Pages

Tuesday, 8 August 2023




MUZIK

 

Siti Nurhaliza Memang Penyanyi Nombor Satu Malaysia

 

Sebelum bergelar penyanyi nombor satu Malaysia sembilan tahun lalu, Siti Nurhaliza (kini Dato’ Sri) telah beraksi bersama-sama pemuzik terkenal antarabangsa, David Foster menjayakan sebuah konsert.

 

Menurut Dato’ Sri Siti Nurhaliza, beliau berdoa agar kesempatan itu bukan yang pertama dan terakhir. Doanya dimakbulkan Allah SWT apabila sekali lagi berpeluang menjayakan konsert Foster, bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia pada tahun ini. Menariknya, Foster sendiri yang mengundang beliau.



Konsert eksklusif itu dinamakan Hitman David Foster and Friends Asia World Tour 2023. Di Malaysia, ia telah berlangsung pada 7 Ogos lalu, di Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, sementara di Indonesia sehari kemudiannya.

 

Jelas sekali peluang kedua, dan kepercayaan serta sanjungan Foster terhadap beliau tidak dipersia. Dato’ Sri Siti mendapat tepukan gemuruh semasa dan selepas mendendangkan The Power of Love. Justeru, beliau bersyukur kerana dapat memberitahu dunia bahawa Malaysia juga mempunyai penyanyi yang hebat.

 

Dengan itu juga Siti turut membuktikan beliau memang penyanyi nombor satu Malaysia ketika ini apabila begitu mantap menyanyikan lagu nyanyian asal Jennifer Rush pada 1984 itu.

 

Meskipun saya fikir lebih wajar Siti menyanyikan Diari HatimuKau Kekasihku, ataupun Percayalah yang lebih mencabar vokal, tetapi dendangan beliau untuk lagu baharu, Sehebat Matahari yang belum ‘mesra telinga’, tetap hebat.    


Tidak hanya nyanyian dua lagu, semasa berbual-bual ringkas dengan Siti, Foster turut meminta anak seni kelahiran Pahang itu mencuba sedikit permulaan sebuah lagu lain yang mencabar vokal, diiringi petikan piano olehnya.

 

Walaupun Siti merendah diri dengan mengatakan vokalnya ‘tidak sampai’ untuk lagu tersebut, tetapi nyanyian beliau mendapat tepukan gemuruh, dan sorakan penonton. Beliau tidak menghadapi masalah. Ternyata pengalaman 27 tahun bergiat dalam bidang seni suara tanah air, dan memenangi lebih 300 anugerah banyak membantu.

 

Siti yang menganggap dirinya mewakili Malaysia, dan berterima kasih kepada penganjur konsert, juga amat gembira bagi pihak para peminat tempatan, dan antarabangsa kerana di samping berhibur menonton konsert, mereka akan turut menyumbang untuk dana kebajikan di Malaysia menerusi Yayasan PRIHATIN Nasional (PRIHATIN).

 

Secara keseluruhan, durasi selama kira-kira dua jam konsert itu tidak terasa kerana amat menghiburkan. Ternyata vokal para penyanyi yang tampil hebat belaka, kecuali Andrea Brillantes dari Filipina yang kurang menyengat menyampaikan I Swear, nyanyian asal kumpulan All-4-One (1994).

 

Penonton juga terhibur dengan celoteh-celoteh Foster yang bijak berjenaka dan sering mengusik penyanyi undangan beliau. Aksi beliau yang diraikan, tetapi bertindak sendiri sebagai pengacara memberikan kelainan, dan kesegaran. Bualan mesra dan bergurau itu juga kadang-kadang membuat suasana seperti bukan di sebuah konsert, tetapi di dalam studio rakaman, dan kelas vokal.

 

Satu lagi kelainan ialah penyertaan beberapa penonton yang sukarela menampilkan bakat nyanyian mereka menyanyikan lagu Can’t Help Falling in Love dan Tell Him.

 

Meskipun telah berusia 72 tahun, agak bongkok dan berkaca mata, tetapi Peabo Bryson masih memiliki vokal padu semasa berduet mendendangkan A Whole New World (lagu runut bunyi (OST) filem animasi Aladdin (1992) dengan Loren Allred, dan Beauty and the Beast (OST filem berjudul serupa (2017) dengan Katherine Hope McPhee.

 

Bryson turut mendendangkan Can You Stop The Rain dan If Ever You’re in My Arms secara solo dengan begitu baik. 

 

Allred juga secara solo menyanyikan Never Enough, serta berduet dengan Michael Bolton untuk lagu How Am I Supposed To Live (nyanyian asal Bolton sendiri), dan dengan McPhee untuk rangkaian lagu filem Bodyguard (1992), iaitu I Will Always Love You dan I Have Nothing, dendangan asal mendiang Whitney Houston, pelakon utama filem tersebut bersama-sama Kevin Costner.

 

Bolton yang diminati ramai pada era 90-an kini berusia 70 tahun. Namun demikian, vokalnya tetap mantap mendendangkan lagu-lagu popular beliau, iaitu When A Man Loves A Woman, Said I Love You But I Lied, dan Georgia On My Mind, serta berduet dengan McPhee untuk The Prayer.

 

McPhee yang juga bekas isteri pertama Foster memang hebat dengan nyanyian solo Cry Me A River, dan lagu penutup Last Dance.

 

Sebagai sebuah organisasi kebajikan, tujuan penubuhan PRIHATIN ialah menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin, dan tiada kemampuan ke arah kehidupan yang lebih baik, melibatkan tiga teras utama, iaitu pendidikan, kepimpinan, dan keusahawanan.

 

PRIHATIN juga menjadi penggerak utama membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program bercorak kemasyarakatan di seluruh negara dalam menyalurkan bantuan dengan telus, dan sistematik.

 

Foster, 73 tahun, yang dilahirkan di British Columbia, Kanada, adalah pencipta melodi, penyusun, eksekutif muzik, penerbit album, dan telah memenangi 16 anugerah daripada 47 pencalonan Anugerah Ammy.

 

Merangkumi genre klasik, pop, rock, gospel, R&B dan jazz, antara melodi ciptaannya yang popular termasuklah lagu Hard to Say I’m Sorry nyanyian Chicago, Goodbye (Air Supply), In the Stone (Earth, Wind & Fire), The Best of Me (Olivia Newton-John-Foster), The Colour of My Love (Celine Deon), When a Man Loves a Woman, dan I Have Nothing.

 

Menariknya, sebahagian daripada hasil jualan tiket yang dijual disalurkan ke Tabung Kasih PRIHATIN bagi kegunaan, dan manfaat pendidikan pelajar di menara gading yang tiada kemampuan dalam kategori asnaf, dan B40.

 

Konsert anjuran PRIHATIN dan B De Paris ini boleh menjadi satu fenomena baharu bagi peminat tempatan, dan antarabangsa apabila menggamit memori gandingan Siti dan Foster pada tahun 2014. Ia juga akan mengukuhkan nama Malaysia di persada antarabangsa, dan memperkuat hubungan Malaysia dengan negara luar, selain mahu memperkasakan pendidikan menerusi PRIHATIN menganjurkan konsert amal antarabangsa berskala besar, untuk mengumpulkan dana kebajikan.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali, penganjuran konsert Hitman David Foster and Friends Asia World Tour 2023 memberikan faedah kepada anak-anak Malaysia Madani di menara gading yang kurang kemampuan dari golongan asnaf meringankan bebas kos sara hidup di kampus.

 

“PRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan, terutamanya dalam memperkasakan pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi di persada dunia,” katanya yang teruja kerana berpeluang menganjurkan konsert ini yang bersifat komersial, dan turut menekankan konsep ‘berhibur sambil beramal’.

 

Mohd Aizuddin mensyukuri penglibatan semua artis yang bersetuju sama-sama mencari dana menerusi jualan tiket, seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan bagi tujuan kebajikan.

 

“PRIHATIN turut berterima kasih kepada pihak korporat dan orang perseorangan yang membeli tiket korporat, sekali gus memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan,” kata beliau lagi.

 

Selain Aizuddin, turut hadir ialah YAM Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah Ri-Ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, YABhg. Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Noor (isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang), YAM Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Mukhriz (putera DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan), YAM Tunku Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra (puteri DYMM Pemangku Raja Perlis), serta Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Undang-undang & Reformasi Parlimen YB Dato’ Sri Azalina Othman.

 

Selebriti penyiaran Hawa Rizwana, serta penyanyi/pelakon pengacara Shiha Zikir, Sissy Iman, Fazli Zainal, Diana Rafar, dan Nabil Ahmad juga hadir.


                                                

No comments:

Post a Comment