SASTERA BUDAYA
R
PERLU TAHU BANYAK PERKARA UNTUK JADI RAJA
Melihat posternya yang gah, saya tidak teruja berlebih-lebihan kerana kerap berlaku ‘indah khabar dari rupa’. Walau bagaimanapun, tanggapan awal saya meleset selepas menonton filem yang berdurasi 143 minit ini.
Persembahan AQUAMAN mengejutkan saya. Bukan sahaja mengagumi visualnya, tetapi juga mesej dan falsafah yang diselitkan. Tahniah kepada pengarah James Wan, serta penulis lakon layar, David Leslie Johnson-McGoldrick, dan Will Beall.
Kehebatan visual AQUAMAN menguatkan bukti bahawa kemampuan imej janaan komputer (CGI) HOLLYWOOD tidak boleh disangkal lagi – semakin maju dan canggih. Saya fikir tiada penonton yang dapat melupakan adegan pertarungan/pertempuran/peperangan di dalam laut – hasil CGI - walaupun ada yang klise. Itu telah memenuhi impian Wan untuk menghasilkan filem ‘a la’ STAR WARS – ‘Star Wars di dalam laut’.
Penampilan Jason Momoa sebagai Arthur Curry/Aquaman, manusia separuh normal dan Atlantean juga mengejutkan, kerana dalam BATMAN V SUPERMAN: DAWN OF JUSTICE (2016) dan JUSTICE LEAGUE (2017) dia tidak begitu memikat - mungkin kerana kurang adegan, dan dibayangi adiwira lain. Momoa memang sesuai sebagai Aquaman.
Cuma, barangkali kerana terlepas pandang atau disengajakan, penampilan Arthur dan Aquaman tidak banyak berbeza – dari cara berpakaian dan bercakap sehingga dia mudah dikenali sebagai adiwira itu – cacah pada tubuhnya kekal kelihatan. Ayahnya, Thomas Curry (Temuera Morrison/manusia normal) mengetahui, dan beberapa pemuda bertubuh besar di dalam bar tidak salah sangka, serta mahu bergambar dengannya.
Ada peminat, pemerhati, dan pengkritik filem mengatakan biasanya filem adwira tiada mesej berguna atau pengajaran/falsafah kemanusiaan. Namun demikian, saya dapat mengambil mesej berguna/pengajaran/falsafah dari filem ini. Satu daripadanya, seseorang raja perlu mengetahui/menguasai semua atau banyak perkara/banyak ilmu untuk tampil sebagai pemerintah/pemimpin berwibawa.
Tentu sahaja AQUAMAN ialah singkatan bagi AQUARIUM MAN yang bererti Manusia Akuarium. Akuarium juga bermaksud atau dikaitkan dengan ikan. Ikan yang mendiami akuarium masih di dalam air, tetapi matanya dapat memandang keluar – dunia luar, sama ada ruang tamu rumah, ruang kedai dan/atau manusia yang melihatnya (tuan rumah/tetamu/tuan kedai/pengunjung/pelanggan).
Arthur ialah anak kacukan manusia dan Atlantean. Ibunya, Atlanna (Nicole Kidman) merupakan Ratu Atlantean. Atlanna diselamatkan oleh Thomas yang bekerja sebagai penjaga rumah api, dan mereka saling jatuh cinta sehingga berkahwin, lalu memperoleh Arthur.
Lantaran ayah manusia biasa dan ibu pula ratu lautan, Arthur hidup di dua dunia – daratan dan lautan. Dia seumpama ikan yang berada di dalam akuarium.
Kekasihnya, Mera (Amber Heard) sendiri ketika mendorong Arthur agar bersemangat, mengatakan pemuda itu ialah raja sejati kerana (mampu) menjadi jambatan antara manusia normal di daratan dengan Atlantean di lautan – hasil pengalaman hidup di daratan dan lautan – pada usia sembilan tahun (lakonan Kaan Guldur), dan 13 tahun (Otis Dhanji).
Berdarah kacukan, tetapi Arthur berhati mulia kerana suka membantu manusia normal yang dalam kesusahan di daratan - seperti yang dikatakan oleh Nuidis Vulko (Willem Dafoe), penasihat yang kemudian menjadi mentornya ketika pertama kali datang ke Antlantis.
Arthur berbeza dengan adik tirinya, Orm/Penguasa Lautan (Patrick Wilson). Orm tidak menyukainya - pendendam dan menyangka melulu. Dia tidak puas hati dan membenci Arthur kerana bukan Atlantean sejati, dan menyangka menjadi punca ibunya (Atlanna) mati. Orm turut mengisytiharkan perang terhadap dunia daratan kerana marah manusia terus mencemarkan lautan.
AQUAMAN didasarkan daripada watak DC Comics yang bernama serupa, edaran Warner Bros. Pictures. Ia sajian keenam dalam DC Extended Universe (DCEU).
Turut dibintangi pelakon veteran Dolph Lundgren, dan bakat baharu Yahya Abdul-Mateen II, AQUAMAN merupakan filem ketiga di pawagam yang menampilkan adiwira itu selepas BATMAN V SUPER: DAWN OF JUSTICE dan JUSTICE LEAGUE, serta filem pertama berpusat pada watak Aquaman.
Arthur ialah waris kerajaan bawah laut yang enggan menjadi Raja Atlantis dan tujuh lautan, perlu berusaha keras memimpin rakyat menentang Orm, yang cuba menyatukan tujuh kerajaan bawah laut menentang dunia daratan. Dia berkemampuan memanipulasi pasang surut lautan, berkomunikasi dengan hidupan laut lain, berenang dengan kepantasan supersonik, dan memiliki kudrat luar biasa. Dia sebenarnya terperangkap antara dunia daratan yang berterusan mencemari lautan dengan Atlanteans yang mahu memberontak, tetapi ingin/perlu melindungi seluruh dunia.
Dalam masa yang sama, Arthur/Aquaman perlu menghadapi David Kane/Black Manta (Yahya Abdul-Mateen II) yang mendendaminya. David ialah perompak laut dalam yang kejam, kemudian menjadi Black Manta dengan inovasi teknologi canggih, hasil pakatan jahatnya bersama-sama Orm. Dia menjadi musuh kekal Aquaman, dan membalas dendam kerana adiwira itu tidak menyelamatkan ayahnya, Jesse Kane (Michael Beach) yang tercedera selepas pertarungan dalam satu rompakan kapal selam. Jesse meletupkan dirinya sendiri.
Mera yang memang pahlawan, merupakan puteri kepada Raja Nereus (Dolph Lundgren), raja puak Xebel. Dia dibesarkan oleh Ratu Atlanna, dan akan diangkat menjadi ratu - bertunang dengan Orm. Dia memiliki kuasa hidrokinetik, dan telepati yang membolehkannya mengawal persekitaran akuatik, dan berhubung dengan Atlantean lain.
7/10
Pages
▼
Saturday, 29 December 2018
SASTERA BUDAYA
KONSERT JELAJAH MEGA DATO' SRI SITI NURHALIZA
'
Jerayawara Dato' Sri Siti Nurhaliza (Dato' Sri Siti Nurhaliza on Tour)' akan menjadi konsert jelajah terbesar beliau, merangkumi dua fasa dalam jangkamasa dua tahun. Bermula dengan negara-negara jiran kita, Indonesia (di Jakarta) dan Singapura, serta semestinya kembali ke negara kelahiran, Malaysia (Kuala Lumpur).
Pihak produksi dan pengurusan Siti Nurhaliza juga sedang berbincang untuk menghidupkan kembali detik Royal Albert Hall London, dan beberapa lagi lokasi ikonik untuk dijelajahi.
Ini mimpi yang menjadi kenyataan. Siti terharu atas komitmen banyak pihak dalam menjayakan konsert jelajah ini, serta tidak mungkin dapat melakukannya sendirian.
Siti percaya dengan sokongan peminat-peminat setia beliau, Sitizoners, serta peminat yang menantikan kemunculannya, konsert jelajah dan perancangan ini bakal menjadi sesuatu yang hebat.
Konsert 'Jerayawara Dato' Sri Siti Nurhaliza' juga merupakan platform Siti untuk.membawa nama, muzik dan budaya Malaysia ke Indonesia, dan mungkin lebih banyak tempat lain selepas ini.
Jangan ketinggalan menjelajah bersama-sama Siti dalam perjalanan muzik yang bakal merakamkan lebih daripada 20 tahun keberadaan beliau dalam bidang seni suara tanah air. Mari bersama-sama meraikan detik untuk menikmati vokal, muzik dan legenda ini sendiri dalam konsert jelajah terbesar beliau.
Menerusi 'Jerayawara Dato' Sri Siti Nuhaliza', Siti bersuara. Sebuah perjalanan muzikal yang akan membawa khalayak bernostalgia dengan satu demi satu lagu hit beliau, dan digubah semula untuk menggoncang debaran rasa, serta membuatkan para peminat dapat bersama-sama menikmatinya.
Setiap segmen persembahan akan menampilkan yang terbaik dari yang terbaik; untuk segmen Etnik/Tradisional, Balada, Carta Unggul, dan Unplugged, semua muzik dihasilkan dan diatur semula oleh pemuzik 'extraordinaire', Aubrey Suwito bersama-sama bandnya, All Star. Aubrey memilih sendiri para pemuzik pengiring jelajah muzik ini merangkumi pemuzik kota New York sehinggalah kepada pemuzik luar biasa tempatan yang telah bersama-sama Siti sejak mula perjalanan kerjayanya.
Konsert ini juga akan mengundang penyanyi lelaki Indonesia yang hebat, Tulus. Gabungan kedua-dua suara yang luar biasa ini pasti menghasilkan detik ajaib. Tulus bakal membawakan lagu-lagu hitnya yang pasti tidak wajar dilepaskan oleh para peminat setia.
Tiket konsert boleh didapati di www.mytickets.asia mulai 26 Disember 2018. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.shirazprojects.com atau hubungi 012 2560082.
Maklumat konsert
Tarikh:
21 Februari 2019, Istora Senayan, Jakarta.
2 Mac 2019, Singapore Expo, Singapura.
16 Mac 2019, Arena Axiata, Kuala Lumpur.
Harga tiket:
RM1,295 (Meet & Greet), RM495 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold), RM155 (Silver), RM105 (Bronze).
KONSERT JELAJAH MEGA DATO' SRI SITI NURHALIZA
'
Jerayawara Dato' Sri Siti Nurhaliza (Dato' Sri Siti Nurhaliza on Tour)' akan menjadi konsert jelajah terbesar beliau, merangkumi dua fasa dalam jangkamasa dua tahun. Bermula dengan negara-negara jiran kita, Indonesia (di Jakarta) dan Singapura, serta semestinya kembali ke negara kelahiran, Malaysia (Kuala Lumpur).
Pihak produksi dan pengurusan Siti Nurhaliza juga sedang berbincang untuk menghidupkan kembali detik Royal Albert Hall London, dan beberapa lagi lokasi ikonik untuk dijelajahi.
Ini mimpi yang menjadi kenyataan. Siti terharu atas komitmen banyak pihak dalam menjayakan konsert jelajah ini, serta tidak mungkin dapat melakukannya sendirian.
Siti percaya dengan sokongan peminat-peminat setia beliau, Sitizoners, serta peminat yang menantikan kemunculannya, konsert jelajah dan perancangan ini bakal menjadi sesuatu yang hebat.
Konsert 'Jerayawara Dato' Sri Siti Nurhaliza' juga merupakan platform Siti untuk.membawa nama, muzik dan budaya Malaysia ke Indonesia, dan mungkin lebih banyak tempat lain selepas ini.
Jangan ketinggalan menjelajah bersama-sama Siti dalam perjalanan muzik yang bakal merakamkan lebih daripada 20 tahun keberadaan beliau dalam bidang seni suara tanah air. Mari bersama-sama meraikan detik untuk menikmati vokal, muzik dan legenda ini sendiri dalam konsert jelajah terbesar beliau.
Menerusi 'Jerayawara Dato' Sri Siti Nuhaliza', Siti bersuara. Sebuah perjalanan muzikal yang akan membawa khalayak bernostalgia dengan satu demi satu lagu hit beliau, dan digubah semula untuk menggoncang debaran rasa, serta membuatkan para peminat dapat bersama-sama menikmatinya.
Setiap segmen persembahan akan menampilkan yang terbaik dari yang terbaik; untuk segmen Etnik/Tradisional, Balada, Carta Unggul, dan Unplugged, semua muzik dihasilkan dan diatur semula oleh pemuzik 'extraordinaire', Aubrey Suwito bersama-sama bandnya, All Star. Aubrey memilih sendiri para pemuzik pengiring jelajah muzik ini merangkumi pemuzik kota New York sehinggalah kepada pemuzik luar biasa tempatan yang telah bersama-sama Siti sejak mula perjalanan kerjayanya.
Konsert ini juga akan mengundang penyanyi lelaki Indonesia yang hebat, Tulus. Gabungan kedua-dua suara yang luar biasa ini pasti menghasilkan detik ajaib. Tulus bakal membawakan lagu-lagu hitnya yang pasti tidak wajar dilepaskan oleh para peminat setia.
Tiket konsert boleh didapati di www.mytickets.asia mulai 26 Disember 2018. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.shirazprojects.com atau hubungi 012 2560082.
Maklumat konsert
Tarikh:
21 Februari 2019, Istora Senayan, Jakarta.
2 Mac 2019, Singapore Expo, Singapura.
16 Mac 2019, Arena Axiata, Kuala Lumpur.
Harga tiket:
RM1,295 (Meet & Greet), RM495 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold), RM155 (Silver), RM105 (Bronze).
Sunday, 16 December 2018
NOSTALGIA
SASTERA BUDAYA
Ada
juga yang menganggap Nasir tidak layak membawa watak Hang Tuah. Tiara juga
tidak sesuai kerana bangun tubuhnya yang kecil. Namun, Nasir membuktikan
karismanya sebagai pelakon dengan gerak tubuh tangkas bersilat, bertutur,
ekspresi wajah dan gerak bola mata yang meyakinkan. Dia begitu meyakinkan
sebagai Hang Tuah yang gagah perkasa, tetapi dalam masa yang sama serba salah
dan tension di antara kesetiaan
terhadap raja dengan cintanya yang mendalam terhadap Gusti Putri.
SASTERA BUDAYA
DENGAN KOS BESAR PGL PATUT LEBIH MENGAGUMKAN
MENURUT
pemerhatian saya, ada enam sebab utama filem Puteri Gunung Ledang (PGL) paling mendapat perhatian dan
diperkatakan ramai.
Pertama, filem sulung terbitan Enfiniti Productions Sdn Bhd
ini menelan biaya RM20.5 juta – jumlah paling besar pernah dikeluarkan oleh
penerbit filem Melayu. Jika dilihat sejarah pembiayaan filem Melayu, jumlah ini
boleh menghasilkan kira-kira 17 buah filem. Biaya promosinya sahaja RM4.5 juta!
Tempoh pembikinannya juga hampir dua setengah tahun (sembilan bulan
penggambaran) dengan rombakan skrip sebanyak 18 kali yang mengambil masa hampir
12 bulan!
Kedua, PGL terpilih (filem tunggal dari Asia Tenggara)
menyertai Festival Filem Antarabangsa Venice ke-61 di Venice, Itali pada 1
hingga 11 September 2004 (meskipun sekadar untuk kategori pengarahan pertama).
Ia antara 1,900 buah filem yang berjaya menyertai festival ini serta terpilih
dalam 71 buah yang telah disenarai pendek untuk ditayangkan kepada 200,000
delegasi dari seluruh dunia pada malam ‘The Great Spectacular Midnight’, 5
September 2004 (turut diundang menyertai Festival Filem Toronto).
Ketiga, PGL adalah filem Melayu pertama bercorak purba
serius pada alaf baharu (Lang Buana
adalah filem purba komedi). Ia juga adalah filem Melayu berunsur legenda
sejarah (boleh juga dikelaskan sebagai filem fiksyen sejarah) pertama yang
dihasilkan pada dekad ini di bawah arahan sutradara bukan Melayu!
Keempat, peminat ingin menonton kemunculan semula Datin
Tiara Jacquelina (sebagai Gusti Putri Retno Dumilah) selepas Ringgit Kassorga (tahun 1995 – meraih
anugerah Pelakon Wanita Terbaik) dan cameo
dalam Perempuan Melayu Terakhir (PMT
– 1999).
Kelima, peminat juga ingin menonton kemampuan sifu dan music maestro tanah air, Dato’ M Nasir
memegang watak Laksamana Hang Tuah. Kali terakhir Nasir muncul (itu pun sebagai
cameo) dalam filem ialah menerusi
PMT, arahan Erma Fatima.
Keenam, PGL memulakan tayangan umum di seluruh negara pada
hari Selasa dan 31 Ogos, hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-47. Biasanya,
filem baharu memulakan tayangan umumnya pada hari Khamis. Mungkin simbolik bagi
memerdekakan filem Melayu?
Justeru, semua tiket sold
out di semua pawagam seluruh negara sehingga mengutip RM315,000, iaitu
jumlah kutipan tertinggi dalam sejarah tayangan filem Melayu pada hari pertama!
Selain Tiara dan Nasir, PGL arahan Saw Teong Hin ini turut
dibintangi Adlin Aman Ramlie sebagai Sultan Mahmud Shah, Datuk Rahim Razali
(Bendahara), Sofea Jane (Tun Teja), Khir Rahman (Tun Mamat), Sabri Yunus (Datuk
Setia), Muhammad Naufal (Raja Ahmad), Man Bai (Topok), Radhi Khalid (Tapik),
Azmil Mustapha (Demak) serta Alex Komang (Gusti Adipati Handaya Ningrat),
Christine Hakim (Bayan) dan Slamet Rahardjo (Patih) dari Indonesia.
Selamat 145 minit durasinya, PGL mengisahkan cinta agung di
antara Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah dari Majapahit yang melarikan diri
ke Gunung Ledang untuk menemui kekasihnya, Datuk Laksamana Hang Tuah.
Semasa di Gunung Ledang, Gusti Putri dipinang oleh Sultan
Mahmud. Bagaimanapun, Gusti Putri cuba menolak lamaran itu dengan
mengenakan tujuh permintaan aneh sebagai hantaran, termasuk semangkuk darah
Raja Ahmad, putera Sultan Mahmud.
Daripada segi plot dan watak, kisah dalam PGL ini berbeza
dengan tulisan Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu (SM). Dalam SM, Hang Tuah
tidak bercinta dengan Puteri Gunung Ledang. Usahkan bercinta, bertemu muka pun
tidak. Dalam SM, legenda pahlawan Melayu itu sudah tua dan uzur (kontra dengan
Hang Tuah dalam PGL yang masih muda, tampan dan gagah) hingga tidak berdaya mendaki
ke puncak Gunung Ledang. Dia hanya berehat di kaki gunung itu. Tun Mamat sahaja
yang naik ke puncak.
Dalam SM, Tun Mamat juga tidak bertemu dengan Puteri Gunung
Ledang, sebaliknya berhadapan dengan seorang nenek tua. Sebaliknya, dalam PGL,
dia bertemu dengan Nenek Kebayan (lakonan Ruminah Sidek – Gusti Putri yang
menyamar) dan Gusti Putri yang sedang berinteraksi dengan Tuah. Dia diberitahu
syarat yang dikenakan oleh puteri tersebut untuk raja Melaka itu.
Dalam PGL juga, Hang Tuah bertarung dengan Gusti Adipati
yang murka kerana adiknya, Gusti Putri lari dari Majapahit. Dalam SM, tidak ada
pertarungan ini kerana Hang Tuah sudah tua dan uzur.
Sebenarnya, pada awal perancangan PGL lagi saya sudah
merasakan ada perbezaan dalam plot dan wataknya. Apatah lagi apabila penerbit
memilih Nasir untuk memegang watak Hang Tuah.
Setelah pembikinan selesai dan promosi hebat, tertulis pula
slogan ‘Cerita Cinta Agung’ pada posternya, sangkaan saya benar! Memang PGL ini
adalah versi dan penafsiran baharu.
Saya sempat bertanya kepada sasterawan/budayawan veteran
Atondra mengenai penampilan kisah yang berbeza dalam PGL. Katanya, tidak salah
kerana kisah ini hanya rekaan. Menurut beliau, sesiapa pun boleh menghasilkan
versi sendiri.
Tambahan pula saya tidak pernah menonton filem Puteri Gunung Ledang terbitan Cathay
Keris pada tahun 1961, arahan S Roomai Nor
(lakonan Mahmud June dan Fatimah Ahmad). Jadi, saya tidak dapat membuat
sebarang perbandingan.
Bagaimanapun, akhirnya saya merumuskan bahawa berlainan
versi tidak penting. Apa yang penting ialah pengajaran di sebalik kisah ini.
Jika Tun Seri Lanang menerusi SM secara halus menyindir dan menyelar kerakusan
nafsu raja hingga sanggup mematuhi segala syarat asalkan keinginan syahwat
dipenuhi, dalam PGL juga kita berharap matlamat yang serupa dapat dipaparkan
oleh Mamat Khalid, penulis skripnya.
Pengajarannya, jika sudah berahi, apa pun sanggup dlakukan.
Sultan Mahmud sanggup untuk mengerah rakyat Melaka membina jambatan emas dan
jambatan perak dari Melaka ke puncak Gunung Ledang, menyediakan tujuh dulang
hati nyamuk dan hati hama
serta setempayan air mata dara sunti dan air pinang muda.
Dalam SM, Sultan Mahmud tidak sanggup memenuhi syarat
ketujuh itu. Namun, dalam PGL, penulis skrip menjadikannya lebih dramatik.
Sultan Mahmud yang pada mulanya serba salah, akhirnya sanggup memenuhi syarat
tersebut.
Soal PGL diarahkan oleh sutradara bukan Melayu pun turut
menimbulkan kontroversi. Banyak yang bertanya, apa rasionalnya kisah sejarah
orang Melayu ditangani orang bukan Melayu? Namun, lihatlah hasil kerja Teong
Hin yang boleh memadamkan kritikan itu.
Adegan pertarungan ala kung fu juga menjadi persoalan.
Banyak yang sangsi adakah begitu gaya
pahlawan Melayu bertarung? Saya sempat mengajukan persoalan ini kepada Sabri
pada awal pembikinan PGL dahulu.
Jawab Sabri, apa yang perlu dihebohkan kerana mungkin begitu
gaya persilatan
Hang Tuah. Bukankah Hang Tuah digambarkan begitu gagah perkasa? Tanya Sabri.
Benar juga. Lagipun tiada siapa yang pernah mengambil gambar Hang Tuah
bersilat.
Terus-terang dikatakan PGL adalah the most awaited film bagi saya. Setelah menontonnya, ternyata
penantian saya tidak sia-sia. Dari detik awal lagi Penataan Muzik (oleh Nasir),
Penataan Orkestra (Tan Yan Wei), Sinematografi (Jason Kwan), Koreografi
(Ariffin Yeop Mahiddin) dan Kostumnya (Mahyuddin Sidek) mengagumkan. Belum lagi
lakonan yang ditunjuk ajar oleh Krishen Jit.
Tiara juga membuktikan keupayaan lakonannya, bukan kerana
dia sendiri adalah penerbit PGL dan ‘berkuasa penuh’ untuk memegang watak Gusti
Putri. Ada yang
mengatakan Sofea lebih sesuai dan jelita. Bagaimanapun, tontonlah sendiri PGL
untuk membuat penilaian yang waras. Cuma, kata Slamet, mata Tiara untuk Gusti
Putri terlalu liar.
Rahim juga terserlah kemampuannya sebagai Bendahara. Begitu
juga dengan Alex (yang agak cocok bersama ekspresi wajah serta tonasi vokalnya
yang wajar), Slamet dan Christine.
Walaupun agak kurus, Khir berjaya menghayati watak Tun Mamat
yang kurang senang dengan Tuah. Kekecewaannya setelah puas mengampu untuk naik
dalam ranking warga istana berjaya
dipaparkan dengan tonasi vokal serta ekspresi wajah dan kerlingan mata.
Pada mulanya Rosyam Nor dipilih membawa tajuk Sultan Mahmud.
Namun, aktor paling popular dan laris ini terpaksa menarik diri. Walaupun
dipilih pada saat akhir menggantikan Rosyam, Adlin berjaya menghayati watak
raja Melaka itu dengan baik.
Saya menganggap PGL adalah filem Melayu yang paling
memuaskan hati selepas Buli. Sukar
sekali dicari kecacatannya. Dialog dalam PGL juga begitu ekonomik hingga yang
dituturkan adalah yang perlu sahaja, begitu indah dengan formasi dan rima yang
menarik. Sebagai contoh, kata-kata Hang Tuah, “Apakan daya… tangan diikat di
langit, kaki terpasak di bumi. Jasad tidak setanding mimpi…” dan Sultan Mahmud,
“Bumi Melaka ini bumi berdaulat. Sehiris luka yang beta terima, seMelaka
sakitnya dirasa.”
Filem ini juga mementingkan bahasa filem (visual language) yang kerap terabai
dalam kebanyakan filem Melayu.
Dengan pengarahan, lakonan, koreografi, penataan muzik,
sinematografi, kesan bunyi dan lain-lain yang cemerlang, apakah PGL maha
sempurna? Bohong dan keterlaluan jika dikatakan begitu. Tiada hasil kerja
manusia yang benar-benar sempurna. Kelemahan tetap ada dalam PGL. Cuma, tidak
ketara kerana dapat ditutup oleh kecemerlangan menyeluruh.
Cuma, jika selama ini kita bertanya filem manakah yang boleh
dibawa ke peringkat antarabangsa dengan penuh keyakinan serta bukan filem
murahan dan memperbodohkan penonton, PGL adalah jawapannya.
Menurut Penerbit Eksekutif, Datuk Shazalli Ramly, PGL
mendapat perhatian positif dua buah akhbar di Itali. Sebuah daripadanya
memaparkan artikel bertajuk Malaysia is ready to conquer the world. Lakonan
Nasir dan Tiara juga mendapat pujian. Gandingan mereka ada chemistry dan berkarismatik meskipun aksi berkasih-kasihan tidak
dipaparkan secara berlebih-lebihan. Lebih memeranjatkan, di sebalik kemunculan
ala bidan terjunnya, lakonan Adlin turut dikagumi. Semua ini petanda yang baik.
Dengan koreografi persilatan yang mengagumkan, penganjur
festival di Venice
itu turut tertarik, lantas meminta Nasir dan Alex membuat demonstrasi atau live sebelum atau selepas tayangan PGL
(yang turut ditonton oleh sutradara kawakan Steven Spielberg).
Dengan kelebihan yang mengagumkan, saya bagaimanapun kurang
senang dengan cerita keseluruhan PGL. Jelas sekali berdasarkan pemerhatian saya
terhadap sejarah kehidupan manusia dan juga filem pelbagai bahasa/bangsa,
wanita masih menjadi punca persengketaan dan perebutan kaum lelaki. Sampai bila
wanita menjadi object of desire?
Mujurlah, pemaparan watak Gusti Putri dengan kata-kata yang sinis
dan menyindir daripadanya dapat menampilkan klise ini dengan lebih berisi dan
matang. Antaranya lebih kurang berbunyi, “Aku tidak ingin layu di kraton. Aku
tidak ingin nasibku ditentukan kraton sahaja. Biarlah sekali ini aku menurut
kata hatiku. Ingin bebas memilih cinta sejati kerana ia adalah hakku.”
Keteguhan dan ketegasan Gusti Putri ini yang dapat
mengangkat darjat PGL lebih tinggi daripada filem Melayu bertema serupa yang
lain. Unsur emansipasi wanita ini seiras dengan apa yang dipaparkan oleh Syed
Sheikh al-Hadi menerusi novel Hikayat
Faridah Hanum @ Setia Ashik Kepada Makshuknya (tahun 1926) dan Ahmad Rashid
Talu (Iakah Salmah?/1928). Mungkin
Mamat tergugah oleh kedua-dua novel itu?
Dek kekaguman, tentu dengan mudah memberi pujian yang
adakalanya melangit. Namun, saya tidak mahu memuji melulu. PGL wajar dipuji.
Dengan kosnya yang begitu besar, memang wajar ia hebat. Namun, ia juga wajar
dikecam jika hasilnya hampas.
Jadi, PGL yang terhasil ini wajar lebih mendapat pujian jika
kos pembikinannya tidak sehingga membuat mana-mana produser filem Melayu
menggeleng-gelengkan kepala. PGL wajar lebih hebat daripada apa yang dapat
ditonton ini dengan kos RM20.5 juta!
Sebenarnya, banyak lagi yang boleh dikupas dan
diperdebatkan. Antaranya, PGL mahu menampilkan imej orang Melayu ke
antarabangsa; tetapi apa yang ditunjukkan adalah kezaliman raja, merebut wanita
dan kegagalan Hang Tuah dalam cinta, orang Islam ganas dan hanya mahu menakluk
negara lain kerana wanita (watak Demang yang mahu menyerang Majapahit – lakonan
Azmil Mustapha) serta pelakon beragama Islam memakai nanda di dahi (penganut
Hindu).
Tuesday, 11 December 2018
NOSTALGIA
SASTERA BUDAYA
Para pelakonnya pula tidak
glamor atau idola remaja. Memang benar-benar pelakon. Setiap watak dijiwai
dengan baik, masing-masing oleh Normah Damanhuri (sebagai Minah), Sabri Yunus
(hilang imej komedinya sebagai Jali), Adlin Aman Ramlie (Sani), Liza Rafar,
Norseha, Normala Omar, Ijoy Azahari, Juhara Ayob, Aznah Hamid dan lain-lain.
SASTERA BUDAYA
Jogho: PRINSIP MAMAT TIDAK BERTEMPAT?
SAYA tidak mahu
bertanya berapa jumlah keuntungan yang mampu diperoleh filem ini. Sebaliknya,
saya ingin memikirkan apakah yang dapat dikutip selepas menontonnya?
Panggung sewaktu saya menontonnya hampir kosong. Sambil
menggeleng-geleng kepala, saya terfikir mungkin filem ini dihasilkan bukan
untuk mengaut keuntungan. Mungkin ini hanya untuk kecemerlangan seni.
Setelah menontonnya, saya berpendapat memang malang jika filem ini
gagal membuat keuntungan. Ada
beberapa faktor kuat yang meletakkan filem ini begitu istimewa.
Menyebut pengarahnya sahaja, U-Wei Saari, sudah membuat
filem ini memiliki kelasnya yang tersendiri dan hebat. Nama U-Wei memang tidak
dinafikan oleh peminat filem Malaysia
membawa sesuatu yang lain daripada yang lain.
Kisah yang dipaparkan juga lain daripada yang lain, iaitu
lari daripada persoalan cinta tiga segi, perpecahan keluarga dan sebagainya.
Sebaliknya membawa persoalan falsafah dan kemanusiaan berlatarkan suasana
kampung.
Ini bukan suatu perkara yang aneh kerana ia diambil daripada
novel karya Allahyarham Sasterawan Negara S Othman Kelantan. Memang persoalan
yang digarap daripada novel membawa persoalan yang serius.
Ia juga menambah khazanah filem yang diadaptasi daripada
novel yang amat jarang berlaku dalam dunia perfileman tanah air.
Selepas Cinta Gadis
Rimba, Rumah Itu Duniaku, Bukan Salah Ibu Mengandung, Ranjau Sepanjang Jalan dan Langit Petang, tidak banyak naskhah
novel Melayu yang difilemkan. Ini barangkali yang jelas berbeza dengan apa-apa
yang terjadi di barat. Barangkali banyak alasannya kenapa terjadi hal sebegini.
Selain itu, filem ini menjadi filem Melayu tempatan pertama
sepenuhnya menggunakan dialog dalam dialek atau loghat tempatan, iaitu loghat
Kelantan.
Akhir sekali, yang paling hebat, filem ini mengharumkan nama
Malaysia
di mata dunia perfileman antarabangsa apabila pelakon utamanya, Khalid Salleh
dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik
ke-43 di Taipeh.
Itulah Jogho,
filem keempat arahan U-Wei selepas Perempuan,
Isteri dan … (tahun 1993), Black
Widow: Wajah Ayu (1994) dan Kaki
Bakar (1996). Jogho diadaptasi
daripada novel Juara (1976).
Cuma, ironis juga dirasakan apabila yang membiayai filem
sehebat ini adalah pihak luar dan tidak dari dalam, misalnya FINAS.
Memang filem terbitan Gambar Tanah Licin milik U-Wei yang
turut dibiayai NHK Jepun dengan belanja lebih RM1 juta (1997) ini untuk
penonton yang mahu berfikir sewaktu menontonnya. Ia memaparkan kisah perlagaan
lembu yang simbolik mengandungi falsafah bahawa perlagaan lembu sama dengan
politik walaupun hal itu tidak mendapat penekanan sewajarnya sebagaimana yang
terdapat dalam novel. Namun, ini kita boleh memahaminya kerana dua media yang
berbeza tentulah pula menghasilkan dua kesan yang berbeza.
Menurut S Othman, pejuang awal dalam politik diumpamakan
seperti tanduk lembu, menikam dan mengalahkan lawan, tetapi tidak memperoleh
apa-apa. Mereka berjuang bermati-matian untuk kemerdekaan, malah mati atau
hidup menderita.
Sebaliknya, yang menang dan mendapat keuntungan ialah orang
yang tidak berjuang, iaitu perut lembu – mereka hanya menjadi penonton atau
berjuang sebagai penyokong sahaja. Golongan ini yang paling banyak.
Rakyat jelata pula, iaitu bahagian kaki dan ekor hanya
menjadi pengundi. Golongan terbesar inilah yang menaikkan bahagian perut
menjadi kaya raya, tetapi mereka sendiri bergelumang dengan kekotoran –
simboliknya, najis lembu.
Berapa banyak penonton yang mahu memikirkan ataupun terfikir
akan perkara ini? Inilah masalah yang biasa dihadapi filem yang penuh estetika
dan falsafah seperti Jogho.
Lakonan Khalid (sebagai Mamat), ahli politik yang dua kali
kecundang kemudian menjadi juara (jogho) laga lembu memang tidak perlu
dipertikaikan lagi.
Jogho boleh
disifatkan sebagai filem terbaik U-Wei meskipun filem pertama arahannya, Perempuan, Isteri dan … telah dinobatkan
sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-11. Jogho yang tidak bernilai komersil
memang bukan filem untuk berhibur secara murahan.
Justeru, walaupun Othman kurang berpuas hati kerana filem
ini lebih memusatkan perlagaan lembu daripada motif perjuangan politik Mamat
dalam novel Juara, saya tetap dapat
mengutip sesuatu daripadanya.
Jogho bererti juara.
Antara maksud juara ialah pengatur dan pelerai dalam persabungan ayam, juruadu,
orang yang memimpin sesuatu majlis jamuan, ahli dalam sesuatu permainan, johan
atau pemenang perlawanan akhir dan pendekar atau samseng.
Juara mengikut
konteks Jogho adalah pemenang akhir
dalam pertandingan melaga lembu. Namun, pemenang haruslah dalam erti kata yang
sebenarnya – turut menang dalam hidup.
Mamat memang mempunyai prinsip perjuangan dan semangat yang
kental. Bagaimanapun, adakah prinsip dan semangat itu bertempat serta adil?
Menangkah pula Mamat dalam hidup sebenarnya?
Jika prinsip dan semangat itu untuk kebaikan, memang wajar
dan amat diharapkan. Namun, kekuatan yang dimiliki Mamat dalam Jogho tidak bertempat dan tidak patut
diteladani.
Saya tidak ragu-ragu mengatakannya oleh kerana Mamat bukan
berusaha dan bersemangat membina kehidupan dengan bekerja secara halal, maka
hidupnya gagal.
Bapa kepada empat orang anak ini berdegil untuk menuntut
bela kematian dan terus melaga lembu meskipun dendam itu satu perkara yang
tidak baik, manakala laga lembu suatu bentuk perjudian selain menganiayai
binatang.
Namun, Mamat ingin menuntut bela kematian abangnya, Lazim
(Baharuddin Haji Omar) dan lembu laganya, Calit walaupun dihalang.
Hasratnya seperti tidak dapat dilenturkan kendatipun agak
terpukul dengan kata-kata anak bongsunya, Jusuh sewaktu melawat anaknya itu
yang menuntut di sekolah agama di Kelantan.
Mamat menyatakan keazamannya menuntut bela dan terus menjadi
juara laga lembu, tetapi disanggah lembut oleh Jusuh serta dihalang oleh
isterinya, Minah dengan agak keras.
Minah memang tidak setuju Mamat berlaga lembu lagi kerana
sudah habis wang dicagarkan dan asyik berpindah-randah hingga akhirnya tinggal
di Pattani.
Meskipun menang menerusi Calit dan beroleh banyak wang pertaruhan,
Mamat tidak menduga Lazim dan Calit dibunuh oleh Isa (Wan Hanafi Su) yang tidak
puas hati dengan kekalahannya. Mamat menang, tetapi Isa mendakwa dia menang
dengan cara menipu.
Sememangnya ini diakui pula oleh Mamat sebelum lembu
mudanya, Ara berlaga dengan mengatakan Isa juga tidak jujur kerana membunuh
Lazim dan Calit.
Jadi, wajarkah kejuaraan Mamat ini diiktiraf dan diteladani?
Mamat ingin terus berlaga lembu walaupun terpaksa
mempertaruhkan Ara. Meskipun berada di dalam lokap atas tuduhan bersubahat
membunuh anak Isa, Mamat tetap mengingati hari perlagaan lembu itu.
Kekuatan Mamat memang tidak bertempat serta membawa
kemudaratan. Mungkin juga kerana balasan di dunia, dia ditahan oleh polis
sekali lagi pada akhir cerita kerana mengaku membunuh Isa kendatipun Sani yang
melakukannya.
Mamat juara, tetapi dia lemah kerana tidak berupaya
melakukan kerja lain yang lebih baik dan menjamin masa depan. Hanya laga lembu
yang diketahuinya untuk menyara hidup walaupun dia taat beribadat.
Jadi, setelah motif perjuangan politik tidak jelas dalam
filemnya ini, apakah pengajaran yang cuba dibawa oleh U-Wei? Jangan
berjudi dan carilah nafkah hidup secara halal?
Kita harus jadi juara yang bertempat dalam kehidupan!
SASTERA BUDAYA
MELINDUNGI SEKALI GUS MENGANCAM
SEBAGAIMANA hasil karyanya untuk filem,
begitulah juga dengan teater yang diarahkan walaupun bukan skrip sendiri.
Melihatkan pada judulnya dan karya Tan Sri Johan Jaafar bersama-sama barisan
pelakon handalan, tidak syak lagi POKOK, arahan U-Wei HajiSaari turut membawa
persoalan berlapis-lapis makna, dan sesuai sebagai persembahan Teater Perdana
DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) 2018, meskipun nampak seperti ringan.
POKOK ialah teater yang mencerminkan
kehidupan manusia dengan segala keanekaragaman, dan keunikannya.
Jika ada kekurangan, ia mungkin pada dialog
atau perbualan yang panjang berjela seolah-olah Tan Sri Johan terlupa bahawa
teater ialah karya visual, sebagaimana filem, dan drama televisyen.
POKOK boleh dianggap sebagai teater yang
mewah dialog sebagaimana LANTAI T PINKIE, karya Sasterawan Negara Datuk Seri Dr
A Samad Said.
Maaf jika dikatakan saya hampir terlena
ketika babak perbualan Mardiah dengan suaminya, Darwis di bawah pokok besar
bersebelahan rumah mereka.
Darwis tinggal dengan Mardiah di sebuah rumah
kecil di pinggir hutan. Rumah itu dipayungi pokok besar yang bukan sahaja
melindungi, tetapi juga mengancam keselamatan mereka.
Kadang-kadang dahan pokok besar itu patah.
Pokok itu juga akan mencederakan/membunuh mereka berdua jika tumbang. Pokok tersebut
menjadi metafora kehidupan mereka berdua. Ia juga sekali gus melindungi dan
mengugut, seperti juga kehidupan di sekeliling mereka.
Manusia seperti Tuk Kaya, tuan tanah di mana
mereka tinggal, menjadi pelindung, tetapi sekali gus punca kegelisahan Mardiah.
Namun demikian, saya yakin tidak tersilap
apabila mengatakan kemunculan Tuk Kaya berjaya mengubah rentak teater POKOK
yang agak lembab pada permulaannya.
Selain Mardiah yang dilakonkan dengan bersungguh-sungguh
oleh Haliza Misbun (walaupun agak banyak aksinya yang seolah-olah tidak
menggambarkan wanita sedang sarat mengandung), Tuk Kaya yang nakal (meskipun
normal bagi lelaki, tetapi pada usianya sebegitu diistilahkan sebagai gatal/‘biang
keladi’) lakonan mantap Rahim Jailani, memberi kesan. Rahim ternyata pilihan tepat
membawakan watak Tuk Kaya dengan tutur kata dan gerak tubuh yang meyakinkan.
Dia memang pelakon berwibawa, walaupun ada yang berpendapat Tuk Kaya belum
cukup nakal, dan jahat.
Tuk Kaya ternyata menjadi kunci membuka
tafsiran persoalan utama atau pokok cerita teater ini. Hasrat hatinya terhadap
Mardiah (sehingga tidak suka dipanggil Tuk Kaya oleh wanita itu, tetapi mahu
dipanggil sebagai Bang Radzi) yang ditolak telah membuka mata/minda penonton
(sebenarnya mata/minda Tuk Kaya) bahawa wanita itu mahu berubah menjadi baik.
Mardiah sudah insaf dan ingin menebus segala
dosa semasa muda dahulu. Tuk Kaya mahu mengambil kesempatan kerana ada kepentingan/kecenderungan
jahat.
Penjelasan Mardiah kepada Tuk Kaya menerusi
monolog – ketika Tuk Kaya dan pembantunya, Amud (Buyung Zasdar) dalam aksi
pegun (meskipun menarik, tiba-tiba mengubah corak persembahan teater POKOK yang
secara keseluruhannya realisme, dan agak terus langsung) sedikit sebanyak
membantu penonton memahami mesej POKOK.
Antara kata Mardiah kepada Tuk Kaya: “Saya
menggunakan kecantikan saya untuk menggoda, menyusahkan orang lain, melakukan
maksiat, dan akhirnya saya masuk ke penjara. Di penjara saya menggunakan
kecantikan saya untuk mencapai matlamat saya. Saya tidak ragu-ragu
menggunakannya. Saya memilih untuk menjadi hodoh di sini…. Sebab saya mahu jadi
baik…”
Seolah-olah mahu menyelesaikan masalah secara
‘deus ex machina’, watak Mardiah dimatikan – meninggal dunia semasa bersalin,
yang digambarkan menerusi ratapan/tangisan Darwis (Ebby Saiful) pada babak terakhir
(cahaya merah memenuhi ruang menguatkan lagi gambaran itu).
Meskipun boleh dianggap Tuk Kaya tidak lagi
berminat dengan Mardiah selepas ‘disekolahkan’ oleh wanita itu, Johan mengambil
jalan muktamad walaupun kejam dengan mematikannya.
Ada yang mengatakan tiada unsur komedi dalam
POKOK. Sememangnya POKOK tidak bercorak komedi. Walau bagaimanapun, penampilan
Tuk Kaya kadang-kadang telah mencetuskan gelak ketawa meskipun kecil menerusi
aksi dan turut kata nakalnya.
Agak malang, penampilan Buyung kurang
berkesan. Barangkali kerana dia telah lama tidak berlakon, apatah lagi dalam
pementasan teater yang secara langsung. Boleh dikesan betapa Buyung kekok
kerana seperti cuba mengawal diri dan lakonannya agar tidak terlupa dialog.
Balang Rimbun Sdn. Bhd. telah menghasilkan
drama seperti SANGGUL BERACUN, HARI-HARI TERAKHIR SEORANG SENIMAN, FATIN, dan
POK YA CONG CODEI. Pementasan POKOK merupakan kolaborasi pertama Johan dan U-Wei dalam sebuah projek. Ia ditaja
oleh DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perusahaan Automobil Kedua,
serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
POKOK dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa
dan Pustaka pada 7 sehingga 16 Disember 2018 mulai jam 8.30 malam, dan empat
pementasan pada waktu siang (‘matinee’), iaitu pada 8. 9, 15 dan 16 Disember
2018 mulai jam 3 petang.
Darwis yang kudung kaki kanannya bekerja
untuk Tuk Kaya. Dia pernah melakukan pelbagai kerja, termasuk bekerja di
Singapura. Kaki kanannya cedera parah dalam kemalangan sehingga terpaksa
dipotong.
Mardiah wanita jelita, tetapi kehidupannya
malang. Dia bekas penagih dadah, malah beberapa kali dipenjarakan kerana
pelbagai kesalahan, termasuk merompak. Terlalu lama dia bergelumang dengan dosa
dan jenayah. Tidak diduga jodoh dengan Darwis mengubah kehidupannya. Dia
mengahwini Darwis dengan rela walaupun lelaki itu cacat fizikal.
Mardiah mengakui sekian lama kehidupannya
tanpa arah tujuan. Hanya dengan Darwis dia menemui dirinya yang baharu, dan
mengenal makna kasih sayang.
Darwis terhutang budi dengan Tuk Kaya yang
memberikan ruang untuk dia bekerja, dan tinggal di tanahnya. Namun demikian,
Tuk Kaya selalu melihat/tertarik dengan kecantikan Mardiah, dan cuba
menggodanya.
Mardiah tahu apa yang difikirkan oleh Tuk
Kaya, tetapi dia enggan kembali ke jalan hitam yang pernah dilaluinya dahulu.
Kecantikan telah membebankan dirinya. Penjara telah mengajarnya tentang
kehidupan yang berbeza. Di bawah pokok besar itu dia menemui kehidupan yang
berbeza.
Mardiah mengaku kepada Amud yang juga kawan
Darwis bahawa dahulu dia berasa selamat di penjara. Sebaliknya, dia resah,
gelisah, tidak tentu arah, tidak selamat, dan kekurangan setelah keluar penjara.
Dia terasa tidak diperlukan dan dipandang rendah, serta tiada harga diri.
Tegas Mardiah, dia menemui dirinya ketika
berada di dalam penjara. Katanya, dia berasa tenang, dan selamat. Selepas mengahwini
Darwis, dia menemui laluan kehidupan yang berbeza.
Amud menyedari dilema Mardiah, dan lebih memahami
lagi penanggungan Darwis. Dia memberitahu Mardiah mengenai Darwis: “Orang macam
Darwis selalu fikir pasal kekurangannya, kecacatannya…. Orang yang serba
kekurangan akan berasa orang lain semuanya ada kelebihan.”
Oleh sebab membantu, Tuk Kaya cuba mengambil
kesempatan, tetapi dia sedar Mardiah wanita yang cuba menjadi manusia baik.
Darwis telah mengubah, dan mencorakkan kehidupan baharunya. Darwis sedar tempat
tinggal di bawah pokok besar itu bukan tempat yang sesuai untuk berkeluarga,
apatah lagi untuk membesarkan anak yang bakal lahir. Walau bagaimanapun, dia
juga sedar kali ini dia perlu berkorban.
7.5/10