Perkembangan Perniagaan Ali Maju, Penerusan Menu Rahmah
ALI MAJU BISTRO
PADA 26 Julai lalu, penduduk setempat berpeluang menjamu selera secara percuma di Ali Maju Bistro yang mula dibuka.
Ternyata mereka tidak melepaskan peluang menyerbu restoran yang terletak di Jalan Seri Rejang 3, Pusat Industri Sri Rampai, Kuala Lumpur memenuhi jemputan pemiliknya itu.
Tempat makan yang dibuka dari awal pagi hingga menjelang tengah malam itu merupakan restoran ke-22 kepunyaan rangkaian Restoran Ali Maju Sendirian Berhad selepas beroperasi sejak kira-kira dua dekad lalu.
Bercakap kepada wakil media, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Sendirian Berhad, Dato’ Haji Jawahar Ali Taib Khan menyatakan kesyukuran kerana masih mampu mengembangkan perniagaan ketika ekonomi negara sedang memulih selepas wabak pandemik maut COVID-19.
Restoran Ali Maju yang berpangkalan di Pusat Industri Sri Rampai memang sudah terkenal, dan diminati ramai. Sesuai dengan perniagaan terasnya, iaitu sektor akomodasi (tempat tinggal/asrama) dan sajian makanan, Ali Maju Bistro terletak di bawah pejabat pengurusan, dan asrama.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Sendirian Berhad, Dato’ Haji Jawahar Ali Taib Khan.
Antara orang ramai yang menikmati jamuan percuma pada hari pembukaan Ali Maju Bistro, 26 Julai lalu.
Para pekerja Ali Maju Bistro yang sedia melayan selera para pelanggan.
Dato’ Haji Jawahar Ali Taib Khan berharap Ali Maju Bistro kekal terus bertahan, dan tidak membebankan pelanggan.
Dalam soal menjalankan perniagaan pada ketika ini, Dato’ Jawahar menegaskan pihaknya akan berhemah seboleh mungkin agar dapat terus bertahan, sambil tidak membebankan pelanggan.
“Seboleh mungkin harga makanan dan minuman akan dimurnikan agar para pelanggan tidak bermasalah untuk meneruskan selera mereka, bukan sahaja di restoran ini, malah di restoran Ali Maju lain yang sedia ada,” kata beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia.
Sehubungan itu, Jawahar memberitahu Menu Rahmah memang tersedia di semua restoran Ali Maju, termasuk Ali Maju Bistro ini.
Lantaran mengakui konsep Menu Rahmah merupakan amal jariah dan memberi sumbangan kemanusiaan, beliau menegaskan tiada sebab inisiatif ini akan diberhentikan walaupun pencetus ideanya telah meninggal dunia.
“Pada kami, apa yang kurang kami tamping, dan tidak kisah sama ada pelanggan warga asing ataupun rakyat Malaysia,” tambah Jawahar yang amat bersedih atas pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Mengakui mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu amat komited dan berdedikasi dalam tugas, Jawahar menjelaskan beliau terpanggil untuk mewujudkan Menu Rahmah kerana memikirkan beban kos sara hidup, dan kewangan yang perlu ditanggung oleh rakyat negara ini.
Tambah beliau, jangan ditanya sama ada memperoleh keuntungan atau sebaliknya, atau harga barang sedang naik. Dalam konteks kalau kita mahu menyumbangkan sesuatu, tegas Jawahar, ia mungkin boleh dilaksanakan.
“Ringkasnya, pihak Ali Maju amat bersetuju serta seiring dengan pemikiran, dan matlamat Allahyarham. Justeru, ia akan diteruskan selagi mampu,” tambah beliau yang turut bersyukur segala usaha mendapat sokongan beberapa pihak yang prihatin, dan berharap pengganti Salahuddin nanti juga seorang yang setara.
Antaranya
termasuklah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Justeru, Ketua Aktivis
PPIM, Datuk Nadzim Johan turut menghadiri pembukaan Ali Maju Bistro tersebut.
Menurut
Datuk Nadzim atau lebih mesra dengan
panggilan Toqqi, PPIM sentiasa menyokong usaha pihak yang mahu membantu pihak lain
yang dalam kesusahan.
“Saya
dan PPIM gembira rangkaian restoran Ali Maju telah memberikan yang terbaik
untuk para pelanggan. Kami yakin ia akan meneruskan kebaikan tersebut. Keputusannya
meneruskan Menu Rahmah memang tepat, dan amat dialu-alukan,” kata Toqqi.
- RAJA YUSOFF ARIFFIN
Alhamdulilillah baik budi prihatin pada yg kesempitan
ReplyDelete