PELANCONGAN
Pesta Pelancongan Langkawi Turut Mempromosi Tahun Melawat Kedah 2025
KIRA-KIRA 32 gerai dari seluruh pemain industri pelancongan Langkawi merangkumi pemilik produk, agen pelancongan, hotel tiga bintang dan ke bawah dengan menggunakan hashtag #LangkawiMurah #CuticutiMalaysia #NaturallyLangkawi, dan #ExploreLangkawi menyertai Pesta Pelancongan Langkawi (LTF) dari 16 hingga 18 Ogos 2024 di Ruang Legar Pusat Beli-belah Datum Jelatek (DJSC), Kuala Lumpur.
Ia merupakan objektif pertama LTF anjuran Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) dengan kerjasama DatumCorp International (DCI) ini, yang turut mempromosikan Langkawi secara berterusan bersama-sama beberapa agensi kerajaan di Langkawi demi mencapai sasaran tiga juta pelancong sehingga 31 Disember 2024.
Objektif kedua LTF ialah menjadikan Langkawi sebagai ‘pulau peranginan’ nombor satu di Malaysia, serta salah sebuah pulau tercantik di dunia. LTA mensasarkan 15,000 pengunjung di sepanjang tiga hari penganjuran LTF.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Encik Zainudin Kadir, YBhg Dato’ Hj Azizan Noordin dan YM Tengku Khairil Azwan (tujuh, sembilan dan sepuluh dari kiri) bersama-sama para peserta Pesta Pelancongan Langkawi selepas acara perasmiannya pada 17 Ogos lalu.
Majlis perasmian LTF telah disempurnakan oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merangkap Penasihat LTA, YBhg Dato’ Hj Azizan Noordin pada 17 Ogos lalu.
Turut hadir CEO LTA, YBrs Encik Zainudin Kadir; Pegawai Pemantau Operasi DCI, YM Tengku Khairil Azwan; wakil LADA, serta pemilik produk, agen pelancongan, dan hotel tiga bintang dan ke bawah yang menyertai LTF.
Dalam ucapan beliau, YBhg Dato’ Hj Azizan memuji usaha LTA menganjurkan LTF di DJSC kerana pelancong-pelancong di sekitar Lembah Kelang, khususnya Selangor dan Wilayah Persekutuan berpeluang besar mengunjunginya.
Hal ini sangat relevan, tambah beliau kerana hakikatnya 70 peratus pasaran domestik Langkawi datang dari Lembah Kelang.
“Pusat Beli-belah Datum Jelatek memang tempat yang paling sesuai untuk lokasi pesta pelancongan seperti Pesta Pelancongan Langkawi ini kerana mudah ‘dicapai’, lantaran berhampiran dengan stesen transit aliran ringan atau LRT, dan rumah kediaman,” ujar Azizan, optimis.
Sebelum itu dalam ucapan alu-aluannya, Encik Zainudin memberitahu sasaran jualan pakej LTF adalah sebanyak RM11 juta.
“LTA memilih hashtag #LangkawiMurah kerana buat pertama kalinya membawa pemilik-pemilik hotel tiga bintang ke bawah, serta pemilik-pemilik agen pelancongan yang boleh membuat keputusan di sepanjang LTF berlangsung,” jelas beliau.
YBhg Dato’ Azizan Nordin (dua dari kiri) melancarkan Pesta Pelancongan Langkawi pada 17 Ogos lalu. Turut kelihatan ialah YM Tengku Khairil Azwan (dua dari kanan), dan wakil LADA.
Antara keistimewaan LTF adalah pengunjung boleh mendapat potongan 10 hingga 40 peratus hanya di sepanjang LTF berlangsung. Pakej-pakej ini sah sehingga Februari 2025, iaitu bersempena dengan kempen Tahun Melawat Kedah.
Sebagai salah sebuah acara pelancongan terbesar di Malaysia yang mengetengah pelbagai tawaran menarik oleh agensi pelancongan tempatan dan antarabangsa, serta memberi pengunjung peluang menerokai destinasi-destinasi pelancongan baharu di seluruh dunia, Zainudin memberitahu LTA berhasrat menganjurkannya setiap tahun, dan menjelajah semua bandar utama, ataupun bandar kedua di seluruh negara.
“Acara ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan pakej-pakej pelancongan eksklusif, seminar, dan sesi perbincangan bersama-sama pakar industri. Penganjur percaya pihak media dapat memberikan sokongan besar kepada kejayaan acara ini, dan seterusnya mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama,” tambah beliau.
###################################################################################
Pesta Pelancongan Langkawi dari 16 hingga 18 Ogos 2024 di Ruang Legar, Pusat Beli-belah Datum Jelatek yang pertama kali dianjurkan.
-
RAJA
YUSOFF ARIFFIN
No comments: