NOSTALGIA

SASTERA BUDAYA








Jogho: PRINSIP MAMAT TIDAK BERTEMPAT?

SAYA tidak mahu bertanya berapa jumlah keuntungan yang mampu diperoleh filem ini. Sebaliknya, saya ingin memikirkan apakah yang dapat dikutip selepas menontonnya?
Panggung sewaktu saya menontonnya hampir kosong. Sambil menggeleng-geleng kepala, saya terfikir mungkin filem ini dihasilkan bukan untuk mengaut keuntungan. Mungkin ini hanya untuk kecemerlangan seni.
Setelah menontonnya, saya berpendapat memang malang jika filem ini gagal membuat keuntungan. Ada beberapa faktor kuat yang meletakkan filem ini begitu istimewa.
Menyebut pengarahnya sahaja, U-Wei Saari, sudah membuat filem ini memiliki kelasnya yang tersendiri dan hebat. Nama U-Wei memang tidak dinafikan oleh peminat filem Malaysia membawa sesuatu yang lain daripada yang lain.
Kisah yang dipaparkan juga lain daripada yang lain, iaitu lari daripada persoalan cinta tiga segi, perpecahan keluarga dan sebagainya. Sebaliknya membawa persoalan falsafah dan kemanusiaan berlatarkan suasana kampung.
Ini bukan suatu perkara yang aneh kerana ia diambil daripada novel karya Allahyarham Sasterawan Negara S Othman Kelantan. Memang persoalan yang digarap daripada novel membawa persoalan yang serius.
Ia juga menambah khazanah filem yang diadaptasi daripada novel yang amat jarang berlaku dalam dunia perfileman tanah air.
Selepas Cinta Gadis Rimba, Rumah Itu Duniaku, Bukan Salah Ibu Mengandung, Ranjau Sepanjang Jalan dan Langit Petang, tidak banyak naskhah novel Melayu yang difilemkan. Ini barangkali yang jelas berbeza dengan apa-apa yang terjadi di barat. Barangkali banyak alasannya kenapa terjadi hal sebegini.
Selain itu, filem ini menjadi filem Melayu tempatan pertama sepenuhnya menggunakan dialog dalam dialek atau loghat tempatan, iaitu loghat Kelantan.
Akhir sekali, yang paling hebat, filem ini mengharumkan nama Malaysia di mata dunia perfileman antarabangsa apabila pelakon utamanya, Khalid Salleh dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipeh.
Itulah Jogho, filem keempat arahan U-Wei selepas Perempuan, Isteri dan … (tahun 1993), Black Widow: Wajah Ayu (1994) dan Kaki Bakar (1996). Jogho diadaptasi daripada novel Juara (1976).
Cuma, ironis juga dirasakan apabila yang membiayai filem sehebat ini adalah pihak luar dan tidak dari dalam, misalnya FINAS.
Memang filem terbitan Gambar Tanah Licin milik U-Wei yang turut dibiayai NHK Jepun dengan belanja lebih RM1 juta (1997) ini untuk penonton yang mahu berfikir sewaktu menontonnya. Ia memaparkan kisah perlagaan lembu yang simbolik mengandungi falsafah bahawa perlagaan lembu sama dengan politik walaupun hal itu tidak mendapat penekanan sewajarnya sebagaimana yang terdapat dalam novel. Namun, ini kita boleh memahaminya kerana dua media yang berbeza tentulah pula menghasilkan dua kesan yang berbeza.
Menurut S Othman, pejuang awal dalam politik diumpamakan seperti tanduk lembu, menikam dan mengalahkan lawan, tetapi tidak memperoleh apa-apa. Mereka berjuang bermati-matian untuk kemerdekaan, malah mati atau hidup menderita.
Sebaliknya, yang menang dan mendapat keuntungan ialah orang yang tidak berjuang, iaitu perut lembu – mereka hanya menjadi penonton atau berjuang sebagai penyokong sahaja. Golongan ini yang paling banyak.
Rakyat jelata pula, iaitu bahagian kaki dan ekor hanya menjadi pengundi. Golongan terbesar inilah yang menaikkan bahagian perut menjadi kaya raya, tetapi mereka sendiri bergelumang dengan kekotoran – simboliknya, najis lembu.
Berapa banyak penonton yang mahu memikirkan ataupun terfikir akan perkara ini? Inilah masalah yang biasa dihadapi filem yang penuh estetika dan falsafah seperti Jogho.
Para pelakonnya pula tidak glamor atau idola remaja. Memang benar-benar pelakon. Setiap watak dijiwai dengan baik, masing-masing oleh Normah Damanhuri (sebagai Minah), Sabri Yunus (hilang imej komedinya sebagai Jali), Adlin Aman Ramlie (Sani), Liza Rafar, Norseha, Normala Omar, Ijoy Azahari, Juhara Ayob, Aznah Hamid dan lain-lain.
Lakonan Khalid (sebagai Mamat), ahli politik yang dua kali kecundang kemudian menjadi juara (jogho) laga lembu memang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Jogho boleh disifatkan sebagai filem terbaik U-Wei meskipun filem pertama arahannya, Perempuan, Isteri dan … telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-11. Jogho yang tidak bernilai komersil memang bukan filem untuk berhibur secara murahan.
Justeru, walaupun Othman kurang berpuas hati kerana filem ini lebih memusatkan perlagaan lembu daripada motif perjuangan politik Mamat dalam novel Juara, saya tetap dapat mengutip sesuatu daripadanya.
Jogho bererti juara. Antara maksud juara ialah pengatur dan pelerai dalam persabungan ayam, juruadu, orang yang memimpin sesuatu majlis jamuan, ahli dalam sesuatu permainan, johan atau pemenang perlawanan akhir dan pendekar atau samseng.
Juara mengikut konteks Jogho adalah pemenang akhir dalam pertandingan melaga lembu. Namun, pemenang haruslah dalam erti kata yang sebenarnya – turut menang dalam hidup.
Mamat memang mempunyai prinsip perjuangan dan semangat yang kental. Bagaimanapun, adakah prinsip dan semangat itu bertempat serta adil? Menangkah pula Mamat dalam hidup sebenarnya?
Jika prinsip dan semangat itu untuk kebaikan, memang wajar dan amat diharapkan. Namun, kekuatan yang dimiliki Mamat dalam Jogho tidak bertempat dan tidak patut diteladani.
Saya tidak ragu-ragu mengatakannya oleh kerana Mamat bukan berusaha dan bersemangat membina kehidupan dengan bekerja secara halal, maka hidupnya gagal.
Bapa kepada empat orang anak ini berdegil untuk menuntut bela kematian dan terus melaga lembu meskipun dendam itu satu perkara yang tidak baik, manakala laga lembu suatu bentuk perjudian selain menganiayai binatang.
Namun, Mamat ingin menuntut bela kematian abangnya, Lazim (Baharuddin Haji Omar) dan lembu laganya, Calit walaupun dihalang.
Hasratnya seperti tidak dapat dilenturkan kendatipun agak terpukul dengan kata-kata anak bongsunya, Jusuh sewaktu melawat anaknya itu yang menuntut di sekolah agama di Kelantan.
Mamat menyatakan keazamannya menuntut bela dan terus menjadi juara laga lembu, tetapi disanggah lembut oleh Jusuh serta dihalang oleh isterinya, Minah dengan agak keras.
Minah memang tidak setuju Mamat berlaga lembu lagi kerana sudah habis wang dicagarkan dan asyik berpindah-randah hingga akhirnya tinggal di Pattani.
Meskipun menang menerusi Calit dan beroleh banyak wang pertaruhan, Mamat tidak menduga Lazim dan Calit dibunuh oleh Isa (Wan Hanafi Su) yang tidak puas hati dengan kekalahannya. Mamat menang, tetapi Isa mendakwa dia menang dengan cara menipu.
Sememangnya ini diakui pula oleh Mamat sebelum lembu mudanya, Ara berlaga dengan mengatakan Isa juga tidak jujur kerana membunuh Lazim dan Calit.
Jadi, wajarkah kejuaraan Mamat ini diiktiraf dan diteladani?
Mamat ingin terus berlaga lembu walaupun terpaksa mempertaruhkan Ara. Meskipun berada di dalam lokap atas tuduhan bersubahat membunuh anak Isa, Mamat tetap mengingati hari perlagaan lembu itu.
Kekuatan Mamat memang tidak bertempat serta membawa kemudaratan. Mungkin juga kerana balasan di dunia, dia ditahan oleh polis sekali lagi pada akhir cerita kerana mengaku membunuh Isa kendatipun Sani yang melakukannya.
Mamat juara, tetapi dia lemah kerana tidak berupaya melakukan kerja lain yang lebih baik dan menjamin masa depan. Hanya laga lembu yang diketahuinya untuk menyara hidup walaupun dia taat beribadat.
Jadi, setelah motif perjuangan politik tidak jelas dalam filemnya ini, apakah pengajaran yang cuba dibawa oleh U-Wei? Jangan berjudi dan carilah nafkah hidup secara halal?
Kita harus jadi juara yang bertempat dalam kehidupan!

No comments:

Powered by Blogger.