SASTERA BUDAYA
KOPRATASA HARGAI
LAGU RAYA PERTAMA, BERUSIA 85 TAHUN
MEMBAHARUKAN atau
memberi nafas baharu kepada sesebuah lagu lama bukan sesuatu yang baharu, dan bukan
juga mudah. Ada pelbagai sebab sesebuah lagu lama itu diperbaharu semula.
Kumpulan penyanyi lagu puisi unggul Malaysia selepas
Harmoni, iaitu Kopratasa turut menambahkan khazanah lagu Hari Raya tanah air
apabila merakamkan semula lagu ‘Selamat Hari Raya’, yang dipercayai merupakan
lagu Hari Raya Eidulfitri terawal di negara kita, berdasarkan sumber yang layak
dipercayai.
Kopratasa merasakan lagu lama mempunyai nilai
sejarah tersendiri.
Inilah juga yang terdapat pada lagu ‘Selamat Hari
Raya’, ciptaan Tengku Ali Basha @ Cik Ara Bangsawan. Lagu ini dipercayai adalah
lagu Raya pertama untuk umat Melayu di Nusantara, dan juga dunia amnya. Lagu
yang dicipta pada 1936 ini, telah membuka sejarah pada sambutan Hari Raya pada
zamannya. Kopratasa merasakan amat rugi jika lagu ini dibiarkan lenyap ditelan
zaman.
Berdasarkan pepatah ‘yang buruk (lama) diperbaharui,
yang usang dikajangi’, Kopratasa berasa merakamkan semula lagu tersebut
merupakan satu aktiviti melestarikan sebuah khazanah lama untuk tatapan semula
generasi terkini.
Kopratasa telah mencadangkan kepada pihak Luncai
Emas Sdn Bhd untuk merakamkan semula lagu ini. Persetujuan dicapai dan syarikat
telah memberi kepercayaan kepada Hanafi Spider sebagai penerbit, dan kerja
menyusun semula muzik lagu ini. Kopratasa pula menambah sedikit melodi baharu pada
bahagian korus lagu ini, dan menyanyikannya dengan ‘cara Kopratasa’ sendiri.
Walaupun rakaman semula lagu Raya tersebut terdapat
tambahan melodi, tetapi ia bukan bertujuan merosakkan lagu tersebut, sebaliknya
memeriahkan lagi melodi tersebut untuk menepati konsep bergembira pada Hari
Raya.
Inovasi melodi tersebut tidak mengganggu nilai asal
lagu berkenaan. Melodi asal tetap dipelihara, senikatanya juga tetap dipakai
seperti yang asal. Ia menjadikan lagu ini lebih catchy. Hasilnya menarik!
Kesemua rakaman dibuat di Studio Ronggeng, Luncai
Emas Sdn Bhd dengan pemuzik undangan Tony Iskandar (bass), Mohar (seruling),
dan Hanafi sendiri. Mastering dibuat oleh Hafiz Studio.
Kopratasa amat berharap lagu ini dapat diterima dan
memberi sesuatu yang unik bersempena dengan sambutan Eidulfitri 2021/1442 ini.
Setelah lama ketiga-tiga ahli Kopratas membawa
haluan masing masing, mereka kembali dengan projek istimewa ini di bawah payung
Luncai Emas Sdn Bhd untuk peminat, sahabat dan juga rakan-rakan mereka yang
sentiasa memberi dorongan untuk terus berkarya.
Single ini
juga telah menjalani penggambaran video muziknya pada awal Ramadan lalu, yang dibuat
di dalam studio, dan persekitaran pejabat Luncai Emas Sdn Bhd sendiri, memandangkan
kita masih lagi dalam fasa pemulihan PKP akibat COVID-19.
Video muzik ini diarahkan oleh pengarah muda yang
semakin meningkat naik, Juril Jumali yang banyak mengarahkan video muzik
beberapa penyanyi popular sebelum ini, dan telah berada di saluran Youtube Luncai Emas.
Antaranya ialah video muzik Mus May, ‘Mencari Kaseh’,
dan Datuk Nash, One Nation Emcee ft Dato’ Jeffrydin, ‘Debaran Rindu’.
Luncai Emas Sdn Bhd akan turut bertindak sebagai
pengedar single ini secara jualan
digital di platform streaming, Youtube dan iTunes mulai 9 Mei ini.
KeonOmar
Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd, Keon Omar
berharap lagu nafas baharu ‘Selamat Hari Raya’ oleh Kopratasa ini dapat
mengubat kerinduan para peminat Kopratasa, dan juga menarik perhatian generasi
baharu dalam kemeriahan kita menyambut kehadiran Syawal pada tahun ini dalam
suasana norma baharu hidup!
‘SELAMAT HARI
RAYA’
Nyanyian semula KOPRATASA
(USOP)
SELAMAT HARI RAYA
SAYALAH UCAPKAN KEPADA IBU BAPA
SAUDARA SEKALIAN
TAULAN KERABAT
HAI HANDAI DAN TAULAN
TUALAH DAN MUDA LAKI-LAKI PEREMPUAN
(SANI)
PERMULAAN SYAWAL
HAI HARI YANG MULIA
AIDILFITRI PENUTUP BULAN PUASA
PINTU TERBUKA UNTUK MENGABULKAN DOA
PALING UTAMA BAGI SESAMA MANUSIA
(KOPRATASA)
SELAMAT HARI RAYA
AMPUN MAAF ZAHIR DAN BATIN
SELAMAT HARI RAYA
MINAL AIDIL WAL FAIZIN
SELAMAT HARI RAYA
ZAHIR DAN BATIN
SELAMAT HARI RAYA
MINAL AIDIL WAL FAIZIN
(USOP)
UMPAT BUDI YANG SUDAH TERBANYAK
AMPUN DAN MAAF SEKARANG DIMINTA
SUPAYALAH AZAB KUBUR HAI JANGANLAH MENDESAK
SELAMATLAH KITA DI AKHIRATLAH YANG KELAK
(SISO)
WAHAI MUSLIMIN SEGALA ‘HAI WANI’ (2X)
MENDOALAH KITA KEPADA RABUL ILLAHI (2X)
DIPANJANGKAN UMUR DIMURAHKAN REZEKI
DIPANJANGKAN UMUR DIMURAH REZEKI
TAHUNLAH DI MUKA BOLEH BERJUMPALAH LAGI (2X)
(KOPRATASA)
SELAMAT HARI RAYA
AMPUN MAAF ZAHIR DAN BATIN
SELAMAT HARI RAYA
MINAL AIDIL WAL FAIZIN
SELAMAT HARI RAYA
ZAHIR DAN BATIN
SELAMAT HARI RAYA
MINAL AIDIL WAL FAIZIN
LAGU & LIRIK: COPYRIGHT CONTROLLED &
KOPRATASA
HAK CIPTA: LUNCAI EMAS SDN BHD
No comments: