SOSIAL
Iftar
Rumah Prihatin Santuni Kanak-kanak Istimewa, Asnaf
DALAM
keadaan ekonomi sekarang, bukan sahaja sumber kewangan ahli
perniagaan atau usahawan yang terjejas, tetapi banyak rumah kebajikan turut
hilang sumber pendapatan kerana jumlah penyumbang, dan penaja yang biasanya
memberikan bantuan telah berkurangan.
Ini dinyatakan oleh Pengerusi Gabungan
Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) dan Direktor D’Tandoor Food
Industries (DTFI), Datuk Abdul Malik Abdullah semasa menyampaikan ucapan
alu-aluan dalam ‘Majlis Iftar Rumah Prihatin @ Grand Seasons Bersama
Kanak-Kanak Istimewa dan Golongan Asnaf’ pada 23 April 2022 lalu di Rumah
Prihatin @ Grand Seasons.
FMBA merupakan gabungan persatuan dan dewan
perniagaan yang terdiri daripada pelbagai industri.
“Walau bagaimanapun, FMBA dan DTFI sentiasa
prihatin terhadap keperluan rakan-rakan perniagaan, dan menjadi kebiasaan kami
untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” tegas Datuk Abdul Malik.
“Justeru, dengan usaha bersama-sama para ahli
FMBA, DTFI dan Rumah Prihatin @ Grand Seasons, kami mampu menjayakan Majlis
Iftar Rumah Prihatin @ Grand Seasons ini,” tambah beliau yang turut menyempurnakan
penyampaian sumbangan kepada golongan yang disantuni seperti yang disebutkan
tadi.
Majlis Iftar Rumah Prihatin @ Grand Seasons merupakan satu daya usaha yang berkonsepkan hotel kebajikan untuk rakyat yang terkesan akibat COVID-19, khususnya kepada warga Wilayah Persekutuan seperti golongan miskin bandar, dan yang menghadapi tekanan kesihatan mental.
Untuk majlis iftar ini, FMTA dan DTFI menaja 190 iftar kepada penghuni/ahli-ahli Persatuan Pesakit Hydrocephalus Malaysia, Persatuan Sindrom Down, Kongres India Malaysia, anak-anak yatim, serta golongan asnaf yang menjadi tumpuan perhatian.
Harga yang ditawarkan oleh Iftar Rumah Prihatin @ Grand Seasons ialah serendah RM3 untuk seorang.
No comments: