Pages

Monday, 26 November 2018

NOSTALGIA

SASTERA BUDAYA

SATU daripada tiga buah filem cereka yang dipilih mewakili negara ke Festival Filem Asia Pasifik ke-42 di Seoul, Korea Selatan dari 6 hingga 9 Oktober tahun 1997 ialah Layar Lara.
Layar Lara yang ditayangkan pada awal tahun 1997, arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba. Dua buah filem lain ialah Merah (M Nasir) dan Lurah Dendam (Raja Ahmad Alaudin) yang kedua-duanya ditayangkan pada tahun 1996. Kesemua filem ini dipilih oleh Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM).
Saya berkesempatan menonton Layar Lara. Setelah menontonnya, saya tidak kecewa, sebaliknya kagum. Rasanya tidak salah atau rugi jika menontonnya lebih daripada sekali.
Selepas Selubung (1992) dan Ringgit Kasorrga (1995), Shuhaimi Baba menghasilkan Layar Lara. Dan ternyata Shuhaimi telah menghasilkan filem yang berani dan lantang. Semuanya memfokuskan citra wanita.
Selubung (lakonan M Nasir, Deanna Yusoff, dan Ida Nerina) menampilkan wanita yang memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat. Sementara Ringgit Kasorrga (lakonan Hans Isaac, Tiara Jacquelina, dan Deanna Yusoff) menggeledah penyelewengan dalam dunia peragawati.
Layar Lara pula menyentuh penglibatan wanita dalam dunia perfileman tanah air. Watak-watak yang difokuskan ialah seniwati Ina Manjalara (Ida Nerina) dan seniwati Zai (Azean Irdawati).
Permasalahan menarik melibatkan wanita termasuklah pelakon tiada disiplin dan komitmen, skandal pelakon dengan kru filem dan pelakon veteran yang dilupakan.
Diselitkan juga masalah berkaitan seperti pengarah panas baran dan produser kekurangan wang. Saya tidak pasti apakah semua itu masalah utama dunia perfileman negara. Apakah Layar Lara ingin “membuka pekung di dada” industri filem negara?
Antara masalah yang kerap dihebohkan dalam dunia perfileman negara termasuklah pelakon tiada disiplin dan komitmen, skrip lemah, cerita klise, dan pengarahan dangkal.
Berdasarkan filem Layar Lara ini, memanglah lara melihat senario perfileman tanah air jika ramai pelakon seperti Ina. Sesungguhnya sedih melihat semua permasalahan seperti yang dipaparkan dalam filem ini.
Ina adalah pelakon yang tidak berdisiplin dan hanyut dalam glamour. Dia sering ponteng penggambaran dengan mereka-reka alasan (malah hingga sanggup mengatakan ibunya sakit tenat). Dia hidup bebas, lebih-lebih lagi apabila mempunyai hubungan dengan penyanyi kelab malam tidak bermoral, Shak (Maman).
Namun, mungkin untuk memberi gambaran bahawa masalah ini boleh diatasi, Ina akhirnya insaf setelah dipecat oleh produser, Borhan (Dato’ Ismail Hutson) dan pengarah, Malik (Sidi Oraza).
Artis dikatakan menjadi perhatian dan ikutan peminat. Mereka disarankan juga supaya menunjukkan perilaku yang baik. Ina bukan pelakon atau artis yang baik. Kehidupannya penuh lagak dan angkuh, diburukkan lagi apabila dia membuat hubungan pula dengan anggota kru, Daud (Man Bai).
Bagaimanapun, watak Ina tidaklah pula hitam seratus peratus. Masih ada putihnya dan ini terbukti apabila dia menyanjung serta begitu menghormati pelakon veteran, terutama pelakon pujaannya, seniwati Zai yang ditemui tanpa diduganya di lokasi penggambaran.
Manusia yang insaf dan mengakui kesalahan sukar ditemui. Ina insaf dan itu wajar diteladani (diharapkan keinsafan Ina itu juga jujur).
Sebagai pengarah, Shuhaimi nampaknya sedar dengan hakikat manusia biasa dan watak berwarna-warni serta filem tidak bebas sewenang-wenangnya. Jadi, wajarlah beliau tidak melebih-lebihkan gambaran kebaikan Ina setelah insaf. Cuma biasa dan sewajarnya.
Skandal kru dengan pelakon juga suatu masalah yang wajar dipandang serius. Ia bukan budaya sihat, sebaliknya hanya mengganggu kelancaran pembikinan sesebuah filem. Layar Lara memaparkan fenomena ini dan kesannya. Namun demikian, wujudkah sebenarnya hal sedemikian?
Wajarkah pelakon veteran dilupakan atau perlu sangatkah mereka diberi peluang berlakon lagi? Bagi saya, mengingati pelakon veteran tidak semestinya dengan hanya memberi peluang berlakon kendatipun sekadar watak tempelan. Pelakon veteran juga tidak perlu berkecil hati andainya dilupakan.
Saya berpendapat, yang lebih penting ialah kehadiran mereka sebagai pemerhati, penasihat, dan perunding. Kemampuan fizikal sudah terbatas, tetapi pengalaman mereka masih berguna. Jika benar wajar dan menguatkan lagi filem, baharu elok diundang.
Dalam Layar Lara, para pelakon veteran termasuk seniwati Zai dan Salmah Ibrahim di samping Aziz Satar, Mahmood June, dan Aziz Jaafar digambarkan seperti “gian” berlakon. Saya fikir, wajarlah Malik tidak menerima kemunculan mereka sewenang-wenangnya jika sekadar merosakkan filem. Penerimaan Malik pada akhirnya mungkin kerana penghargaan.
Suntingan filem yang tidak sempurna menaikkan kemarahan Malik ketika menonton rushing filem arahannya, Tanah. Penyuntingan filem juga adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh penyunting mahupun pengarah.
Pengarah yang baik (teliti, peka, dan sedar tugasnya) pasti tidak mengabaikan masalah ini. Cuma, agak aneh jika Malik dianggap sebagai pengarah panas baran!
Pada pandangan saya, Malik bukan panas baran. Panas baran selalunya membawa akibat buruk. Tetapi, Layar Lara banyak menggambarkan sikap Malik itu membawa kebaikan. Sebenarnya, Malik adalah pengarah yang tegas dan tidak berkompromi dengan ketidakwajaran.
Pertama, saya berikan beberapa contoh klasik Malik bergaduh dengan Daud. Namun, itu semua gara-gara Daud memandai-mandai membawa para pelakon veteran termasuk seniwati Zai untuk berlakon filem arahan Malik. Malik turut menempelak Daud kerana mengabaikan tugas dan ponteng akibat hubungan dengan Ina. Daud akhirnya insaf dirinya hanya diperalatkan oleh pelakon itu.
Kedua, dia memecat Ina dari filemnya, Tanah, kerana tidak dapat bersabar lagi dengan kerenah pelakon itu. Tindakan tersebut berjaya menginsafkan Ina. Malik sanggup menerima kembali Ina kemungkinan besar disebabkan bakat besar pelakon itu tidak wajar dipersia-siakan.
Ketiga, Malik melempar kerusi warung. Itu diperlakukan olehnya untuk mengusir Shak yang memaksa Ina pulang bersamanya hingga bertengkar. Dia naik marah setelah nasihatnya tidak dipedulikan.
Jadi, sikap Malik yang dikatakan panas baran itu kena pada tempatnya. Malik sebenarnya seorang pengarah filem yang berkarisma. Berkarisma sepertinya turut diperlukan oleh dunia perfileman negara. Ketegasan seperti yang dimiliki Malik harus ada pada diri karyawan mana pun.
Cuma yang ingin saya pertikaikan ialah berkuasanya Malik untuk menerima kembali Ina, sedangkan dia pernah memberitahu Daud bahawa filem itu bukan atas perbelanjaannya! Begitu juga penerimaannya terhadap pelakon veteran.
Satu perkara, mungkin tidak disedari, tetapi perlu juga diambil perhatian berat, iaitu adegan Daud meratapi kematian seniwati Zai. Sebagai orang Islam, kita dilarang meratapi kematian. Mujurlah adegan itu singkat.
Secara keseluruhannya, Layar Lara diperkuatkan oleh lakonan, suntingan, sinematografi, dan muzik latar. Filem ini bakal menjadi filem klasik dan wajar diteladani pengarah filem negara yang lain.
Dengan memaparkan beberapa unsur dan falsafah kemanusiaan, Layar Lara bukanlah filem murahan, apatah lagi sesuai untuk dikategorikan sebagai filem 18PL, 18SX, mahupun 18PA (walaupun dalam beberapa adegan, ada unsur-unsur berkaitan). Sebaliknya, Layar Lara adalah filem cerdik. PFM memilihnya mewakili negara.

Saturday, 24 November 2018


NOSTALGIA

SASTERA BUDAYA


Penyair Malam RENDAH MARTABAT PENYAIR?

PENYAIR Malam (PM) adalah filem ketujuh terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd. PM diarahkan oleh Kamal Ishak – antara pengarah muda berpotensi dalam dunia perfileman tanah air.
Filem arahan kedua Kamal selepas Cinta Kita (tahun 1993) ini dibarisi pelakon muda seperti Zack Idris, Yasmin Suraya, Hairul Riyno di samping Aman Graseka, Sheila Mambo, Aishah Baharum dan Ismail Din.
Secara ringkas, PM mengisahkan Adam (lakonan Zack Idris) menjadi mekanik motosikal selepas keluar dari Sekolah Henry Gurney yang bercinta dengan Azira (Yasmin Suraya).
Azira bisu dan pekak. Tetapi, menjadi guru di sekolah pendidikan khas yang berbakat melukis. Sementara Adam sendiri berbakat menulis sajak dan menggunakan nama pena Penyair Malam.
Bagaimanapun, Adam dicintai pula oleh gadis liar, Rina (Sheila Mambo) selepas membaiki motosikalnya. Rina sebenarnya adalah teman istimewa Farid (Aman Graseka), kaki lumba motosikal.
Lantaran itu, Farid cemburu dan mencabar Adam berlumba dengannya. Dia berjanji akan melepaskan Rina jika Adam berjaya menewaskannya. Namun begitu, cinta Rina terhadap Adam hanyalah bertepuk sebelah tangan.
Dalam serba salah, Adam menyahut cabaran Farid walaupun ditentang oleh Azira. Adam memenangi perlumbaan. Tetapi, akhirnya dicederakan oleh Farid yang bertindak liar.
Usia Adam masih panjang. Walaupun terlalu cemburu dan dua kali memutuskan hubungan dengan Adam, Azira akhirnya tetap menerima Adam. Rina kecewa cintanya tidak berbalas.
Demikian mudah dan klise kisah PM. Tidak menggugah pemikiran langsung. Hanya menarik pada tajuk, tetapi jelas tidak relevan dengan cerita.
Seolah-olah suatu tradisi, kebanyakan filem Melayu harus menampilkan daya tarikan sinonim untuk selera penonton remaja, seperti motosikal besar dan disko yang dibumbui cinta murahan serta memualkan.
Sepatutnya fokus dilebihkan kepada kehidupan Adam sebagai penyair/penulis. Selami dan hayati struktur wataknya, segala permasalahannya sebagai penyair seperti mendapat tempat di media, mutu karya kehendak penerbit, penerimaan masyarakat dan sebagainya.
Malangnya, apa yang ditonjolkan, Adam terbabit dengan perlumba motosikal panas baran itu tidak menyumbangkan jasa apa-apa, gadis liar murahan dan cinta luaran.
Ada beberapa persoalan menarik yang suka saya perkatakan. Semuanya berkaitan dengan pemikiran, perasaan dan budaya Melayu.
Hasil kerja PM ini amat mengecewakan. Mujurlah saya menontonnya semasa majlis Apresiasi Filem 1998, anjuran Persatuan Sutradara Filem Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS. Jika tidak. menyesal juga membaayar harga tiket untuk membuang masa menonton filem ini walaupun tajuknys memikat.
Tiga orang ahli panel apresiasi, iaitu A Wahab Hamzah, Hassan Mutalib dan Rahimi H sepakat mengatakan masalah utama PM ialah skrip. Mereka mendakwa letih dan kecewa menonton PM.
Subjek filem ini sebenarnya menarik. Kisah penyair yang bekerja sebagai mekanik (kerja kolar biru), bercinta pula dengan gadis bisu dan pekak. Daripada satu segi, melaungkan bahawa siapa pun boleh menjadi penulis (penyair) asalkan berminat, bersungguh-sungguh dan berbakat.
Selain itu, PM juga melaungkan betapa cinta tidak hanya untuk insan yang sempurna fizikal sahaja. Mereka boleh bercinta sesama insan senasib ataupun dengan insan sempurna fizikal jika telah ditakdirkan.
Namun begitu, subjek yang menarik ini tidak meyakinkan penampilannya dan terkapai-kapai lantaran kelemahan skrip. Apa yang dipaparkan sekadar pada permukaan, tidak mendasar.
Mengapa Adam menjadi penyair? Apa dan siapakah yang mendorongnya menjadi penyair? Dalam PM, ditunjukkan Adam menaip sajak, mendeklamasikan sajak di dalam hujan dan tidur bersama buku. Namun, itu belum cukup meyakinkan penonton, apatah lagi peneliti.
Mengapa pula Adam begitu mencintai Azira (dalam filem ini digambarkan hanya kerana rupa paras)? Mengapa Azira juga begitu mencintai Adam? Jika cintanya suci, kenapa begitu mudah dia memutuskan hubungan kasihnya itu lantaran cemburu yang melulu?
Inilah satu daripada persoalan yang inginsaya sentuh. PM memaparkan cinta luaran, bukan cinta sejati. Entah kenapa Adam menyair. Adam tertarik kepada Azira kerana wajah. Azira pula entah kenapa begitu mudah membalas cinta Adam. Tidak pula digambarkan dia tertarik kerana kagum akan sajak-sajak Adam.
Satu lagi persoalan ialah plot tipikal dalam filem Melayu. Entah kenapa sejak dari dahulu lagi lelaki bergaduh kerana perempuan dijadikan struktur plot cerita filem Melayu.
Dalam PM, protagonist (Adam) amat dibenci oleh antagonis (Farid) kerana cemburu akan teman wanitanya (Rina). Hampir separuh cerita ditenggelami struktur plot memualkan ini. Hilang kisah Adam sebagai penyair, sedangkan sepatutnya hubungan Adam dengan penerbit (Ahmad Tamimi Siregar) dikembangkan.
Saya melihat keprihatinan penerbit ini dapat mengangkat martabat penyair muda. Dapat dikatakan Adam mewakili penyair muda berpotensi yang diperhatikan oleh penerbit.
Penerbit memuji dan sanggup menerbitkan karya Adam atau Penyair Malam, malah hingga mengadakan sebuah majlis diskusi khas (di Dewan Bahasa dan Pustaka) memperkatakan karya untuk memperkenalkan siapakah Penyair Malam.
Namun, begitulah. Ulasan pengkritik mengenai kekuatan karya Penyair Malam nampaknya menjadi mangsa penyunting filem ini!
Lantaran kelemahan skrip atau sengaja mahu memancing penonton remaja, kredibiliti Penyair Malam tenggelam dalam cinta luaran dan ngauman motosikal.
Hubungan penerbit-Adam tidak meyakinkan. Saya juga melihat pada beberapa ketika, PM mengangkat martabat penyair muda, sedang pada banyak ketika yang lain pula, ia merendahkan peribadi Penyair Malam.
Tidak sewajarnya Penyair Malam yang sudah terkenal dan diangkat, terlibat dengan masalah klise seperti itu.
Dia tidak sepatutnya melayan kehendak Farid dan menjalinkan hubungan dengan gadis seperti Rina.
Sepatutnya PM boleh menjadi filem intelek atau cerdik dan menyaran sesuatu yang baik apabila menampilkan penyair sebagai watak utama. Bagaimanapun, sebaliknya yang terjadi.
Jika terlibat dengan cinta luaran dan bergaduh kerana perempuan, hampalah harapan kita untuk melihat protagonis alaf baharu yang sepatutnya berfikiran besar, apatah lagi penyair atau penulis.
Kecewalah kita untuk menonton filem intelek walaupun menampilkan watak penyair.                                                                                                                                                                                                                                                              


NOSTALGIA

SASTERA BUDAYA

RANCANGAN Pentas Filem di Rangkaian Nasional Radio Malaysia pada awal bulan Mac tahun 1986 mengulas bahawa filem Kembara….. Seniman Jalanan (KSJ) menerapkan unsur-unsur budaya kuning.
Jika difikirkan sepintas lalu, diakui filem berkenaan seolah-olah menerapkan unsur itu berdasarkan pakaian para pelakonnya dan bahasa dalam kata bual yang digunakan.
Tetapi, jika dihalusi serta dilihat daripada satu segi lain yang lebih mendalam dan rasional, filem arahan Nasir Jani ini mengandungi pelbagai bentuk sindiran, kritikan dan pendedahan bahawa sebenarnya memang terdapat unsur-unsur budaya kuning dalam masyarakat muda-mudi (juga masyarakat lain) di Malaysia hari ini.
Disebabkan penuh dengan kritikan yang dipaparkan menerusi adegan dan kata bual, maka filem ini menyelitkan dua jenis kritikan, iaitu kritikan ketara dan kritikan tidak ketara.
Apa yang disebutkan terdapat unsur budaya kuning dalam masyarakat muda-mudi, termasuk dalam apa yang disebutkan sebagai kritikan tidak ketara. Gejala yang dipaparkan dalam KSJ memang wujud dan benar-benar berlaku. Tetapi, untuk terus menuduh filem ini berunsur budaya kuning secara melulu adalah tidak wajar.
Terlebih dahulu kita harus memikirkan soal pakaian; bagaimanakah yang sepatutnya dan bercorak Malaysia untuk digunakan dalam filem berlatarbelakangkan zaman moden, sedangkan kita sebenarnya tidak mempunyai pakaian kebangsaan yang sesuai dengan zaman moden ini.
Andainya para pelakon KSJ memakai kemeja dan seluar (contoh pakaian) yang kemas sekalipun, itu masih belum mencukupi serta bersesuaian. Belum lagi menunjukkan itulah pakaian kebangsaan kita. Sebabnya, pakaian sedemikian sendiri diwariskan secara tidak langsung oleh penjajah Barat (budaya kuning berkaitan dengan Barat) kemudian kita jadikan sebagai pakaian kita turun-temurun.
Tentu pula tidak sesuai sama sekali jika digunakan pakaian Melayu berserta songkok dan kain samping atau berkain sarung. Pakaian sebegini lebih sesuai untuk filem-filem purba.
KSJ memaparkan kisah hidup seorang penyanyi jalanan (Bujang) dan penyeluk saku (Osman Tikus) sebagai watak-watak utama. Pakaian yang selekeh dan rugged (kasar, tetapi ikhlas) sedikit tentulah lebih sesuai. Jika kita lihat filem-filem Melayu sebelum ini, ada juga menonjolkan watak-watak yang memakai kot dan bertali leher. Memang nampak kemas. Tetapi, harus disedari ini juga unsur budaya kuning (ada juga yang berpakaian menjolok mata). Namun, tidak pula dipertikaikan. Janganlah disebabkan nampak kemas walaupun itu pakaian Barat, ia tidak dikatakan sebagai unsur budaya kuning.
Kita harus bersikap rasional. Jangan melihat daripada satu segi yang ketara sahaja – yang ketara itu dianggap sebagai buruk, maka keseluruhannya dianggap sebagai buruk belaka.
Filem KSJ sebenarnya cuba mengikis anggapan buruk masyarakat terhadap muda-mudi yang berpakaian selekeh dan rugged. Masyarakat biasanya menganggap golongan berkenaan tidak berakhlak, tidak bermaruah dan sebagainya. Melalui KSJ, masyarakat cuba disedarkan bahawa ada antara mereka (muda-mudi) yang berfikiran baik, berakhlak tinggi, intelek, bersemangat untuk berjuang agar terus hidup, berpendirian teguh dan sebagainya. Kita tidak boleh menilai seseorang berdasarkan rupa paras semata-mata.
Teliti watak Bujang (lakonan M Nasir) dan Osman Tikus (Pyanhabib). Memang pakaian dan rambut mereka tidak senonoh (dikatakan berunsur budaya kuning), tetapi di sebaliknya mereka mempunyai pendirian dan keperibadian sendiri.
Bujang adalah seorang pemuda berjiwa seni yang berfikiran intelek, sering memikirkan nasib bangsanya serta tidak suka berfoya-foya, hidup mewah dan berpura-pura, mempertahankan miliknya (menentang lanun cetak rompak) serta meminati lagu rakyat (bertemakan perjuangan, kemasyarakatan dan sebagainya).
Osman Tikus pula adalah seorang pemuda yang juga berjiwa seni dan bersemangat kuat dalam berjuang untuk terus hidup meskipun caranya ke arah itu tidak wajar dicontohi.
Menyentuh soal kata bual yang digunakan pula, ia juga adalah sindiran, kritikan dan pendedahan terhadap beberapa golongan.
Apa yang dimaksudkan ialah pendedahan terhadap gejala yang memang wujud bahawa golongan muda-mudi tidak tahu atau tidak mahu menggunakan bahasa standard ketika berbual. Mereka menggunakan bahasa yang boleh disebut sebagai ‘bahasa rojak’ dengan istilah-istilah yang difahami, ringkas dan pendek. Istilah-istilah seperti gua, lu, brader, lepak, kepala dan lain-lain sebagaimana yang terdapat dalam KSJ memang sering digunakan di kalangan mereka.
Mereka menggunakan bahasa itu kerana menganggap bahasa Malaysia standard aak sukar difahami, memeningkan kepala dan melambatkan.
Bukan sahaja golongan muda-mudi, tetapi golongan dewasa dan di kalangan pemimpin sendiri juga sering menggunakan bahasa yang bercampur aduk ketika berbual. Semasa berucap misalnya, ada pemimpin yang menyelitkan istilah Inggeris dalam teks ucapan mereka.
Mungkin banyak yang tidak mahu menyedari bahawa ini juga adalah unsur budaya kuning. Jadi, siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan?
Satu hal yang menarik dalam hubungan ini ialah secara tidak langsung ia merupakan cabaran dan dorongan kepada pihak berkenaan supaya berusaha menyediakan kata bual untuk filem dalam bahasa Malaysia yang seratus peratus standard, tetapi ringkas dan mudah difahami.
Kita sebagai penonton filem tentu tidak mahu kata bual yang dikatakan standard, tetapi panjang dan meleret-leret dengan istilah bombastik yang sukar difahami. Ia juga adalah cabaran dan dorongan agar pihak berkenaan dapat merangka dan mencipta corak pakaian yang sesuai untuk filem berlatarbelakangkan moden. Sesuai dalam erti kata keMalaysiaan.
Kesimpulannya, filem KSJ tidak boleh terus dianggap sebagai filem yang tidak bercorak Malaysia dan berunsur budaya kuning. Harus disedari bahawa ia memaparkan (selain soal cetak rompak) kehidupan sebenar masyarakat di Malaysia yang wujud hari ini. Masyarakat Malaysia hari ini hampir keseluruhannya masih tidak bercorak atau berperibadi Malaysia, baik daripada segi pemikiran mahupun pakaian, tutur kata dan sebagainya.










Friday, 23 November 2018

SASTERA BUDAYA

BERKHUTBAH DAPAT RM48 JUTA!
BAGAIMANA agaknya mesej/dakwah dalam Munafik 2 mahu atau cuba disampaikan selain secara berkhutbah? Antara masalah utama filem Melayu Malaysia sekian lama ialah menyampaikan pesanan menerusi dialog panjang lebar atau paparan ayat berjela-jela pada visual. Krisis tersebut tidak mengira sama ada pengarah atau penulis lakon layar lama, baharu, dan penerima anugerah besar perfileman.
Berkat doa dan semangat gigihnya, Syamsul menebus kekecewaan dengan KL Gangster 2 (2013), lantas meraih kejayaan besar dalam kerjayanya sebagai seorang pengarah/karyawan apabila memenangi anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (2016) buat kali ketiga (di samping mengungguli kategori Filem Terbaik Nasional) menerusi filem Munafik (2016).
Syamsul turut merangkul anugerah Pengarah Filem Terbaik Anugerah Skrin 2016. Namun demikian, kejayaan terbesarnya ialah memenangi anugerah Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 2017.
Munafik 2 telah berada di pawagam mulai 30 Ogos lalu. Ia mengisahkan perjuangan Ustaz Adam (lakonan Syamsul sendiri) yang menghadapi kumpulan ajaran sesat pimpinan Abu Jar (Nasir Bilal Khan), dan cuba menyelamatkan Sakinah (Maya Karin), ibu tunggal kepada seorang anak perempuan, Aina (Nur Zara Sofia) daripada kejahatan lelaki tersebut.
Sebenarnya, Sakinah ialah bekas isteri Abu Jar. Dia menuntut cerai kerana Abu Jar telah menyeleweng, dan mengembangkan ajaran sesat dengan kelebihan penggunaan sihir – merasuk para penentangnya sehingga sakit dan mati, termasuk Imam Malik (Roslan Salleh), ayah Sakinah. Meskipun setelah Imam Malik lama mati, Abu Jar memasukkan sihir ke dalam jasad agamawan tersebut sebagai penghinaan, dan menakut-nakutkan penduduk kampung.
Ustaz Azhar (Asmawi Ani), kawan baik Ustaz Adam turut ditinggalkan oleh isterinya kerana termakan hasutan ajaran sesat Abu Jar. Asmawi atau lebih dikenali sebagai Mawi, juara Akademi Fantasia 3 (2005) pernah berduet dengan Syamsul menerusi lagu ‘Kalah dalam Menang’ (Munafik) dan ‘Bukan Propaganda’ (Desolasi). Muzik ditata oleh Sky Productions Extreme Music, sementara Rahimi Mahidin mengarahkan sinematografi.
Mawi berganding dengan Syamsul (kali ketiga) menyanyikan lagu tema Munafik 2, ‘Kerana Dunia’ (melodi ciptaan Syamsul, dan lirik oleh Dr Anwar Fazal, sepupu Syamsul).
Ustaz Adam yang masih dihantui kematian Maria (Nabila Huda) dalam Munafik, berusaha menentang Abu Jar kerana diminta oleh Ustaz Azhar membantu Sakinah, dan Imam Malik. Mungkin ada yang bertanya Ustaz Adam mahu membela Islam atau membela Sakinah? Walau bagaimanapun, nama Sakinah itu amat bermakna. Begitu juga dengan Adam – simbolik Islam.
Filem ialah karya visual. Namun demikian, bukan pula bermakna ia tiada dialog langsung. Cuma, yang perlu sentiasa diingati ialah visualnya lebih utama. Menyampaikan mesejnya lebih menerusi visual/bahasa filem, dan/atau dialog yang berpatutan.
Adakah Munafik 2 menampilkan dialog yang berlebih-lebihan? Ia bercorak seram, malah dianggap lebih seram selain penambahan unsur Islam, dan dakwah berbanding Munafik. Banyak persoalan terjawab. Justeru, Munafik 2 yang berdurasi 121 minit dianggap lebih daripada sekadar filem seram.
Filem seram Islamik biasanya menampilkan agamawan, sama ada watak utama atau pembantu. Ada agamawan, pasti ada adegan bersyarah/bercakap banyak atau dalam perkataan lain, berkhutbah.
Berbanding Munafik, saya dapati Munafik 2 menggunakan formula klise – protagonis menentang antagonis, yang akhirnya protagonis menang. Lantaran itu, saya rasa lebih ‘gembira’ menonton Munafik 2. Cuma, kerana lebih cenderung pada bahasa filem, saya agak resah semasa watak, terutamanya Ustaz Adam bercakap (berkhutbah).
Itu tetap dirasai walaupun menurut Syamsul, dia menangis ketika melakukan suntingan kerana unsur dakwah Munafik 2 diilhamkan daripada kisah Nabi Muhammad saw, dan negara Islam yang ditindas. Dia mahu penonton merasai ajaran Islam yang dibawa menerusi beberapa watak lama, dan baharu dalam filem itu.
Draf pertama skrip Munafik 2 disiapkan pada Ogos 2016. Walau bagaimanapun, Syamsul terpaksa merombaknya kerana merasakan ia tersasar.
Ada yang berpendapat, filem tiada mesej kerana ia bukan peti surat. Namun demikian, perkara tersirat tetap ada sama ada disedari atau tidak/disukai ataupun sebaliknya.
Al-Quran turut menyebut antara golongan yang paling teruk dikeji Allah ialah ulama yang tidak amanah, dan mengharapkan habuan dunia.
Antara siratan yang dapat saya kesan ialah dalam kata-kata Umar (Fauzi Nawawi), orang kanan Abu Jar. Umar angkuh meminta orang kampung melihat, dan mengagumi kekuasaan/kegagahan/kemegahan Abu Jar.
Walau bagaimanapun, itu hanya khayalan Umar/Abu Jar sahaja kerana pada pada visual, penonton nampak markas Abu Jar daif dan usang (Kellie’s Castle, Batu Gajah, Perak sebagai lokasi). Ke mana sahaja pergi di persekitaran kampung, Abu Jar dan konco-konconya hanya berjalan kaki walaupun kaya-raya.
Selain Batu Gajah, penggambaran (selama 60 hari) mulai 20 Mac 2017 dijalankan di Kuala Lumpur, dan Lembah Kelang, termasuk Lembah Kinta, Perak dan Kuantan, Pahang tamat pada 18 Mei 2017.
Itu menunjukkan Abu Jar munafik dan berbohong. Dia bukan menggunakan ajaran sebenar Islam, tetapi sihir sehingga para pengikut dan orang kampung nampak markasnya hebat dan agam. Pengikut/orang kampung tidak peduli Abu Jar tiada kenderaan mewah/mahal. Abu Jar mendakwa dia menegakkan Islam, tetapi meminum darah dan tubuhnya bercacah, amalan yang dilarang oleh Islam, selain menghalalkan perzinaan apabila membenarkan Umar dan konco-konconya memperkosa Sakinah beramai-ramai.
Pun begitu, saya tidak menafikan barangkali Syamsul cuba lari daripada klise dalam filem atau drama televisyen Melayu, iaitu watak kaya-raya serta sangat berkuasa mesti memiliki rumah besar, dan kereta mewah. Jika benar begitu, ia satu percubaan yang baik kerana sekali gus menunjukkan kerancuan jiwa Abu Jar.
Abu Jar serta pengikutnya memakai jubah labuh/besar dan bercelak. Dikatakan itu mengikut sunnah Nabi Muhammad. Hal tersebut juga merupakan masalah dalam karya sastera berunsur Islam, iaitu watak warak mesti memakai jubah dan bercelak. Namun demikian, saya melihat itu sebagai menyindir orang Melayu yang menjadi lebih Arab daripada Arab jika warak (sedangkan malangnya, banyak orang Arab yang ‘jahanam’ Islam mereka). Tidak mengikut sunnah namanya jika syariat sudah punah. Hipokrasi!
Syamsul sendiri ‘menyerang balas’ hal itu menerusi penampilan Ustaz Adam yang ringkas hanya berkupiah dan berjubah tanpa cindai berbelit-belit sehingga mencekik leher.       
Hukum karma selalu ada dalam mana-mana karya sastera. Meskipun klise, tidak mengapa jika membawa kebaikan. Umar mati terbakar pada penghujung cerita. Abu Jar menemui ajal dalam keadaan yang mengerikan. Markasnya runtuh dan dia mati tertimbus dinding batu-bata ketika asyik menyeksa Ustaz Adam. Abu Jar yang berbangga dengan kekuasaan dan mencabar kuasa Allah, akhirnya mati ditimpa ‘kemegahannya’ yang palsu. Dia menyangka Ustaz Adam cuba melawan sihirnya, sedangkan agamawan muda itu berdoa, bukan bersihir.
Kebolehan Sakinah beradu tenaga dan berjaya membunuh banyak konco Abu Jar dengan kapaknya menunjukkan dia sanggup/berupaya mempertahankan anaknya. Itu melambatkan dia dan Aina ditawan oleh Abu Jar, meskipun akhirnya tewas dan tertawan kerana gagal mengatasi Umar yang lebih handal.
Umar yang gagah bergasak digunakan oleh Abu Jar untuk kepentingan dirinya. Secara tersirat, Syamsul yang juga penulis skrip menyelar orang yang menggunakan ilmu seni mempertahankan diri untuk membela penjahat dan kejahatan. Umar juga tanpa belas kasihan membelasah Ustaz Adam, dan ayah guru agama itu, Pak Rahim (Datuk Rahim Razali).
Pemaparan Ustaz Adam yang tidak pandai bertarung mungkin untuk meraih simpati penonton. Jika dia gagah, perasaan penonton menjadi sebaliknya. Itu juga untuk menjelaskan hanya Allah yang mampu membantu. Ustaz Adam tidak jemu berdoa juga menunjukkan doa ialah senjata mukmin. Jadi, umat Islam perlu sentiasa berdoa untuk memohon kebaikan, perlindungan, dan bantuan.
Sedangkan Rasulullah saw pun terkena sihir, apatah lagi agamawan biasa seperti Imam Malik, dan Ustaz Adam. Justeru, kita perlu sentiasa berwaspada, dan membentengi diri dengan nilai-nilai sejati ajaran Islam. Keikhlasan dan kejujuran yang memang amat bertentangan dengan kepura-puraan juga sangat penting.
Azman (Datuk Fizz Fairuz) munafik kerana mengkhianati Ustaz Adam yang juga kawan baiknya. Dia mengaku membunuh Maria dan menjadi saksi (memfitnah) Ustaz Adam memperkosa Sakinah.
Walau bagaimanapun, kebaikan masih ada dalam dirinya ketika melihat Ustaz Adam diseksa oleh Abu Jar. Dia sempat memohon maaf daripada rakannya itu, dan bertaubat sebelum lari menyelamatkan diri daripada bencana Allah yang menimpa Abu Jar.
Ada yang bertanya mengapa kata-kata/dialog semasa pertarungan protagonis (Ustaz Adam) dengan antagonis (syaitan yang merasuk diri Imam Malik, Sakinah dan Ustaz Adam sendiri) dalam bahasa Arab, berbeza dengan filem Indonesia yang berbahasa kebangsaan. Ingin diingatkan bahawa antaranya ialah ayat al-Quran yang diangkat menjadi doa – lebih afdal dan beraura dalam bahasa Arab, sebagaimana bacaan dalam solat.
Meskipun Ustaz Azhar dan Sakinah mati, itu bukan petanda kebaikan atau pihak yang baik tewas. Mereka hanya manusia biasa seperti kita yang tidak hidup selama-lamanya. Namun begitu, mereka ialah lambang pejuang Islam yang mahu membela Islam – manusia mati, tetapi Islam terus hidup sehingga hari kiamat.
Seperkara lain yang mahu disentuh ialah watak wanita iblis (Weni Panca, pelakon Indonesia). Munafik 2 yang menelan biaya RM2.8 juta ialah filem seram Melayu Malaysia dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, kenapa wanita iblis bertutur dalam loghat Indonesia?
Usahlah itu semata-mata kerana mahu menembusi pasaran Indonesia. Pelakon jelita Indonesia, Dian Sastrowardoyo, yang terkenal dengan filem Ada Apa Dengan Cinta? (2002) turut membintangi untuk pasaran Indonesia. Namun demikian, bagi promosi di Indonesia, Syamsul memilih Weni.
Ustaz Adam dikatakan munafik. Dia didakwa oleh penduduk kampung dan wanita iblis bukan membela Islam, tetapi melindungi/menyelamatkan dirinya. Bukankah jika seseorang umat itu membela/memelihara Islam, Allah akan membela/melindunginya?
Munafik 2 yang juga filem ke-10 arahan Syamsul turut ditayangkan di Indonesia, selain Singapura, dan Brunei Darussalam. Syamsul pernah mengumumkan Munafik 2 bakal ditayangkan pada awal tahun. Apabila terlewat, banyak yang mula bertanya, terutamanya peminat di Indonesia. Munafik 2 menemui peminat di Indonesia seminggu selepas tayangan di Malaysia. Cuma, tayangan di Singapura dan Brunei Darussalam sahaja serentak.
Lantaran Munafik menjadi filem Melayu terlaris di dua negara berkenaan, lebih banyak pawagam dibuka untuk Munafik 2. Di negara kita ada 130 pawagam.
Munafik 2 menarik minat Thailand, Vietnam dan Kemboja. Indonesia mahukan Munafik 2 selepas melihat kejayaan Munafik di negara itu pada 2016. Untuk pasaran Indonesia, Munafik 2 ditayangkan di lebih 100 pawagam mulai penghujung September.
Menurut Syamsul, tiga negara itu bersetuju menerima Munafik 2 selepas menonton treler rasmi yang sudah dimuat naik ke laman Youtube, dan Facebook. Katanya, mereka pada awalnya mahu melihat poster dan jalan cerita filem bergenre seram Islam itu sebelum


















Thursday, 22 November 2018

SASTERA BUDAYA

ANTI KULIT HITAM ATAU TAK PERASAN?

Kelihatan aman tenteram dalam kejiranan tempat Starr Carter (Amandla Stenberg), 16, tinggal, Gardern Heights walaupun dikawal oleh pengedar dadah, King Lords (Anthony Mackie).
Suasana persekitaran/perjalanan sekolah persendirian, Williamson Prep. juga nampak sentosa tanpa masalah perkauman, samseng, dan buli. Semua pelajar tanpa mengira warna kulit bergaul dengan baik - riang, mesra, dan saling menghormati. Tiada siapa pun menyangka keadaan tersebut akan bertukar huru-hara.
Starr dapat menyesuaikan dirinya menjalani kehidupan dua dunia - penduduk miskin, kebanyakannya berkulit hitam di Gardern Heights, dengan penduduk berada, kebanyakannya berkulit putih di Williamson Prep, sekolah dia belajar.
Walau bagaimanapun, kesejahteraan itu tergugat selepas Starr menyaksikan rakan baiknya sejak bayi, Khalil Harris (Algee Smith) mati ditembak oleh seorang anggota polis berkulit putih semasa mereka dalam perjalanan pulang dari sebuah parti pada suatu malam.
Starr berubah sikap dan trauma dengan kejadian itu (tambahan pula semasa kanak-kanak, dia pernah menyaksikan rakan perempuannya yang ditembak mati semasa mereka bermain bola keranjang - cuma penembaknya pemuda berkulit hitam). Dia menjadi pembenci, dan marah-marah.
Kurang jelas apa kesalahan Khalil sehingga anggota polis itu menahan kereta yang dia dan Starr naiki.
Starr tidak nampak apa kesalahan Khalil (barangkali Khalil tidak menyalakan lampu isyarat keretanya ketika memasuki lorong. Mungkin juga dia memandu di lorong yang salah).
Kemudian tiga das tembakan yang membunuh pemuda itu membuat dia marah - sikat rambut yang diambil oleh Khalil disangka sebagai pistol oleh anggota polis tersebut.
Starr mempertikaikan adakah anggota polis itu benar-benar tidak nampak sikat rambut tersebut, atau memang anti kulit hitam.
Gadis manis itu bingung dan tersepit kerana teman lelakinya, Chris (KJ Apa) yang sama sekolah, berkulit putih. Dua orang rakan baiknya di sekolah itu, Hailey (Sabrina Carpenter) dan Maya (Megan Lawless) juga berkulit putih, dan ayah saudaranya, Carlos (Common), anggota polis (detektif), berkulit hitam.
Ayah Starr, Maverick Carter (Russell Hornsby) terkejut anak gadisnya itu bercinta dengan Chris. Dia juga terkejut kerana isterinya, Lisa (Regina Hall), dan anak lelakinya, Seven (Lamar Johnson) sudah lama tahu, tetapi berahsia.
Entah kerana cinta, atau tidak perkauman, Starr membantah ayahnya dengan mengatakan Chris ialah teman lelaki, bukan teman lelaki berkulit putih - ayahnya sangsi dan kelihatan tidak senang.
Sejak tragedi Khalil juga merenggangkan diri/bertelagah dengan Carlos - kerana jawatan/kerja birasnya itu.
Kematian Khalil menjadi berita utama. Identiti Starr sebagai saksi dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Persetujuan Starr diwawancara di televisyen dan membuat pengakuan di hadapan juri utama setelah dicadangkan oleh peguam hak awam untuk meredakan keadaan.
Namun demikian, keadaan menjadi parah kerana sambil mempertahankan Khalil semasa wawancara - wajah Starr dikaburkan, dia menyebut nama King. Lantas King mengugut Starr dan keluarganya. Mereka terpaksa berpindah ke rumah Carlos.
Walau bagaimanapun, Maverick yang pernah menjadi penghuni penjara tiga tahun akibat aktiviti dengan kumpulan King, enggan tinggal di rumah Carlos (Seven menemaninya di rumah mereka).
Maverick mengusahakan kedai runcit di Garden Heights selepas bebas. Dia dibenarkan "cuci tangan" oleh King kerana "jasa"nya menghalang King diberkas.
Kebencian di kejiranan Starr merebak selepas juri utama gagal mendakwa anggota polis penembak Khalil. Demonstrasi dan bantahan jalanan tercetus.
Keadaan itu memaksa Starr menampilkan dirinya sebagai saksi kematian Khalil. Itu merenggangkan hubungannya dengan Hailey, malah Chris.
Dia mendapat sokongan aktivis berslogan "Just Us Justice", April Oprah (Issa Rae) untuk bersuara.
Hubungan Starr-Hailey putus kerana Starr merasakan Hailey berpura-pura menyokong, padahal bersikap perkauman.
The Hate U Give yang berklasifikasi PG-13 dan berdurasi 133 minit diadaptasi daripada novel dewasa berjudul serupa, karya Angie Thomas.
Novel tersebut diterbitkan oleh Brizer + Bray pada 28 Februari 2017. Ia menduduki tempat pertama novel terlaris dalam senarai tersebut di The New York Times selama 50 minggu, serta menerima ulasan positif, dan memenangi beberapa anugerah.
Ia juga merupakan novel pertama Thomas yang dikembangkan daripada cerpen yang ditulis semasa di kolej, ekoran kejadian pegawai polis menembak mati Oscar Grant.

SukaTunjukkan lagi reaksi

Sunday, 18 November 2018

FILEM YANG MEMBELA ATAU MENGHINA FREDDIE MERCURY?



SASTERA BUDAYA
Queen kumpulan rock dari London pada 1970, yang dianggotai Freddie Mercury (penyanyi utama/piano), Brian May (gitar utama/penyanyi), Roger Taylor (dram/penyanyi), dan John Deacon (bass). Lagu-lagu awalnya dipengaruhi rock progresif, rock keras, dan heavy metal.

Walau bagaimanapun, lagu-lagu Queen beransur-ansur beralih kepada yang lebih konvensional, dan "mesra radio" dengan pelbagai gaya, seperti rock arena dan rock pop. Kebetulan Smile kehilangan penyanyi utama, Tim Staffell ketika Mercury mendekati May dan Taylor. Mercury menawarkan diri sebagai pengganti, dan menunjukkan bakatnya. Dia diterima kerana gaya dan suaranya unik. Deacon menyertai Queen sebelum rakaman album pertama, Queen pada 13 Julai 1973. Queen pertama kali tersenarai dalam carta United Kingdom (UK) dengan album kedua, Queen II (1974). Namun demikian, kemunculan Sheer Attack (1974) dan A Night at the Opera (1975) membawa mereka mengecapi kejayaan antarabangsa.
Sebelum muncul dengan Queen, May dan Taylor bermain dalam kumpulan Smile. Mercury (nama sebenarnya Farrokh Bulsara) merupakan peminat Smile. Dia menggesa mereka bereksperimen lebih terperinci dalam teknik pentas dan rakaman.

Album News of the World (1977) pula mengandungi lagu "We Will Rock You" dan "We Are the Champions" (yang dijadikan lagu temasya sukan). Lagu "Bohemian Rhapsody" (album ketiga) juara carta lagu popular di UK sembilan minggu berturut turut (walaupun eksekutif EMI, Ray Foster (lakonan Mike Myers) melarang penyiaran pertama kali di radio kerana
berdurasi enam minit) yang ikut mempopularkan trend video muzik. Pada awal 80-an, Queen antara kumpulan "rock stadium" terbesar di dunia. Seterusnya ia menerima Anugerah Ivor Novello bagi Koleksi Lagu Hebat dari Akademi
Pengarang, Penulis Lagu dan Komposer British (2005).

"Another One Bites the Dust" (1980) menjadi single paling laku, sementara album kompilasi, Greatest Hits (1981) terlaris di UK, dan lapan kali dianugerahi platinum di Amerika Syarikat. Queen turut menerima anugerah Sumbangan Luar Biasa untuk Anugerah Muzik British dari Industri Fonografi British (1990). Mereka dibawa ke Rock and Roll Fame pada 2001. Semua ahli Queen mencipta pelbagai lagu popular dan dibawa ke Songwriters Hall of Fame (2003). Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman Grammy pula diterima pada 2018. Apa pun, konsert "Live Aid" telah memulihkan krisis Queen. Persembahan semua penyanyi, termasuk Queen secara percuma dalam konsert itu turut mengubah sikap ayah Mercury, Bomi Bulsara (Ace Bhatt) terhadapnya yang membantah dia menjadi penyanyi. Queen mengadakan konsert terakhir pada Ogos 1986, lima tahun sebelum Mercury mati akibat komplikasi AIDS.
May dan Taylor turut menjadi konsultan kreatif untuk filem yang menampilkan keunggulan Queen - menumpukan kehidupan Mercury dan persembahan "Live Aid" Queen di Stadium Wembley pada 1985 ini. Berapa peratus paparan yang sebenar? Jika Mercury tidak menghidap AIDS, lain kisah filem ini. Andainya dia menjadi penyanyi solo (ditawarkan $4 juta), tentu berlainan juga. Mercury bergelut dengan amalan biseksualnya - di samping mencintai Mary, dia meminati lelaki/gay - berskandal dengan pengurus peribadinya, Paul Prenter (Allan Leech), dan teman lelakinya, Jim Hutton (Aaron McCusker), memecat pengurus kedua Queen, John Reid (Aidan Gillen), menagih dadah, dan berenggang dengan rakan-rakan kumpulannya.

Walau bagaimanapun, filem berdurasi 135 minit ini menghiburkan, dan mengharukan penonton menerusi lakonan mantap, terutamanya Rami Malek. Queen tetap "legenda hidup" meskipun tanpa Mercury. Taglinenya, "perkara terhebat selain muzik Queen ialah kisah penyanyi utamanya", dan judulnya boleh dianggap tepat. Kisah Freddie (kacukan Iran-British) yang menulis lagu, menubuhkan kumpulan Queen bersama-sama May (Gwilym Lee), Taylor (Ben Hardy), dan Deacon (Joseph Mazzello) - rakan baharu, dengan sokongan teman wanitanya, Mary Austin (Lucy Boynton) memang yang sebenar. Itu menunjukkan masih ada sikap yang baik dalam diri Mercury. Atas peringatan/nasihat Mary yang hamil, Mercury memecat/mengusir Prenter yang sebenarnya pengkhianat dan "pengadu domba".
Mercury juga muak dengan ajaran Zoroastri oleh ayahnya, iaitu "pemikiran yang baik, perkataan yang baik, dan amalan yang baik". Kerjaya Queen begitu cemerlang di sebalik pelbagai masalah peribadi Mercury, sehingga mendapat sambutan hangat semasa menjayakan konsert "Live Aid". Sebelum membuat persembahan, Mercury memberitahu rakan-rakan kumpulannya bahawa dia menghidap AIDS, tetapi meminta mereka berlagak biasa demi kejayaan persembahan.
Dalam pertarungan melawan AIDS, Mercury tetap menyayangi Queen sehingga ke akhir hayatnya.