Shiraz Projects Menghitung Hari Mencapai Hasrat Besar
NUSA FEST 2023, anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd (Shiraz Projects) merupakan sebuah festival muzik dan kebudayaan yang bakal dirancakkan dengan barisan karya wilayah Nusantara, selain dimeriahkan dengan persembahan 24 kumpulan muzik dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Menurut Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, pelbagai aktiviti juga akan diadakan semasa festival itu berlangsung seperti Panggung Nusa, Warong Nusa, Pasar Nusa dan Gaya Nusa.
Panggung Nusa, jelas Shirazdeen, terdiri daripada dua pentas bersebelahan dengan pementasan tanpa henti, berhenti pada waktu solat fardu. Warong Nusa pula menampilkan makanan. Pasar Nusa dengan seni dan kraftangan dari Nusantara, sementara Gaya Nusa mempersembah aneka sukan/riadah ekstrem.
Selepas menghadapi pelbagai cabaran dan penundaan, Shiraz Projects kini kembali dan dengan bangganya akan membawakan kepada khalayak sebuah festival yang menggabungkan Malaysia, Indonesia dan Singapura di sebuah lokasi, dan kemeriahan pada 8 dan 9 Julai 2023, bermula seawal jam 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam.
Festival yang telah tergendala sejak 2020 gara-gara wabak pandemik COVID-19 dan menghadapi penundaan, kini akan muncul dengan barisan nama besar dalam industri seni muzik tiga negara.
“Sudah lama rasanya angin Nusantara tidak disatukan dalam nada dan irama yang sejalur, dan titian persahabatan ini bakal dijalinkan dalam sebuah festival muzik. Terima dan saksikanlah Nusa Fest 2023!” ujar Shirazdeen.
“Sudah sekian lama Search dan Wings mengadakan persembahan di panggung yang sama, dan pasti ini dinanti-nantikan oleh para peminat tegar mereka. Butterfingers juga akan menyertai Nusafest setelah hampir empat tahun tidak menemui peminat mereka,” tambah Shirazdeen.
Atas penundaan selama tiga tahun ini, Shiraz Projects memohon maaf (meskipun sebenarnya tidak perlu memohon maaf kerana semua orang maklum akibat COVID-19) atas penundaan yang terdahulu, dan yakin Nusa Fest kali ini akan berjalan lancar dengan barisan artis yang mempunyai pengikut tegar, dan setia.
“Para peminat seni muzik tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan gabungan ini dalam sebuah festival. Untuk dua hari, para penonton bakal disajikan dengan muzik enak, dan berkualiti serta barisan nama pemanggung seni yang dekat di hati peminat,” kata Shirazdeen.
Beliau
percaya dengan sokongan semua, Nusa Fest 2023 di Bandar Malaysia, Sungai Besi,
Kuala Lumpur akan dapat dijayakan dengan meriah dan menepati konsep festival
yang diinginkan.
Dalam
sidang media tersebut, diumumkan senarai akhir 24 headliner yang akan menjayakan Nusa Fest 2023.
Selain
Search, Wings dan Butterfingers, sembilan lagi kumpulan muzik dari Malaysia termasuklah
Kugiran Masdo, Salammusik, Forceparkbois, Iqbal M, White Percussion Unit,
Jemson, Budak Nakal Hujung Simpang, Gerhana Ska Cinta, dan Monoloque.
Sebelas
dari Indonesia ialah Fourtwnty, Barasuara, Pusakata, Efek Rumah Kaca, Kelompok
Penerbang Roket, The Changcuters, Burgerkill, Seringai, Diskoria, Dipha Barus,
dan Ras Muhamad. Singapura pula hanya diwakili The Pinholes.
Selain
Shirazdeen, sidang media menjelang Aidladha itu turut dihadiri Search bersama-sama
Man Kidal, Wings (tanpa Dato’ Awie), dan Butterfingers (dengan Loque).
Tiket
dengan harga RM200 (untuk dua hari/seorang) atau RM700 untuk empat orang boleh
dibeli menerusi www.myticket.asia. Tiket
Hotline pula 03 8605 0196, maklumat Hotline 012 2560082, Instagram @nusafest,
@shirazprojects, Tiktok @shirazprojects, Facebook @nusafest @shirazprojects,
dan laman sesawang www.nusafest.com/www.shirazprojects.com.
No comments:
Post a Comment