----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Menurut Kamarul yang juga penulis skripnya, hanya
batu belah tanpa bertangkup membawa maksud sesuatu perkara yang berlaku,
misalnya dalam sesebuah negeri/negara yang perlu diselesaikan, atau mungkin
juga tidak akan selesai.
“Siapa yang akan menyelesaikannya, atau adakah ia
tak akan selesai masih menjadi harapan semua orang. Demikian juga keadaan dalam
negara sekarang. Tetapi, saya tidak menyebutkan dengan jelas atau merujuk tepat
kepada sesiapa,” jelas Kamarul.
Turut menjayakan Batu
Belah ialah penyanyi dan pelakon Zack Kool sebagai penampilan khas yang
memegang watak Tengku Zulkefli. Menariknya, Zack turut mendendangkan lagu tema Batu Belah dalam sebuah babak
bersama-sama Bendahara, lakonan Kamarul.
“Genre tersebut lebih memberikan kebebasan kepada
Hidayah untuk berkreatif,” jelas Yusry pula mengenai kenapa purbawara, dan
bukan bangsawan yang mirip dengannya.
“Dengan purbawara, kami tidak akan terikat
sebagaimana yang perlu dihadapi jika menghasilkan bangsawan. Banyak hal perlu
difikirkan, terutamanya kos jika menampilkan penyanyi extra-turn sebagai ‘syarat’ peralihan babak ke babak,” tambah
beliau.
Babak sabung ayam yang dibuat secara lakonan simbolik.
Selain beberapa penyanyi
extra-turn, antara ciri bangsawan ialah penampilan prop dan kostum yang
berwarna-warni serta gilang-gemilang.
Dengan demikian, babak Tengku Zulkefli menyanyi di
samping Bendahara dalam Batu Belah
ini tidaklah janggal, salah, dan perlu dipertikai.
Batu Belah mengisahkan
sebuah keluarga yang papa kedana. Si ayah telah meninggal dunia, sementara si ibu
pula merajuk lari hingga ditelan batu yang terbelah.
Akhirnya, si kakak, Melor (ketika kecil, lakonan
Dhaniyah) dan adiknya, Pekan (Yamin Hanif) pergi ke Desa Kerayong, dan
dipelihara oleh seorang nenek, Nenek Kerayong (Siti Sarah) hingga dewasa (Melor
dewasa dilakonkan oleh Dayang Narinah).
Setelah menjadi pemuda, Pekan (Pangiran Aduka)
memiliki seekor ayam jantan. Dia kemudian naik bertakhta menjadi Raja Muda, dan
berkahwin dengan seorang puteri jelita, Puteri Mayang Mengurai (Melissa
Kelvin).
Walau bagaimanapun, dalam dunia yang sementara dan
dipinjamkan Allah SWT ini, memang ada pihak yang hasad dengki dan tamak. Mereka
merosakkan kestabilan sesebuah negeri. Dalam Batu Belah, watak itu ialah Datuk Hitam Perkasa (Md Hussin).
Bagaimana mungkin dapat diyakinkan segala yang buruk
ada titik noktahnya? Lantas, Batu Belah
mengajak semua kanak-kanak, remaja, para pemimpin keluarga dan pemimpin negara
mengambil pengajaran menerusi kisah suka dan duka ini.
Watak lain dalam teater purbawara ini termasuklah
Selamat, lakonan Hazzley, Kidam (Shahril Kamil), Waspada Jingga (Dean Sitara),
Kesuma (Bella Zulkefli), Bentara (Nazri Ahmad), pengikut-pengikut Datuk Hitam
Perkasa (Nazli, Muazzam, Amil), pengawal (Zuree, Abu), dan dayang-dayang
(Elysha, Shahira, Radifa, Erina).
Batu Belah turut
diserikan oleh Dato’ Jalaluddin Hassan sebagai Sultan, serta penampilan khas
Lan Zailan (Nujum), dan Rosli Rahman Adam (Dandang Bistari).
Batu Belah
telah dipentaskan di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia,
Kuala Lumpur bermula jam 8.45 malam pada 11 dan 12 Ogos, serta 2.45 petang, 13
Ogos lalu. Bayaran masuk RM25 seorang, dan setiap pembeli tiket berpeluang menyertai
acara cabutan bertuah.
Secara keseluruhannya dan peribadi, saya menyukai persembahan
Batu Belah. Saya tidak berasa sia-sia
dan membuang masa menontonnya yang berdurasi kira-kira 90 minit.
Selain beberapa perkara yang boleh diambil sebagai
pengajaran atau falsafah, saya turut menganggap mutu lakonan menjadi sebab persembahan
Batu Belah menarik.
Pangiran, Melissa, Siti Sarah, Dayang, lebih-lebih
lagi Hazzley dan Md Hussin berjaya menghidupkan watak masing-masing. Para
pelakon lain dengan watak pembantu mereka juga tidak menghampakan.
Dengan bersahaja tanpa berlebih-lebihan, Pangiran
dan Melissa berjaya mewujudkan suasana romantik semasa watak mereka, iaitu Pekan
dan Puteri memadu kasih.
Penampilan khas Rosli Rahman Adam (tengah) sebagai Dandang Bistari.
Dean Sitara (kanan) sebagai Waspada Jingga.
Hazzley (kanan) sebagai Selamat dan Dayang Norinah (Melor).
Pangiran Aduka sesuai sebagai Pekan kerana kacak dan mampu beraksi tangkas.
Siti Sarah (kanan) beraksi baik sebagai Nenek Kerayong.
Kamarul AR (tengah) sebagai Bendahara di samping Rosli Rahman Adam, dan Dean Sitara (kanan).
Hazzley (kanan) dilihat sangat berjaya sebagai Selamat, watak
sidekick Pekan yang komikal – kelakar
dan kadang-kadang tegas.
Dalam kebanyakan drama, teater dan filem, watak lucu
seperti Selamat memang tidak boleh ditiadakan. Fungsinya sebagai pereda
ketegangan atau menghiburkan pada ketika-ketika tertentu.
Tidak keterlaluan dikatakan watak antagonis, Hitam
Perkasa seolah-olah memang khusus untuk Md Hussin. Beliau kelihatan begitu
yakin, dan selesa membawakannya.
Demikian juga dengan Siti Sarah sebagai Nenek
Kerayong yang tegas dalam penyayang, dan penyayang dalam tegas memelihara cucu-cucu
angkat.
Dayang sebagai Melor berjaya menarik minat penonton
sedikit sebanyak menyelami/memahami emosinya yang terus rasa bersalah terhadap
ibunya, dan menahan cinta terhadap Selamat selagi Pekan belum berumah tangga –
isu yang difahami Nenek Kerayong.
Penampilan Zack Kool walaupun tidak banyak, dapat
juga menebus rasa terkilan kerana ketiadaan Roslan Masdun lantaran masalah
kesihatan dengan gerak lakon, dan lontaran suara merdu sewaktu menyanyi.
Faktor lain adalah koreografi pertarungan yang menarik,
dan mendebarkan. Para penonton menjerit kengerian beberapa kali, sama seperti mereka
ketawa menyaksikan aksi jenaka Selamat.
Penampilan khas Dato’ Jalaluddin Hassan sebagai Sultan.
Melihat ayam Sultan, Pekan dan Hitam timbul juga
pertanyaan bagaimana babak persabungan akan diadakan. Walau bagaimanapun, tiada
rasa kecewa meskipun persabungan itu hanya dipaparkan secara simbolik oleh dua
pelakon.
Datuk Hitam Perkasa bersama-sama dengan pengikut-pengikutnya.
___________________________________________________________________________________
Itu malah menunjukkan daya kreatif pengarah yang ‘di luar kotak’. Saya anggap sedemikian kerana mustahil meminta ayam berlakon babak
persabungan (pertarungan) seperti manusia. Tentu huru-hara yang timbul, dan
mengganggu pementasan.
Itu antara unsur kekaguman yang ada dalam Batu Belah. Satu lagi ialah kesan khas
untuk kemunculan batu belah. Tidaklah begitu hebat, tetapi tetap membekas, dan
mengagumkan.
Secara tidak langsung juga ia mengingatkan bahawa
jika menghadapi masalah, pulanglah kepada puncanya. Babak tersebut memaparkan
kaedah penyembuhan Pekan dan Puteri yang sakit akibat perbuatan menggunakan
ilmu hitam oleh Hitam Perkasa.
Kesan khas untuk batu belah batu bertangkup amat menarik perhatian penonton.
___________________________________________________________________________________
Babak-babak membabitkan Pekan dan Selamat yang bersahabat sejak kecil.
Seperkara lagi yang menarik ialah kemunculan semula
Melor dan Pekan – yang meluru ke batu belah sambil menyeru ibu mereka semasa
kanak-kanak, yang sepatutnya menjadi antara babak awal
Batu Belah.
Namun demikian, itu juga satu kejutan yang memang
tidak dijangka langsung oleh penonton. Babak itu turut memberitahu penonton
bahawa ibu Melor dan Pekan telah berpesan kepada mereka agar kembali kepadanya
memohon bantuan.
Ia juga memberikan peringatan supaya kita jangan
cepat membuat kesimpulan sebelum mengetahui atau melihat semua. Lihatlah sepenuhnya.
Jangan tidak habis atau hanya separuh.