TUJUH CERITA NABI SAJIAN NURFLIX

 

NURFLIX, platform penstriman video kandungan Islamik dan patuh Syariah menerusi segmen Nurflix Junior bakal menyajikan cerita-cerita animasi kenabian mulai Ogos ini.

Penerbit Eksekutif Nurflix Junior, Diana Amir memberitahu, cerita-cerita animasi yang dibawa khas dari Turki itu merangkumi tujuh penceritaan dengan 330 episod yang ditayangkan dalam dua versi, iaitu Arab dan terjemahan serta bahasa Melayu.

Antara tujuh kisah yang akan disampaikan kepada khalayak antaranya ialah cerita Habibullah (Muhammad SAW), Khalilullah (Ibrahim Alaihissalam), Kalimullah (Musa Alaihissalam), Nuh Alaihissalam, Sulaiman Alaihissalam dan Adam Alaihissalam.

“Pada fasa pertama, cerita-cerita ini ditayangkan dalam bahasa Arab dengan sari kata bahasa Melayu dan Inggeris. Pada fasa kedua pula, kesemuanya ditayangkan dalam versi alih bahasa ke bahasa Melayu,” jelas Diana.

“Cerita-cerita yang disajikan ini disemak dengan terperinci di Turki, dan mematuhi Syariah serta bersesuaian dengan tontonan ramai,” tambah Diana yang juga pernah terkenal sebagai pelakon drama televisyen tanah air tidak lama dahulu.

“Majlis para asatizah kami yang dikenali sebagai Nurpath juga telah mula menyemak kandungan ketujuh-tujuh cerita animasi yang dibawa dari Turki ini. Alhamdulillah, setakat ini cerita-cerita animasi tersebut menepati ciri yang ditetapkan sebelum dipertonton kepada orang ramai,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, tambah Diana, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3.0, proses pengalihan bahasa itu terpaksa dihentikan.

Menurut Diana, sebelum ini, Nurflix adalah Nurkids yang mensasarkan kanak-kanak di bawah 14 tahun. Namun demikian, selepas perbincangan, belia di bawah 21 tahun turut memerlukan kandungan bermanfaat seperti ini, lalu platform tersebut ditukarkan kepada Nurflix JR.

“Tentunya kita mahukan tontonan yang terbaik untuk kanak-kanak agar mereka membesar dengan nilai-nilai Islam,” ujar Diana lagi, sambil menjelaskan semua bahan tontonan Nurflix selamat ditonton.

Turut memberi penjelasan mengenai perjalanan Nurflix dan Nurflix JR adalah Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix, Syah Mohamed.

Menurut Syah, setakat ini Nurflix telah menerima sambutan positif dengan jumlah langganan yang menggalakkan.

“Kami berjaya merekodkan antara 22,000 sehingga 23,000 jumlah langganan secara percuma. Mereka yang mengikuti kandungan kami secara berbayar (langganan sepanjang hayat) pula sekitar 10 peratus,” katanya.

“Insya-Allah, kemungkinan besar Nurflix akan melancarkan langganan secara berbayar sepenuhnya pada sekitar Januari 2022 apabila jumlah kandungan kami mencecah angka 1,000,” jelas Syah.

Nurflix kini dalam perbincangan dengan platform penstriman Islamik seluruh dunia bagi membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan media yang sopan dan bermanfaat untuk generasi.

“Kemasukan kandungan luar ke dalam Nurflix bakal memberi pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor pascaproduksi, terjemahan kandungan, dan alih bahasa. Inisiatif ini juga dibuat agar khalayak akan dapat terus menikmati kandungan patuh syariah dalam, dan luar negara yang disajikan,” kata Syah lagi.

 

Aplikasi Nurflix boleh dicapai melalui laman web http://nurflix.tv, Apple Appstore dan Google Playstore.

XMA Header Image

No comments:

Powered by Blogger.