Pages

Wednesday, 20 December 2023

   


FILEM

 

Filem Usaha Sama Malaysia-Korea Selatan

 

EKORAN ‘kegilaan’ rakyat Malaysia terhadap industri K-Pop, dan mahu mempertingkat sektor pelancongan negara, syarikat produksi, Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd terdorong menghasilkan filem aksi lasak berjudul The Lord Musang King (TLMK).

 

Menariknya, TLMK tidak hanya menyatukan Malaysia dan Korea Selatan, malah mengetengah raja buah, iaitu durian berkualiti tinggi, Musang King sebagai duta menjayakan misi produksi berkenaan.

 

Menurut Penerbit Eksekutif, Ong Peng Chu, semasa majlis  di GSC Lalaport, Bukit Bintang pada 19 Disember lalu, impian menggabungkan dua negara dalam sebuah naskhah filem tercetus selepas beliau, dan pengarah filem, Lee Moon Ho yang juga warga Korea Selatan menikmati durian Musang King.

 

“Kami memang peminat Musang King dan pernah memakannya bersama-sama. Melihat Moon Ho begitu berselera menikmati raja buah itu, saya dapat idea untuk menghasilkan filem usaha sama antara Malaysia dengan Korea Selatan, sekali gus menjadikan Musang King sebagai subjek utama,” jelas Peng Chu.

 

Tambahan pula, belum ada filem Malaysia yang menggabungkan Malaysia dengan Korea Selatan, berbanding negara serantau lain.


                                      

                                    Ong Peng Chu (kiri) bersama-sama Lee Moon Ho.


“Jadi, saya meminta Moon Ho mengarahkan The Lord Musang King kerana kami telah lama berkenalan, dan beliau juga banyak menghasilkan filem di China,” tambah Peng Chu yang mengaku pada mulanya  agak sukar meyakinkan Moon Ho.

 

“Akhirnya beliau bersetuju menerima tawaran selepas melihat kejayaan beberapa filem terbitan Malaysia seperti Paskal The Movie yang mengutip RM30.08 juta pada 2018,” kata Peng Chu lagi.

 

Dengan modal RM2.5 juta, The Lord Musang King menampilkan pelakon dari Malaysia dan Korea Selatan, sementara lokasi penggambaran sepenuhnya di Malaysia selama 21 hari.

 

Menurut Peng Chu, beliau terharu kerana kebanyakan kru dan penggiat seni yang terbabit dalam pembikinan filem, termasuk Moon Ho tidak demand kerana mengenangkan persahabatan yang terjalin.


                                                                                 

Para pelakon The Lord Musang King bersama-sama pengarah dan penerbit filem tersebut pada Majlis Malam Gala The Lord Musang King, 19 Disember lalu.


Bayaran untuk pelakon dari Korea Selatan juga amat rendah. Walaupun kos pembikinan tidak semahal filem usaha sama lain, tetapi kami mengutamakan soal kualiti. Kami menggunakan peralatan diimport dari China, dan teknik imej janaan berkomputer (CGI) untuk filem ini,” jelasnya.

 

“Namun begitu, saya tetap memohon dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk promosi dan pemasaran,” tambah Peng Chu.

 

Sebagai catatan, pelancaran TLMK disempurnakan pada tahun 2022 oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Park 28, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.


                                          


Filem yang menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Korea ini menampilkan pelakon Malaysia seperti Yusuf Bahrin, Harissa Adlynn Halim, Fimie Don, Azri Sabri, Hafizuddin Fadzil, Nik Ramli Rejab, Shyrim Husni, dan Jay Iswazir.

 

Pelakon dari Korea Selatan pula ialah Kim Bo-Yeon dan Kwak Dong-Hyuk.

 

Menariknya, Peng Chu memberitahu beliau turut memberi tawaran kepada Dato’ M Nasir dan Dato’ Awie, tetapi mereka terikat dengan komitmen lain. Katanya, Awie kelihatan berminat, tetapi perlu ke Mekah menunaikan umrah.

 

Meskipun menampilkan muka baharu, tambah Peng Chu, tetapi mereka terlebih dahulu menjalani latihan yang agak ketat. Sebagai contoh, Yusuf menjalani latihan intensif dalam seni mempertahankan diri.

 

Mengenai sambutan penonton dalam dan luar negara, Peng Chu bersikap positif meskipun mengakui pada peringkat awal sangsi dengan keserasian di lokasi penggambaran.

 

Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman membawa penyanyi dari Korea Selatan, Kim Dong Gyun ke Malaysia berduet dengan Wany Hasrita yang diterima ramai, Peng Chu yakin mampu melakukan perkara sama untuk filem ini.

 

Kewujudan banyak platform Over-The-Top (OTT) dari luar negara, termasuk pengedar antarabangsa begitu berminat dengan filem ini selepas berbincang turut menambahkan keyakinan saya,” katanya lagi.


                                 

Pelakon utama The Lord Musang King, Yusuf Bahrin (empat dari kiri) bersama-sama para pelakon lain pada majlis malam gala filem tersebut, 19 Disember lalu.


The Lord Musang King mengisahkan Haikal, lakonan Yusuf Bahrin, anak pekebun durian yang berjaya, yang mahir seni mempertahankan diri, telah diperdaya dan dipenjarakan atas tuduhan membunuh.

 

Bapa Haikal, Samad (Hafidzuddin Fazil) terpaksa membuat perjanjian dengan ahli perniagaan Korea Selatan, Cheon Jin, untuk membebaskan Haikal. Watak Jin, antagonis yang menyeludup dadah di dalam durian, dilakonkan oleh Eddie Chow yang merupakan penerbit filem ini.

 

Walau bagaimanapun, Samad dibunuh oleh Jianna (Bo-Yeon), ‘kaki pukul’ taikun Korea Selatan itu ketika menyiasat kegiatan Faruk (dalam usaha membebaskan Haikal). Selepas menyedari kejadian sebenar, Haikal tampil menuntut bela kematian bapanya itu.

 

Watak Fiezol lakonan Fimie, dan Natasha oleh Harissa Adlynn merupakan rakan karib Haikal. Sementara Inspektor Shahar, lakonan Jay; Faruk (Azri), dan Dwan (Shyrim) adalah antagonis. Watak banduan (adik Jin) yang suka membantu Haikal di penjara, dipegang oleh Dong-Hyuk.

 

Selain Peng Chu, dan Moon Ho, turut menghadiri Majlis Malam Gala The Lord Musang King ialah Fimie, Harissa Adlynn, Chow, Hafidzuddin, Azri, Bo-Yeon, Dong-Hyuk, Nik Ramli; serta Han Byul, penyanyi lagu runut bunyi The Lord Musang King, berjudul Sang Pengembara.

 

The Lord Musang King yang skripnya tulisan Shi Zhong Yuan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Disember 2023.


                                 

Han Byul mendendangkan lagu runut bunyi filem The Lord Musang Kingberjudul Sang Pengembara.

 

- RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Post a Comment