Pandu Umat Islam Pilih Syarikat Pengelola Berlesen Sah
KARNIVAL HAJI, UMRAH
DAN PELANCONGAN 2024
WALAUPUN mengikut logik dan
kewajaran, memang bukan perkara aneh jika syarikat
umrah dan pelancongan di negara ini yang tidak berdaftar dengan Lembaga Tabung
Haji (TH) didiskriminasi.
Kerap
didengar kes ramai yang diperdaya oleh beberapa
syarikat berkenaan, lantas hajat menjejakkan kaki di Madinah, dan Mekah
tidak kesampaian.
Berdasarkan
krisis itu, wajarkah syarikat tersebut
turut diberi peluang oleh TH untuk membuat promosi kepada masyarakat?
Menjawab
soalan tersebut, Pengarah Eksekutif Haji TH, Ybhg Dato’ Seri Syed Saleh Syed
Abdul Rahman mengatakan pihak beliau tidak
bersedia berbuat demikian.
“TH mempunyai tanggungjawab besar. Selain
mengangkat syiar Islam, kami memang
perlu memastikan semua bakal jemaah
umrah dan haji dapat menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya,” tegas Dato’ Seri Syed Saleh.
=======================================================================
Dari kiri; Haji Anuar Ahmad, Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Tuan Hj Harun KC Ahmmu, dan Encik Ab Rahman Mohd Ali.
Justeru,
tambah beliau, umat Islam perlulah mengikut
saluran atau jalan yang betul, iaitu melalui syarikat yang berdaftar dengan TH.
Hal ini amat perlu diberikan perhatian oleh bakal jemaah kerana kos atau perbelanjaan sekarang bukanlah kecil.
“Kos mengerjakan haji pada tahun lalu adalah
RM30,850. Pada tahun ini, jumlah tersebut dijangka meningkat beberapa peratus,” kata beliau semasa sidang
media Karnival Haji: Umrah & Pelancongan Kali ke-2 Pengelola Jemaah Haji
(Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024), di Hotel Double Tree by Hilton,
Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu.
Setakat
ini, tambah Syed Saleh, terdapat 25
syarikat pelancongan tempatan telah diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH)
untuk musim Haji 1445H/2024.
Antaranya
termasuklah TH Travel & Services Sdn Bhd, Al Balad Travel & Tours Sdn
Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Amani Travel Sdn Bhd, Andalusia Travel
& Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel
& Tours Sdn Bhd, Iman Travel & Tours Sdn Bhd, Felda Travel Sdn Bhd, Gemilang
Travel and Tours Sdn Bhd, Kembara Umrah Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd,
dan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd.
Kesemua 25 syarikat berlesen
PJH ini akan berkumpul dalam Karnival
Haji, Umrah dan Pelancongan 2024, anjuran TH dengan kerjasama Persatuan
Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), di Movenpick Hotel and Convention Centre
(MHCC), Sepang.
Mereka
akan turut mempromosikan pelbagai pakej
menunaikan haji, umrah dan pelancongan untuk ditawarkan kepada bakal jemaah
haji, yang menjadikan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 berbeza,
sebagaimana yang diakui Presiden Bumitra Malaysia, Ybrs Tuan Hj Harun KC Ahmmu.
Mengenai
jumlah pengunjung karnival dari 19 hingga 21 Januari ini, TH dan Bumitra Malaysia sama-sama mensasarkan kehadiran lebih 10,000
orang.
Bagi
pengeluaran surat tawaran mengerjakan
haji pada tahun ini, Syed Saleh memberitahu hal tersebut akan diuruskan dalam masa yang terdekat.
Dengan
menampilkan perbezaan, pelbagai kelainan, dan penambahbaikan, Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024
seperti yang diberitahu oleh Syed Saleh juga merupakan kesinambungan atas kejayaan karnival pertama pada 2023.
“Selain
meneruskan kecemerlangan karnival, TH
dan Bumitra Malaysia ingin meningkatkan kesedaran masyarakat umum mengenai
kepentingan memilih syarikat pengendali haji yang menerima lesen PJH,”
tegas beliau yang mengakui penganjuran pada tahun ini juga ekoran permintaan,
dan maklum balas orang ramai.
=======================================================================
Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kiri) dan Tuan Hj Harun KC Ahmmu.
=======================================================================
Untuk
catatan, Karnival Haji, Umrah dan
Pelancongan 2023, ujar Syed Saleh, telah mencapai sasaran, dan menerima kehadiran lebih 5,000 pengunjung.
“Karnival
ini juga menjadi serampang dua mata. Selain mempromosi pakej haji, umrah dan
pelancongan, ia juga menjadi antara platform
untuk memberitahu orang ramai bahawa hanya syarikat berlesen sah sahaja yang
boleh menawarkan perkhidmatan pengelolaan haji,” tambah beliau.
Mengenai
cadangan beberapa pihak agar karnival
bermanfaat ini turut diadakan di zon-zon lain, termasuk Sabah dan Sarawak,
Syed Saleh memberitahu, perkara itu memang
dalam perancangan TH.
“Insya-Allah,
dalam masa terdekat juga, Karnival
Haji, Umrah dan Pelancongan akan mula dianjurkan di zon-zon lain yang
dicadangkan itu,” jawab beliau.
=======================================================================
=======================================================================
Sementara
itu, dalam sidang media yang sama, Tuan Harun menyampaikan ucapan
setinggi-tinggi terima kasih pihak Bumitra Malaysia kepada TH yang menyediakan
peluang memperkenal syarikat-syarikat PJH berkongsi tawaran masing-masing kepada
para bakal haji khususnya, dan masyarakat umumnya.
“Mereka
boleh memberikan penerangan mengenai tawaran pakej haji swasta yang ditawarkan.
Ini akan memberikan lebih pilihan, serta nilai tambah kepada mereka mengikut
kemampuan, serta tawaran pelbagai pakej umrah, dan pelancongan merentasi semua
negara,” katanya.
Tambah
Harun, Bumitra Malaysia yakin, dengan persediaan
rapi, tempoh lebih panjang, pengisian yang padat dan menarik, serta kawasan lebih
luas memuatkan sehingga 140 reruai, Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 mampu
menarik lebih ramai pengunjung.
“Selain
penyertaan 25 syarikat PJH sebagai pempamer, kami juga berbesar hati mendapat sokongan Bank Islam, AMAL
(Malaysia Airlines), Takaful Malaysia Berhad, dan Saudi Tourism Authority
yang turut menyertai karnival ini sebagai pempamer,” ujarnya lagi.
Turut
menghadiri sidang media karnival tersebut ialah Ketua Bahagian Haji TH, Ybrs Tuan Haji Anuar Ahmad, dan Setiausaha Agung Kehormat Bumitra
Malaysia, Ybrs Encik Ab Rahman Mohd Ali.
Menariknya,
Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan
2024 yang dilangsungkan dalam dua tempoh masa berbeza ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk
kepada pengunjung.
Karnival
akan berlangsung dari pukul 9.00 pagi
hingga 9.00 malam pada 19, dan 20 Januari. Sementara, pada 21 Januari, ia dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.
Selama
tiga hari, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti program simulasi
haji untuk kanak-kanak, iaitu Simulasi
Haji Cilik (setiap hari), persembahan
gamelan di pentas 2 (19 dan 20 Januari), dan Bual Bicara di pentas utama (20
dan 21 Januari).
Pada
20 Januari, Bual Bicara akan
dijayakan oleh AJK Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM), Ybrs Puan Dr Hajah Shamsiah Mohamad, serta Syed
Saleh dan Harun sendiri sebagai ahli panel membincangkan Persediaan dan Cabaran Jemaah
Haji Malaysia di Tanah Suci.
Pada
21 Januari pula, dengan topik
menarik, iaitu Penipuan Pakej Haji – Implikasi & Cabaran oleh Ketua
Perundangan & Sekretarial Kumpulan TH, Ybrs
Tuan Haji Mohd Shuhaimi Ismail, Setiausaha Bahagian Pelesenan MOTAC, Encik Roslan Mohamed, dan Timbalan
Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia KPDNHEP, Encik Mohamad Hafisol Yusoff sebagai ahli panel.
Sementara
persembahan artis nasyid terkenal akan menampilkan In-Team pada 19 Januari, Rabbani
(20 Januari), dan Saujana (21
Januari) di pentas 2.
=======================================================================
=======================================================================
Taklimat produk oleh
Bank Islam
diadakan pada 19 Januari. Kuiz dan juga cabutan bertuah, khusus
untuk para pengunjung dengan tawaran hadiah yang lumayan, termasuklah pakej
menunaikan umrah pula berlangsung setiap
hari di pentas 2.
Syed Saleh akan turut
menyampaikan Kalimah Akhirah karnival di pentas utama pada 21 Januari.
Perasmian Karnival Haji, Umrah
dan Pelancongan 2024 akan disempurnakan
oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Malaysia, YB Senator
Dato’ Setia Dr Hj Mohd Naim Hj Mokhtar pada 19 Januari pukul 3 petang.
- RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments:
Post a Comment