Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media Dewan Melayu di Anjung Melayu, Kuala Lumpur pada 21 Januari 2022 yang lalu.


S   Sidang media yang menampilkan Haji Abdul Halim Husin (duduk dua dari kiri) bersama-sama Pengerusi Pertubuhan Pembela-pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya (duduk kiri sekali); Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato’ Nadzim Johan (duduk empat dari kanan); dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah (duduk tiga dari kiri).


         Penyampaian penghargaan oleh Haji Abdul Halim Hassan kepada pengarah filem                    pendek, Detik Baharu, Amen Naqib (kanan).


                                 Ketua Penyelidik Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Haji Azlan Awang.


 Sebahagian daripada rakan media dan tetamu jemputan yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media Dewan Melayu di Anjung Melayu pada 21 Januari 2022 yang lalu.


P                   Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Haji Abdul Halim Husin.

2.    


EKONOMI

 

Dewan Melayu Mendepani Cabaran 2022

BERSAMA-SAMA RAKAN MEDIA

 

GEJALA rasuah semakin serius di negara kita. Sesungguhnya ia memang tidak boleh dibiarkan terus berleluasa kerana akan membawa kehancuran kepada negara yang kita cintai ini.

 

Di samping ada pihak yang terus mengamalkan rasuah, kita boleh menarik nafas dan bersyukur kerana masih ada yang benci padanya dan cuba berusaha dengan sedaya mungkin untuk membasmi gejala berkenaan.

 

Antaranya ialah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu). Dalam satu kenyataannya pada 21 Januari lalu, Dewan Melayu mendesak Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob memerangi rasuah hingga ke akar umbi.

 

Menurut Presiden Dewan Melayu, Haji Abdul Halim Husin, laporan oleh TI (Transparency international) melaporkan dalam indeks rasuah antarabangsa, Malaysia berada pada kedudukan ke-57 pada 2021 berbanding, kedudukan ke-51 tahun sebelumnya. Kedudukan terburuk ialah 62 (2017), dan terbaik: 23 (1995).

 

Kita, tambah Abdul Halim, harus mengakui bahawa apa jua dasar, pelan tindakan atau hala tuju membangunkan ekonomi negara tidak akan berjaya mencapai sasarannya selagi jenayah rasuah tidak dibendung. Dalam tempoh 10 tahun antara 2005-2014 sahaja, negara telah kehilangan hampir RM2 trillion-ringgit daripada aliran wang yang tidak sah. Kita percaya angka ini sudah semakin bertambah sekarang.

 

Halim mengeluarkan kenyataan tersebut dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media Dewan Melayu di Anjung Melayu, Kuala Lumpur.

 

Sidang media tersebut turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Pembela-pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato’ Nadzim Johan; dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

 

Perlakuan rasuah dan pecah amanah, tambah Halim, pastinya telah menyumbang kepada peningkatan ketidaksamaan pendapatan, kekayaan dan peluang. Hakikatnya, kenaikan kos sara hidup pada hari ini juga disumbangkan oleh amalan rasuah di setiap peringkat rantaian perolehan kerajaan; daripada kuasa politik, penguatkuasaan, pelesenan, proses tender dan sebut harga, hinggalah kepada isu logistik dan tuntutan bayaran. 63.3% aduan rasuah melibatkan sektor awam, justeru unjuran ratusan bilion ringgit yang diperuntukkan dalam perolehan kerajaan yang sepatutnya menjana infrastruktur dan perkhidmatan yang lebih baik sebahagiannya akan masuk ke poket perasuah, dan tidak akan sampai kepada rakyat.

 

Budaya rasuah kini telah menjadi amalan normal di negara kita. Syarikat-syarikatBumiputera yang membida tender-tender kerajaan perlu menyediakan peruntukan khusus yang tidak boleh diisytihar bagi meningkatkan peluang mereka memenangi tender. Ada yang bergadai bergolok melobi sedangkan projek masih belum ditawarkan.

Dengan margin keuntungan purata sekitar 5-15% sahaja, majikan terpaksa mengorbankan lagi keuntungan untuk melicinkan lagi projek yang dijalankan. Banyak aduan yang diterima mendakwa ada tindakan sabotaj untuk sengaja menyusahkan kontraktor, menawarkan solusi dengan rasuah dan menggula-gulakan kontraktor dengan variation order (VO) konon untuk menaikkan kembali margin keuntungan syarikat.

 

Tanpa disedari, kata Halim lagi, amalan-amalan yang sudah membarah selama berpuluh tahun ini turut memberi kesan langsung kepada kadar gaji pekerja di negara kita yang rendah. Tanpa bonus dan kenaikan gaji setimpal, pekerja tiada peluang untuk menabung, dan membeli rumah.

 

Dengan margin keuntungan yang rendah, majikan lebih suka membebankan pekerjasedia ada dengan tugasan-tugasan tambahan, tanpa memberikan manfaat seperti perlindungan insurans dan perubatan, elaun-elaun tambahan dan lain-lain. Tiada penambahbaikan di pejabat untuk memberikan keselasaan, dan tiada program-program latihan untuk menambah kompetensi pekerja.

 

Hari ini, 64 peratus sumbangan Bumiputera kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) negara datang daripada gaji, dan hanya 25 peratus daripada perniagaan. Apabila rasuah berleluasa dan tidak dikawal, sumbangan kepada KDNK juga tentulah akan terjejas teruk.

 

Rasuah juga, tegas Dewan Melayu, akan menggugat keselamatan negara. Malaysia dilaporkan mengalami kerugian RM6 bilion tahun lalu kesan daripada aktiviti rentas sempadan haram. Dengan kemerosotan penguatkuasaan, lebih-lebih lagi dalam situasi di mana kawalan sempadan sering dikaitkan dengan tahap integriti yang lemah dalam kalangan pegawai; jenayah rentas sempadan seperti terrorisme, dan jenayah terancang menjadi berleluasa, sekali gus mengancam keselamatan nasional, serta kedaulatan negara.

 

Sebagai langkah ke hadapan, Dewan Melayu menggesa agar Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang telah dirangka dengan begitu komprehensif oleh GIACC (Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Malaysia) dapat dikuatkuasakan serta-merta. NACP telah mencadangkan beberapa tindakan proaktif bagi membendung gejala rasuah dan politik wang.

 

Antaranya ialah:

• Peruntukan baharu dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009(Akta 694) berkaitan kesalahan oleh syarikat atau individu dalam penjualan projek atau tender Kkerajaan kepada pihak lain untuk faedah kewangan tanpa melaksanakan projek/tender tersebut.

• Mewajibkan mana-mana individu yang mendapat faedah daripada penjualan projek atau tender untuk mendedahkan pemilikan benefisiarinya.

• Memperluas penempatan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di semua badan berkanun, syarikat milik kerajaan (SOEs), dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) yang ditubuhkan oleh kerajaan.

• Mencadangkan Anti-Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001 sebagai syarat ke atas SOEs Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG), dan sektor swasta untuk membida kontrak kerajaan.

• Memperuntuk hukuman penjara minimum 14 hari kepada Akta 694 yang dilihat tidak kuat.

• Ketelusan dalam pengisytiharan aset dan dasar pengurusan hadiah oleh Ahli Pentadbiran (termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri).

• Pengenalan Peruntukan Salah Laku Penjawat Awam.

• Penubuhan agensi bebas dalam mengurus aset yang dirampas dan dilucut hak.

• Garis panduan yang betul mengenai pelobi; dan penandaan kuasa antara menteri dengan ketua setiausaha.

 

Dewan Melayu juga berpendapat Perdana Menteri barangkali perlu mengambil contoh ketegasan dan keberanian rakan-rakan sejawat beliau dalam Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), dan Asia dalam memerangi jenayah rasuah, dan penyalahgunaan dadah secara mutlak.


Singapura sebagai contoh kekal antara lima negara terbaik dunia dalam membanteras rasuah sejak sekian lama, dan ia telah memberi kesan baik kepada kemajuan ekonomi mereka.

 

Presiden Jokowi di Indonesia juga telah memerangi amalan rasuah dengan menghukum berat pemimpin-pemimpinnya yang korup. Indonesia yang pada satu ketika cukup sinonim dengan rasuah hari ini dilihat semakin ‘bersih’, dan makmur, serta mula menerima begitu banyak pelaburan asing, bahkan ada yang datang dari Malaysia.

 

Begitu juga dengan rakan sejawat beliau Rodrigo Duterte di Filipina dan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping.

 

Sebagai rumusannya, Dewan Melayu yakin jika Perdana Menteri lebih bertegas dalam membendung rasuah, serta terus komited untuk mengambil langkah-langkah yang lebih drastik dan punitif terhadap penjenayah rasuah, rakyat pasti akan berdiri teguh bersama-sama beliau.

 

Sementara itu, Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media Dewan Melayu diadakan sebagai meraikan tahun baharu 2022, dan bagi menghargai usaha, serta sumbangan para petugas media tempatan.

 

Majlis berkenaan diisi dengan ucapan dan taklimat oleh Halim, pembentangan ‘Kedudukan Semasa Ekonomi Melayu’ oleh Ketua Penyelidik Dewan Melayu, Haji Azlan Awang; tayangan video tik-tok anjuran Dewan Melayu, tayangan perdana memperkenal pengarah filem pendek Detik Baharu, Amen Naqeb, dan pelancaran portal ahli kelab.

 

Pada mulanya, majlis tersebut akan diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa. Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir kerana terpaksa menjalani kuarantin diri selepas pulang dari luar negara.

 


5.    

No comments:

Powered by Blogger.