PUAN Aemizureen Kamarudin, Ketua
Pembangunan Perniagaan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), dan Encik Nazli
Saad, Ketua Pegawai Eksekutif MKLSB menghadiri majlis pelancaran ‘Inspirasi
Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman’ di Menara Kuala Lumpur (MKL) pada 15
Januari lalu.
Program
yang dibawakan oleh TV3, serta TV9 dan Tonton, dalam bentuk empat siri istimewa
itu bertujuan memberikan inspirasi, serta pengisian rohani kepada penonton.
Menerusi
program berkenaan, seruan azan di TV3 yang telah sekian lama menjadi panduan
harian umat Islam, diperkenalkan dalam versi baharu. Inisiatif ini merupakan
sebahagian daripada usaha Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) menerusi
pendekatan yang lebih segar dan inovatif, termasuk penggunaan teknologi
kecerdasan buatan atau AI.
Azan
baharu yang dibawakan dengan keindahan suara syahdu dan merdu oleh Sheikh Abdul
Karim Umar Al Makki ini telah bermula dengan kemunculan sulungnya, juga pada 15
Januari lalu.
Siri
ini menampilkan tokoh agama terkemuka bersama-sama tetamu jemputan yang berkongsi
hikmah, pandangan dan pengalaman mereka terhadap topik-topik yang ditampilkan.
Pelancaran
siri pertama program di MKL yang mengangkat tema ‘Azan’ sebagai fokus utama itu
turut diserikan kehadiran Encik Ruzmi Kamarudin, Ketua Jabatan Pengisian Islam,
MPTN, serta Ustaz Khairul Anuar Basri, yang tampil sebagai panelis jemputan.
‘Inspirasi
Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman’ yang dihoskan oleh Fedtri Yahya dan
Hj. Ahmad Noor Sulaiman membawakan perbincangan yang penuh ilmu dan mendalam.
Ahli panel jemputan yang berwibawa, iaitu Ustaz Adnin Roslan dan Ustaz Khairul
Anuar, turut mengupas topik yang menyentuh hati mengenai nilai, dan penghayatan
azan dalam kehidupan umat Islam.
Acara
ini turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Child From The East
yang menambahkan keceriaan, serta mencipta kenangan manis dalam setiap detik
perjalanan siri pertama ini.
Menurut
Encik Ruzmi, MPTN percaya bahawa azan merupakan lambang perpaduan dan
penghubung rohani bagi umat Islam di seluruh dunia. Pembaharuan ini bukan
sahaja memberi sentuhan segar dari segi visual dan audio, tetapi juga
mencerminkan penghormatannya terhadap tradisi suci yang tidak pernah pudar
nilainya.
“Azan baharu ini diharap menjadi pemangkin kepada pengalaman baharu yang lebih bermakna untuk penonton, sambil memperluas mesej keagamaan melalui platform digital dan televisyen sebagai medium skrin kedua,” tegas beliau.
Jangan
lepaskan peluang untuk menyaksikan ‘Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung
Iman’ yang seterusnya secara langsung di platform TikTok TV3. Untuk info
terkini dan kandungan menarik, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter,
YouTube, dan Instagram di @TV3Malaysia, serta TV9 di @TV9Malaysia dan TikTok
@TV9MalaysiaOfficial untuk lebih banyak lagi kandungan eksklusif dan menarik!
Sementara
itu, memang menarik MKL yang ikonik disinari warna hijau pada setiap malam
untuk menandakan masuknya waktu solat maghrib dan isyak di Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur.
Idea
pencahayaan tersebut timbul secara spontan seusai majlis yang bermakna itu. Terdorong
atau diilhamkan olehnya, MKLSB memperkenalkan pencahayaan hijau sebagai
peringatan masuknya waktu solat, sekali gus sebagai usaha untuk mendekati
komuniti setempat.
Katnya,
kerjasama dengan MPTN, termasuk TV3, TV9, dan Tonton, mencerminkan komitmen
bersama-sama dalam mempromosikan nilai-nilai positif, dan mengukuhkan
perpaduan.
“Pencahayaan
hijau ini adalah cara yang ringkas, tetapi bermakna untuk memberi inspirasi kepada
refleksi, dan menggalakkan kebersamaan dalam komuniti kita,” ujar beliau.
Inisiatif
ini, kata Nazli lagi, mengukuhkan dedikasi MKLSB dalam menyumbang kepada
masyarakat dengan menyokong program-program yang memupuk perpaduan budaya, dan
sosial.
Untuk
maklumat semua, antara program di sepanjang 2025 di MKL untuk terus melibatkan
diri dengan masyarakat, termasuklah penyaksian rasmi anak bulan Ramadan dan
Syawal, Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2025, meraikan tradisi rakyat
Malaysia; dan Sesi Iftar di Dari Dapur TEMU bersama anak-anak yatim dan golongan
kurang kemampuan semasa Ramadan.
Usaha-usaha
ini selaras dengan misi MKLSB menyatukan masyarakat, dan meraikan warisan
Malaysia.
-
disesuaikan untuk
siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments:
Post a Comment