SASTERA BUDAYA


Sakiti Isteri Kerana Masalah Sendiri

Ramai merungut dan tidak menyukai jalan cerita dalam filem dan drama televisyen Melayu Malaysia yang selalu boleh/mudah diteka – kesudahannya dapat dijangka dan jangkaan itu tepat. Tidak dinafikan itu berkaitan dengan krisis/masalah skrip/lakon layar. Namun demikian, krisis/masalah skrip/lakon layar bukan itu sahaja.
‘Misteri Dilaila’ yang berdurasi 83 minit merupakan filem kelapan arahan Syafiq Yusof. Bercorak seram thriller psikologi (P13), ia diterbitkan oleh Skop Productions Sdn Bhd (SPSB), bersama-sama Astro Shaw. Penggambarannya siap selepas 36 hari bakal menemui penonton di seluruh negara mulai 21 Februari ini.
Jika anda gemarkan atau mencari hanya filem yang plotnya lari dari kebiasaan atau ‘plot twist’, ‘Misteri Dilaila’ patut menjadi pilihan. Bersesuaian dengan judulnya, banyak persoalan timbul dan boleh/perlu difikirkan. Dari segi itu, Syafiq berjaya mengajak penonton berfikir (terutamanya bagi penonton yang suka berfikir ketika menonton).
Jefri (Zul Ariffin) dan isterinya, Dilaila (Elizabeth Tan) bercuti di Bukit Fraser, Pahang. Mereka menginap di sebuah banglo kepunyaan Jefri (ayah mertuanya menghadiahkan banglo itu kepadanya).
Pada malam pertama di banglo itu, Jefri diganggu oleh kejadian aneh, yang mengejut dan menakutkannya. Pada keesokan harinya, Jefri kehairanan pula kerana mendapati Dilaila hilang. Dalam kebingungan mencari Dilaila, Jefri membuat laporan polis. Tidak lama selepas kunjungan Inspektor Azman (Rosyam Nor), Jefri didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Imam Aziz (Namron). Dia membawa berita gembira bahawa Dilaila sudah ditemui dalam keadaan selamat.
Walau bagaimanapun, Jefri terkejut kerana wanita yang dibawa oleh Imam Aziz itu bukan isterinya. Wanita tersebut (Laila, lakonan Sasqia Dahuri) mengakui dirinya Dilaila.
Jefri menghubungi Inspektor Azman agar datang ke banglonya dan menahan Laila. Namun demikian, pegawai polis itu sangsi dengan kehilangan Dilaila.
Saya dapat melihat beberapa kelainan dalam kisah ‘Misteri Dilaila’. Pertama, bercuti di tempat yang cantik, nyaman dan sepi memang sesuai untuk suami isteri (lebih-lebih lagi yang ada masalah dalam perhubungan akibat beberapa sebab seperti sibuk bekerja).
Walau bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser, wajah Dilaila tidak ceria meskipun turut membawa kucing kesayangannya. Dilaila seolah-olah masih sangsi dengan Jefri yang bertanya sejauh mana dia mencintai suaminya. Jawapan Dilaila dianggap sebagai klise pula oleh Jefri. Sebelum itu, kata-kata Jefri juga dianggap serupa oleh Dilaila.
Keadaan tetap suram setelah Jefri dan Dilaila memasuki banglo tersebut. Jefri keluar dengan dua kawannya tambah mengecewakan Dilaila. Kehampaan itu berasas kerana tujuan mereka ke Bukit Fraser ialah untuk berdua-duaan memadu kasih. Mengapa Jefri berkelakuan sedemikian?
Kedua, mengapa Laila beria-ia mengaku dia isteri Jefri, sedangkan Jefri tidak mahu menerimanya sedikit pun? Mengapa Imam Aziz kelihatan aneh – tidak sebagaimana imam tipikal? Laila pula dikatakan menumpang rumah imam itu. Mengapa di rumah imam, bukan wanita atau ustazah yang menghantar Laila pulang ke banglo?
Ketiga, selain klise dan pengulangan, adegan-adegan ‘jumpscare’ yang dialami Jefri selepas kehilangan Dilaila boleh menyebabkan sesetengah penonton, terutama yang cerewet (seperti saya) tertanya-tanya apakah motif ‘Misteri Dilaila’.
Walaupun ia, secara keseluruhannya baik sebagai percubaan lari dari kebiasaan tipikal filem Melayu tempatan, penonton boleh kebosanan – saya fikir itu boleh menjadi faktor ‘Misteri Dilaila’ tidak akan ‘pecah panggung’ – cuma diharapkan ramai penonton yang ‘jenis’ sabar mahu menontonnya sehingga selesai untuk menikmati keseronokan ‘plot twist’ Syafiq.
Keempat, kenapa Inspektor Azman kemudian mengesyaki Jefri ada niat buruk terhadap banglo dan Dilaila? Dia sebenarnya bukan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Bukit Fraser, tetapi Deputi Superintenden Polis (DSP) PDRM Bukit Aman. Kenapa dia datang ke Bukit Fraser menjejaki Jefri, dan bekerjasama dengan Inspektor Aziz yang menyamar sebagai imam, Inspektor Farah (yang mengakui/menyamar sebagai Dilaila), dan Detektif Wong (Kenji Sawahi - menyamar sebagai pegawai bank)?
Kelima, jika Dilaila masih hidup (muncul dalam adegan terakhir filem ini), siapakah yang di dalam kereta yang ditolak oleh Jefri ke gaung? Bagaimana Dilaila menyelamatkan diri, padahal pihak PDRM menemui mayatnya yang berlumuran darah – kesan pukulan menggunakan botol arak pada kepalanya keesokan hari?
Keenam, gaya dan tindak-tanduk Jefri begitu meyakinkan penonton bahawa dia memang malang – kehilangan isteri – sedikit-sebanyak dibantu oleh lakonan Zul yang berkesan. ‘Plot twist’ Syafiq berjaya mengelirukan penonton. Namun demikian, cara atau kecenderungan sedemikian bukan baharu baginya. Syafiq telah mencuba dalam ‘Abang Long Fadil 2’ (2017). Cuma, untuk ‘Misteri Dilaila’ yang turut membabitkan jenayah/kepolisan, dia melakukan dengan lebih bersungguh-sungguh/menjadi.
‘Plot twist’ memang bagus kerana ia membawa kelainan dan menyegarkan penontonan. Walau bagaimanapun, kelemahannya tetap ada kerana penulis lakon layar perlu menceritakan keadaan/motif sebenar (menerusi dialog/penceritaan watak dalam beberapa adegan secara pantas) agar penonton faham.
Rupa-rupanya Jefri ada agenda lain. Dia mahu menjual banglo tersebut untuk mengatasi masalah hutangnya berjudi yang banyak. Dua rakan yang ditemuinya itu ialah bakal pembeli banglo. Malangnya, mereka membatalkan hasrat untuk membeli.
Laila beria-ia mengaku dia isteri Jefri kerana mahu meneruskan siasatan. Dia yang sebenarnya Inspektor Farah menyamar. Jefri amat menyedari dia Farah menyamar, dan dia hairan Inspektor Azman serta adik iparnya, Farid (Mas Khan) percaya dengan pengakuan Farah. Namun demikian, cerita menjadi menarik kerana lakonan Sasqia juga berkesan.
Adegan-adegan ‘jumpscare’ yang kadang-kadang merimaskan itu hanya halusinasi Jefri akibat mengambil dadah. Selain berjudi, dia juga menagih dan mengedar dadah.
Disebabkan sentiasa memerlukan wang, Jefri membawa dadah di dalam paket sehingga ke Bukit Fraser. Dia menggelabah apabila kehilangan dadah itu yang rupa-rupanya telah ditemui oleh Inspektor Farah di dalam beg pakaian Jefri.
Jefri memang suspek yang telah lama diburu oleh PDRM. Justeru, DSP Azman yang telah membuat penyelidikan terus memburu Jefri. ‘Lakonan’ memerangkap Jefri oleh mereka yang diatur oleh Inspektor Farah begitu menjadi.
‘Misteri Dilaila’ ialah filem ke-41 terbitan SPSB. Ia juga terbitan bersama SPSB dan Astro Shaw selepas ‘Abang Long Fadil 2’ (2017). Menurut Syafiq, skrip filem ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan, dan beliau banyak mengkaji filem seram dari Eropah dan Korea untuk mendapat idea mengarahkannya.
Syafiq percaya bahawa tiada filem Malaysia menghasilkan putaran plot (‘plot twist’) sebegini. Kos pembikinan ‘Misteri Dilaila’ menelan RM2.2 juta dengan penggambaran bermula dari 26 Mac 2018 sehingga 2 Mei 2018 di Bukit Fraser, Pahang dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong.
Cabaran utama yang dihadapi oleh Syafiq dan tenaga kerja ‘Misteri Dilaila’ ialah cuaca dingin dan kerap hujan. Katanya, merupakan pengalaman kali pertama dia menjalankan penggambaran di kawasan berhawa dingin dan kerap hujan. Mujur banyak adegan pada waktu malam melibatkan di dalam banglo.
SPSB membelanjakan RM300,000 untuk mengubah suai hospital lama zaman penjajahan menjadi banglo. Syafiq menggunakan khidmat pereka dalaman untuk pengubahsuaian itu. Konsep gaya Inggeris dipilih bagi menambahkan suasana filem seram.
Zul Ariffin dan Elizabeth Tan dipilih memegang watak utama dalam filem ini. Menurut Syafiq, watak utama dalam filem ini memang dicipta khusus untuk Zul. Ia amat sesuai dibawakan oleh Zul sahaja. Sebelum ini, Zul banyak beraksi dalam kisah cinta dan aksi lasak.
‘Misteri Dilaila’ ialah filem kedua Zul bersama SPSB selepas ‘Evolusi KL Drift 2’ (2010), arahan Syamsul Yusof. Filem ini juga merupakan filem sulung lakonan bekas finalis ‘One in a Million’ musim pertama, Iz Sulaini. Pelakon lain yang terlibat termasuklah Kenji Sawahi, dan Nafiez Zaidi.





Walau bagaimanapun, tidak tahu rezeki dan nasib anda sebagai penonton kerana kesudahan filem ini ada dua versi. Terpulanglah versi kesudahan mana yang anda sukai. Terimalah kesudahan mana yang anda tonton.

No comments:

Powered by Blogger.