Pages

Friday, 27 September 2024


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

SOSIOBUDAYA-INSAN

 

Didik Rakyat Jadi Manusia Bersih-Sihat-Lestari

HARI CUCI MALAYSIA

 

SAMBIL mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir, dan turut menyertai perasmian Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Clean Up Day 2024 pada 28 September, YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengingatkan bahawa kebersihan awam adalah suatu keperluan yang penting untuk sesebuah bandar atau kawasan demi memastikan kesejahteraan penduduk dipenuhi secara menyeluruh.

 

Persekitaran yang bersih dan bebas daripada pencemaran, kata beliau, dapat mengurangkan risiko penyakit, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk sesebuah bandar atau kawasan.

 

“Kita seharusnya tidak menganggap World Cleanup Day ini sekadar suatu acara tahunan sahaja, tetapi menjadikannya satu amalan hidup kita untuk memastikan persekitaran kita sentiasa bersih,” tegas YB Nga.

 

Aktiviti kita pada hari ini, tambahnya, melangkaui sekadar mengutip sampah sahaja, malah kita hendak memupuk budaya kesedaran pemeliharaan alam sekitar, dan penjagaan kebersihan awam secara bersama.

 

Beliau menyatakan sedemikian dalam ucapan perasmian Hari Cuci Malaysia tersebut, di kawasan tempat letak kereta Pasar Seni, Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur.

 

Turut hadir, YB Puan Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); YBhg Datuk Wira M Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha KPKT; YBhg Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan; YBhg Dato’ Seri Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur; Wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, para pelajar, komuniti, dan masyarakat setempat.



YB Tuan Nga Kor Ming (kiri) dan YB Puan Dr Zaliha Mustafa (kanan) melakukan gimik perasmian Hari Cuci Malaysia pada 28 September di Pasar Seni Kuala Lumpur.

=========================================================================

“Sampah yang kita lihat dibuang di tempat awam sama ada jalanan, pantai, hutan dan persekitaran adalah suatu gejala tidak sihat yang memberikan petunjuk kepada isu pokok yang lebih besar yakni, sikap sebahagian masyarakat kita yang masih belum cakna dan

memandang enteng terhadap aspek kebersihan,” ujar Nga lagi.

 

Persekitaran yang kotor, tambah beliau, disebabkan oleh gabungan pelbagai faktor. Ini termasuk pencemaran, masalah pengurusan sisa, kepadatan penduduk dan urbanisasi, serta kelemahan tadbir urus.

 

“Tetapi paling utama adalah tingkah laku dan sikap individu yang tidak ambil peduli, seperti membuang sampah merata-rata. Kita perlu sedar bahawa kaedah paling efektif untuk menangani isu-isu ini memerlukan usaha kolektif, iaitu daripada pembuat dasar dan perancang bandar hinggalah kepada penduduk setempat,” jelas Nga, merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan.

 

Mengenai kepentingan meraikan World Cleanup Day di Malaysia, beliau memberitahu bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan 20 September pada setiap tahun, sebagai World Clean Up Day.

 

Acara global tahunan ini adalah salah satu usaha yang didedikasikan untuk menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat, dan meningkatkan kesedaran terhadap tindakan pembersihan awam di segenap lapisan masyarakat.

                                                                                          

YB Tuan Nga Kor Ming (kiri) dan YB Puan Dr Zaliha Mustafa (kanan) di titik pusat pertama, iaitu Kasturi Walk, selepas perasmian Hari Cuci Malaysia pada 28 September di Pasar Seni Kuala Lumpur.

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

“KPKT melalui SWCorp turut menyertai Program World Cleanup Day sejak 2020, dan pertama kalinya menganjurkan Program World Cleanup Day Peringkat Kebangsaan, melibatkan seramai 3,961 sukarelawan di 39 lokasi di seluruh Malaysia,” jelas Nga.

 

Dalam program tersebut, tambah beliau, aktiviti pembersihan kawasan serta audit sisa telah dilaksanakan, dan berjaya mengumpulkan sebanyak 13,529 kilogram sisa. Sejak dari itu, program ini telah menjadi salah satu program tahunan SWCorp, dan berjaya mengumpul serta mengaudit sebanyak 240,498.33 kilogram sisa dari 311 lokasi.

 

“Jumlah Sukarelawan Hero Kebersihan SWCorp yang berdaftar juga telah meningkat sebanyak 89 peratus, iaitu seramai 35,700 orang. Para sukarelawan ini turut dijemput untuk menyertai pelbagai program kesukarelawanan, termasuk Program World Cleanup Day,” ujarnya lagi.

 

 

YB Tuan Nga Kor Ming (kiri) dan YB Puan Dr Zaliha Mustafa (kanan) berjalan sambil mengutip sampah di Kasturi Walk, diiringi YBhg Dato’ Seri Maimunah Mohd Sharif.

**********************************************************************************  

Nga seterusnya memberitahu bahawa di Malaysia, sejumlah 13.91 juta tan sisa pepejal telah dihasilkan pada 2021, dan jumlah ini meningkat kepada 14.25 juta tan pada 2023. Kita menjangkakan bahawa ia akan terus meningkat jika tiada tindakan untuk mengurangkan penjanaan sisa yang diambil. Setiap individu di negara ini pada asasnya, tambah beliau, akan menghasilkan 1.17 kilogram sisa setiap hari.

 

“Situasi penjanaan sisa pepejal yang meningkat ini akan memberikan impak yang besar kepada kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia. Sekitar RM2.0 bilion ketika ini diperuntuk setiap tahun bagi tujuan tersebut, dan dijangka akan terus meningkat saban tahun, yang bukan sahaja menekan sistem pengurusan sisa sedia ada, tetapi juga meningkatkan risiko pencemaran alam sekitar, dan kesihatan awam,” tegas beliau.

 

Justeru, program Hari Cuci Malaysia Sempena World Cleanup Day 2024 adalah sebagai salah satu inisiatif dalam menyambut seruan pada peringkat global.

 

“KPKT sebagai sebuah kementerian yang sentiasa ke hadapan menganjurkan Program Mega Pembersihan bersempena World Clean Up Day 2024 pada hari ini. Inisiatif ini juga seiring dengan hasrat, dan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan pada kemampanan, dan kesejahteraan masyarakat,” ujar Nga.


Sebahagian daripada peserta yang menghadiri Majlis Perasmian Hari Cuci Malaysia di Pasar Seni Kuala Lumpur, 28 September 2024.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@  



Penyanyi popular, Hazama sebagai Duta Hari Cuci Malaysia turut menghiburkan hadirin semasa Majlis Perasmian program berkenaan pada 28 September. 

((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((((

Program ini berkonsepkan pada pelaksanaan gotong-royong mega secara bersepadu di seluruh negara yang meliputi skop pembersihan kawasan sekitar, pembersihan dan penutupan

enam tapak sampah haram, pelaksanaan kempen kitar semula, dan kesedaran penggunaan plastik sekali guna.

 

“Saya difahamkan program gotong-royong hari ini dilaksanakan melalui skala besar, dan serentak di seluruh negara termasuk pelajar sekolah, syarikat konsesi, komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR), komuniti PRIMA home, 156 Pihak Berkuasa Tempatan, semua kementerian dan rakan strategik KPKT seluruh negara,” ujar beliau.

 

Selain aktiviti gotong-royong yang dijalankan dalam tempoh 12 jam, iaitu dari jam 8 pagi hingga 8 malam, pihak penganjur juga akan mengadakan karnival mini, dan menjemput orang ramai untuk turut serta dalam program ini.

 

Terdapat beberapa aktiviti lain seperti pasukan gotong-royong, perkongsian maklumat, pertandingan mewarna, pameran kebombaan, cabutan bertuah, pameran mengenai kelestarian hidup, dan ekonomi kitaran, serta pasar lambak.

                                                                                                                                          

))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))))

“Seterusnya, KPKT turut menyasarkan pelaporan yang dapat menyumbang kepada penciptaan rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records bagi kriteria bilangan penyertaan teramai melalui pelaksanaan di seluruh negara, kutipan sisa pepejal terberat, dan tempoh masa gotong-royong terlama, iaitu 12 jam,” ujar Nga yang berharap program ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat, dan komuniti pada setiap peringkat mengenai kepentingan, dan tanggungjawab terhadap kebersihan awam, demi kesejahteraan, dan kesihatan semua.

 

“Kebersihan awam adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak. Ini termasuklah dengan membuang sampah dengan betul di tempat yang ditetapkan, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, mengamalkan aktiviti kitar semula, menyertai aktiviti gotong-royong, dan bermacam-macam lagi,” tambahnya.

 

Melalui usaha secara kolektif dan dukungan semua pihak, Nga yakin kita akan dapat mencapai kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar, selaras dengan prinsip Malaysia Madani. Setiap anggota masyarakat, katanya, perlu memainkan peranan dalam memastikan persekitaran kita bersih, sihat dan mampan.


Pesalah kebersihan yang berulang-ulang akan dikenakan hukuman melakukan kerja sosial seperti menyapu sampah di tepi jalan dengan memakai kemeja-T SPRM: Nga Kor Ming.

##################################################################################




Sebelum itu, YB Dr Zaliha dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nga kerana memberi keutamaan kepada Kuala Lumpur sebagai pihak berkuasa tempatan pilihan untuk diadakan majlis pelancaran Hari Cuci Malaysia 2024.

 

Dalam ucapannya itu, Zaliha turut memberitahu bahawa rakyat Malaysia direkodkan membuang sebanyak 38,000 tan sisa pepejal, atau secara puratanya 1.17 kilogram bagi

setiap seorang. Jumlah ini jika kita buat perbandingan, boleh memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil yang memuatkan lebih 87,000 penonton dalam masa 12 hari sahaja.

 

“Di Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 2,044 tan sehari dihasilkan oleh warga kota dengan kos yang perlu ditanggung oleh DBKL adalah kira-kira RM 226 juta setahun. Ini adalah perbelanjaan yang sangat besar, dan jika kita boleh kurangkannya, mungkin perbelanjaan tersebut boleh digunakan kepada pembangunan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat,” tegas beliau.

 

Sehubungan itu, tambah Zaliha, program ini bukan sekadar simbolik, tetapi juga merupakan satu inisiatif yang memperlihatkan komitmen kerajaan dalam menjaga kesejahteraan alam

sekitar di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur selaras dengan enam konsep Malaysia MADANI yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

 

“Majunya sesebuah bandar itu tidak hanya diukur semata-mata dengan pembangunan fizikal yang pesat sahaja, tetapi juga melalui tahap kebersihan dan kesihatan persekitaran. Bandar raya yang bersih menjadi asas pada pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan,” katanya lagi.

 

“Sudah tentu ini juga akan memenuhi keperluan dunia melalui Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG di bawah sasaran ketiga, iaitu Good Health and Well Being, sasaran keenam, Access to Clean Water and Sanitation dan sasaran kesebelas, Sustainable Cities and Communities,” tambah Zaliha.

 

Bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang baru sahaja kita raikan, pelaksanaan Hari Cuci Malaysia yang diadakan serentak di seluruh negara ini bukan hanya menzahirkan komitmen kita untuk menjadikan Malaysia lebih bersih dan sejahtera, malah beliau melihat ia juga menjadi platform yang secara tidak langsung memupuk semangat kerjasama, setiakawan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita.

 

Selaku menteri yang bertanggungjawab kepada Wilayah Persekutuan, Zaliha menegaskan beliau amat menyokong usaha sebegini kerana ia seiring dengan visi Wilayah Persekutuan, termasuk Kuala Lumpur, sebagai CHASE City, iaitu akronim kepada Clean City, Healthy City, Advanced City, Safe City, dan Eco-friendly City, yang merupakan kerangka atau framework beyond the idea of only Smart City.

 

“Ini adalah sudut baharu dalam membangunkan bandar pintar. Melalui CHASE City, kita akan memastikan kebersihan, kesihatan, keselamatan dan kelestarian alam turut diambil kira

dalam pembangunan sesebuah bandar, selain elemen kemajuan teknologi. Visi ini akan menjamin kesejahteraan rakyat, serta kelestarian jangka panjang di Kuala Lumpur, dan Wilayah Persekutuan secara keseluruhannya,” ujar beliau.

 

Antara inisiatif yang telah diperkenal di bawah CHASE City adalah Waste to Wealth yang merupakan sebahagian daripada polisi sifar sisa di Kuala Lumpur. Melalui inisiatif ini, tambah Zaliha, kita mengubah pandangan bahawa sisa adalah beban, kepada perspektif bahawa ia merupakan sumber yang mempunyai nilai ekonomi, bertepatan dengan konsep ekonomi kitaran yang sering diperkata sekarang.

 

“Program seperti 1 Komuniti 1 Pusat Kitar Semula, atau 1C1R telah diperkenalkan bagi menyokong inisiatif ini, dan ia telah memberi impak besar kepada komuniti, di mana pengumpulan barangan kitar semula bukan sahaja mengurangkan sisa pepejal, tetapi juga memberi peluang kepada komuniti untuk menjana pendapatan tambahan,” katanya.

 

Ini adalah antara Wilayah Persekutuan membentuk komuniti yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.


                                               

 

“Kita tidak hanya inginkan bandar yang pesat membangun, tetapi juga bandar yang selesa dan bersih untuk didiami. Saya berharap agar usaha ini tidak terhenti untuk hari ini sahaja. Mudah-mudahan ia akan menjadi pemangkin kepada usaha yang berterusan,” tegas Zaliha yang mengharapkan penglibatan semua lapisan masyarakat, termasuk generasi muda sebagai agen perubahan ini menjamin masa depan yang lebih bersih, dan mampan.

 

Program seperti ini juga, tambah beliau, amat penting untuk memastikan imej Malaysia kekal bersih dan indah, terutamanya apabila kita menghampiri Kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan, dan seterusnya menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2026. Ini adalah sebahagian daripada persiapan kita untuk menerima lebih ramai pelancong ke Malaysia.

 

“Kebersihan dan keindahan bandar raya kita, terutamanya Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan pintu masuk utama negara, akan mencerminkan komitmen negara kepada kedua-dua acara penting dan bersejarah ini,” ujar beliau yang semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan pada 26 September lalu, mengarahkan Datuk Bandar memastikan penguatkuasaan dibuat kepada premis-premis di Kuala Lumpur, khususnya premis makanan tentang kebersihan mereka.

 

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Lestari Niaga yang ditekankan oleh Perdana Menteri. Kalau didapati premis tersebut tidak mencapai tahap kebersihan optimum, lesen perniagaannya tidak akan disambung. Ini satu langkah serius yang akan diambil oleh DBKL.

 

*disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

Wednesday, 25 September 2024



FILEM

 

Jangan Pandang Belakang 2 di Pawagam 14 Negara

 

MAJLIS Pengumuman Tayangan Global dan Fiesta Durian Filem Jangan Pandang Belakang 2Aku Tahu Asal Usulmu... disambut meriah dengan kehadiran para wakil media, bersama-sama dengan Gimik Pelancaran di Sebalik Tabir Pembikinan Filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu..., dan Pelancaran Tayangan Global, kerana filem ini, JPB2 bakal ditayangkan di 14 negara termasuk Malaysia, iaitu Vietnam, Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja, Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, Australia, New Zealand, Rusia, dan Turkiye.

 

Hal ini sekali gus mencatatkan rekod bagi JPB2, apabila menjadi filem pertama yang ditayangkan bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di seluruh dunia.

 

Menurut Mejar (K) David Teo, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (Metrowealth), tayangan di Australia, New Zealand, dan Rusia memang satu perkembangan yang amat menarik. Ia satu rekod bagi dunia perfileman negara.  



Mejar (K) David Teo bersama-sama Teo Jackhu (kiri) pada 25 September lalu.

=========================================================================

Majlis yang berlangsung di ibu pejabat Metrowealth di Pusat Dagangan Petaling Jaya pada 25 September lalu itu diakhiri Fiesta Durian yang disediakan untuk para wakil media, dan tetamu.

 

Jelas David yang juga Penerbit JPB2, selepas kecemerlangan Jangan Pandang Belakang di enam negara di Asia Tenggara, kini beliau ingin mengulangi kejayaan dengan melebarkan sayap filem ini ke seluruh dunia, seterusnya mengembalikan fenomena filem seram Malaysia.

 

“Saya juga mahu berterima kasih kepada rakan media yang tidak putus-putus memberi sokongan di sepanjang pembikinan filem ini dari proses awal sehingga kini,” katanya sambil berharap agar sokongan pihak media berterusan, untuk membantu menarik lebih ramai penonton ke pawagam bermula pada 21 November 2024 nanti.

    

Mejar (K) David Teo dengan penuh mesra dan ramah-tamah melayani wakil pihak media dan tetamu yang hadir menikmati durian dari Karak.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Turut hadir, Teo Jackhu yang banyak membantu pembikinan JPB2 dari segi pemasaran dan pengedaran; Jane Lim, isteri kepada David, serta tetamu jemputan.

 

Kecuali Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Hafidzuddin Fazil dan Cat Farish yang dikekalkan dari JPB (arahan Ahmad Idham), JPB2 dibintangi Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Kel Narina, dan ramai lagi.

 

JPB2, arahan Pierre Andre - pelakon utama Jangan Pandang Belakang (2007) merupakan kesinambungan kisah saka keluarga Opah (Ruminah) yang mencari tuan baharu untuk didampingi. Namun demikian, ada seperkara lain yang menghalang, dan membawa kepada pelbagai kejadian menyeramkan.


Sebahagian daripada wakil pihak media yang hadir pada 25 September lalu.

***********************************************************************************

Dalam perkembangan lain, Metrowealth juga telah siap penggambaran dan menunggu tarikh tayangan bagi filem Dajal (Satu Malam Dipedajal), dan Citra Apartment yang bakal menemui penonton pada 2025.


RAJA YUSOFF ARIFFIN







 


                                         

EKO-PELANCONGAN

 

RAKERNAS IWAPI INDONESIA KETIGA, PERTAMA DI MALAYSIA


IKATAN Wanita Pengusaha Indonesia (IWAPI) menganjurkan Rapat Kerja Nasional (Rakernas) 2024 yang membawa tema besar, ‘Peran Strategis Perempuan Pengusaha dalam Pembangunan Berkelanjutan Menuju Indonesia Emas’ pada 23 hingga 25 September di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

 

Antara tujuan Rakernas IWAPI 2024 adalah memperteguh peranan wanita (perempuan) usahawan (pengusaha) dalam pembangunan kebangsaan dan global, seiring dengan visi Indonesia Emas 2045.

 

Ia disertai kira-kira 1,000 ahli IWAPI, termasuk pihak kerajaan, untuk menerokai peluang perniagaan, dan mempererat hubungan antara dua negara berjiran ini.

 

IWAPI yang ditubuhkan pada 1975, kini menjadi antara pertubuhan usahawan wanita terbesar di Indonesia, malah di Asia Tenggara. Dengan lebih 40,000 anggota berdaftar di seluruh Nusantara, dan perwakilan di Malaysia, ia mempunyai jaringan yang luas dan terus berbakti dalam pemerkasaan ekonomi wanita.

                                                                              

Isteri Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datin Indera Kiki Hermono menyampaikan ucapan beliau.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


Organisasi ini bertekad mendorong usahawan wanita agar aktif dalam kegiatan ekonomi, dan mengambil bahagian dalam mencapai tujuan pembangunan seterusnya.

 

Pada usia hampir 50 tahun yang cukup matang ini dengan semangat inovatif, inklusif dan kolaboratif, IWAPI tetap konsisten, terus wujud dan fokus dalam hal pemantapan ekonomi wanita, serta menjadi sebahagian daripada penggerak roda ekonomi Indonesia.

 

Sembilan puluh lapan peratus anggota IWAPI adalah UMKM, dan dua peratus berskala usaha besar. UMKM pula memiliki peranan strategik dalam menopang pertumbuhan ekonomi kebangsaan, malah menjadi tulang belakang ekonomi Indonesia ketika krisis kewangan dunia pada 1998, dan 2008. UMKM di Indonesia menyumbangkan kira-kira 61 peratus kepada PDB.


                                                 

Antara peserta Rakernas IWAPI 2024 yang teruja menyertai acara ini yang kali pertama berlangsung di Malaysia.

===================================================================

Penyerapan tenaga kerja terbesar, iaitu 96.99 peratus-97.22 peratus dengan jumlah pelaku UMKM mencapai 62 juta, atau kira-kira 98 peratus daripada pelaku usaha kebangsaan.

 

Indonesia dan Malaysia adalah negara serumpun yang telah menjalin hubungan berpuluh-puluh tahun. Selama ini posisi neraca perdagangan antara Malaysia-Indonesia mencapai USD27.9 juta (data 2022). Eksport Indonesia ke Malaysia berjumlah USD15.4 juta, dan import pula USD12.5 juta. Surplus Indonesia bernilai USD29.9 juta.

 

Usahawan wanita Indonesia dan Malaysia menghadapi banyak halangan dalam menjalankan perniagaan. Melihat kedudukan kedua negara yang terletak berhampiran, dan budaya hampir serupa, maka para usahawan wanita Indonesia-Malaysia perlu meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan yang lebih erat antara kedua negara agar memperkukuh ekonomi masing-masing.

 

Pembangunan seterusnya merupakan perkara utama yang menjadi acuan untuk mencapai matlamat Indonesia Emas 2045, iaitu Indonesia akan memiliki Bonus Demografi, dengan potensi besar dalam memanfaatkannya, untuk mewujudkan Visi Indonesia Emas 2045 semasa Era Revolusi 4.0.




Pameran dan bazar yang memberi peluang kepada peserta Rakernas IWAPI 2024 mendapatkan pelbagai produk, selain melihat penghasilannya menerusi bengkel-bengkel kecil.

***********************************************************************************

Untuk mencapai Indonesia Emas 2045 dengan bonus demografi, di mana 70 peratus penduduk adalah pada usia produktif  (15-64 tahun), dan 30 peratus dengan usia tidak produktif (di bawah 14 tahun, dan di atas 65 tahun), sehingga strategi yang tepat dan kolaborasi lintas sektor amat diharapkan.

 

Fakta tersebut merupakan halangan bagi dunia usahawan, sehingga kestabilan politik, kesepaduan sosial (harmoni), institusi yang berkesan (birokrasi, ketetapan undang-undang dan lain-lain yang berkesan), serta perancangan jangka panjang dari kerajaan.

 

Mengikut hasil kajian juga, produk domestik bruto (PDB) boleh meningkat apabila wanita diperkasakan. Kajian McKinsey Global juga menyebutkan, kalau Indonesia mampu meningkatkan penyertaan wanita sebanyak tiga peratus sahaja, PDB Indonesia boleh melonjak menjadi USD135 juta pada 2025.

 

Berdasarkan fakta tersebut, maka peranan strategik IWAPI pada usia 49 tahun harus terus kekal dalam hal pemantapan ekonomi wanita, dengan mengadaptasi teknologi, dan inovasi untuk menghasilkan produk yang berkualiti, dan berdaya saing.


Para pendukung Rakernas IWAPI 2024 bersama-sama isteri Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datin Indera Kiki Hermono.

###################################################################################


Ini semua untuk meningkatkan sumbangan IWAPI terhadap ekonomi Indonesia, dan peranan utamanya berjuang, dengan memanfaatkan kekayaan dan potensi Indonesia dengan tetap mengutamakan prinsip inovatif, inklusif dan kolaboratif.

 

Pada Rakernas IWAPI ketiga, tetapi pertama kali di Malaysia ini, program kerja yang bermanfaat untuk semua ahli IWAPI boleh dilakukan, serta merumuskan syor-syor dalaman dan syor-syor luaran yang akan sangat bermanfaat kepada kerajaan, seterusnya kepada usahawan, dan rakyat.

 

Peralihan pucuk pemerintahan dari Presiden Jokowi kepada Presiden baharu, Bapak Prabowo harus lebih baik dengan terus menjaga kemitraan strategik bersama-sama kerajaan, dan swasta.

 

Sehubungan ini, IWAPI bersedia membantu kerajaan dalam hal penyediaan makanan berkhasiat, turut berusaha membina rumah murah, serta program kerajaan lain di bawah pemerintahan Presiden baharu yang akan dilantik pada 20 Oktober 2024.

                                             

Isteri Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datin Indera Kiki Hermono mengetuai jemputan khas yang lain menyempurnakan perasmian pameran Rakernas IWAPI 2024, pada 23 September lalu.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

IWAPI tetap berpegang pada beberapa perkara penting lain, seperti Pembangunan Berkelanjutan untuk Masa Depan Indonesia, Mendorong Partisipasi Global, Arah Kebijakan dan Program (pemberdayaan ekonomi digital, inklusi kewangan, pengembangan usaha ramah lingkungan), kerjasama antarabangsa.

 

Rakernas IWAPI 2024 ini dihadiri tokoh-tokoh penting dari kerajaan, bidang usahawan, serta perwakilan antarabangsa yang memberikan pandangan tentang peranan strategik wanita dalam pembangunan ekonomi seterusnya.

 

Antara pengisian Rakernas IWAPI 3 termasuklah Mesyuarat Kebangsaan IWAPI yang dihadiri kira-kira 1,500 ahli dari 36 kawasan di Indonesia, dan Malaysia pada 24 September, serta sesi plenari.

 

Puan Ir Nita Yudi, MBA, Pengerusi IWAPI, dan Encik M Arsjad Rasjid PM, Pengerusi KADIN Indonesia menyampaikan ucaptama masing-masing.

 

Selain itu, perbincangan panel pakar menumpukan kepada usaha memperkukuh kerjasama bilateral Indonesia-Malaysia. Sesi jaringan pelbagai pula menyediakan peluang pemadanan perniagaan.

 

Turut diadakan majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara IWAPI dengan Usahanita Malaysia, Peniagawati Malaysia, Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), dan Persatuan Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia (IWEM).

 

Puan Ratna Dwikora dan Puan Lela mewakili IWAPI, sementara Puan Syahirah Hani Mohamad Ali (Presiden Usahanita), Dato’ Emmy Suraya Hussein (Presiden Peniagawati Malaysia), Datuk Normaziah Shiekh Mohamed (Presiden KWIM), dan Noraziah Borhan (Presiden IWEM).

 

Berlangsung juga MoU antara IWAPI dengan Avisena Hospital, KPJ Healthcare, Prince Court Hospital.

 

Selain itu, diadakan Bual Bicara dengan pihak kerajaan Indonesia atas judul Peran Strategis Perempuan Sebagai Penggerak Ekonomi, menampilkan Puan Rina Zoet sebagai moderator, memudahcarakan Puan Dr Idha Widhi dari Kementerian Pertanian, Arsanti (Kepala Badan PPSDM Pertanian), Puan Anna Nurbani (Direktur Pemberdayaan Usaha), dan Puan Kandi Rahayu (Sari Sihat (M) Sdn Bhd).

 

Rakernas IWAPI 3 turut diisi dengan majlis makan malam gala, dan pertunjukan fesyen yang menampilkan pereka-pereka dari Malaysia (Oki Evani dan Ridz), dan Indonesia (Jessica Moretosee, House of Pipie, House of Djuita, dan Batik Riana Kusuma).

 

Menurut Datin Nany Rusyamsi, Ketua Umum atau Presiden IWAPI di Malaysia, beliau teruja dengan Rakernas IWAPI 3.

 

“Kami sangat gembira menganjurkan acara ini di Kuala Lumpur kerana ia membuka peluang untuk memantapkan para usahawan wanita Indonesia, bukan sahaja di sini, tetapi di seluruh dunia. Kami berharap dapat mengilhamkan, dan membantu wanita mencapai matlamat memenuhi potensi mereka dalam dunia perniagaan,” katanya.

 

Pameran dan bazar turut diadakan yang memberi peluang kepada peserta Rakernas IWAPI 3 ini mendapatkan pelbagai produk, selain melihat penghasilannya menerusi bengkel-bengkel kecil.

 

Dengan penganjuran Rakernas ini, IWAPI mampu menambahkan sumbangan besar wanita dalam pembangunan Indonesia, sejalan dengan visi besar Indonesia Emas 2045.

 

Pada 23 September lalu, berlangsung majlis Pembukaan Pameran yang dikendalikan oleh Puan Renny Fonda.

 

Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua Umum DPP IWAPI; diikuti Isteri Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datin Indera Kiki Hermono.

                                               

YBhg Datin Nanny Melianna Rusyamsi, Ketua Umum atau Presiden IWAPI Malaysia.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Sementara itu, majlis perasmian Rakernas IWAPI 2024 pada 24 September dikendalikan oleh Puan Nana Krit dan Puan Evi.

 

Majlis dimulakan dengan pembacaan doa oleh Puan Prof Beta (Malaysia), diikuti nyanyian lagu Indonesia Raya Dirigen oleh Puan Paulina Maria Haruna dari Papua Barat; menyanyikan MARS IWAPI Dirigen (juga Paulina), pembacaan Kode Etik Ketua Komtap Organisasi, Puan Dra Ramlah Alyafie; tayangan video profil IWAPI Bid, dan pengumuman DPD IWAPI Teladan WKU I DPP, Puan Tatyana Sutara, SE, MSi.

 

Kemudian pengumuman Perempuan Pengusaha Berprestasi Tingkat Nasional WKU I DPP, Puan Tatyana Sutara, SE, MSi; penyerahan penghargaan Puan Ketua Umum DPP IWAPI, laporan Ketua Panitia OC, Puan Tatyana Sutara, SE, MSi; sambutan Ketua Umum DPP IWAPI, Puan Ir Nita Yudi, MBA; sambutan Ketua Umum KADIN Indonesia, Tuan M Arsjad Rasjid PM, dan sambutan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Dato’ Indera Hermono.

 

Untuk maklumat lebih lanjut, sila melawati laman sesawang rasmi IWAPI di [www.iwapi.org](http://www.iwapi.org ).

 

-         RAJA YUSOFF ARIFFIN