SOSIAL


KETIKA DAN SELEPAS PKP

 

TIADA siapa pun yang meminta dan menyukai perkara buruk. Walau bagaimanapun, sering disebut dan kerap terjadi setiap perkara buruk itu ada hikmahnya. Ada perkara yang kita sangka buruk itu sebenarnya baik untuk kita.

Di negara kita, satu peristiwa yang melanda dengan serius ialah wabak pandemik Covid-19 sejak awal Februari 2020. Untuk menyekat penularannya, Kerajaan Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai jam 12 tengah malam 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020.

Covid-19 dianggap buruk. PKP juga begitu. Namun demikian, dari sudut lain, PKP turut membawa beberapa kebaikan, dan memberikan pengajaran kepada rakyat Malaysia. Antara pengajaran PKP yang juga berkaitan dengan falsafah kehidupan ialah menghargai kebebasan hidup harian.

PKP menuntut rakyat Malaysia sentiasa duduk di rumah. Perbuatan sedemikian dianggap satu keburukan kerana menyekat pergerakan ke mana-mana yang disukai. Penyakit lain mungkin menghinggapi lantaran kurang kegiatan fizikal.

Sejak menjalani PKP, rakyat Malaysia mula belajar, memahami dan menghargai erti kebebasan hidup harian. Menghargai dalam konteks ini ialah menggunakan kebebasan yang ada untuk kebaikan diri sendiri, dan orang lain.

Selama ini mungkin kita sebagai manusia bukan sahaja di Malaysia kurang mementingkan soal kebebasan tersebut. Memang ia dinikmati setiap hari, tetapi seperti kosong, dan berlalu begitu sahaja.

Setelah pergerakan dikawal dan dibatasi melebihi sebulan hingga merimaskan dan membosankan, baru (mahu) mengerti dan menjunjung kebebasan. Kebebasan itu indah, dan lebih indah jika dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Kekal duduk di rumah (kekal selamat) merupakan satu daripada tiga prosedur operasi standard (SOP) PKP yang perlu dipatuhi. Dua lagi SOP ialah penjarakan sosial 1 meter, serta kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, atau hand sanitizer.

Sentiasa duduk di rumah turut membawa beberapa kebaikan. Rakyat, terutamanya yang berkeluarga dapat meluangkan lebih banyak masa dengan ahli keluarga. Pelbagai kegiatan berfaedah dapat dilakukan bersama-sama seperti mengemas rumah, bermain permainan dalaman, menonton televisyen, dan memasak (termasuk mencuba resipi baharu) yang mengeratkan hubungan kasih sayang.

Justeru, ahli keluarga, terutamanya ayah dan ibu yang sentiasa sibuk dengan kerja menyedari kepentingan mereka bersama-sama anak di rumah mengisi masa bermutu untuk manfaat berpanjangan.

Rakyat yang beragama Islam boleh solat berjemaah bersama-sama keluarga di rumah – suami/ayah menjadi imam kepada isteri dan anak-anak. Jadi, lihat larangan menunaikan solat berjemaah, termasuk solat Jumaat (sebelum dan semasa PKP), dan sunat tarawih di masjid/surau dari sudut positif.

Jika selama ini hanya sebagai makmum di masjid/surau, dengan menjadi imam di rumah, si suami/ayah barangkali akan berusaha menghafal lebih banyak surah, dan menambah baik mutu solatnya.

Secara tersirat, solatlah secara berjemaah di masjid atau surau ketika tiada sebarang halangan daripada sesiapa. Tidak perlu sebal atau sesal ketika terhalang, sedangkan semasa lapang, diri sendiri sentiasa alpa.

PKP merupakan akronim yang tidak pernah terfikir sebelum ini, apatah lagi sangat terkenal. Ia sering disebut setiap hari dalam kehidupan rakyat Malaysia sejak diperkenal, dan dilaksanakan.

Lanjutan daripada pengisytiharan PKP, langkah-langkah susulan turut diambil bagi menyelaras, dan memperincikan pelaksanaannya. Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan pada 17 Mac 2020 untuk memperincikan pelaksanaan PKP agar ia dapat berjalan kemas.

Untuk memastikan keperluan orang ramai pada perkhidmatan-perkhidmatan asas tidak terjejas di sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa, beberapa perkhidmatan tertentu yang essential, dan non-essential dibenarkan beroperasi.

Sebaik PKP berkuat kuasa, rakyat Malaysia diminta mematuhi semua peraturan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa.

Bagi melaksanakan PKP, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah diwartakan pada 18 Mac 2020. Pegawai Polis Diraja Malaysia, dan RELA yang dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Agar PKP lebih berkesan, orang ramai dinasihatkan supaya kekal berada di rumah, dan hanya keluar untuk memenuhi keperluan-keperluan asas.

Pada mulanya kerajaan hanya melaksanakan PKP fasa pertama selama dua minggu. Disebabkan wabak maut ini belum dapat dibendung, PKP disambung dari 1 April hingga 14 April 2020. Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan demi kebaikan semua, kerajaan melanjutkan PKP dari 15 April hingga 28 April 2020 pula.

Ekoran keadaan semasa yang belum selamat, PKP diteruskan ke fasa keempat, iaitu dari 29 April hingga 12 Mei 2020.

Orang ramai yang menghadapi sebarang kemusykhilan mengenai PKP diminta menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, MKN, JPM menerusi talian 03-8888 2010.

Sewaktu PKP fasa keempat memasuki hari ketiga, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei 2020 bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi, dan sosial yang diarah tutup, dibuka semula.

Atas nasihat KKM berdasarkan data-data yang dikumpul, dan amalan terbaik mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

Sewaktu esei ini disiapkan, pelaksanaan PKPB yang dijangka sehingga 12 Mei 2020, telah dilanjutkan hingga 9 Jun 2020. Tan Sri Muhyiddin mengumumkannya dalam perutusan khas pada 10 Mei 2020.

Dalam masa yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kawasan merah. Menurut Menteri Kanan Keselamatan merangkap Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan pelaksanaan PKPB atau disebut PKP kelima, peraturan PKP keempat terbatal.

Walau bagaimanapun, dalam pelaksanaan PKPB ini, aktiviti dan perhimpunan ramai yang mendedahkan risiko jangkitan Covid-19 masih dilarang. Menurut Muhyiddin sebelum itu dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja 2020, 1 Mei, pelaksanaan PKPB susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak, iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal Covid-19, dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

Sektor yang dibenarkan beroperasi tertakluk pada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mulai 4 Mei 2020.

Jelas Muhyiddin, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), MKN dan Jemaah Menteri telah berbincang panjang lebar dalam usaha mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara, dan kepentingan membendung Covid-19. Walaupun ‘diluah mati emak, ditelan mati bapak’, tetapi ‘menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak’ perlu dilakukan sebagai jalan terbaik.

Kerajaan, tegas Muhyiddin, menyedari kebimbangan rakyat terhadap peningkatan Covid-19 ekoran kelonggaran yang diberikan. PKPD juga dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia kerugian RM2.4 bilion setiap hari di sepanjang PKP. Sewaktu esei ini ditulis, kerugian melebihi RM63 bilion. Jika PKP berterusan, negara kerugian RM35 bilion, lantas mencecah hampir RM100 bilion.

Demi kejayaan PKPB, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), KKM menerusi telegram rasminya menyenaraikan sembilan SOP yang perlu dipatuhi semua pihak terbabit termasuk orang ramai, iaitu:

a)    amalan jarak sosial yang selamat, iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

b)    kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.

c)    penggunaan penutup hidung dan mulut.

d)    saringan kesihatan di pintu masuk premis.

e)    keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas, dan OKU.

f)     individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.

g)    bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial.

h)    menggalakkan transaksi secara atas talian.

i)     melaporkan segera kepada jabatan kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19.

Antara aktiviti yang dilarang dalam tatacara operasi standard pembukaan semula ekonomi termasuklah hiburan dan riadah (pawagam, pusat karaoke, taman tema, muzium, busking, pusat refleksologi, pusat hiburan, dan kelab malam); perayaan, perarakan dan perhimpunan (perarakan keagamaan, aktiviti agama berjemaah di masjid/rumah ibadat, sambutan hari ulang tahun pasukan keselamatan (perarakan), sambutan Hari Raya kecuali dengan ahli keluarga terdekat dalam negeri yang sama, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta, dan majlis perasmian), serta persidangan dan pameran (pameran kerjaya, pameran perkahwinan, promosi dan pakej pelancongan, karnival jualan, dan semua jenis persidangan yang melibatkan kumpulan yang ramai).

Selain itu, pendidikan (semua sekolah rendah/menengah, dan institusi pengajian tinggi awam/swasta ditutup sehingga dimaklumkan kelak, sukan semasa sesi persekolahan, aktiviti kokurikulum bersemuka, sebarang bentuk perhimpunan sekolah, dan apa-apa majlis/program yang mengumpulkan lebih 10 orang), sukan (pertandingan sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong/penonton yang ramai (stadium), acara berkumpulan di luar (luar bangunan) yang melebihi 10 orang seperti larian, kayuhan basikal, konvoi motosikal, dan sebagainya, segala aktiviti sukan dalaman (sukan dalam bangunan termasuk gimnasium), kolam renang, serta sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, dan bola keranjang), dan aktiviti sosial (kenduri-kendara, majlis berbuka puasa, majlis perkahwinan dan sambutan ulang tahun atau sebagainya, rumah terbuka, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan budaya, iaitu ceramah, gotong-royong, lawatan, dan seumpamanya).

Pengangkutan (kapal persiaran), perniagaan berpremis/penjajaan tanpa premis/pasar (berbangunan/pasar tanpa premis/peruncitan/serbaneka makanan & minuman, bilangan pelanggan yang terlalu ramai pada satu-satu masa (tertakluk pada pengiraan radius jarak minimum 1 meter), bazar Ramadan, bazar Hari Raya, dan karnival jualan), kemudahan penginapan berpusat pekerja (CLQ)/hostel/asrama pekerja di sektor pembuatan, dan lain-lain sektor (terima pelawat, bersosial dan bersukan secara berkumpulan, dan solat berjemaah/aktiviti-aktiviti ibadah lain), serta pemasangan dan penyenggaraan jentera (lif, eskalator, dandang dan lain-lain) bagi sektor perkhidmatan/tower crane di tapak bina (menjalankan kerja secara berkumpulan melebihi 10 orang) juga dilarang.

Seterusnya ialah kedai pakaian dan aksesori fesyen (aktiviti fitting pakaian), dobi (khusus dobi layan diri, aktiviti melipat pakaian), ceramah/seminar/kursus/latihan secara bersemuka, aktiviti pensijilan bagi agrikomoditi, kedai gunting rambut dan salun kecantikan, perbankan dan perkhidmatan kewangan (urus niaga mendapatkan jualan (sales and marketing activities) di luar premis institusi kewangan, atau kawasan awam, dilarang ketika ini sehingga diumumkan kelak), pengurusan perhutanan (ekopelancongan hutan, dan latihan  perhutanan).

Beberapa lagi termasuklah:

i)          perlombongan dan pengkuarian (permohonan baharu bagi peperiksaan teori & amali pembedil (peletupan).

ii)         perladangan dan pertanian (hari bertemu pelanggan, hari jualan barang bekalan ladang (BBL), pesta makan buah-buahan, kursus/seminar, konvokesyen institut pertanian, serta lelongan jualan produk ternakan seperti ayam, telur, daging, dan sebagainya).

iii)        perikanan (aktiviti perikanan rekreasi (termasuk kolam pancing ikan/udang komersial), pusat taman laut, pameran, dan akuarium).

iv)        seni kreatif (penggambaran filem/drama/dokumentari/komersial, acara/konsert/persembahan kebudayaan, dan program yang melibatkan orang awam di studio atau tempat awam).

v)         kebudayaan dan kesenian (pameran yang melibatkan interaksi antara pengkarya dan pelawat).

vi)        pelancongan dan perhotelan (penggunaan fasiliti hotel seperti surau, gimnasium, spa, sauna, lounge, kolam renang, bilik mesyuarat, dewan seminar, bilik latihan, restoran dan kafe (bagi tujuan buffet)).

Dari permulaan yang agak mudah bagi beberapa perkara, pelaksanaan PKP menjadi lebih rumit apabila peraturan bertambah. Ada yang memahami, tidak kurang juga yang ‘melanggar’. Ramai yang ingkar pada awal PKP, dan tidak aneh lebih ramai yang merosakkan setelah mendapat kelonggaran, tetapi gagal mengingati, dan menghormatinya.

Di samping kebaikannya yang membataskan kegiatan luar manusia yang turut mengurangkan pencemaran alam (kerap dipaparkan dalam media betapa keadaan alam kian memulih, sungai dan pantai kembali bersih), kemalangan jalan raya (berita mengenai kemalangan jalan raya juga jarang kedengaran), kadar kejadian jenayah (pecah rumah, dan kecurian), dan kegiatan merempit (motosikal dan kereta) kerana ramai orang tidak keluar, PKP tetap memberi beberapa pengajaran lain.

Sejak dari PKP pertama kerap mencuci tangan dan menjaga jarak memang bermanfaat. Justeru, amat wajar ia diteruskan dalam SOP untuk PKPB/PKP kelima. Jika sebelum Covid-19 kita mengabaikan perkara tersebut, kini kerap mencuci tangan sudah membudaya. Kita berasa janggal dan tidak selesa kalau terlupa melakukannya.

Menjaga penjarakan boleh diaplikasi untuk keadaan lain, apatah lagi dengan orang yang tidak kita kenali. Ia boleh mengelakkan kejadian jenayah, dan penyakit berjangkit – bukan Covid-19 sahaja. Sentiasa berwaspada memang amalan yang baik.

Cara bertindak balas yang tepat ketika batuk atau bersin di khalayak ramai dapat mendidik kita agar bersopan-santun, dan beradab ketika sedemikian di hadapan orang lain. Kebiasaan yang baik ialah menutup mulut dengan tangan atau belakang siku.

Namun begitu, ketika ada wabak serius kita digalakkan memakai penutup hidung dan mulut, atau topeng muka. Memang mereka yang bergejala atau tidak sihat sahaja dinasihatkan memakainya. Walau bagaimanapun, saya fikir berjaga-jaga, dan melindungi diri dengan bertopeng, apatah lagi ketika wabak serius memang wajar.

PKP yang berlarutan lama turut menjejaskan pendapatan beberapa golongan, terutamanya yang bekerja sendiri atau berniaga. Ada yang terus kehilangan mata pencarian.

Namun demikian, kesempitan tersebut turut memberi idea untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian. Itu juga secara tidak langsung merealisasikan saranan Perdana Menteri bahawa rakyat Malaysia perlu (bersedia) menghadapi kehidupan dalam norma baharu.

Lantaran terlalu banyak masa di rumah, membaca juga semakin menjadi amalan. Begitulah Allah SWT menjadikan sesuatu musibah dengan hikmah.

Selain ada lebih masa untuk membaca al-Quran bagi umat Islam, kajian mendapati 80.4 peratus pembaca wanita, dan 19.6 peratus pembaca lelaki membaca buku dalam talian, di sepanjang penguatkuasaan PKP.

Kajian dari tahap usia pula mendapati kebanyakan pembaca berusia 35 hingga 44 tahun membaca e-buku, diikuti usia 18 hingga 24 tahun. Walau bagaimanapun, golongan usia 25 hingga 34 tahun berada di tangga ketiga dalam tempoh PKP.

Sejak bermulanya PKP, laporan statistik memberitahu dari 18 hingga 28 Mac, purata penggunaan e-buku ialah sekitar 2,000 jam sehari. Aliran kepada peralihan pembacaan e-buku ini ketara sebaik sahaja PKP bermula kerana ramai orang ada masa terluang, sekali gus menjadikan peratusan penggunaan e-buku kian meningkat.

Tempoh PKP menjadi fenomena apabila orang beralih kepada bahan bacaan e-buku. Segmen romantik dan novel am paling banyak dibaca berbanding kategori lain. Bagi bahan bacaan tidak berkategori, biasanya ia dirujuk pada bahan bacaan percuma.

Kategori yang banyak dimuat turun dan dibaca pula ialah kekeluargaan dan kesihatan, jenayah, novel remaja, dan juga keagamaan seperti Islam.

Kategori kekeluargaan dan kesihatan tidak kelihatan dalam kategori permintaan sebelum bermulanya PKP/PKPB. Jadi, ini ialah aliran yang baharu.

Rata-rata permintaan untuk bahan bacaan e-buku ini ialah 70 peratus bahasa Melayu, dan selebihnya bahasa Inggeris, serta Mandarin.

Diharap momentum penggunaan e-buku akan terus bertambah biarpun setelah PKPB ditamatkan (setakat ini diketahui berlanjutan sehingga 31 Disember 2020). Pembaca diharap lebih senang menggunakannya kerana dapat meluangkan banyak masa di rumah, dan juga dalam talian.


No comments:

Powered by Blogger.