SASTERA BUDAYA
Perpaduan Membina Patriotisme
Tayangan
filem bergenre drama/sejarah/sukan di seluruh negara mulai 12 September 2019 lalu
ini sangat bersesuaian dengan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-62, dan
Hari Malaysia ke-56. Tambah menarik, persembahannya yang memikat boleh
menangkis tanggapan bahawa filem patriotik membosankan.
Oleh sebab perancangan untuk membikinnya dimulakan
pada tahun 2011, filem Suatu Ketika ini
tidak diinspirasikan daripada kejayaan Ola
Bola (2016) walaupun penggambaran bermula enam tahun kemudian. Tidak wajar pun
membandingkannya dengan filem arahan Chiu Keng Guan itu kerana pengarahan, lakon
layar, para pelakon, dan bajet penerbitan berbeza. Namun begitu, kedua-duanya
mengagumkan sebagai filem patriotik, serta dalam aspek sinematografi/visual, unsur
dramatik, dan lakonan.
Suatu Ketika, sebagaimana
Ola Bola, juga membuktikan filem patriotik
tidak semestinya/hanya menampilkan kisah peperangan fizikal pada zaman penjajahan
Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun. Latar masa filem ini pada tahun 1952,
iaitu ketika negara masih bergelar Tanah Melayu, serta di bawah pemerintahan
Inggeris (sebelum tahun kemerdekaan yang pertama), dan dalam Darurat
(1948-1960), tetapi ia tidak menampilkan peperangan/pertempuran fizikal/ketenteraan,
sebaliknya menerusi perlawanan bola sepak.
Tayangan Suatu
Ketika juga bertepatan dengan keadaan semasa negara yang agak panas oleh
api perkauman yang pihak-pihak berkepentingan politik nyalakan.
Memang mustahil memberi kesan positif segera, tetapi
setidak-tidaknya dapat menyuntik kesedaran, dan inpsirasi kepada penonton akan
kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, dan perlu
sentiasa dipupuk/diamalkan.
Filem atau karya audio visual seumpama dengannya lebih
membekas, dan itu memang amat diharapkan.
Patriotisme juga (boleh/harus) terbina dengan
semangat hormat-menghormati, tolong-menolong, bersatu-padu, dan
bergotong-royong. Semua ‘saling’ itu perlu/wajar berada dalam patriotisme.
Suatu Ketika
menampilkan 12 orang kanak-kanak atau lebih tepatnya, pelajar Sekolah Ujong
Pasir, iaitu Syukri (Daniel Akmal Fariz), Atan (Farez Iqmal), Husin (Daniel
Syahidan), Dol (Azlan Raihan), Guna (Kuhan Divagaran), Suresh (Dheva Naish),
Usop (Armand), Lee Meng (Lim Xuan), Bakri (Putera Syazwan), Tuah (Daniel Iman),
Panjang (Ahmas), dan Kudin (Adeq Jiey).
Walau bagaimanapun, tumpuan dan konflik/krisis ditumpukan
pada Syukri, Husin, Dol, Atan, dan Kudin. Mereka yang menggerak dan
menghidupkan cerita. Tidak berdasarkan sejarah negara, tetapi penulis skrip
yang juga pengarahnya, Prakash Murugiah, mengambil/menggabungkan kisah daripada
beberapa orang individu.
Masalah kesihatan yang dihadapinya tidak menghalang
impian Syukri yang cuba menubuhkan sebuah pasukan bola sepak dengan tukang
kebun, Pak Sa’ad (NamRon), dan guru sekolahnya, Cikgu Sulaiman (Pekin Ibrahim).
Itu selaras dengan tagline filem ini,
‘Langitkan Impianmu’.
Lantaran masalah jantung, Syukri dilarang (dengan serba-salah)
oleh ayahnya, Selamat (Dintamam) bermain bola sepak. Keadaan kesihatan Syukri itu
mengingatkan saya kepada pemain kebangsaan dari Perak, Mohd. Shahrel Fikri –
juga pemain posisi penyerang - yang tidak dapat bermain 90 minit penuh.
Namun demikian, Syukri tiada masalah ketika menjalani
latihan, dan beraksi dalam perlawanan demi perlawanan, kecuali semasa
perlawanan akhir Piala J. G. Davidson menentang sekolah Inggeris yang
berprestij, dan juga juara bertahan, Sekolah St. James. Syukri tidak sedarkan
diri selepas dijatuhkan oleh pemain sekolah itu, dan bola sengaja disepak mengenai
dada sebelah kirinya. Walau bagaimanapun, Syukri kembali pulih dan dapat
membantu sekolahnya menewaskan Sekolah St. James untuk muncul sebagai sekolah
Melayu pertama menjuarai Piala J. G. Davidson. Tidakkah itu patriotisme dan
berkaitan dengan motivasi? Meskipun klise, Syukri mendapat suntikan semangat dalam
‘khayalan’, seperti ketika koma - daripada Pak Sa’ad (yang telah meninggal
dunia akibat kemalangan jalan raya) ketika pengsan.
Husin dan Dol kerap bertelagah yang berpunca
daripada kedua-duanya sendiri. Husin yang asyik mengusik Dol, ada masalah
kewangan keluarga sehingga mahu meninggalkan pasukan bola sepak, dan cepat marah.
Dol pula asyik dengan minat fotografi ketika bermain. Pun begitu, hasil campur
tangan Cikgu Sulaiman, dan bantuan Dol yang sanggup melupakan sengketa (memberikan
wang tabungnya kepada Husin), Husin dan Dol berdamai.
Atan pula cepat marah, dan itu tidak disenangi oleh
Pak Sa’ad. Mujurlah Pak Sa’ad yang kelihatan seperti bukan tukang kebun
tipikal, tetapi bijaksana (rupa-rupanya dia bekas anggota tentera yang luas
pergaulan), memberikan nasihat. Pak Sa’ad meminta Atan pergi ke satu sudut di
padang bola sepak, dan menjerit sekuat hati melepaskan kemarahannya. Petua itu
diamalkan oleh Atan, termasuk ketika perlawanan akhir yang menarik perhatian
penonton, jurulatih serta para pemain Sekolah St. James, dan pengulas.
Kudin tempang kaki kirinya. Sudah tentu dia tidak
dipilih bermain. Itu menyedihkan hatinya yang juga diberikan kata-kata semangat
oleh Pak Sa’ad. Namun demikian, atas semangat perpaduan, Kudin diberikan tugas
menyediakan minuman untuk rakan-rakannya yang berjuang di padang. Apa salahnya?
Pembuat air juga lambang perpaduan, dan kehadirannya turut melengkapkan pasukan
bola sepak Sekolah Ujong Pasir.
No comments: