NOSTALGIA
SASTERA BUDAYA
SATU daripada tiga buah filem cereka yang dipilih mewakili negara ke
Festival Filem Asia Pasifik ke-42 di Seoul, Korea Selatan dari 6 hingga 9
Oktober tahun 1997 ialah Layar Lara.
Layar Lara yang ditayangkan
pada awal tahun 1997, arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba. Dua buah filem
lain ialah Merah (M Nasir) dan Lurah Dendam (Raja Ahmad Alaudin) yang
kedua-duanya ditayangkan pada tahun 1996. Kesemua filem ini dipilih oleh
Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM).
Saya berkesempatan
menonton Layar Lara. Setelah menontonnya, saya tidak kecewa, sebaliknya
kagum. Rasanya tidak salah atau rugi jika menontonnya lebih daripada
sekali.
Selepas Selubung (1992) dan Ringgit Kasorrga (1995),
Shuhaimi Baba menghasilkan Layar Lara. Dan ternyata Shuhaimi telah
menghasilkan filem yang berani dan lantang. Semuanya memfokuskan citra
wanita.
Selubung (lakonan M Nasir, Deanna Yusoff, dan Ida Nerina)
menampilkan wanita yang memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat.
Sementara Ringgit Kasorrga (lakonan Hans Isaac, Tiara Jacquelina, dan
Deanna Yusoff) menggeledah penyelewengan dalam dunia peragawati.
Layar Lara pula menyentuh penglibatan wanita dalam dunia perfileman
tanah air. Watak-watak yang difokuskan ialah seniwati Ina Manjalara (Ida
Nerina) dan seniwati Zai (Azean Irdawati).
Permasalahan menarik
melibatkan wanita termasuklah pelakon tiada disiplin dan komitmen,
skandal pelakon dengan kru filem dan pelakon veteran yang dilupakan.
Diselitkan juga masalah berkaitan seperti pengarah panas baran dan
produser kekurangan wang. Saya tidak pasti apakah semua itu masalah
utama dunia perfileman negara. Apakah Layar Lara ingin “membuka pekung
di dada” industri filem negara?
Antara masalah yang kerap dihebohkan
dalam dunia perfileman negara termasuklah pelakon tiada disiplin dan
komitmen, skrip lemah, cerita klise, dan pengarahan dangkal.
Berdasarkan filem Layar Lara ini, memanglah lara melihat senario
perfileman tanah air jika ramai pelakon seperti Ina. Sesungguhnya sedih
melihat semua permasalahan seperti yang dipaparkan dalam filem ini.
Ina adalah pelakon yang tidak berdisiplin dan hanyut dalam glamour. Dia
sering ponteng penggambaran dengan mereka-reka alasan (malah hingga
sanggup mengatakan ibunya sakit tenat). Dia hidup bebas, lebih-lebih
lagi apabila mempunyai hubungan dengan penyanyi kelab malam tidak
bermoral, Shak (Maman).
Namun, mungkin untuk memberi gambaran bahawa
masalah ini boleh diatasi, Ina akhirnya insaf setelah dipecat oleh
produser, Borhan (Dato’ Ismail Hutson) dan pengarah, Malik (Sidi Oraza).
Artis dikatakan menjadi perhatian dan ikutan peminat. Mereka disarankan
juga supaya menunjukkan perilaku yang baik. Ina bukan pelakon atau
artis yang baik. Kehidupannya penuh lagak dan angkuh, diburukkan lagi
apabila dia membuat hubungan pula dengan anggota kru, Daud (Man Bai).
Bagaimanapun, watak Ina tidaklah pula hitam seratus peratus. Masih ada
putihnya dan ini terbukti apabila dia menyanjung serta begitu
menghormati pelakon veteran, terutama pelakon pujaannya, seniwati Zai
yang ditemui tanpa diduganya di lokasi penggambaran.
Manusia yang
insaf dan mengakui kesalahan sukar ditemui. Ina insaf dan itu wajar
diteladani (diharapkan keinsafan Ina itu juga jujur).
Sebagai
pengarah, Shuhaimi nampaknya sedar dengan hakikat manusia biasa dan
watak berwarna-warni serta filem tidak bebas sewenang-wenangnya. Jadi,
wajarlah beliau tidak melebih-lebihkan gambaran kebaikan Ina setelah
insaf. Cuma biasa dan sewajarnya.
Skandal kru dengan pelakon juga
suatu masalah yang wajar dipandang serius. Ia bukan budaya sihat,
sebaliknya hanya mengganggu kelancaran pembikinan sesebuah filem. Layar
Lara memaparkan fenomena ini dan kesannya. Namun demikian, wujudkah
sebenarnya hal sedemikian?
Wajarkah pelakon veteran dilupakan atau
perlu sangatkah mereka diberi peluang berlakon lagi? Bagi saya,
mengingati pelakon veteran tidak semestinya dengan hanya memberi peluang
berlakon kendatipun sekadar watak tempelan. Pelakon veteran juga tidak
perlu berkecil hati andainya dilupakan.
Saya berpendapat, yang lebih
penting ialah kehadiran mereka sebagai pemerhati, penasihat, dan
perunding. Kemampuan fizikal sudah terbatas, tetapi pengalaman mereka
masih berguna. Jika benar wajar dan menguatkan lagi filem, baharu elok
diundang.
Dalam Layar Lara, para pelakon veteran termasuk seniwati
Zai dan Salmah Ibrahim di samping Aziz Satar, Mahmood June, dan Aziz
Jaafar digambarkan seperti “gian” berlakon. Saya fikir, wajarlah Malik
tidak menerima kemunculan mereka sewenang-wenangnya jika sekadar
merosakkan filem. Penerimaan Malik pada akhirnya mungkin kerana
penghargaan.
Suntingan filem yang tidak sempurna menaikkan kemarahan
Malik ketika menonton rushing filem arahannya, Tanah. Penyuntingan
filem juga adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh
penyunting mahupun pengarah.
Pengarah yang baik (teliti, peka, dan
sedar tugasnya) pasti tidak mengabaikan masalah ini. Cuma, agak aneh
jika Malik dianggap sebagai pengarah panas baran!
Pada pandangan
saya, Malik bukan panas baran. Panas baran selalunya membawa akibat
buruk. Tetapi, Layar Lara banyak menggambarkan sikap Malik itu membawa
kebaikan. Sebenarnya, Malik adalah pengarah yang tegas dan tidak
berkompromi dengan ketidakwajaran.
Pertama, saya berikan beberapa
contoh klasik Malik bergaduh dengan Daud. Namun, itu semua gara-gara
Daud memandai-mandai membawa para pelakon veteran termasuk seniwati Zai
untuk berlakon filem arahan Malik. Malik turut menempelak Daud kerana
mengabaikan tugas dan ponteng akibat hubungan dengan Ina. Daud akhirnya
insaf dirinya hanya diperalatkan oleh pelakon itu.
Kedua, dia
memecat Ina dari filemnya, Tanah, kerana tidak dapat bersabar lagi
dengan kerenah pelakon itu. Tindakan tersebut berjaya menginsafkan Ina.
Malik sanggup menerima kembali Ina kemungkinan besar disebabkan bakat
besar pelakon itu tidak wajar dipersia-siakan.
Ketiga, Malik
melempar kerusi warung. Itu diperlakukan olehnya untuk mengusir Shak
yang memaksa Ina pulang bersamanya hingga bertengkar. Dia naik marah
setelah nasihatnya tidak dipedulikan.
Jadi, sikap Malik yang
dikatakan panas baran itu kena pada tempatnya. Malik sebenarnya seorang
pengarah filem yang berkarisma. Berkarisma sepertinya turut diperlukan
oleh dunia perfileman negara. Ketegasan seperti yang dimiliki Malik
harus ada pada diri karyawan mana pun.
Cuma yang ingin saya
pertikaikan ialah berkuasanya Malik untuk menerima kembali Ina,
sedangkan dia pernah memberitahu Daud bahawa filem itu bukan atas
perbelanjaannya! Begitu juga penerimaannya terhadap pelakon veteran.
Satu perkara, mungkin tidak disedari, tetapi perlu juga diambil
perhatian berat, iaitu adegan Daud meratapi kematian seniwati Zai.
Sebagai orang Islam, kita dilarang meratapi kematian. Mujurlah adegan
itu singkat.
Secara keseluruhannya, Layar Lara diperkuatkan oleh
lakonan, suntingan, sinematografi, dan muzik latar. Filem ini bakal
menjadi filem klasik dan wajar diteladani pengarah filem negara yang
lain.
Dengan memaparkan beberapa unsur dan falsafah kemanusiaan,
Layar Lara bukanlah filem murahan, apatah lagi sesuai untuk
dikategorikan sebagai filem 18PL, 18SX, mahupun 18PA (walaupun dalam
beberapa adegan, ada unsur-unsur berkaitan). Sebaliknya, Layar Lara
adalah filem cerdik. PFM memilihnya mewakili negara.
No comments:
Post a Comment