Pages

Saturday, 29 July 2023

POLITIK

 

UKHWAH PH-BN KIAN MANTAP

 

WALAUPUN calonnya tidak bertanding di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Petaling Jaya, Selangor, tetapi UMNO bahagian tersebut tetap memohon para pengundi memenangkan calon-calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos nanti.

 

Hal tersebut ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Wira Haji Abdul Mutalif Abdul Rahim semasa Ceramah Perpaduan Malaysia MADANI di pekarangan Pejabat UMNO, Petaling Jaya, 29 Julai lalu.

 

“Tidak menjadi masalah dan kesangsian lagi. Kita kini sudah bersepakat walaupun baru hanya lapan bulan. Dulu lawan, tetapi kini kawan demi kesejahteraan rakyat dan negara, sekali gus menjunjung titah perintah Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Kerajaan Perpaduan,” tegas Datuk Wira Haji Abdul Mutalif.

 

“Apatah lagi, calon-calon yang ditampilkan adalah muka baharu dan masih muda banyak tenaga yang tentunya satu kelebihan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat nanti,” tambah beliau.



Ukhwah Pakatan Harapan-Barisan Nasional yang kian mantap.

------------------------------------------------__---------

Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Wira Haji Abdul Mutalif Abdul Rahim.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                                            Sebahagian daripada hadirin.


                    Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain.



            Ketibaan calon N33 Taman Medan, Ahmad Akhir Pawan Chik disambut meriah.


Calon N32 Seri Setia, Dr. Fahmi Ngah (dua dari kanan) dan calon N33 Taman Medan, Ahmad Akhir Pawan Chik (lima dari kiri).

________________________________________________________________________________


Calon N32 Seri Setia, Dr. Fahmi Ngah (kiri).

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Calon N33 Taman Medan, Ahmad Akhir Pawan Chik.

--------------------------------------------------------------------------------------

Kecuali Rajiv, Dr Fahmi dan Ahmad Akhir hadir, dan menyampaikan ucapan. Untuk DUN N32, Fahmi berhadapan dengan Mohd Zubir Embong (Perikatan Nasional (PN-PAS), dan Dobby Chew (MUDA).

 

Ahmad pula bertarung satu lawan satu dengan Dr Afifi Baharudin (PN-Bersatu).

 

Tegas Abdul Mutalif lagi, meskipun asal-usul bukan penentu mutlak dan kelebihan untuk menang, tetapi Fahmi dan Ahmad lebih baik. Berbanding Dr Afifi dari Pulau Pinang misalnya, Ahmad lebih arif dengan selok-belok Taman Medan kerana beliau anak tempatan.   

 

Sokongan UMNO Petaling Jaya itu turut diperkuat oleh UMNO Bangi. Ketua UMNO bahagian tersebut yang menjadi tetamu khas, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain menyampaikan ceramah dengan begitu bersemangat.

 

Sentiasa mendapat tepukan gemuruh kira-kira 450 hadirin, Datuk Mohd Zain mengulang kembali sejarah penubuhan Kerajaan Perpaduan, yang menurut beliau masih menjadi bahan tohmahan para pemimpin PN/pembangkang.

 

“Tidak kira di mana pun, kita mesti memenangkan calon Kerajaan Perpaduan MADANI kerana ia kerajaan yang lebih baik, dan bertanggungjawab. PN tidak boleh diberi peluang menjadi kerajaan kerana ia pernah menjadi kerajaan, tetapi amat mengecewakan,” tegas beliau yang mendedahkan banyak keburukan Parti Se-Islam Malaysia atau PAS.

 

Ceramah Perpaduan Malaysia MADANI tersebut menyaksikan gabungan kali pertama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN. Meskipun ia sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil, tetapi berdasarkan apa yang dilihat, ternyata ukhwah PH-BN kian mantap.  

 

Insya-Allah, ia petanda baik untuk Kerajaan Perpaduan mengekalkan penguasaan di tiga DUN Parlimen Petaling Jaya khasnya, dan Selangor amnya.


- RAJA YUSOFF ARIFFIN

                                                        

                                                                            

AD-DIN

 

Santuni Anak Yatim, Ibu Tunggal Galeri Raudhah pada 10 Muharam

RUMAH KASIH NURUL HASANAH

                                     

ANTARA tarikh penting dalam sejarah Islam dan kehidupan umatnya ialah 10 Muharam. Sama ada secara perseorangan mahupun berkumpulan, ia wajar diingati, malah sebaik-baiknya diraikan.

 

Tarikh 10 Muharam amat bermakna kerana berlaku atau menyaksikan beberapa peristiwa penting dalam sejarah dan peradaban Islam.

 

Salah satu daripadanya ialah manusia pertama, iaitu Nabi Adam AS ditiupkan roh. Syurga dan neraka juga dicipta. Nabi Musa AS pula diselamatkan, manakala Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan Allah SWT.

                                   

Pada 28 Julai lalu, bersamaan 10 Muharam yang amat istimewa kerana hari Jumaat, Rumah Kasih Nurul Hasanah di Ampang, Selangor antara pihak yang tidak ketinggalan meraikan kedatangan tarikh tersebut.

 

Rasa gembira dan terujanya terbukti apabila dari awal pagi lagi alunan selawat dan zikir munajat digemakan. Bukan sahaja untuk 10 Muharam, Rumah Kasih Nurul Hasanah komited mengimarahkan sebulan penuh dengan menganjurkan program mendorong amalan-amalan sunat.

 

Menurut Pengetua Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli, beliau berasa bertanggungjawab memberikan teladan, bukan sahaja kepada anak-anak yatim di bawah bimbingannya, malah turut mengajak semua umat Islam, sama-sama menghayati, sekali gus mengimarahkan Muharam.

 

“Saya amat terpanggil mengajak semua umat Islam mengingati, menghayati, menghargai dan mensyukuri 10 Muharam khususnya, dan Muharam amnya, dengan mengadakan pelbagai aktiviti, sesuai mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW,” tegas Ustaz Md Zawawi.

 

Untuk sehari penuh, Ustaz Zawawi telah menyusun rangkaian aktiviti bagi memberi semangat kepada anak-anak yatim di bawah bimbingannya di premis Rumah Kasih Nurul Hasanah di Jalan Pimping, Ampang Height.

 

“Semuanya bertujuan menghargai dan menghayati perjuangan, serta pengorbanan Rasulullah SAW. Selain menghidupkan amalan sunat di sepanjang 10 Muharam, jiwa anak-anak kita perlu dilatih agar mudah mendekatkan diri kepada Allah,” tambah beliau.

 

Sekurang-kurangnya, kata beliau lagi, program sedemikian dapat mendidik dan melatih bukan saja anak-anak yatim di Rumah Kasih Nurul Hasanah, malah turut membuka mata masyarakat mengenai kepentingan mendidik anak-anak sedari usia awal untuk mengetahui begitu banyak kelebihan Muharam.

 

“Dengan begitu banyak manfaat dan keistimewaan pada tarikh 10 Muharam ini, segala amalan baik akan dilipatgandakan pahalanya  oleh Allah,” tambah Ustaz Zawawi.

 

Program pada hari tersebut bermula sejak jam 9 pagi dengan program gotong-royong memasak bubur asyura, sebelum diagih-agihkan kepada anak-anak yatim oleh Kelab Anak Yatim Malaysia.


Ustaz Md Zawawi Ramli memberikan taklimat sebelum memulakan Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama.

                                                                                                                                                                                           

 

“Selain menyantuni anak-anak yatim, kami cuba berkongsi rezeki dengan memberi bantuan kepada 40 keluarga Ahli Kelab Anak Yatim Malaysia,” ujar beliau.

 

Menurut Zawawi, beliau ingin merebut peluang menyemarak, dan mewujudkan rasa kecintaan terhadap Rasullah, serta meningkatkan rasa taqwa kepada Allah dengan mengadakan sambutan 10 Muharam kali ini secara terbuka.

 

Program yang sebenarnya bermula pada petang Khamis 27Julai itu, dimulai dengan bacaan maulid, marhaban, qasidah, tausiah, serta doa 10 Muharam, dan berakhir pada Jumaat jam 6.30 petang.

 

Menariknya juga, turut diadakan Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama yang melibatkan perarakan motosikal berkuasa tinggi, dengan kerjasama Anita Bikers Group bersama-sama Kelab Kereta Black & White, dan penunggang motosikal pengiring (KAY).

 

Selain itu, konvoi kereta warna hitam dan putih memulakan perjalanan dari Galeri Nur Raudhah, membawa kira-kira 30 anak yatim.

 

“Perjalanan diiringi motosikal berkuasa tinggi dari Anita Bikers bermula jam 3 petang bersama-ama anak yatim dan ibu tunggal.  Semoga majlis ini diberkati Allah SWT,” kata Ustaz Zawawi lagi.


Sebahagian daripada ibu tunggal dan anak yatim dari Galeri Nur Raudhah yang menerima sumbangan daripada Rumah Kasih Nurul Hasanah, bersama-sama Puan Haslina Othman (berdiri paling kiri).



                   

                    Pengetua Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli.



                
        Ustaz Md Zawawi Ramli (paling kanan) turut mengetuai salah satu acara yang                diadakan.

____________________________________________________________

Bubur Asyura bersempena dengan 10 Muharam diagih-agihkan kepada hadirin.




___________________________________________________________________________________



        Antara yang turut menyertai Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama.


Turut hadir termasuklah mantan editor di Karangkraf Sdn Bhd yang kini penyiar persendirian, Richie Rachman; pelakon Shazs Kaizen, Puan Anita Yusop dari Anita Bikers Group, wakil Galeri Nur Raudhah, Puan Haslina Othman, dan wakil media.

 

- RAJA YUSOFF ARIFFIN

 


Wednesday, 26 July 2023

EKONOMI

 

Perkembangan Perniagaan Ali Maju, Penerusan Menu Rahmah

ALI MAJU BISTRO

 

PADA 26 Julai lalu, penduduk setempat berpeluang menjamu selera secara percuma di Ali Maju Bistro yang mula dibuka.

 

Ternyata mereka tidak melepaskan peluang menyerbu restoran yang terletak di Jalan Seri Rejang 3, Pusat Industri Sri Rampai, Kuala Lumpur memenuhi jemputan pemiliknya itu.

 

Tempat makan yang dibuka dari awal pagi hingga menjelang tengah malam itu merupakan restoran ke-22 kepunyaan rangkaian Restoran Ali Maju Sendirian Berhad selepas beroperasi sejak kira-kira dua dekad lalu.



Ali Maju Bistro terletak di Jalan Seri Rejang 3, Pusat Industri Sri Rampai, Kuala Lumpur.


Bercakap kepada wakil media, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Sendirian Berhad, Dato’ Haji Jawahar Ali Taib Khan menyatakan kesyukuran kerana masih mampu mengembangkan perniagaan ketika ekonomi negara sedang memulih selepas wabak pandemik maut COVID-19.

 

Restoran Ali Maju yang berpangkalan di Pusat Industri Sri Rampai memang sudah terkenal, dan diminati ramai. Sesuai dengan perniagaan terasnya, iaitu sektor akomodasi (tempat tinggal/asrama) dan sajian makanan, Ali Maju Bistro terletak di bawah pejabat pengurusan, dan asrama.



Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Sendirian Berhad, Dato’ Haji Jawahar Ali Taib Khan.




Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan (tengah).


Antara orang ramai yang menikmati jamuan percuma pada hari pembukaan Ali Maju Bistro, 26 Julai lalu.


       Para pekerja Ali Maju Bistro yang sedia melayan selera para pelanggan.



Dato’ Haji Jawahar Ali Taib Khan berharap Ali Maju Bistro kekal terus bertahan, dan tidak membebankan pelanggan.


Dalam soal menjalankan perniagaan pada ketika ini, Dato’ Jawahar menegaskan pihaknya akan berhemah seboleh mungkin agar dapat terus bertahan, sambil tidak membebankan pelanggan.

 

Seboleh mungkin harga makanan dan minuman akan dimurnikan agar para pelanggan tidak bermasalah untuk meneruskan selera mereka, bukan sahaja di restoran ini, malah di restoran Ali Maju lain yang sedia ada,” kata beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia.

 

Sehubungan itu, Jawahar memberitahu Menu Rahmah memang tersedia di semua restoran Ali Maju, termasuk Ali Maju Bistro ini.

 

Lantaran mengakui konsep Menu Rahmah merupakan amal jariah dan memberi sumbangan kemanusiaan, beliau menegaskan tiada sebab inisiatif ini akan diberhentikan walaupun pencetus ideanya telah meninggal dunia.



                                    Antara menu yang disediakan di Ali Maju Bistro.


Pada kami, apa yang kurang kami tamping, dan tidak kisah sama ada pelanggan warga asing ataupun rakyat Malaysia,” tambah Jawahar yang amat bersedih atas pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

 

Mengakui mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu amat komited dan berdedikasi dalam tugas, Jawahar menjelaskan beliau terpanggil untuk mewujudkan Menu Rahmah kerana memikirkan beban kos sara hidup, dan kewangan yang perlu ditanggung oleh rakyat negara ini.

 

Tambah beliau, jangan ditanya sama ada memperoleh keuntungan atau sebaliknya, atau harga barang sedang naik. Dalam konteks kalau kita mahu menyumbangkan sesuatu, tegas Jawahar, ia mungkin boleh dilaksanakan.




Makanan popular rakyat Malaysia, roti canai tidak ketinggalan disediakan untuk para peminatnya.

 

“Ringkasnya, pihak Ali Maju amat bersetuju serta seiring dengan pemikiran, dan matlamat Allahyarham. Justeru, ia akan diteruskan selagi mampu,” tambah beliau yang turut bersyukur segala usaha mendapat sokongan beberapa pihak yang prihatin, dan berharap pengganti Salahuddin nanti juga seorang yang setara.

 

Antaranya termasuklah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Justeru, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan turut menghadiri pembukaan Ali Maju Bistro tersebut.  

 

Menurut Datuk Nadzim atau lebih mesra dengan panggilan Toqqi, PPIM sentiasa menyokong usaha pihak yang mahu membantu pihak lain yang dalam kesusahan.

 

Saya dan PPIM gembira rangkaian restoran Ali Maju telah memberikan yang terbaik untuk para pelanggan. Kami yakin ia akan meneruskan kebaikan tersebut. Keputusannya meneruskan Menu Rahmah memang tepat, dan amat dialu-alukan,” kata Toqqi.

 

- RAJA YUSOFF ARIFFIN