PELANCONGAN

 

PROMOSI ISTIMEWA UNTUK PENGUNJUNG MENARA KUALA LUMPUR, MENARA ALOR SETAR

 

MENARA Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar ditutup selama dua bulan sebagai mematuhi larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 13 Januari sehingga 4 Mac 2021 yang lalu.

Setelah PKP ditukar oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada PKP Bersyarat, Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar mendapat kebenaran kembali beroperasi.

Bersempena dengan pembukaan semula itu, Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar mengadakan promosi istimewa, khas untuk warganegara Malaysia, iaitu ‘Promosi Super Deal’ mulai 17 Mac sehingga 16 April 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar, objektif utama promosi tersebut adalah memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengunjungi Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar dengan harga yang amat berpatutan.

Selain itu, kata Ainol, daya usaha mengadakan promosi ini juga sedikit sebanyak dapat membantu merancakkan semula industri pelancongan domestik dengan menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara.

Jelas Ainol, ‘Promosi Super Deal’ menawarkan tiket PERCUMA kepada 100 pengunjung pertama setiap hari untuk ke Pelantar Pemandangan di Menara Kuala Lumpur.

Sementara di Menara Alor Setar, tiket PERCUMA diberikan kepada 25 pengunjung pertama setiap hari untuk ke Pelantar Pemandangannya.      

Bagi pengunjung ke-100 dan seterusnya ke Pelantar Pemandangan, Menara Kuala Lumpur menawarkan harga promosi, iaitu RM15 (harga biasa RM30), dan RM10 kanak-kanak (harga biasa RM20).

Bagi lawatan ke Pelantar Pemandangan Menara Alor Setar pula, harga promosinya ialah RM6 dewasa (harga biasa RM12), dan RM4 kanak-kanak (harga biasa RM8).

Menara Kuala Lumpur juga, tambah Ainol, turut menawarkan harga promosi untuk lawatan ke Sky Deck dengan hanya RM24 dewasa (harga biasa RM71), dan RM12 kanak-kanak (harga biasa RM37).

Harga promosi RM20 dewasa (harga biasa RM48) dan RM10 kanak-kanak (harga biasa RM28) pula ditawarkan bagi lawatan ke Star View Menara Alor Setar.

Justeru, semasa Taklimat Media ‘Promosi Super Deal’ di Megaview Banquet Hall. TH03 MKL pada 16 Mac 2021 lalu, Ainol menyeru rakyat Malaysia mengunjungi Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar bersama-sama keluarga tercinta, serta rakan-rakan.

Para pengunjung, kata Ainol, tidak perlu risau kerana pihak beliau amat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM bagi mencegah penularan COVID-19.

Tegas Ainol, sanitasi penuh juga telah dilakukan bagi memastikan kebersihan terjamin di seluruh kawasan premis, sementara pembersihan secara berkala turut dilakukan selama 45 minit setiap hari.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Menara Kuala Lumpur menerusi talian 03-20205499/layari www.menarakl.com.my/facebook @officialmenarakl/Instagram @menarakl atau Menara Alor Setar melalui talian 04-7202901/layari www.menaraalorsetar.com.my/facebook @menaraalorsetarofficial/Instagram @menaraalorsetarofficial.

 

Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter yang terletak di puncak Bukit Nanas, Kuala Lumpur (menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh di dunia) dibuka setiap hari termasuk cuti umum, dari jam 11 pagi sehingga 7 malam (Isnin-Jumaat), jam 10 pagi sehingga 10 malam (Sabtu dan Ahad, dan cuti umum).

Menara Alor Setar setinggi 165.5 meter ialah pusat pelancongan utama, dan mercu tanda bandar Alor Setar.

Restoran Berputar StarSky Menara Alor Setar di paras 94 meter merupakan restoran yang tertinggi di Kedah.      

No comments:

Powered by Blogger.