Pages

Saturday, 24 November 2018


NOSTALGIA

SASTERA BUDAYA


Penyair Malam RENDAH MARTABAT PENYAIR?

PENYAIR Malam (PM) adalah filem ketujuh terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd. PM diarahkan oleh Kamal Ishak – antara pengarah muda berpotensi dalam dunia perfileman tanah air.
Filem arahan kedua Kamal selepas Cinta Kita (tahun 1993) ini dibarisi pelakon muda seperti Zack Idris, Yasmin Suraya, Hairul Riyno di samping Aman Graseka, Sheila Mambo, Aishah Baharum dan Ismail Din.
Secara ringkas, PM mengisahkan Adam (lakonan Zack Idris) menjadi mekanik motosikal selepas keluar dari Sekolah Henry Gurney yang bercinta dengan Azira (Yasmin Suraya).
Azira bisu dan pekak. Tetapi, menjadi guru di sekolah pendidikan khas yang berbakat melukis. Sementara Adam sendiri berbakat menulis sajak dan menggunakan nama pena Penyair Malam.
Bagaimanapun, Adam dicintai pula oleh gadis liar, Rina (Sheila Mambo) selepas membaiki motosikalnya. Rina sebenarnya adalah teman istimewa Farid (Aman Graseka), kaki lumba motosikal.
Lantaran itu, Farid cemburu dan mencabar Adam berlumba dengannya. Dia berjanji akan melepaskan Rina jika Adam berjaya menewaskannya. Namun begitu, cinta Rina terhadap Adam hanyalah bertepuk sebelah tangan.
Dalam serba salah, Adam menyahut cabaran Farid walaupun ditentang oleh Azira. Adam memenangi perlumbaan. Tetapi, akhirnya dicederakan oleh Farid yang bertindak liar.
Usia Adam masih panjang. Walaupun terlalu cemburu dan dua kali memutuskan hubungan dengan Adam, Azira akhirnya tetap menerima Adam. Rina kecewa cintanya tidak berbalas.
Demikian mudah dan klise kisah PM. Tidak menggugah pemikiran langsung. Hanya menarik pada tajuk, tetapi jelas tidak relevan dengan cerita.
Seolah-olah suatu tradisi, kebanyakan filem Melayu harus menampilkan daya tarikan sinonim untuk selera penonton remaja, seperti motosikal besar dan disko yang dibumbui cinta murahan serta memualkan.
Sepatutnya fokus dilebihkan kepada kehidupan Adam sebagai penyair/penulis. Selami dan hayati struktur wataknya, segala permasalahannya sebagai penyair seperti mendapat tempat di media, mutu karya kehendak penerbit, penerimaan masyarakat dan sebagainya.
Malangnya, apa yang ditonjolkan, Adam terbabit dengan perlumba motosikal panas baran itu tidak menyumbangkan jasa apa-apa, gadis liar murahan dan cinta luaran.
Ada beberapa persoalan menarik yang suka saya perkatakan. Semuanya berkaitan dengan pemikiran, perasaan dan budaya Melayu.
Hasil kerja PM ini amat mengecewakan. Mujurlah saya menontonnya semasa majlis Apresiasi Filem 1998, anjuran Persatuan Sutradara Filem Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS. Jika tidak. menyesal juga membaayar harga tiket untuk membuang masa menonton filem ini walaupun tajuknys memikat.
Tiga orang ahli panel apresiasi, iaitu A Wahab Hamzah, Hassan Mutalib dan Rahimi H sepakat mengatakan masalah utama PM ialah skrip. Mereka mendakwa letih dan kecewa menonton PM.
Subjek filem ini sebenarnya menarik. Kisah penyair yang bekerja sebagai mekanik (kerja kolar biru), bercinta pula dengan gadis bisu dan pekak. Daripada satu segi, melaungkan bahawa siapa pun boleh menjadi penulis (penyair) asalkan berminat, bersungguh-sungguh dan berbakat.
Selain itu, PM juga melaungkan betapa cinta tidak hanya untuk insan yang sempurna fizikal sahaja. Mereka boleh bercinta sesama insan senasib ataupun dengan insan sempurna fizikal jika telah ditakdirkan.
Namun begitu, subjek yang menarik ini tidak meyakinkan penampilannya dan terkapai-kapai lantaran kelemahan skrip. Apa yang dipaparkan sekadar pada permukaan, tidak mendasar.
Mengapa Adam menjadi penyair? Apa dan siapakah yang mendorongnya menjadi penyair? Dalam PM, ditunjukkan Adam menaip sajak, mendeklamasikan sajak di dalam hujan dan tidur bersama buku. Namun, itu belum cukup meyakinkan penonton, apatah lagi peneliti.
Mengapa pula Adam begitu mencintai Azira (dalam filem ini digambarkan hanya kerana rupa paras)? Mengapa Azira juga begitu mencintai Adam? Jika cintanya suci, kenapa begitu mudah dia memutuskan hubungan kasihnya itu lantaran cemburu yang melulu?
Inilah satu daripada persoalan yang inginsaya sentuh. PM memaparkan cinta luaran, bukan cinta sejati. Entah kenapa Adam menyair. Adam tertarik kepada Azira kerana wajah. Azira pula entah kenapa begitu mudah membalas cinta Adam. Tidak pula digambarkan dia tertarik kerana kagum akan sajak-sajak Adam.
Satu lagi persoalan ialah plot tipikal dalam filem Melayu. Entah kenapa sejak dari dahulu lagi lelaki bergaduh kerana perempuan dijadikan struktur plot cerita filem Melayu.
Dalam PM, protagonist (Adam) amat dibenci oleh antagonis (Farid) kerana cemburu akan teman wanitanya (Rina). Hampir separuh cerita ditenggelami struktur plot memualkan ini. Hilang kisah Adam sebagai penyair, sedangkan sepatutnya hubungan Adam dengan penerbit (Ahmad Tamimi Siregar) dikembangkan.
Saya melihat keprihatinan penerbit ini dapat mengangkat martabat penyair muda. Dapat dikatakan Adam mewakili penyair muda berpotensi yang diperhatikan oleh penerbit.
Penerbit memuji dan sanggup menerbitkan karya Adam atau Penyair Malam, malah hingga mengadakan sebuah majlis diskusi khas (di Dewan Bahasa dan Pustaka) memperkatakan karya untuk memperkenalkan siapakah Penyair Malam.
Namun, begitulah. Ulasan pengkritik mengenai kekuatan karya Penyair Malam nampaknya menjadi mangsa penyunting filem ini!
Lantaran kelemahan skrip atau sengaja mahu memancing penonton remaja, kredibiliti Penyair Malam tenggelam dalam cinta luaran dan ngauman motosikal.
Hubungan penerbit-Adam tidak meyakinkan. Saya juga melihat pada beberapa ketika, PM mengangkat martabat penyair muda, sedang pada banyak ketika yang lain pula, ia merendahkan peribadi Penyair Malam.
Tidak sewajarnya Penyair Malam yang sudah terkenal dan diangkat, terlibat dengan masalah klise seperti itu.
Dia tidak sepatutnya melayan kehendak Farid dan menjalinkan hubungan dengan gadis seperti Rina.
Sepatutnya PM boleh menjadi filem intelek atau cerdik dan menyaran sesuatu yang baik apabila menampilkan penyair sebagai watak utama. Bagaimanapun, sebaliknya yang terjadi.
Jika terlibat dengan cinta luaran dan bergaduh kerana perempuan, hampalah harapan kita untuk melihat protagonis alaf baharu yang sepatutnya berfikiran besar, apatah lagi penyair atau penulis.
Kecewalah kita untuk menonton filem intelek walaupun menampilkan watak penyair.                                                                                                                                                                                                                                                              


No comments:

Post a Comment