NOSTALGIA

SASTERA BUDAYA

SATU daripada tiga buah filem cereka yang dipilih mewakili negara ke Festival Filem Asia Pasifik ke-42 di Seoul, Korea Selatan dari 6 hingga 9 Oktober tahun 1997 ialah Layar Lara.
Layar Lara yang ditayangkan pada awal tahun 1997, arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba. Dua buah filem lain ialah Merah (M Nasir) dan Lurah Dendam (Raja Ahmad Alaudin) yang kedua-duanya ditayangkan pada tahun 1996. Kesemua filem ini dipilih oleh Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM).
Saya berkesempatan menonton Layar Lara. Setelah menontonnya, saya tidak kecewa, sebaliknya kagum. Rasanya tidak salah atau rugi jika menontonnya lebih daripada sekali.
Selepas Selubung (1992) dan Ringgit Kasorrga (1995), Shuhaimi Baba menghasilkan Layar Lara. Dan ternyata Shuhaimi telah menghasilkan filem yang berani dan lantang. Semuanya memfokuskan citra wanita.
Selubung (lakonan M Nasir, Deanna Yusoff, dan Ida Nerina) menampilkan wanita yang memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat. Sementara Ringgit Kasorrga (lakonan Hans Isaac, Tiara Jacquelina, dan Deanna Yusoff) menggeledah penyelewengan dalam dunia peragawati.
Layar Lara pula menyentuh penglibatan wanita dalam dunia perfileman tanah air. Watak-watak yang difokuskan ialah seniwati Ina Manjalara (Ida Nerina) dan seniwati Zai (Azean Irdawati).
Permasalahan menarik melibatkan wanita termasuklah pelakon tiada disiplin dan komitmen, skandal pelakon dengan kru filem dan pelakon veteran yang dilupakan.
Diselitkan juga masalah berkaitan seperti pengarah panas baran dan produser kekurangan wang. Saya tidak pasti apakah semua itu masalah utama dunia perfileman negara. Apakah Layar Lara ingin “membuka pekung di dada” industri filem negara?
Antara masalah yang kerap dihebohkan dalam dunia perfileman negara termasuklah pelakon tiada disiplin dan komitmen, skrip lemah, cerita klise, dan pengarahan dangkal.
Berdasarkan filem Layar Lara ini, memanglah lara melihat senario perfileman tanah air jika ramai pelakon seperti Ina. Sesungguhnya sedih melihat semua permasalahan seperti yang dipaparkan dalam filem ini.
Ina adalah pelakon yang tidak berdisiplin dan hanyut dalam glamour. Dia sering ponteng penggambaran dengan mereka-reka alasan (malah hingga sanggup mengatakan ibunya sakit tenat). Dia hidup bebas, lebih-lebih lagi apabila mempunyai hubungan dengan penyanyi kelab malam tidak bermoral, Shak (Maman).
Namun, mungkin untuk memberi gambaran bahawa masalah ini boleh diatasi, Ina akhirnya insaf setelah dipecat oleh produser, Borhan (Dato’ Ismail Hutson) dan pengarah, Malik (Sidi Oraza).
Artis dikatakan menjadi perhatian dan ikutan peminat. Mereka disarankan juga supaya menunjukkan perilaku yang baik. Ina bukan pelakon atau artis yang baik. Kehidupannya penuh lagak dan angkuh, diburukkan lagi apabila dia membuat hubungan pula dengan anggota kru, Daud (Man Bai).
Bagaimanapun, watak Ina tidaklah pula hitam seratus peratus. Masih ada putihnya dan ini terbukti apabila dia menyanjung serta begitu menghormati pelakon veteran, terutama pelakon pujaannya, seniwati Zai yang ditemui tanpa diduganya di lokasi penggambaran.
Manusia yang insaf dan mengakui kesalahan sukar ditemui. Ina insaf dan itu wajar diteladani (diharapkan keinsafan Ina itu juga jujur).
Sebagai pengarah, Shuhaimi nampaknya sedar dengan hakikat manusia biasa dan watak berwarna-warni serta filem tidak bebas sewenang-wenangnya. Jadi, wajarlah beliau tidak melebih-lebihkan gambaran kebaikan Ina setelah insaf. Cuma biasa dan sewajarnya.
Skandal kru dengan pelakon juga suatu masalah yang wajar dipandang serius. Ia bukan budaya sihat, sebaliknya hanya mengganggu kelancaran pembikinan sesebuah filem. Layar Lara memaparkan fenomena ini dan kesannya. Namun demikian, wujudkah sebenarnya hal sedemikian?
Wajarkah pelakon veteran dilupakan atau perlu sangatkah mereka diberi peluang berlakon lagi? Bagi saya, mengingati pelakon veteran tidak semestinya dengan hanya memberi peluang berlakon kendatipun sekadar watak tempelan. Pelakon veteran juga tidak perlu berkecil hati andainya dilupakan.
Saya berpendapat, yang lebih penting ialah kehadiran mereka sebagai pemerhati, penasihat, dan perunding. Kemampuan fizikal sudah terbatas, tetapi pengalaman mereka masih berguna. Jika benar wajar dan menguatkan lagi filem, baharu elok diundang.
Dalam Layar Lara, para pelakon veteran termasuk seniwati Zai dan Salmah Ibrahim di samping Aziz Satar, Mahmood June, dan Aziz Jaafar digambarkan seperti “gian” berlakon. Saya fikir, wajarlah Malik tidak menerima kemunculan mereka sewenang-wenangnya jika sekadar merosakkan filem. Penerimaan Malik pada akhirnya mungkin kerana penghargaan.
Suntingan filem yang tidak sempurna menaikkan kemarahan Malik ketika menonton rushing filem arahannya, Tanah. Penyuntingan filem juga adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh penyunting mahupun pengarah.
Pengarah yang baik (teliti, peka, dan sedar tugasnya) pasti tidak mengabaikan masalah ini. Cuma, agak aneh jika Malik dianggap sebagai pengarah panas baran!
Pada pandangan saya, Malik bukan panas baran. Panas baran selalunya membawa akibat buruk. Tetapi, Layar Lara banyak menggambarkan sikap Malik itu membawa kebaikan. Sebenarnya, Malik adalah pengarah yang tegas dan tidak berkompromi dengan ketidakwajaran.
Pertama, saya berikan beberapa contoh klasik Malik bergaduh dengan Daud. Namun, itu semua gara-gara Daud memandai-mandai membawa para pelakon veteran termasuk seniwati Zai untuk berlakon filem arahan Malik. Malik turut menempelak Daud kerana mengabaikan tugas dan ponteng akibat hubungan dengan Ina. Daud akhirnya insaf dirinya hanya diperalatkan oleh pelakon itu.
Kedua, dia memecat Ina dari filemnya, Tanah, kerana tidak dapat bersabar lagi dengan kerenah pelakon itu. Tindakan tersebut berjaya menginsafkan Ina. Malik sanggup menerima kembali Ina kemungkinan besar disebabkan bakat besar pelakon itu tidak wajar dipersia-siakan.
Ketiga, Malik melempar kerusi warung. Itu diperlakukan olehnya untuk mengusir Shak yang memaksa Ina pulang bersamanya hingga bertengkar. Dia naik marah setelah nasihatnya tidak dipedulikan.
Jadi, sikap Malik yang dikatakan panas baran itu kena pada tempatnya. Malik sebenarnya seorang pengarah filem yang berkarisma. Berkarisma sepertinya turut diperlukan oleh dunia perfileman negara. Ketegasan seperti yang dimiliki Malik harus ada pada diri karyawan mana pun.
Cuma yang ingin saya pertikaikan ialah berkuasanya Malik untuk menerima kembali Ina, sedangkan dia pernah memberitahu Daud bahawa filem itu bukan atas perbelanjaannya! Begitu juga penerimaannya terhadap pelakon veteran.
Satu perkara, mungkin tidak disedari, tetapi perlu juga diambil perhatian berat, iaitu adegan Daud meratapi kematian seniwati Zai. Sebagai orang Islam, kita dilarang meratapi kematian. Mujurlah adegan itu singkat.
Secara keseluruhannya, Layar Lara diperkuatkan oleh lakonan, suntingan, sinematografi, dan muzik latar. Filem ini bakal menjadi filem klasik dan wajar diteladani pengarah filem negara yang lain.
Dengan memaparkan beberapa unsur dan falsafah kemanusiaan, Layar Lara bukanlah filem murahan, apatah lagi sesuai untuk dikategorikan sebagai filem 18PL, 18SX, mahupun 18PA (walaupun dalam beberapa adegan, ada unsur-unsur berkaitan). Sebaliknya, Layar Lara adalah filem cerdik. PFM memilihnya mewakili negara.

No comments:

Powered by Blogger.