FILEM
Jangan Pandang Belakang 2 di Pawagam 14 Negara
MAJLIS Pengumuman Tayangan Global dan Fiesta Durian Filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu... disambut meriah dengan kehadiran para wakil media, bersama-sama dengan Gimik Pelancaran di Sebalik Tabir Pembikinan Filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu..., dan Pelancaran Tayangan Global, kerana filem ini, JPB2 bakal ditayangkan di 14 negara termasuk Malaysia, iaitu Vietnam, Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja, Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, Australia, New Zealand, Rusia, dan Turkiye.
Hal ini sekali gus mencatatkan rekod bagi JPB2, apabila menjadi filem pertama yang ditayangkan bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di seluruh dunia.
Menurut Mejar (K) David Teo, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (Metrowealth), tayangan di Australia, New Zealand, dan Rusia memang satu perkembangan yang amat menarik. Ia satu rekod bagi dunia perfileman negara.
Majlis yang berlangsung di ibu pejabat Metrowealth di Pusat Dagangan Petaling Jaya pada 25 September lalu itu diakhiri Fiesta Durian yang disediakan untuk para wakil media, dan tetamu.
Jelas David yang juga Penerbit JPB2, selepas kecemerlangan Jangan Pandang Belakang di enam negara di Asia Tenggara, kini beliau ingin mengulangi kejayaan dengan melebarkan sayap filem ini ke seluruh dunia, seterusnya mengembalikan fenomena filem seram Malaysia.
“Saya juga mahu berterima kasih kepada rakan media yang tidak putus-putus memberi sokongan di sepanjang pembikinan filem ini dari proses awal sehingga kini,” katanya sambil berharap agar sokongan pihak media berterusan, untuk membantu menarik lebih ramai penonton ke pawagam bermula pada 21 November 2024 nanti.
Turut hadir, Teo Jackhu yang banyak membantu pembikinan JPB2 dari segi pemasaran dan pengedaran; Jane Lim, isteri kepada David, serta tetamu jemputan.
Kecuali Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Hafidzuddin Fazil dan Cat Farish yang dikekalkan dari JPB (arahan Ahmad Idham), JPB2 dibintangi Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Kel Narina, dan ramai lagi.
JPB2, arahan Pierre Andre - pelakon utama Jangan Pandang Belakang (2007) merupakan kesinambungan kisah saka keluarga Opah (Ruminah) yang mencari tuan baharu untuk didampingi. Namun demikian, ada seperkara lain yang menghalang, dan membawa kepada pelbagai kejadian menyeramkan.
Dalam perkembangan lain, Metrowealth juga telah siap penggambaran dan menunggu tarikh tayangan bagi filem Dajal (Satu Malam Dipedajal), dan Citra Apartment yang bakal menemui penonton pada 2025.
- RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments:
Post a Comment