Pages

Saturday, 6 January 2024


SENI SUMBANGAN SOSIAL


Kejohanan Golf Amal Selebriti Sasar Kutipan RM50,000

 

SELEPAS sekian lama terhenti akibat wabak pandemik maut COVID-19, Kejohanan Golf Amal Selebriti muncul kembali. Edisi kali keempat ini akan diadakan pada 21 Januari 2024 di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan.

 

Kejohanan tersebut berlangsung sebelum Majlis Makan Malam, dan Penyampaian Hadiah Gala di lokasi yang sama.

 

Penganjurnya, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menjanjikan acara yang menyeronokkan bersama-sama para selebriti, penaja korporat dan penderma bermain golf untuk tujuan murni, iaitu membantu warga seni yang memerlukan.

__________________________________________________________

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Freddie Fernandez (lima dari kiri) menyampaikan ucapan beliau.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Banyak hadiah menarik menanti para peserta, dari barangan elektronik hinggalah baucar golf, dan peralatan. Bagi mereka yang tidak begitu bertuah dalam permainan, banyak hadiah cabutan bertuah disediakan.

 

Tajaan bermula dari serendah RM1,000 untuk penaja lubang hingga RM50,000 untuk tajaan utama. Bagi mereka yang ingin menyertai sebagai pemain, bayarannya hanya RM350 seorang.

###################################################################################

--------------------------------------------------------------------

Datuk Zunaidah Idris (Kofika - kiri) menyampaikan ucapan ringkas.
=========================================================================

Dijangka hampir 120 orang, terutamanya selebriti terkenal tanah air akan menjayakan kejohanan tersebut.

 

Seperti yang dimaklumi, KARYAWAN sentiasa memberi bantuan kepada artis dan penggiat seni yang mengalami masalah kesihatan, khususnya artis veteran yang uzur, dan tidak dapat bekerja lagi.

 

Antara artis yang telah menerima bantuan dari Karyawan sejak lebih 20 tahun lalu termasuklah Ibnor Riza, Datuk M Daud Kilau, dan Lewis Pragasam yang kesemuanya meninggal dunia baru-baru ini, serta Isma Aliff, Zaiton Sameon, dan Ghani Blues Gang.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Mawi (berdiri) turut hadir tanda memberikan sokongan walaupun tidak menyertai kejohanan yang dianjurkan nanti.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Menurut Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez, usaha KARYAWAN sebegini sentiasa memerlukan dana yang mencukupi kerana tiada apa-apa sumber kewangan tetap, dari pihak kerajaan atau swasta.

 

“Jadi, untuk memastikan dana sentiasa mencukupi, kami berusaha mengadakan pelbagai program. Antaranya adalah Kejohanan Amal Golf Selebriti untuk mengisi Tabung Kebajikan Karyawan,” katanya semasa sidang media acara berkenaan di Hadramawt Kitchen, Jalan Ampang, Kampung Berembang, Kuala Lumpur pada 5 Januari lalu.

 

Jumlah wang yang dapat dikutip, tambah beliau, akan digunakan untuk membantu artis yang memerlukan.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dari kiri; Isma Azad, Mawi, Raja Lokman, Dato’ Dollah Salleh, Dato’ Freddie Fernandez, Datuk Zunaidah Idris, Dato’ Malek Ridzuan, dan Deen Maidin.

###################################################################################

 Menurut beliau lagi, Kejohanan Golf Amal Selebriti ini akan dijayakan oleh Datuk Malek Ridzuan, Dato’ Hattan, Dato’ Yasmin Yusuff, Dato’ Nancie Foo, Sharnaaz Ahmad, Shuib Sepahtu, Rahim Sepahtu, dan Ajak Shiro.

 

Oleh kerana selebriti itu umum, bukan artis yang lebih spesifik, maka yang bukan penyanyi atau pelakon turut menyertai acara tersebut.


 
                            Dato’ Dollah Salleh (tengah) menyampaikan ucapan ringkas. 
   
***********************************************************************************

Antaranya ialah legenda bola sepak negara, Dato’ Dollah Salleh. Menurut Dato’ Dollah yang turut menghadiri majlis sidang media itu, ini adalah kali kedua beliau mengambil bahagian.

 

“Jika sebelum ini, prestasi saya mengecewakan, termasuk tewas kepada Dato’ Freddie, insya-Allah kali ini saya akan tampil lebih baik,” katanya sambil tersenyum.

 

Selain Freddie dan Dollah, turut menghadiri sidang media tersebut adalah penyanyi terkenal yang kini pengarah dan penerbit filem/drama televisyen, Mawi; pelakon siri popular Gerak Khas, Deen Maidin; Dato’ Malek; pemilik Panca Abadi Automobil, Isma Azad; Raja Lokman dari BS Nurition; Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Datuk-Datuk Negeri Sembilan, Datuk Zunaidah Idris (Kofika); Setiausaha Kehormat KARYAWAN, Rozita Rohaizad; dan kakitangan tetap KARYAWAN, Amad Abdullah. Amad juga bertindak sebagai pengacara majlis.

 

Mengenai sasaran jumlah kutipan, Freddie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan tersebut, memberitahu RM50,000 adalah realistik. Beliau yakin jumlah itu akan dapat dicapai.

 

Kepada pihak di luar sana yang berminat menyumbang atau menjadi penaja, mereka boleh berbuat sedemikian dengan menerusi nombor akaun Public Bank – 3108024130.

 

Bagi mereka yang memerlukan status pengecualian cukai, KARYAWAN telah membuat perjanjian dengan Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBANK), di mana penderma hendaklah membuat pembayaran ke akaun PBANK (nombor akaun UOB Bank - 1743043575), dan menghantar salinan slip pembayaran kepada untuk menerima pengecualian cukai bagi sumbangan mereka.

 

KARYAWAN turut mengucapkan penghargaan, dan terima kasih kepada semua penaja, terutamanya Hadramawt Kitchen, Panca Abadi Automobil, Kofika, Al Najwa Productions, BS Nutrition, MST Golf, Komunti Golfer Melayu Malaysia, dan Kelab Golf Kota Seriemas.

 

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi Azhar di talian 0163344022.

 

- RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Post a Comment