MUZIK 


Busking, Cara Cepat dan Ekonomi Bantu Capai Hasrat

‘JELAJAH AMAL SOLIDARITI 4 ISKANDAR SPRING’ 


ISKANDAR, atau nama sebenarnya, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail merupakan pemain gitar Spring. Beliau juga antara pengasas dan ketua kumpulan legenda hidup yang terkenal dengan lagu Sampai HatiButakah CintaBourgenvilla, dan Sejiwa ini.

 

Walau bagaimanapun, sudah setahun Iskandar diuji Allah SWT apabila berada dalam keadaan lumpuh, dan menghidap pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, sukar bercakap, dan menjalani dialisis akibat kegagalan buah pinggang.


 

                                         Ketua Biro Muzik KARYAWAN, Rafi Gong/Suhu.


Menyedari keadaan Iskandar yang sedang hilang upaya untuk bekerja dan kehilangan sumber pendapatan, dua sahabat baik beliau, iaitu Ameng Spring dan Umarul Iklim telah mengusulkan masalah ini ke pengetahuan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), serta merangka jelajah amal ke seluruh negara.

 

“Setelah memikirkan beberapa kaedah untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi Iskandar, KARYAWAN mengambil keputusan menganjurkan program jelajah ke seluruh negara, dan mengadakan persembahan dalam bentuk ‘menyanyi jalanan’ atau busking bagi mengutip dana,” kata Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez.

 

Program jelajah secara busking tersebut diberi nama ‘Jelajah Amal Solidariti 4 Iskandar Spring’.

 

Dalam sidang medianya di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota pada 26 Januari lalu, Ameng dan Umarul menjelaskan mereka mengambil keputusan untuk busking sebagai cara paling ekonomi dari segi modal penganjuran.

 

“Insya-Allah boleh mencapai matlamat. Kami telah mengatur tiga lokasi utama, iaitu Santai Seni@ TAR (Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur); Padang Kota, Pulau Pinang dan Jambatan Tarik Terengganu,” jelas Ameng yang turut mendedahkan bahawa beliau dan Umarul telah menubuhkan kumpulan baharu yang diberi nama Aura Band.

 

Katanya, Aura Band adalah gabungan nama Ameng, Umarul dan rakan-rakan yang telah merancang menghasilkan sebuah lagu tunggal.

 

“Terpanggil oleh musibah yang menimpa Iskandar, kami menghalakan projek Aura Band ke arah membantu mengatasinya,” tambah Ameng.

 

Selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, jelas Ameng lagi, busking akan diteruskan di beberapa lokasi seperti Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain.

 

Iskandar memerlukan RM40,000 untuk menampung kos perubatan dan perbelanjaan lain di sepanjang tahun – secara purata, kos bulanan ialah RM3,000.

 

Sebagai ‘sepak mula’ busking 'Jelajah Amal Solidariti 4 Iskandar Spring' ini, KARYAWAN bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKKPS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merangka persembahan pertama di Santai Seni@TAR (berhadapan KAMDAR), Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 29 Januari 2023 selama kira-kira dua jam bermula jam 2.30 petang.

 

Selain Ameng yang juga vokalis Spring dan Umarul, artis lain yang akan tampil termasuklah Alim Kris, Maman Teacher’s Pet, Syafiq Farhain, Bob Sentuhan, Mus Kemala, Belle Fattah, Iss Arffan, Black Maria, Islah & The People dengan aktor Radhi Khalid sebagai pengacara.

 

Mekanisme kutipan sumbangan ialah menerusi jualan amal beberapa produk seni, cakera padat agama, tabung potter, QR code, dan juga secara atas talian – persembahan akan disiarkan secara langsung. 




                        
                            Setiausaha Agung Terengganu Buskers Associations, Fazli A Rahman.


Terpanggil oleh musibah yang menimpa Iskandar, kami menghalakan projek Aura Band ke arah membantu mengatasinya,” kata Ameng.




    Penyerahan sumbangan daripada 
Meta Music Xtreme (label muzik Maman Teacher’s Pet).



Majlis sidang media turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Qew Communications Sdn Bhd dan Meta Music Xtreme (label muzik Maman Teacher’s Pet).

 

Selain Dato’ Freddie, Ameng dan Umarul, Syafiq, Alim, dan kakitangan KARYAWAN, Ahmad Abdullah, turut hadir ialah Pengarah JKKPS DBKL, Fauzi Ahmad; Ketua Biro Muzik KARYAWAN, Rafi Gong/Suhu; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Mohd Faruk Abdul Rahman; Pengerusi Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia, Aizad Azman; Setiausaha Agung Terengganu Buskers Associations, Fazli A Rahman; wakil Panca Abadi Automobil, Isma Azad; serta wakil Sis Lawa.Co, MAP Music, Green Dome, Meta Music Xtreme, dan Mummylova.

 

Radhi yang juga Ahli Jawatankuasa KARYAWAN bersama-sama penyanyi veteran Rozita Rohaizad turut hadir.

 

KARYAWAN menyeru masyarakat umum untuk turut menjayakan setiap persembahan yang bakal diadakan oleh barisan artis dan pemuzik berprestij tanah air dengan menyumbang seikhlas hati sebagai tanda solidariti membantu Iskandar.

 

Anda juga boleh menyumbang terus ke tabung melalui nombor akaun 3108024130 (Public Bank) dengan nama akaun Persatuan Karyawan Malaysia.

 

Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi terus 014 7176276 (Ahmad Abdullah). 





                           Penyerahan sumbangan daripada Qew Communications Sdn Bhd.



                    Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Mohd Faruk Abdul Rahman.




Kakitangan KARYAWAN, Ahmad Abdullah (tengah) menyampaikan taklimat ringkas mengenai 'Jelajah Amal Solidariti 4 Iskandar' 


                                           
                                           Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez.



                                                Pengarah JKKPS DBKL, Fauzi Ahmad.



                                                                       Umarul Iklim. 


No comments:

Powered by Blogger.