SASTERA & BUDAYA
BICARA APA PUN DENGAN SN ADA MANFAATNYA
SASTERAWAN
Negara (SN) kita yang masih ada, dan berkarya termasuklah Datuk Dr A Samad
Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan, Dato’ Dr Anwar
Ridhwan, Datuk Baha Zain, Datuk Dr Zurinah Hassan, dan Prof Datuk Dr Siti
Zainon Ismail.
(Dr) Keris Mas, Profesor Emeritus Dato’ Dr Shahnon Ahmad,
Datuk (Dr) Usman Awang, (Dr) Arena Wati, Datuk Abdullah Hussain, Prof Madya S
Othman Kelantan, dan Datuk Dr Kemala telah meninggal dunia.
Adakah SN perlu diperkenal lagi dan acara berupa wacana
misalnya, diadakan bagi tujuan tersebut?
Ini pertanyaan yang menarik. Bagi saya, bergantung pada
audiensnya. Ada yang sudah mengenali, terutama dalam kalangan penulis dan penggiat
sastera tanah air.
Walau bagaimanapun, ada – malah ramai lagi – yang belum
mengenali SN. Berminat atau tidak, mereka boleh diperkenal dengan 14 SN yang
ada setakat ini – kebetulan tujuh masih ada, dan tujuh lagi sudah tiada.
Justeru, penganjuran acara bual bicara bersama-sama SN Muhammad,
Anwar, Zurinah dan Zainon di Panggung Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
baru-baru ini menarik, dan berfaedah.
Berbanding Noordin dan Baha yang kurang sihat, keempat-empat
mereka masih sihat sejahtera, dan cergas. Samad pula hanya (terpaksa) berkurung
di rumah semenjak COVID-19 melanda negara.
Jika dilihat dengan mendalam dan luas, judul ‘Memperkenalkan
Sasterawan Negara’ untuk acara berkenaan tidak salah kerana penganjur mempunyai
remaja/pelajar, dan anak muda yang belum mengenali SN sebagai audiens sasaran.
Sementelah antara audiens yang turut hadir termasuklah
pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah, Kuala Lumpur.
Seorang rakan saya yang mengatakan acara berkenaan amat bermanfaat,
berpendapat lebih sesuai jika judulnya ‘Sepetang Bersama Sasterawan Negara’,
‘Dengar Sasterawan Negara Bercerita’, atau ‘Inilah Sasterawan Negara Kita’.
Tidak menjadi masalah biar apa pun judulnya. Saya yang
telah berkawan dengan Muhammad, Anwar, Zurinah, dan Siti Zainon lama sebelum
mereka bergelar SN masih dapat mengikuti acara tersebut dengan selesa, dan
gembira.
Kebetulan yang menarik, mereka berempat juga merupakan penerima
Anugerah Penulis Asia Tenggara, iaitu Muhammad pada 1997, Anwar (2002), Zurinah
(2004), dan Siti Zainon (1989).
Tiada salahnya audiens yang telah mengenali, ikut mendengar
untuk lebih mengenali empat SN tersebut.
Acara ‘Memperkenalkan Sasterawan Negara’ itu dianjurkan
oleh Creador Foundation, Yayasan TM, Meta, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,
Cendana, ThinkCity, dan DBP.
Pegawai dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Saifullizan
Yahaya bertindak sebagai pemudah cara. Pokok perbincangan adalah menyingkap
sejarah bagaimana atau apa yang mendorong keempat-empat SN tersebut menulis,
dan berkarya sehingga mencapai kedudukan sekarang.
Sejarah awal Anwar dan Zurinah menarik didengar kerana
mereka memulakan langkah dalam kesempitan hidup, serta pelbagai hambatan.
Mukadimah kepengarangan Muhammad tidak ‘beronak ranjau’
kerana beliau ‘orang kaya’ seperti yang disebut oleh Siti Zainon.
Meskipun Siti Zainon juga anak kampung dan pemalu, tetapi
beliau tinggal di Gombak, tempat kelahiran - berhampiran dengan Kuala Lumpur,
dan mendapat galakan ayahnya. Anwar dan Zurinah anak kampung yang berusaha
sendiri.
Dalam ceritanya sebagai pembicara ketiga bual bicara itu,
Zurinah mengaku beliau berasa kerdil di sisi Muhammad, Anwar dan Siti Zainon.
Semasa bersekolah, Zurinah selalu mendapat tempat pertama
dalam peperiksaan sekolah. Namun demikian, jelas beliau, pencapaian itu tidak
menarik perhatian keluarganya, dan masyarakat.
Zurinah, 72, adalah anak kelahiran Alor Setar. Katanya, beliau
dibesarkan oleh ibu angkat dan sentiasa didampingi wanita-wanita berusia yang
suka berbual/bercerita.
Antara yang kerap dibualkan adalah soal anak gadis yang
suka ke sekolah, dan tidak menyukai urusan rumah tangga seperti memasak.
Jelas Zurinah, kepayahan beliau mendapatkan buku ditambah
lagi oleh kesukaran untuk keluar ke pekan atau bandar. Dalam melayani keghairahan
menjadi penulis, kata Zurinah, beliau sering duduk di bawah pokok sehingga masyarakat
kampungnya salah sangka.
Menariknya, kata Zurinah, mujur ada radio di rumah yang
beliau anggap sebagai ‘penyelamat’ daripada terus ‘dilemaskan’ oleh leteran wanita-wanita
berusia atau ‘mak cik-mak cik bawang’ itu.
Menerusi radio, Zurinah dapat mendengar lagu-lagu Melayu
yang cerita dan liriknya menarik. Ada juga ruangan kanak-kanak kelolaan Siti
Hawa Zain atau Mak Iti yang mendorong beliau meminati sastera.
Disebabkan kebetulan rumahnya berhadapan dengan Gunung
Jerai, kata Zurinah, beliau tertarik dengan kisah Panglima Nayan yang menghuni
gunung tersebut.
Menurut Zurinah, urusan penulisan beliau memang payah
kerana tidak memiliki mesin taip. Karya yang ditulis sukar dikirim kerana
pejabat pos jauh di bandar.
Walau bagaimanapun, kesulitan tersebut berbaloi kerana sajak-sajak
eceran Zurinah berjaya memenangi Hadiah Sastera Perdana, cerpen meraih Hadiah
Pertama Pertandingan Menulis Cerpen Berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri
1984, serta Hadiah Utama Anugerah Puisi Putera 1984, dan lain-lain.
Zurinah juga percaya sikapnya yang suka menjadi
‘sukarelawan’ untuk membaca buku sajak dalam bahasa Inggeris di hadapan kelas telah
menyuburkan minatnya terhadap sastera.
SN ke-10, Anwar, memulakan kisahnya dengan berseloroh
mengatakan diri beliau ‘lebih miskin’ berbanding Zurinah kerana tiada radio di
rumah.
Menjawab soalan Saifullizan mengenai kekuatan bahasa
dalam karya sastera, Anwar mengatakan itu hasil beliau banyak membaca buku
dalam, dan luar negara.
Sewaktu belajar di Universiti Malaya, jelas Anwar, beliau
mula mengenali pelbagai teori sastera daripada guru-guru yang hebat.
Ketika itu juga, tambah Anwar, beliau dan Zurinah antara
penulis muda yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia (HSM). Oleh itu, mereka mendapat
perhatian.
Antara
yang dimenangi Anwar, 72, termasuklah pada HSM 1971 – cerpen Perjalanan Terakhir, HSM 1973 – cerpen
Dunia Adalah Sebuah Apartmen, dan HSM 1975 – cerpen Sesudah Perang.
Berkelana dan tinggal di perantauan beberapa lama turut
membantu kepengarangan Anwar menjadi hebat. Sewaktu tinggal di Hong Kong, Anwar
memberitahu beliau menemui satu budaya masyarakat yang asing. Justeru, terbitlah
kumpulan cerpen Dunia Adalah Sebuah
Apartmen yang merupakan tafsiran beliau terhadap dunia luar.
Selepas meninggalkan kampung halaman di Sungai Besar,
Selangor dan mendapati budaya tradisi semakin terhakis, Anwar terpanggil menulis
novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman
yang memenangi Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Novel anjuran Yayasan
Sabah-GAPENA 1 pada 1979.
Sewaktu tinggal di Jepun dan melihat Malaysia dari jauh,
Anwar mendapati negara kita menghadapi bermacam-macam masalah, dan kekurangan
yang perlu diatasi meliputi soal politik, dan penyalahgunaan kuasa dalam
pentadbiran. Beliau terdorong menghasilkan novel Naratif Ogonshoto.
Paling tua dalam kalangan ahli panel, Muhammad berseloroh
mengatakan dirinya masih muda, dan kacak. Beliau juga masih suka
mengembara/berjalan, dan itu dibuktikan olehnya dengan menulis untuk kolum ‘Kembara
Seorang Penyair’ dalam majalah Dewan
Budaya terbitan DBP.
Muhammad mengakui pada peringkat awal beliau lebih
menekuni sastera Inggeris. Namun begitu, beliau dapat ‘memutar’ dirinya kembali
ke akar Melayu menerusi penghasilan kumpulan puisi Sajak-Sajak Pendatang (DBP/1973), Perjalanan Si Tenggang II (Penerbit UKM/1975 – Hadiah Sastera ASEAN
bahagian puisi), dan Sajak-sajak dari
Sejarah Melayu (DBP/1981).
Hasil banyak membaca dan mengembara (menghadiri seminar
dan melawat negara), Muhammad, anak kelahiran Taiping, berkembang baik sebagai
penulis dengan memenangi Hadiah Sastera ASEAN di Jakarta, dan beberapa sajaknya
menggondol Hadiah Karya Sastera pada 1971.
Menurut Muhammad, antara tempat yang disukainya adalah
Bali kerana masih subur dengan budaya tradisi ketika banyak negara sudah
kehilangan nilai tersebut.
Muhammad, 79, telah menghasilkan 15 buku sajak
berdasarkan perjalanan beliau. Sajak-sajak
dari Sejarah Melayu itu hasil daripada pembacaan tekun, dan kekagumannya
terhadap Sulalat u’s-Salatin (Sejarah Melayu).
Bagi Siti Zainon pula, peringkat awal penulisannya agak unik
kerana beliau (yang kini mungkin boleh dianggap sebagai peluang, dan rezeki) bertemu
dengan penulis terlebih dahulu. Menurut Siti Zainon, penulis-penulis berkenaan
berkunjung ke rumah kerana diundang oleh ayahnya. Kesempatan tersebut amat
bermakna baginya yang pemalu.
Kata Siti Zainon lagi, beliau banyak membaca buku yang
juga wajar disyukuri kerana mudah mengunjungi kedai bahan tersebut. Ayah
keduanya juga kerap membawa beliau ke kedai-kedai buku.
Di samping menemui penulis, termasuk Sutan Takdir
Alisjahbana, Siti Zainon memberitahu beliau juga menemui penulis/orang sastera
yang ‘bergaduh’, iaitu Allahyarham Abdullah (Hussain) dan Arena (Wati).
Penampilan Abdullah dan Arena yang berbeza turut menarik minatnya – Abdullah
lembut, manakala Arena kasar apabila berbicara.
Antara pencapaian Siti Zainon, termasuklah HSM 1975,
1976, 1979, 1983, 1985, 1991, 1996, 2015, dan 2016 (puisi), dan Hadiah
Maybank-DBP 1996/1997/1998 (cerpen).
Ramai maklum Siti Zainon, 71, juga seorang pelukis.
Katanya, pengarah dan penulis skrip filem yang juga pelukis Indonesia, Nas
Achnas selalu mendorong. Justeru, minat menulis puisi dan melukis sama-sama
mengalir dalam dirinya.
Tambah Siti Zainon, Arena kerap menggesa beliau menuntut
ilmu di Indonesia. Di sana, beliau amat teruja kerana penyair besar Indonesia
yang biasa didengarinya seperti WS Rendra dapat ditemui. Beliau mengakui penyair
Indonesia telah mengubah dirinya dari pemalu kepada berani tampil di khalayak
ramai.
Selain buku kerja sekolahnya dicampakkan oleh guru kerana
menyembunyikan sajak Rendra, Siti Zainon memberitahu beliau pernah ditahan oleh
pihak polis Indonesia kerana terlibat dengan sajak Burung Kondor karya penyair tersebut.
Menurut Siti Zainon, beliau tidak dapat melupakan peristiwa
diundang oleh penyair Ali Hasjmy membaca sajak di hadapan masjid sebelum solat
Jumaat di Aceh.
Peristiwa tersebut menarik kerana penampilan Siti Zainon
berambut Afro, dan tidak bertudung. Undangan Ali itu mengujakan beliau, dan
menganggap Indonesia tidak lagi melarang wanita tampil berpuisi.
Dalam hal kedudukannya waktu itu, Siti Zainon menjelaskan
beliau disenangi para penyair Indonesia kerana sajak-sajaknya banyak bercerita
mengenai mereka.
No comments: