang penuh sejarah dan makna, kata beliau lagi, adalah simbol warisan dari
nenek moyang kita.
“Tidak salah untuk kita suntik wajah baharu
dan tenaga baharu dalam mengangkat lagu-lagu lama,” tambah loQue yang
berharap Gostan akan mendapat
sambutan, terutamanya daripada kepada para pecinta muzik Malaysia.
“Sireh Pinang di dalam Puan
Buat santapan si anak raja
Hajat nak jadi kenang-kenangan
Buat ingatan muda remaja”
-
Asmidar
Sehubungan
ini juga, Penerbitan Pancasona turut melancarkan video muzik Dia Datang. Menariknya, video muzik ini
juga bukan seperti video muzik yang biasa kita tonton, kerana lagi sekali,
loQue menyajikan sebuah cerita pendek menerusinya.
Lebih
hebat, video muzik ini dihidupkan oleh
seorang pelakon legenda sejak awal 90-an dan amat disegani sehingga kini. Tidak
lain dan tidak bukan, beliau adalah Azhar
Sulaiman!
Video
muzik ini sarat dengan ‘tarian nusa yang santai lagi bersahaja, di tengah- tengah
ibu kota’ dipersembah oleh Azhar sendiri.
“Saya
terkejut, terkasima dan terasa sangat merendah diri apabila Abang Azhar, seorang pelakon ‘lelaki
alfa 90-an’, dan hero bintang layar perak sewaktu zaman persekolahan saya,
idola kami semua ‘budak budak 90-an’, kini dengan tanpa syak
wasangka, sudi ‘mencemar duli’ untuk
‘menari’ dalam video muzik Dia Datang
ini! Gila!
Siapa sangka! Dapat berkarya dengan Azhar Sulaiman!” kata loQue.
Gostan juga merupakan pengenalan kepada
album penuh Gostan nanti. Ia juga sebagai cabang yang akan menetapkan bagaimana
konsep perjalanan artistik Gostan akan dibawa kepada umum.
Pemilihan Azhar untuk memegang watak utama
dalam plot tarian ‘membebaskan
diri
di tengah ibu kota’ boleh dianggap uji kaji
yang tepat, kerana beliau mudah bekerjasama.
“Abang
Azhar bukan seorang ‘senior’ atau legenda yang ‘rumit’, dan pastinya beliau
seorang method actor kerana watak
yang dibawakan seperti benar-benar wujud di dalam dirinya. Mungkin itulah
keistimewaan seorang karyawan hebat,” kata loQue.
Menurut
loQue lagi, Azhar sangat profesional,
malah semasa dalam tempoh pra penerbitan, beliau begitu bersemangat, dan
bersungguh sungguh untuk memastikan segala sudut, dan semi video muzik ini
diteliti, dan digilap sebelum hari kejadian (shooting).
“Ada
beberapa kali, Abang Azhar mungkin ketika ‘datang ilham’nya, akan telefon saya
pada jam 12 tengah malam. ‘Okey bro. Abang ada idea. Apa kata kita...’
Macam itulah sesi ‘ribut otak’ (brainstorm)
kami sepanjang kembara karya Dia Datang.
Di situ saya rasa chemistry atau keserasian kami di muka surat yang sama, demi
menghasilkan karya yang sempurna, serta malar segar. Terima kasih, Azhar Sulaiman,”
ujar loQue lagi.
“Dengan
lenggang-lenggoknya, seperti lirik lagu ciptaan Allahyarham Fadzil Ahmad ini,
tarian Azhar yang bersahaja, mengandungi motif-motif tarian tradisional. Namun dikontemporarikan
demi watak dan jalan cerita, menjadi teras utama dalam video muzik ini,”
tambah beliau.
Berlatarbelakangkan kota raya Kuala
Lumpur abad ke-21 sudah agak sinonim dengan lagu-lagu loQue sendiri yang
lazimnya menceritakan tentang kehidupan hutan batu abad ke-21 ini.
Ia
menceritakan seorang pekerja korporat yang kebosanan, kerana hidupnya sangat
dikongkong oleh jadual harian. Hari ini dia ingin keluar dari kebiasaan,
dari kepompong atau ‘rantaian kejam’ (vicious
cycle) hidupnya dengan menari dan menari untuk meluahkan, dan menari untuk
bebas.
Gerakan
tarian ini diamati di bawah didikan dan
bimbingan Dayang Norinah Datu Gastan, seorang guru taridari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan
atau ASWARA.
Dengan
kombinasi inovatif dan visual serta bunyi, video muzik ini diharap dapat
menjadi wakil visual bagi meraikan lagu tunggal sulung Gostan, Dia Datang.
Menurut
loQue lagi, konsep hala tuju Gostan
bukan hanya meraikan lagu-lagu klasik lama, serta ‘tarian-tarian tradisional
dan rakyat’, tetapi memberi ‘tenaga baharu’ kepada tarian-tarian turun-temurun
supaya seni budaya ini kekal relevan pada zaman TikTok ini.
“Gostan
adalah satu pengalaman 360 darjah, merangkumi audio dan visual...,” kata
loQue lagi.
Pelancaran
video muzik ini menandakan satu titik
permulaan dalam perjalanan kembara Gostan, kerana ia akan menawarkan
penonton ‘rencah dan rasa’ tentang apa yang ada dalam album ini dan projek
Gostan sendiri.
“Ketika
anda menonton video muzik ini, percayalah anda akan tenggelam dalam landskap
‘sonik’ yang merangkumi bunyi warisan budaya Malaysia yang kaya, sambil
dihidangkan dengan gubahan muzik kontemporari,” ujar loQue.
Penerbitan
Pancasona telah menyambut kedatangan peminat muzik dan pengamal media, serta rakan-rakan
seni untuk mengalami kuasa transformatif video muzik Dia Datang dalam majlis tayangan perdananya pada 6 Jun lalu di
Pawagam Mini P. Ramlee.
Lagu tunggal Dia Datang juga tersedia di platform digital, termasuklah di
YouTube, satu pengalaman audio visual yang tidak boleh anda lepaskan.
Ikuti
@gostanrasmi di Instagram, untuk melihat perkembangan dan kisah terkini.
Mengenai
Gostan
Gostan adalah kolaborasi unik antara
kumpulan monoloQue, yang dianggotai Bakri ‘Halia’ Ismail, Loko, Harry
‘Misteri’, Herda ‘Geroda’, dan loQue bersama-sama Asmidar dan pemain perkusi
Memey.
Kerjasama ini membentuk kumpulan
baharu, iaitu Gostan. Mereka menghasilkan
album Gostan, untuk memberikan perspektif/tenaga/wajah/jiwa/roh baharu
yang lebih segar kepada bukan sahaja lagu-lagu tradisional lama, dan lagu
rakyat Malaysia yang pernah popular dahulu, malah lagu-lagu pop klasik yang
menjadi inspirasi kepada nenek moyang kita.
Projek ini juga sebagai penghormatan
kepada seni muzik dan budaya terdahulu, dan usaha untuk menghidupkan semula unsur
klasik, dan malar segar bunyi tersebut, kemudian merelevansikan semua ini 360
darjah untuk generasi baharu, dan generasi akan datang.
Dengan gabungan unik unsur moden dan
tradisional, Gostan akan cuba menjadi ‘batu loncatan’ untuk lebih banyak karya
muzikal bernostalgia dan ditambah dengan kontemporari moden.
Nantikan Gostan yang bakal menjadi
karya untuk semua rakyat Malaysia.
Mengenai Dia Datang
Lagu ini adalah sebuah lagu klasik malar
segar, karya Seniman Legenda Tokoh
Ghazal/Zapin, yang juga digelar Raja
Gambus Malaysia, Allahyarham Fadzil Ahmad. Tajuk asalnya adalah Si-Dia Datang,
nyanyian Allahyarham bersama-sama seniwati S Fauziah.
Terdapat jentera penerbitan lain yang
terlibat dalam projek ini. Untuk Dia
Datang, Lut terlibat sebagai jurutera dan pengadun bunyi (mixing engineer), manakala adunan
terakhir (mastering) oleh Felix Voon.
Karya kulit album pula ‘direstui’ Harun Mokhtar, dan kaligrafi oleh Azmir Karim.
Nantikan lebih banyak maklumat terbaharu
akan datang mengenai Gostan.
Hubungi:
Penerbitan
Pancasona
72-1
Jalan Medang Serai,
Bukit
Bandaraya, Bangsar
59100
Kuala Lumpur
Telefon:
012-345-6789
Emel:
penerbitanpancasona@gmail.com
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Arakian Sebuah Ceritera, Pada Suatu
Masa Depan Tak Jauh Dari Kita, Terbitnya Batu Sumpahan Durjana di Angkasa, Dunia
Tenggelam, Gelap Gelita... Sekian Lama Manusia Mencuba, Mengghaibkan Batu Sumpahan
Durjana, Menyembuhkan Dunia Kembali Bernyawa... Mengembalikan Cinta Kembali
Bertakhta...
Bismillahirahmanirahim.
Buat julung kalinya, monoloQue tampil dengan karya visual
video
muzik berkonsepkan ‘futuristik’ atau ‘sains khayalan’.
Lagu Cinta, lagu tunggal terbaharu dari monoloQue,
dilancarkan pada Januari lalu,
diterjemahkan
olehnya sebagai kembali ke pangkal jalan, kembali meraikan irama dan melodi
(merujuk siaran akhbar Lagu Cinta).
Namun
demikian, itu cerita lagunya. Sekarang cerita visualnya pula!
‘Cerpen’
Lagu Cinta dilancarkan berdasarkan
konsep cerita pendek (short film)
bersama-sama penghasilan naratif visual hibrid berkonsepkan ‘distopia’,
diharapkan dapat membawa penonton bersama-sama mengembara ke alam runut bunyi
audio visual Lagu Cinta, mengalaminya
secara 360 darjah yang lari daripada video-video muzik biasa yang lazimnya
lebih berbentuk persembahan.
Sinopsis
‘Cerpen’ Lagu Cinta:
Pembukaan
‘Cerpen’ Lagu Cinta ini, kita dikejutkan
dengan visual sebongkah batu besar yang aneh, melitupi langit biru, seolah-olah
menggambarkan dunia sedang tenat dilanda ‘sumpahan’.
Kemudian,
kita diperkenal dengan watak protagonis, mimik muka penuh teka-teki lakonan loQue
sendiri sebagai Mat Lamat, seorang saintis pengkaji masa. Dalam adegan pembukaannya
, Mat Lamat kelihatan bangkit terjaga dari dalam ‘peti beku karbon’ yang dipenuhi
air seperti bangkitnya dari tidur 1,000 tahun.
Watak utama, Dang Penawar, anak kepada Mat Lamat, dibawa oleh seorang pelakon baharu wanita meningkat naik, iaitu Sara Mack Lubis. Dia yang kini dewasa tetapi kelihatan sesat , kosong tanpa cinta, jiwa dan kasih sayang, seperti seorang ‘robot’ hidup pada zaman ‘batu sumpahan’ kini.
Pengenalan
kepada Dang Penawar adalah ketika sebuah drone
yang menjadi penterjemah kod bernama Jendela yang dikemudikan oleh Mat Lamat
berjaya mengesan Dang Penawar. Lantas, menerima isyarat dan mesej konstruk dari
dunia alternatif masa lampau (atau masa depan) dari bapanya untuk menamatkan
sumpahan yang melanda dunia ketika itu.
Komunikasi
yang terjalin antara dua zaman yang berbeza - Mat Lamat dengan Dang Penawar,
serta fungsi utama Jendela sebagai kompas dan penterjemah (decipher) kod, dirungkai sebagai pembawa mantera, jampi serapah,
kata-kata hikmat Mat Lamat kepada Dang Penawar adalah teras ‘Cerpen’ Lagu Cinta ini.
Menurut
Sara, sebaik sahaja mendapat tawaran daripada loQue, beliau teruja memulakan penggambaran,
dan mahu mengupas lapisan emosi watak yang diberikan. Walaupun mereka langsung
tidak memberitahu saya penggambaran ini untuk lagu apa, tetapi kerana tawaran
yang datang daripada kumpulan monoloQue, dan juga sutradara Emir Ezwan, tanpa melengahkan
masa, terus menerimanya !
“Mereka
mahu melihat bagaimana saya boleh bertindak melalui imaginasi dan menerokai sendiri
watak Dang Penawar, di samping menjadi diri sendiri melakonkan pelbagai emosi bersama-sama
konsep yang mereka mahu terjemahkan ‘dari mata turun ke hati..” ujar Sara.
“Jujur
saya kata, jalan cerita dan konsepnya berbeza daripada penggambaran video muzik
yang pernah saya lalui. Saya tidak pernah membuat projek bertemakan ‘distopia’.
Pada mulanya saya tidak mahu ambil tawaran ini kerana tarikh penggambaran jatuh
pada hari lahir saya. Tetapi, selepas diceritakan akan perihal serta intipati ‘Cerpen’
Lagu Cinta ini, saya terus mahu
mencabar diri saya,” tambahnya.
Ahli
kumpulan monoloQue yang bersama-sama bertindak balas bunyian dengan loQue sejak
2021, iaitu Harry ‘Misteri’ sebagai ‘Seram-Punk’ Mata Jingga, Bakri ‘Halia’
Ismail sebagai Si Borg, dan Loko pula Pawang Logam, turut membintangi ‘Cerpen’
Lagu Cinta ini, dan masing-masing membawa watak antagonis bagi melengkapkan
perisa dan warna-warna karakter villain,
atau ‘orang jahat’ itu, justeru mewujudkan suasana ‘suspense’ , serta mencorak dinamik kepada naratif jalan cerita ‘Cerpen’
Lagu Cinta ini.
Menurut
Harry, video muzik ini berbeza kerana di sepanjang penggambarannya tidak langsung
sekali pun bermain peralatan muzik seperti video muzik biasa.
“Kali
ini saya benar-benar kena berlakon bersungguh sungguh! Kerja kami sebagai
pemuzik sudah selesai. Segala not bunyian telah ditempa ke dalam lagu. Sekarang
masa untuk kita bergembira pula, meraikan karya ini, dengan berlakon!..” ujar
Loko pula dengan berseloroh.
Di
pertengahan ‘Cerpen’ Lagu Cinta pula
kelihatan keringat usaha para villain
atau ‘orang- orang jahat’ ini yang tidak putus asa untuk menculik Dang Penawar.
Dalam masa yang sama, menghalang Dang Penawar mendapatkan kod- kod hikmat
daripada Mat Lamat melalui ‘drone’
Jendela, telah membawa ketegangan
dan
membuat penonton tertanya-tanya apakah sebenarnya pesanan yang mahu
disampaikan
oleh Mat Lamat kepada Dang Penawar, di mana hubungan antara bapa dengan anak
ini dari dua zaman yang berbeza.
“Ini
merupakan video muzik kedua monoloQue yang saya terlibat yang memerlukan ‘makeup EfX’ yang berat. Sebelum ini
Legenda, jadi ‘Tanggang’ disumpah jadi ‘batu’. Kali ini saya kena jadi setengah
manusia, setengah robot, jadi seorang Cyborg! Paling meletihkan, kami kena
datang awal pagi selepas subuh untuk mula ‘make
up’, tetapi scene bermula hanya
pada tengah hari...,” kata Bakri pula.
Kemudian,
selepas surutnya kemuncak klimaks pertama lagu, terjadinya pertukaran
suasana
di mana Jendela membawa Dang Penawar ke makmal bapanya, Mat Lamat , Jabatan
Kaji Masa, tempat di mana segala-galanya bermula, di mana di situ Jendela
memainkan semula hologram, menggamit kenangan silam semasa Dang Penawar kecil,
untuk mengembalikan ingatan memori Dang Penawar.
Watak
Dang Penawar semasa kecil dilakonkan khas oleh Anggerik Dang Jelita, iaitu
puteri sulung loQue. Tatkala itu, terungkailah segala tanda tanya dan terjawab
segala persoalan seolah-olah Dang Penawar baru bangun dan sedar dari dipukau
akan apa yang sedang terjadi. Maka Dang Penawar kembali ‘bernyawa’, kembalinya
emosi, jumpa semula ‘cinta’.
Kemudian
tugas akhir ‘drone’ Jendela adalah
memancarkan kod mantera, jampi hikmat kepada Dang Penawar untuk menyembuhkan
dunia pada zaman itu, pancaran lirik daripada sebuah Lagu Cinta.
Pada
kemuncak terakhir cerita, Dang Penawar akhirnya berjaya merungkai mantera
daripada
bapanya. Maka tamatlah sumpahan, hilanglah ‘Batu Sumpahan Durjana’..
Manusia
Hilang Pedoman Cinta,
Sesat
Sengsara, Angkara Duka Lara,
Hanya
Satu Hikmat Dapat Mengubahnya...
Mentera
Cinta Dari Dua Masa Yang Berbeza...
Kesinambungan
konflik antara bapa dengan anak yang mendalam menghasilkan tanggapan lapisan
cerita yang pelbagai kepada penonton ‘Cerpen’ Lagu Cinta ini.
Setiap
adegan juga dihasilkan dengan berlatarbelakangkan ‘distopia’ atau ‘futuristik’
bagi menguatkan impak kandungan emosi ceritanya.
Menurut
loQue, roh dan jiwa cerpen ini tidak lain dan tidak bukan adalah mengenai
cinta, tetapi bukan cinta biasa yang klise, tetapi cinta luar biasa kerana ia
adalah tentang kuasa cinta antara bapa dengan anak,dari dua susur galur masa
yang berbeza, di mana mereka bersama-sama menghubungkan kembali ‘cinta yang
berkuasa’ itu demi menamatkan sumpahan, menyelamatkan dunia, kerana akhirnya,
cinta menakluki semua’.
Gabungan
sinematografi ‘Cerpen’ Lagu Cinta ini
juga diwarnai untuk menggabungkan garis antara realiti dengan imaginasi dengan
bantuan ‘imej janaan komputer’ atau CGI.
Cerita
asal oleh loQue, dan diarahkan sepenuhnya dengan hasil ‘air tangan’ Emir Ezwan
sebagai sutradara, dan Azril Hamzah sebagai penggubah cerita serta penulis
skrip.
Menurut
Emir, ‘cerpen’ video muzik ini menggambarkan hubungan yang dizahirkan antara
dua zaman berbeza. Dalam realiti kehidupan kita, mencapai impian besar
tidak
semudah yang disangka, tetapi tidak mustahil bagi kebanyakan orang. Mungkin, pada
saat-saat terdesak, seseorang itu boleh menjadi pengantara ‘bantuan’ kepada
orang lain dengan tidak membezakan antara mimpi dengan realiti.
Emir
seorang pengarah yang memenangi Filem Terbaik pada Anugerah Festival Filem
Malaysia (FFM) ke-31 menerusi filem Roh.
Penggubah
cerita, Azril yang telah bekerjasama dengan loQue sejak Kekanda Adinda lagi berkata ‘cinta’, mercu tanda padu menaut impian
untuk terbang, dan
kerisauan
akan kehilangan. Cinta membelah angkasa, mengalunkan semesta dalam
Bimasakti
dan Bumilangit - Superhero Melayu.
“Kami
segerombolan, baik dari Emir sehingga ke jentera-jentera penerbitan ‘Cerpen’ Lagu Cinta ini, berharap agar nilai-nilai
murni yang menjadi teras kepada cerita ini
dapat
difahami, dan diterima ramai, walaupun ‘set’ yang dipamerkan ke arah ‘futuristik’,
kemudian jalan ceritanya pula dibaluti lapisan-lapisan kiasan intelek yang
bermaksud,
diharap dapat mencabar pemikiran masyarakat kita kini,” katanya.
“Kami
berdoa agar ‘tenunan seni’ kami ini sampai ke mata, lantas ke hati penonton ...,
semoga babak kemuncak klimaks terakhir ‘Cerpen’ Lagu Cinta, secara simboliknya mempamerkan ‘hikmat kuasa cinta’ selepas
terjalin kembali hubungan antara seorang bapa dengan anaknya dapat ‘menikam
hati, menyucuk sampai ke tulang sum sum’ sesiapa sahaja yang menonton naskhah
ini nanti,” kata loQue pula.
Penerbitan
Pancasona mempelawa semua pendengar, penggemar muzik, perajurit,
rakan-rakan
media, wartawan, sahabat, teman seperjuangan dan seniwati dan seniman untuk
menyelami cerpen video muzik Lagu Cinta
yang memukau ini, di samping mengalami tindak balas kimia, serta tenunan
evolusi seni bunyi, dan visual Nusantara pada abad ke-21 ini.
Tayangan
Perdana telah diadakan pada 6 Jun lalu, di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS, Hulu
Kelang. Video ini boleh diakses secara
digital di laman YouTube cataloQue untuk memastikan khalayak yang lebih luas
boleh mengalami bersama-sama audio, dan visual yang luar biasa ini.
Bersedia
untuk semua, menginzalkan mata juga telinga!
No comments:
Post a Comment