BERPESAN DALAM REKAAN













Usaha Opyglobal Pictures menghasilkan 'Kron' wajar dipuji, dan diucapkan tahniah kerana pembikinan filem Melayu tempatan bercorak fiksyen pengembaraan yang turut menerapkan unsur sejarah sangat kurang. 
'Kron' berlatarbelakangkan kisah kerajaan Kedah Tua yang menghantar bunga emassebagai ufti kepada Siam, kemudian plotnya dikembangkan menjadi filem fiksyen. Filem sebegini amat menarik jika plotnya dapat diolah dengan baik.
'Kron' membawa kisah seorang pengkaji sejarah di muzium di Kedah, Profesor Daud (Aman Graseka) yang menghidap kanser tahap empat, dan pembantunya, Sham (Zahiril Adzim) menghabiskan sisa hidupnya menjejaki laluan Raja Siam yang digunakan untuk mengangkut bunga emas pemberian Sultan Kedah, pada sekitar 1803 sehingga 1910.
Oleh kerana bimbangkan bahaya, pihak atasan telah menghalang Daud. Namun demikian, dia nekad untuk meneruskan misinya selepas seorang ahli perniagaan, Suri (Dayana Roza), bersetuju menanggung kos ekspedisi tersebut. Dia turut mendapat bantuan pengarah siri televisyen mengenai paranormal, Pian (Mamak Puteh), yang menawarkan diri untuk merakamkan aktiviti mereka secara percuma.
Motif utama Daud ialah mahu membongkar misteri kehilangan isterinya, Profesor Mariana (Juhara Ayob) dalam sebuah ekspidisi menjejak laluan tersebut.
Keadaan yang pada mulanya lancar menjadi buruk apabila perjalanan Daud, Sham, Suri, dan Pian terganggu, setelah pandangan mereka dikaburkan. Akibatnya, mereka tersalah masuk laluan. Mereka juga diburu oleh makhluk misteri, Kron.
Jelas Opie, penggambaran 'Kron' mengambil masa 28 hari di Baling, Kedah, dan Kuala Langat, Selangor pada 2016. Opie berpuas hati dengan lakonan dan komitmen para pelakon. Pemilihan mereka atas cadangan dan pendapat pemain industri perfileman tanah air.
Opie mengakui menghasilkan filem seperti 'Kron' memberi cabaran tersendiri buat dirinya. Sebagai contoh, set penggambaran yang ditenggelami air disebabkan musim banjir di Kedah.
Penyampaian filem ini menurut Opie berbeza dengan filem-filem lain, dan pasti ia juga satu cabaran kepadanya agar jalan cerita yang dipaparkan kelihatan menarik, dan mudah difahami penonton. Beliau berharap penonton dapat menerima 'Kron' kerana tidak ramai pengarah mahu membikin filem sepertinya.
Dayana pula memberitahu antara faktor dia menerima tawaran membintangi 'Kron' ialah naskhahnya yang sangat unik kerana berkaitan dengan sejarah di Kedah Tua, dan Siam. Dia juga tertarik dengan wataknya yang digambarkan sebagai seorang yang penuh dendam, marah, dan sedih dengan apa yang berlaku.
'Kron' menjanjikan kelainan kepada penonton. Selain terhibur dengan plotnya, penonton boleh belajar sedikit sebanyak sejarah seperti bunga emas yang diberikan oleh kerajaan Kedah Tua kepada Siam.
Dayana turut mengakui cabaran yang dihadapi ialah perlu menjalani penggambaran di kawasan gunung pada waktu malam. Pada mulanya dia memang agak takut dengan lokasi-lokasi penggambaran, tetapi lama-kelamaan dapat membiasakan diri.

No comments:

Powered by Blogger.