SOSIAL

 

 

Shahidan Sampaikan Hadiah APBN2022 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

 

MAJLIS Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) diadakan untuk meraikan, dan menghargai belia yang memperoleh pencapaian membanggakan negara dalam pelbagai bidang. Pengiktirafan ini antara usaha untuk menyuntik semangat, dan motivasi kepada belia yang lain, serta menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk berganding bahu mengiktiraf golongan belia sebagai penyumbang utama hala tuju pembangunan negara.

 

APBN yang mula diperkenal pada 1988 merupakan sebuah program berbentuk penilaian untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada individu, dan pertubuhan belia yang telah memberi sumbangan kepada pembangunan belia negara.

 

Pemilihan dan penilaian calon yang bertanding dikendaikan oleh kumpulan panel penilai yang telah dilantik oleh Mesyuarat Jawatankuasa Induk Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

 

Antara matlamat pelaksanaan APBN ialah:

·         memberikan penghargaan dan pengiktirafan atas pencapaian masyarakat belia pelbagai bidang;

·         menggalakkan penglibatan para belia dalam kerja-kerja sukarela yang menyumbang pada pembangunan negara;

·         menjana sokongan masyarakat umum terhadap usaha-usaha pembangunan belia hingga ke peringkat akar umbi;

·         memberikan penganugerahan kepada tiga kategori yang dipertanding, iaitu kategori pertubuhan belia, Kategori Individu Lelaki dan Kategori Individu Wanita:

-          Johan Kategori Pertubuhan Belia menerima wang tunai berjumlah RM10,000, sijil dan piala.

-          Naib Johan Kategori Pertubuhan Belia menerima wang tunai berjumlah RM5,000, sijil dan piala.

-          Johan Kategori Individu Lelaki menerima wang tunai berjumlah RM3,000, sijil dan piala.

-          Naib Johan Kategori Individu Lelaki menerima wang tunai berjumlah RM1,500 dan sijil.

-          Johan Kategori Individu Wanita menerima wang tunai berjumlah RM3,000, sijil dan piala.

-          Naib Johan Kategori Individu Wanita menerima wang tunai berjumlah RM1,500 dan sijil.

 

Pada 9 Oktober 2022 lalu, telah berlangsung majlis penyampaian APBN2022 di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.

 

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Dr Shahidan menekankan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan amat mengambil berat terhadap kepentingan peranan, serta sumbangan golongan belia.

 

“Menyedari bahawa pemantapan belia adalah proses berterusan yang perlu digembleng secara bersepadu, kementerian saya komited untuk mempelbagaikan lagi ruang dan peluang, serta dasar pembangunan yang komprehensif bagi mencipta kejayaan, dan kecemerlangan belia, khususnya di Kuala Lumpur,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Arau.

 

Shahidan seterusnya berharap agar para belia dan pertubuhan belia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus aktif, kreatif dan dinamik dalam menjadi ‘pemegang pacak’ kepada kerajaan persekutuan, dan merealisasikan agenda pembangunan negara.

 

“Tetapkanlah hala tuju yang jelas, dan gilaplah sepenuhnya potensi diri untuk menjadi modal insan yang berkualiti dalam menyumbang kepada kemakmuran negara, dan membangunkannya bersama-sama,” tambah Shahidan yang menyampaikan hadiah kepada semua pemenang setiap kategori.

 

Turut hadir ialah Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Mohamed Naseer Mohamed; serta Pengarah Jabatan Belia & Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Asmori Sa’ahari.

 

Anugerah yang dilaksanakan di setiap negeri ini telah melalui saringan dan pemilihan oleh Panel Penilai Anugerah yang telah dicalonkan oleh Sekretariat Induk Anugerah Perdana Belia Negara (Kementerian Belia dan Sukan), serta dilantik oleh Jawatankuasa Anugerah Perdana Belia Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menilai pemilihan mengikut kategori-kategori yang diwujudkan. Setiap pencalonan dinilai oleh panel penilai berdasarkan kriteria penilaian yang telah ditetapkan.


                        Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Mohamed Naseer Mohamed.



                                Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.










Pada tahun ini, para panel yang terlibat mengadili calon-calon yang bertanding pada peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada:

·         Pensyarah Kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

·         Pensyarah Kanan dari Universiri Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

·         Dekan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

·         Ketua Program dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

·         Pesara kerajaan (mantan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

·         Pesara kerajaan (mantan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan).

 

Diharapkan pelaksanaan APBN Peringkat Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur 2022 meningkatkan lagi aktiviti yang melibatkan kerja-karja kesukarelaan, khususnya dalam pembangunan belia. Dalam hal ini, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan untuk memangkinkan pelaksanaan program pembangunan belia, khususnya pada peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Serentak pada majlis ini, penyampaian Pingat Majlis Belia Wilayah Persekutuan, iaitu Pingat Jasa Belia (PJB), Pingat Bakti Belia (PBB), dan Anugerah Khas. Penerima pingat diberikan pingat mengikut kategori dan sijil.








Pengarah Jabatan Belia & Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Asmori Sa’ahari (kanan) dan Dato' Seri Dr Shahidan Kassim bertukar-tukar cenderamata sambil diperhatikan oleh Mohamed 
Naseer Mohamed (kiri).




No comments:

Powered by Blogger.