SASTERA BUDAYA
Jogho: PRINSIP MAMAT TIDAK BERTEMPAT?
SAYA tidak mahu
bertanya berapa jumlah keuntungan yang mampu diperoleh filem ini. Sebaliknya,
saya ingin memikirkan apakah yang dapat dikutip selepas menontonnya?
Panggung sewaktu saya menontonnya hampir kosong. Sambil
menggeleng-geleng kepala, saya terfikir mungkin filem ini dihasilkan bukan
untuk mengaut keuntungan. Mungkin ini hanya untuk kecemerlangan seni.
Setelah menontonnya, saya berpendapat memang malang jika filem ini
gagal membuat keuntungan. Ada
beberapa faktor kuat yang meletakkan filem ini begitu istimewa.
Menyebut pengarahnya sahaja, U-Wei Saari, sudah membuat
filem ini memiliki kelasnya yang tersendiri dan hebat. Nama U-Wei memang tidak
dinafikan oleh peminat filem Malaysia
membawa sesuatu yang lain daripada yang lain.
Kisah yang dipaparkan juga lain daripada yang lain, iaitu
lari daripada persoalan cinta tiga segi, perpecahan keluarga dan sebagainya.
Sebaliknya membawa persoalan falsafah dan kemanusiaan berlatarkan suasana
kampung.
Ini bukan suatu perkara yang aneh kerana ia diambil daripada
novel karya Allahyarham Sasterawan Negara S Othman Kelantan. Memang persoalan
yang digarap daripada novel membawa persoalan yang serius.
Ia juga menambah khazanah filem yang diadaptasi daripada
novel yang amat jarang berlaku dalam dunia perfileman tanah air.
Selepas Cinta Gadis
Rimba, Rumah Itu Duniaku, Bukan Salah Ibu Mengandung, Ranjau Sepanjang Jalan dan Langit Petang, tidak banyak naskhah
novel Melayu yang difilemkan. Ini barangkali yang jelas berbeza dengan apa-apa
yang terjadi di barat. Barangkali banyak alasannya kenapa terjadi hal sebegini.
Selain itu, filem ini menjadi filem Melayu tempatan pertama
sepenuhnya menggunakan dialog dalam dialek atau loghat tempatan, iaitu loghat
Kelantan.
Akhir sekali, yang paling hebat, filem ini mengharumkan nama
Malaysia
di mata dunia perfileman antarabangsa apabila pelakon utamanya, Khalid Salleh
dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik
ke-43 di Taipeh.
Itulah Jogho,
filem keempat arahan U-Wei selepas Perempuan,
Isteri dan … (tahun 1993), Black
Widow: Wajah Ayu (1994) dan Kaki
Bakar (1996). Jogho diadaptasi
daripada novel Juara (1976).
Cuma, ironis juga dirasakan apabila yang membiayai filem
sehebat ini adalah pihak luar dan tidak dari dalam, misalnya FINAS.
Memang filem terbitan Gambar Tanah Licin milik U-Wei yang
turut dibiayai NHK Jepun dengan belanja lebih RM1 juta (1997) ini untuk
penonton yang mahu berfikir sewaktu menontonnya. Ia memaparkan kisah perlagaan
lembu yang simbolik mengandungi falsafah bahawa perlagaan lembu sama dengan
politik walaupun hal itu tidak mendapat penekanan sewajarnya sebagaimana yang
terdapat dalam novel. Namun, ini kita boleh memahaminya kerana dua media yang
berbeza tentulah pula menghasilkan dua kesan yang berbeza.
Menurut S Othman, pejuang awal dalam politik diumpamakan
seperti tanduk lembu, menikam dan mengalahkan lawan, tetapi tidak memperoleh
apa-apa. Mereka berjuang bermati-matian untuk kemerdekaan, malah mati atau
hidup menderita.
Sebaliknya, yang menang dan mendapat keuntungan ialah orang
yang tidak berjuang, iaitu perut lembu – mereka hanya menjadi penonton atau
berjuang sebagai penyokong sahaja. Golongan ini yang paling banyak.
Rakyat jelata pula, iaitu bahagian kaki dan ekor hanya
menjadi pengundi. Golongan terbesar inilah yang menaikkan bahagian perut
menjadi kaya raya, tetapi mereka sendiri bergelumang dengan kekotoran –
simboliknya, najis lembu.
Berapa banyak penonton yang mahu memikirkan ataupun terfikir
akan perkara ini? Inilah masalah yang biasa dihadapi filem yang penuh estetika
dan falsafah seperti Jogho.
Lakonan Khalid (sebagai Mamat), ahli politik yang dua kali
kecundang kemudian menjadi juara (jogho) laga lembu memang tidak perlu
dipertikaikan lagi.
Jogho boleh
disifatkan sebagai filem terbaik U-Wei meskipun filem pertama arahannya, Perempuan, Isteri dan … telah dinobatkan
sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-11. Jogho yang tidak bernilai komersil
memang bukan filem untuk berhibur secara murahan.
Justeru, walaupun Othman kurang berpuas hati kerana filem
ini lebih memusatkan perlagaan lembu daripada motif perjuangan politik Mamat
dalam novel Juara, saya tetap dapat
mengutip sesuatu daripadanya.
Jogho bererti juara.
Antara maksud juara ialah pengatur dan pelerai dalam persabungan ayam, juruadu,
orang yang memimpin sesuatu majlis jamuan, ahli dalam sesuatu permainan, johan
atau pemenang perlawanan akhir dan pendekar atau samseng.
Juara mengikut
konteks Jogho adalah pemenang akhir
dalam pertandingan melaga lembu. Namun, pemenang haruslah dalam erti kata yang
sebenarnya – turut menang dalam hidup.
Mamat memang mempunyai prinsip perjuangan dan semangat yang
kental. Bagaimanapun, adakah prinsip dan semangat itu bertempat serta adil?
Menangkah pula Mamat dalam hidup sebenarnya?
Jika prinsip dan semangat itu untuk kebaikan, memang wajar
dan amat diharapkan. Namun, kekuatan yang dimiliki Mamat dalam Jogho tidak bertempat dan tidak patut
diteladani.
Saya tidak ragu-ragu mengatakannya oleh kerana Mamat bukan
berusaha dan bersemangat membina kehidupan dengan bekerja secara halal, maka
hidupnya gagal.
Bapa kepada empat orang anak ini berdegil untuk menuntut
bela kematian dan terus melaga lembu meskipun dendam itu satu perkara yang
tidak baik, manakala laga lembu suatu bentuk perjudian selain menganiayai
binatang.
Namun, Mamat ingin menuntut bela kematian abangnya, Lazim
(Baharuddin Haji Omar) dan lembu laganya, Calit walaupun dihalang.
Hasratnya seperti tidak dapat dilenturkan kendatipun agak
terpukul dengan kata-kata anak bongsunya, Jusuh sewaktu melawat anaknya itu
yang menuntut di sekolah agama di Kelantan.
Mamat menyatakan keazamannya menuntut bela dan terus menjadi
juara laga lembu, tetapi disanggah lembut oleh Jusuh serta dihalang oleh
isterinya, Minah dengan agak keras.
Minah memang tidak setuju Mamat berlaga lembu lagi kerana
sudah habis wang dicagarkan dan asyik berpindah-randah hingga akhirnya tinggal
di Pattani.
Meskipun menang menerusi Calit dan beroleh banyak wang pertaruhan,
Mamat tidak menduga Lazim dan Calit dibunuh oleh Isa (Wan Hanafi Su) yang tidak
puas hati dengan kekalahannya. Mamat menang, tetapi Isa mendakwa dia menang
dengan cara menipu.
Sememangnya ini diakui pula oleh Mamat sebelum lembu
mudanya, Ara berlaga dengan mengatakan Isa juga tidak jujur kerana membunuh
Lazim dan Calit.
Jadi, wajarkah kejuaraan Mamat ini diiktiraf dan diteladani?
Mamat ingin terus berlaga lembu walaupun terpaksa
mempertaruhkan Ara. Meskipun berada di dalam lokap atas tuduhan bersubahat
membunuh anak Isa, Mamat tetap mengingati hari perlagaan lembu itu.
Kekuatan Mamat memang tidak bertempat serta membawa
kemudaratan. Mungkin juga kerana balasan di dunia, dia ditahan oleh polis
sekali lagi pada akhir cerita kerana mengaku membunuh Isa kendatipun Sani yang
melakukannya.
Mamat juara, tetapi dia lemah kerana tidak berupaya
melakukan kerja lain yang lebih baik dan menjamin masa depan. Hanya laga lembu
yang diketahuinya untuk menyara hidup walaupun dia taat beribadat.
Jadi, setelah motif perjuangan politik tidak jelas dalam
filemnya ini, apakah pengajaran yang cuba dibawa oleh U-Wei? Jangan
berjudi dan carilah nafkah hidup secara halal?
Kita harus jadi juara yang bertempat dalam kehidupan!
No comments:
Post a Comment