SASTERA BUDAYA

MUSUH DIJADIKAN SEKUTU BUNUH KEJAHATAN

















Tidak pasti sudah berapa banyak versi kisah Raja Arthur dan pedangnya, Excalibur menerusi filem dan siri televisyen. Apa yang pasti ialah para peminat filem telah menonton filem terakhir mengenai raja England terkenal itu setakat ini, ‘King Arthur: Legend of the Sword’. Filem yang diterbitkan pada 2017 itu arahan Guy Ritchie, dan dibintangi oleh Charlie Hunnam (sebagai King Arthur), Astrid Berges-Frisbey, Djimon Hounsou, Aidan Gillen, Jude Law, dan Eric Bana.
Namun demikian, filem yang turut menampilkan selebriti bola sepak, David Beckham yang juga sahabat Ritchie itu hanya mengutip $148.7 juta (daripada kos $175 juta). ‘King Arthur: Legend of the Sword’ merupakan filem pertama daripada enam sekuel (francais).
Filem terbaharu mengenai Raja Arthur dan Excalibur yang ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 17 Januari lalu ialah ‘The Kid Who Would Be King’. Diarahkan oleh Joe Cornish yang turut menulis lakon layarnya, filem ini bercorak fantasi dalam bentuk separa komedi yang sesuai untuk kanak-kanak. Memang ia mensasarkan kanak-kanak sebagai penonton utama.
Walau bagaimanapun, oleh kerana separa komedi meskipun fantasi/dongeng, ‘The Kid Who Would Be King’ juga sesuai untuk dewasa. Mesej filem edaran 20th Century Fox ini tetap bermanfaat untuk penonton pelbagai peringkat umur sambil menikmati visual hasil imej janaan komputer (CGI) yang baik, dan pemandangan alam semula jadi yang indah – amat bagus masih ada filem era CGI yang turut memaparkan keindahan asli bumi.
Kesan visual menarik The Kid Who Would Be King disediakan oleh DNEG, Rodeo FX, Peerless dan TPO VFX. Ia diselia oleh Joel Green, Antoine Moulineau, Laurent Gillet, Marc Hutchings, Jack Hughes dan Frazer Churchill.
Sebaik-baiknya, mesej sesebuah filem disampaikan secara tersirat – tidak perlu/wajar diucapkan oleh watak atau terpapar pada layar. Namun begitu, mesej filem ini (perlu/terpaksa) diberitahu menerusi kata-kata Merlin (lakonan Patrick Stewart ketika tua) pada penghujung cerita kerana penonton sasarannya ialah kanak-kanak. Kanak-kanak perlu diberi penjelasan secara terang/tersurat, kerana mereka tidak mengetahui perkara tersirat.
Merlin memberitahu Alexander Elliot (Louis Ashbourne Serkis), Bedders (Dean Chaumoo), Lance (Tom Taylor), dan Kaye (Rhianna Doris) ada sikap/sifat orang dewasa dalam diri kanak-kanak, dan ada kebodohan kanak-kanak dalam diri orang dewasa/tua.
Tambah Merlin (yang menggunakan nama Mertin semasa penyamaran di sekolah Alexander), perjuangan tidak pernah berhenti selagi masih hidup, dan menghadapi masalah. Kejayaan boleh dicapai dengan bantuan yang pelbagai bentuk seperti kebijaksanaan, tenaga yang kuat dan berterusan, dan peralatan yang hebat. Dalam konteks filem ‘The Kid Who Would Be King’, peralatan hebat yang dimaksudkan ialah pedang Excalibur.
Walau bagaimanapun, Merlin mengingatkan kejayaan juga boleh dicapai tanpa peralatan hebat. Bercakap benar, kejujuran, kesetiaan, kemuliaan, serta komited sangat penting, dan boleh membantu. Tidak cepat mengalah pada kejahatan/keburukan dan penindasan juga amat mustahak.
Musuh memang aral atau halangan. Namun demikian, kekal bermusuhan tidak membawa sebarang manfaat. Alexander @ Alex menjadikan musuh-musuhnya, iaitu Lance dan Kaye yang selalu membulinya di sekolah sebagai sekutu/kawan baik.
Alex ialah pelajar yang kurang menyerlah di sekolahnya. Namun begitu, segala-galanya berubah selepas dia terjumpa dan berjaya mencabut Excalibur dari simen konkrit di runtuhan sebuah bangunan.
Meskipun rakan baiknya, Bedders yang juga mangsa buli Lance-Kaye; ibunya, Puan Elliot (Denise Gough), dan dirinya sendiri sukar mempercayai, Alex mendapati dia telah ditakdirkan untuk membentuk pahlawan meja bulat yang baharu bagi menghadapi peperangan dengan penjahat abad pertengahan, ‘Morgana’ le Fay (Rebecca Ferguson).
Morgana, kakak tiri Raja Arthur berdendam, dan mahu memiliki Excalibur agar dapat menguasai dunia. Dia tahu Alex telah memiliki pedang tersebut. Dia mengarahkan tenteranya memburu Alex.
Merlin (lakonan Angus Imrie ketika remaja di sekolah), ahli sihir, tampil membantu Alex, dan Bedders bersama-sama Lance dan Kaye yang telah dianugerahkan sebagai pahlawan oleh Alex selepas berjaya mencabut Excalibur dari batu – bukti dia ialah raja yang akan menyelamatkan Britain daripada perhambaan.
Meskipun memang kisah dongeng, watak alam nyata memasuki alam tidak nyata dan sebaliknya, persembahan The Kid Who Would Be King tetap menghiburkan kerana ia separa komedi. Lakonan Chaumoo sebagai Bedders sangat menarik. Kata-kata dan aksinya mencuit hati, apatah lagi dia menyamakan hubungannya dengan Alex seperti hubungan watak-watak utama dalam beberapa filem francais ‘pecah panggung’, termasuk Lord of the Rings.
Begitu juga dengan Taylor yang tampil meyakinkan. Aksi dan pertuturannya hebat. Gayanya ketika melakukan ‘sumpahan’ sangat menarik.
Alex turut menarik perhatian dalam pernyataannya kepada Bedders ketika dia akhirnya mempercayai takdir bahawa dirinya sama seperti watak-watak wira dalam filem-filem terkemuka yang tidak mengenali ayah kandung. Alex tidak mengenali ayahnya dan cuba mencari dengan dorongan Bedders, dan Puan Elliot. Sebagai anak aktor hebat Andy Serkis, Louis juga sesuai, dan tidak mengecewakan sebagai Alex.
Walaupun kecewa apabila tidak dapat menemui ayahnya, dan dibohongi ibunya, Alex kemudian kembali menjadi waras kerana Puan Elliot hanya mahu Alex tahu ayahnya baik.
Sebagai filem yang mensasarkan kanak-kanak sebagai penonton utama, kepintaran yang membawa kebaikan turut dipaparkan dalam ‘The Kid Who Would Be King’. Setakat ini, helah kanak-kanak menundukkan musuh yang sentiasa diingati ialah Kevin McCallister yang berusia lapan tahun (Macaulay Culkin) dalam ‘Home Alone’ (1990), dan ‘Home Alone 2: Lost in New York’ (1992), serta Alex Pruitt juga lapan tahun (Alex D Linz) dalam ‘Home Alone 3’ (1997).
Walaupun McCallister sekali lagi (Mike Weinberg) dalam ‘Home Alone: Taking Back the House’ (2002), dan Finn Baxter (Christian Martyn) dalam ‘Home Alone: The Holiday Heist’ (2012), tiga filem pertama itu sangat diingati dan diminati.
Tindakan Alex, Bedders, Lance dan Kaye membuat helah dengan bantuan para pelajar lain, dan para guru menghadapi serangan Morgana di sekolah mereka saya yakin diinspirasikan daripada helah watak McCallister. Cuma, ia secara sederhana dan tidak keterlaluan.
Morgana yang tewas dalam pertempuran pertama dengan Alex hanya cedera, dan kembali membalas dendam di alam nyata pula bersama-sama kekuatan yang lebih, termasuk saiz tubuhnya ketika menjadi makhluk ganas.      




No comments:

Powered by Blogger.