SASTERA
BUDAYA
GEGARAN DUA LEGENDA SENI SUARA
NEGARA
Tidak
pasti sama ada yang datang menonton meminati Datuk Jamal Abdillah atau
Datuk
M Nasir, ataupun kedua-duanya. Walau bagaimanapun, yang pasti ialah semua
penonton
Konsert ‘Duo Lagenda: Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir’ di Panggung
Sari, Istana Budaya pada 20 hingga 23 Disember 2018 lalu sangat terhibur, dan
gembira ria dengan persembahan kedua-duanya.
Saya
(mungkin para penonton lain juga) terasa seperti menonton konsert solo kedua-duanya
apabila salah seorang daripada mereka tampil menyanyi – peminat seperti
melupakan persembahan Datuk Nasir apabila Datuk Jamal beraksi, dan begitulah
sebaliknya. Namun demikian, saya dan penonton bersatu menerima, serta lebih terhibur
apabila Nasir dan Jamal berduet dalam segmen terakhir mendendangkan lagu ‘Kiambang’,
‘Malam’, ‘Kepadamu Kekasih’, ‘Mantera Semerah Padi’, dan ‘Ghazal untuk Rabiah’.
Mungkin
ada yang kurang berpuas hati mengapa Nasir (turut) menyanyikan ‘Kiambang’, ‘Malam’,
dan ‘Kepadamu Kekasih’ kerana itu lagu-lagu kumpulan Kembara, bukan daripada
album solo beliau. Barangkali ada juga yang memprotes/bertanya mengapa hanya
Jamal menyanyikan lagu popular Nasir, sedangkan ‘sifu’ itu tidak mendendangkan lagu
popular Jamal. Seperti tidak adil.
Bukan
setakat tiga lagu itu. Nasir turut menyanyikan ‘Keroncong untuk Ana’ (dieja ‘Keronchong
untuk Ana’ pada layar di bahagian belakang pentas), ‘Hati Emas’, ‘Gerhana’, dan
‘Perjuangan’.
Tidak
wajar menjadi isu besar. Para peminat sedia maklum bahawa Nasir dan Kembara itu
sinonim, dan tidak boleh dipisahkan (meskipun kumpulan dari Singapura itu telah
bubar). Pada hakikatnya, Nasir masih lagi/sentiasa ‘kembara’ dalam perjuangan
muziknya. Tambahan pula, ‘Hati Emas’, dan ‘Kepadamu Kekasih’ (selain ‘Ekspres Rakyat’)
telah memperkenalkan, serta mengangkat Nasir dalam dunia muzik (seni suara)
tanah air (selain Singapura) sehingga menjadi legenda hidup sekarang.
Hanya
Jamal menyanyikan lagu Nasir juga bukan masalah utama. Jamal sendiri mengakui
semasa konsert, beliau ialah anak murid dan Nasir pula gurunya. Jadi, tidak hairan
Jamal lebih teruja mendendangkan lagu-lagu gurunya. Walau bagaimanapun, ‘Ghazal
untuk Rabiah’ merupakan lagu kemuncak dan adil bagi kedua legenda hidup itu
(walaupun tidak mustahil akan ada lagi lagu duet mereka selepas ini).
Lagu
terakhir persembahan Konsert ‘Duo Legenda’ (tetapi, dieja ‘Lagenda’ pada tirai
konsert berkenaan) itu amat bermakna kerana menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL)
ke-12 (1997). Nasir juga tidak memperkecilkan Jamal. Semasa konsert, Nasir
memberitahu ilham penciptaan lagu tersebut dimulakan oleh Jamal, dan beliau
hanya menyambung, serta mencantikkannya, dengan lirik karya Cenderwasih.
Sebagai
memenuhi makna konsert solo, Nasir tidak lupa mendendangkan lagu-lagu daripada
album solonya, iaitu ‘Hijab Kekasih’ (album Phoenix
Bangkit/2001, walaupun diakuinya sukar untuk dinyanyikan di pentas),
‘Mustika’ (Solo/1989, sangat popular
dan finalis AJL5/1990),
dan
‘Apokalips’ (Saudagar Mimpi/1992, lagu
wajib konsertnya).
Memang
ada yang kurang berpuas hati Nasir tidak mendendangkan ‘Suatu Masa’ (Dia Ibuku/1980), ‘Tanya Sama Itu Hud Hud’ (Canggung Mendonan/1993, juara AJL9/1994), ‘Bonda’ (Canggung Mendonan/finalis AJL9), ‘Andalusia’
(Srikandi Cintaku/1999/juara
AJL14/1999), ‘Ada’ (Canggung Mendonan),
serta ‘Raikan Cinta’, ‘Phoenix Bangkit dari Abu’, dan ‘Sahabat Gua’ (Phoenix Bangkit/2001), ‘Juwita (Citra
Terindah)’, dan ‘Sang Pencinta’ (Sang
Pencinta/2006). ‘Raikan Cinta’ juga finalis AJL16.
Ada
benarnya. Namun begitu, mustahil semua lagu boleh dimuatkan dalam konsert
berkenaan. Tiga hari tiga malam pun tidak akan habis!
Diharap
Jamal hanya bergurau apabila mengatakan tidak tahu untuk mendendangkan lagu apa
lagi kerana semua telah dinyanyikan dalam lima konsertnya di IB sebelum ini.
Justeru, tidak hairan apabila beliau menyanyikan beberapa buah lagunya yang
kurang popular seperti ‘Cinta dan Tangis’, ‘Bicara Cinta’, ‘Kerlingan’,
‘Senandung Kasih’, dan ‘Cenderawasih’. ‘Cinta danTangis’ merupakan lagu popular
penyanyi Indonesia, mendiang Eddy Silitonga, sementara ‘Cenderawasih’ pernah
dipopularkan oleh A Halim.
Jamal
turut mendendangkan lagu kumpulan Sweet Charity, iaitu ‘Terharu’, dan Othman Hamzah, ‘Gadis Melayu’. Menarik apabila beliau
turut mengundang anak lelakinya yang
berusia
17 tahun, Osama Yamani yang sungguh berbakat. Beliau dan Osama mendendangkan
lagu yang turut dipopularkan oleh penghibur rakyat, Allahyarham Datuk Sudirman
Hj Arshad, ‘Aku Penghiburmu’.
Meskipun
berbakat memetik gitar utama, mengapakah Osama menggemakan petikan gitar utama
lagu nyanyian Gary Moore, ‘Still Got the Blues’ untuk ‘Seniman Menangis’ dendangannya
bersama-sama Jamal? Adakah dia atau Jamal sengaja kerana meminati lagu itu,
ataupun mereka terlepas pandang?
Walaupun
suaranya agak tenggelam, pada bahagian-bahagian tertentu, Osama memang mewarisi
bakat ayahnya. Jamal mengakui beliau tidak menyedari Osama berbakat seni. Walau
bagaimanapun, beliau menghantar Osama menuntut di sebuah sekolah seni, dan
telah pun menamatkan pengajian.
Mungkin
ada yang bertanya mengapa penyanyi dalam YouTube
boleh menjadi undangan konsert legenda hidup. Penyanyi yang dimaksudkan ialah
Cassidy Anderson dari Australia. Namun demikian, ternyata Cassidy bukan
sembarangan. Dia yang telah dua tahun menetap di Malaysia atas cita-cita mahu
menjadi penyanyi negara ini membuktikan kebolehannya menyanyikan lagu popular
Jamal, ‘Derita Cinta’, serta duet ‘Sandarkan Pada Kenangan’ (dengan Jamal), dan
‘Dua Insan’ (dengan Nasir). Suaranya amat merdu dan bertenaga, serta tidak
kedengaran sumbang/pelat.
Secara
keseluruhan, semua penonton gembira dan amat terhibur dengan persembahan
Konsert
‘Duo Legenda’. Nasir dan Jamal membuktikan mereka masih penyanyi/penghibur
unggul tanah air selain Dato’ Sri Siti Nurhaliza, apatah lagi keduanya
sudah/sedang ‘berusia’. Jamal berumur 59 tahun, Nasir pula 61 tahun!
Sementara
itu, Jamal berbesar hati apabila Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sudi menggesek
biola mengiringi persembahannya dengan Nasir untuk lagu ciptaan/nyanyian
Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ‘Engkau Laksana Bulan’ pada malam
ketiga (22 Disember 2018). Tambah Jamal, persembahan bersama-sama Dr Siti
Hasmah itu bertujuan mengutip dana untuk membantu golongan kurang bernasib
baik.
Mengulas
gandingannya bersama-sama Nasir, Jamal memberitahu itu merupakan impian yang telah
lama disimpan. Bagi beliau, Nasir bukan sekadar legenda, tetapi memiliki bakat luar
biasa. Disebabkan pelbagai kekangan, baru kini mereka dapat digandingkan dalam
konsert berkenaan.
Menurut
Raja Pop tanah air itu, Tun Dr Mahathir Mohamad antara tokoh yang sering
memberi sokongan pada persembahannya walaupun bukan ketika beliau menjadi Perdana
Menteri.
Penyanyi
popular berkenaan berkata situasi itu dialami sebelum 2006, dan Dr Mahathir sudah
bersara daripada politik. Mahathir, tambah Jamal, memberi sokongan kepada beliau
dengan hadir menyaksikan persembahannya. Selepas meletakkan jawatan sebagai
Perdana Menteri, serta lebih bebas/tidak terikat dengan hal pentadbiran negara,
beliau masih gemar menonton konsert Jamal.
Menariknya,
Mahathir bukan sahaja meminati suara penyanyi lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’ tersebut,
malah menyatakan persetujuan menjadi penaung konsert tajaan sepenuhnya syarikat
Shapadu Corporations Sdn Bhd itu.
Walau
bagaimanapun, kata Jamal, beliau perlu mendepani dugaan bagi merealisasikan impiannya
sebelum mendapatkan persetujuan Perdana Menteri ketujuh Malaysia itu.
Jelas
Jamal, memang sukar mendapatkan penaung kerana khuatir akan menjadi isu. Namun
demikian, Mahathir bersetuju secara tidak langsung kerana isteri beliau, Siti
Hasmah turut tampil.
Tambah
Jamal, tiket konsert yang dijual juga bertujuan mendapatkan dana untuk diberikan
kepada golongan kurang berkemampuan. Acara kutipan dana secara spontan juga dijalankan
pada malam berkenaan.
Jelas
Jamal, tidak timbul isu beliau ingin mengambil kesempatan atas kehadiran atau
pembabitan Mahathir dan Siti Hasmah. Sebaliknya, beliau mensyukuri kesudian
Perdana Menteri, dan isterinya menyokong Konsert ‘Duo Legenda’.
Tegas
Jamal, beliau tidak menggunakan surat penaung untuk kepentingan, tetapi sekadar
berterima kasih, serta berbangga atas kehadiran Mahathir dan Siti Hasmah.
‘Bagai
bulan jatuh ke riba’ ialah perumpamaan paling sesuai buat Cassidy yang berkongsi
pentas dengan Nasir dan Jamal. Cassidy menyifatkan gandingannya bersama dua
penyanyi terkenal itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan.
Kata
Cassidy, dia pernah memberitahu ibunya impian untuk beraksi di pentas gah
tersebut ketika mereka di dalam grab melintasi IB. Cassidy tidak menyangka
mimpinya menjadi kenyataan.
Menurut
Cassidy, ibunya yang antara penyokong kuat sangat gembira dengan berita
tersebut.
Ibu Cassidy turut hadir menyokongnya beraksi di pentas Panggung Sari, IB.
No comments: