NOSTALGIA
SASTERA BUDAYA
Penyair Malam
RENDAH MARTABAT PENYAIR?
PENYAIR Malam (PM) adalah filem ketujuh terbitan Grand
Brilliance Sdn Bhd. PM diarahkan oleh Kamal Ishak – antara pengarah muda
berpotensi dalam dunia perfileman tanah air.
Filem arahan kedua Kamal selepas Cinta Kita (tahun 1993) ini
dibarisi pelakon muda seperti Zack Idris, Yasmin Suraya, Hairul Riyno di
samping Aman Graseka, Sheila Mambo, Aishah Baharum dan Ismail Din.
Secara ringkas, PM mengisahkan Adam (lakonan Zack Idris)
menjadi mekanik motosikal selepas keluar dari Sekolah Henry Gurney yang
bercinta dengan Azira (Yasmin Suraya).
Azira bisu dan pekak. Tetapi, menjadi guru di sekolah
pendidikan khas yang berbakat melukis. Sementara Adam sendiri berbakat menulis
sajak dan menggunakan nama pena Penyair Malam.
Bagaimanapun, Adam dicintai pula oleh gadis liar, Rina
(Sheila Mambo) selepas membaiki motosikalnya. Rina sebenarnya adalah teman
istimewa Farid (Aman Graseka), kaki lumba motosikal.
Lantaran itu, Farid cemburu dan mencabar Adam berlumba
dengannya. Dia berjanji akan melepaskan Rina jika Adam berjaya menewaskannya.
Namun begitu, cinta Rina terhadap Adam hanyalah bertepuk sebelah tangan.
Dalam serba salah, Adam menyahut cabaran Farid walaupun
ditentang oleh Azira. Adam memenangi perlumbaan. Tetapi, akhirnya dicederakan
oleh Farid yang bertindak liar.
Usia Adam masih panjang. Walaupun terlalu cemburu dan dua
kali memutuskan hubungan dengan Adam, Azira akhirnya tetap menerima Adam. Rina
kecewa cintanya tidak berbalas.
Demikian mudah dan klise kisah PM. Tidak menggugah pemikiran
langsung. Hanya menarik pada tajuk, tetapi jelas tidak relevan dengan cerita.
Seolah-olah suatu tradisi, kebanyakan filem Melayu harus
menampilkan daya tarikan sinonim untuk selera penonton remaja, seperti
motosikal besar dan disko yang dibumbui cinta murahan serta memualkan.
Sepatutnya fokus dilebihkan kepada kehidupan Adam sebagai
penyair/penulis. Selami dan hayati struktur wataknya, segala permasalahannya
sebagai penyair seperti mendapat tempat di media, mutu karya kehendak penerbit,
penerimaan masyarakat dan sebagainya.
Malangnya, apa yang ditonjolkan, Adam terbabit dengan
perlumba motosikal panas baran itu tidak menyumbangkan jasa apa-apa, gadis liar
murahan dan cinta luaran.
Ada beberapa persoalan menarik yang suka saya perkatakan.
Semuanya berkaitan dengan pemikiran, perasaan dan budaya Melayu.
Hasil kerja PM ini amat mengecewakan. Mujurlah saya
menontonnya semasa majlis Apresiasi Filem 1998, anjuran Persatuan Sutradara
Filem Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Pawagam Mini P
Ramlee, FINAS. Jika tidak. menyesal juga membaayar harga tiket untuk membuang
masa menonton filem ini walaupun tajuknys memikat.
Tiga orang ahli panel apresiasi, iaitu A Wahab Hamzah,
Hassan Mutalib dan Rahimi H sepakat mengatakan masalah utama PM ialah skrip.
Mereka mendakwa letih dan kecewa menonton PM.
Subjek filem ini sebenarnya menarik. Kisah penyair yang
bekerja sebagai mekanik (kerja kolar biru), bercinta pula dengan gadis bisu dan
pekak. Daripada satu segi, melaungkan bahawa siapa pun boleh menjadi penulis
(penyair) asalkan berminat, bersungguh-sungguh dan berbakat.
Selain itu, PM juga melaungkan betapa cinta tidak hanya
untuk insan yang sempurna fizikal sahaja. Mereka boleh bercinta sesama insan
senasib ataupun dengan insan sempurna fizikal jika telah ditakdirkan.
Namun begitu, subjek yang menarik ini tidak meyakinkan
penampilannya dan terkapai-kapai lantaran kelemahan skrip. Apa yang dipaparkan
sekadar pada permukaan, tidak mendasar.
Mengapa Adam menjadi penyair? Apa dan siapakah yang mendorongnya
menjadi penyair? Dalam PM, ditunjukkan Adam menaip sajak, mendeklamasikan sajak
di dalam hujan dan tidur bersama buku. Namun, itu belum cukup meyakinkan
penonton, apatah lagi peneliti.
Mengapa pula Adam begitu mencintai Azira (dalam filem ini
digambarkan hanya kerana rupa paras)? Mengapa Azira juga begitu mencintai Adam?
Jika cintanya suci, kenapa begitu mudah dia memutuskan hubungan kasihnya itu
lantaran cemburu yang melulu?
Inilah satu daripada persoalan yang inginsaya sentuh. PM
memaparkan cinta luaran, bukan cinta sejati. Entah kenapa Adam menyair. Adam
tertarik kepada Azira kerana wajah. Azira pula entah kenapa begitu mudah
membalas cinta Adam. Tidak pula digambarkan dia tertarik kerana kagum akan
sajak-sajak Adam.
Satu lagi persoalan ialah plot tipikal dalam filem Melayu.
Entah kenapa sejak dari dahulu lagi lelaki bergaduh kerana perempuan dijadikan
struktur plot cerita filem Melayu.
Dalam PM, protagonist (Adam) amat dibenci oleh antagonis
(Farid) kerana cemburu akan teman wanitanya (Rina). Hampir separuh cerita
ditenggelami struktur plot memualkan ini. Hilang kisah Adam sebagai penyair,
sedangkan sepatutnya hubungan Adam dengan penerbit (Ahmad Tamimi Siregar)
dikembangkan.
Saya melihat keprihatinan penerbit ini dapat mengangkat
martabat penyair muda. Dapat dikatakan Adam mewakili penyair muda berpotensi
yang diperhatikan oleh penerbit.
Penerbit memuji dan sanggup menerbitkan karya Adam atau
Penyair Malam, malah hingga mengadakan sebuah majlis diskusi khas (di Dewan
Bahasa dan Pustaka) memperkatakan karya untuk memperkenalkan siapakah Penyair
Malam.
Namun, begitulah. Ulasan pengkritik mengenai kekuatan karya
Penyair Malam nampaknya menjadi mangsa penyunting filem ini!
Lantaran kelemahan skrip atau sengaja mahu memancing
penonton remaja, kredibiliti Penyair Malam tenggelam dalam cinta luaran dan
ngauman motosikal.
Hubungan penerbit-Adam tidak meyakinkan. Saya juga melihat
pada beberapa ketika, PM mengangkat martabat penyair muda, sedang pada banyak
ketika yang lain pula, ia merendahkan peribadi Penyair Malam.
Tidak sewajarnya Penyair Malam yang sudah terkenal dan
diangkat, terlibat dengan masalah klise seperti itu.
Dia tidak sepatutnya melayan kehendak Farid dan menjalinkan
hubungan dengan gadis seperti Rina.
Sepatutnya PM boleh menjadi filem intelek atau cerdik dan
menyaran sesuatu yang baik apabila menampilkan penyair sebagai watak utama.
Bagaimanapun, sebaliknya yang terjadi.
Jika terlibat dengan cinta luaran dan bergaduh kerana
perempuan, hampalah harapan kita untuk melihat protagonis alaf baharu yang
sepatutnya berfikiran besar, apatah lagi penyair atau penulis.
Kecewalah kita untuk menonton filem intelek walaupun
menampilkan watak penyair.
No comments: