SASTERA BUDAYA
MELINDUNGI SEKALI GUS MENGANCAM
SEBAGAIMANA hasil karyanya untuk filem,
begitulah juga dengan teater yang diarahkan walaupun bukan skrip sendiri.
Melihatkan pada judulnya dan karya Tan Sri Johan Jaafar bersama-sama barisan
pelakon handalan, tidak syak lagi POKOK, arahan U-Wei HajiSaari turut membawa
persoalan berlapis-lapis makna, dan sesuai sebagai persembahan Teater Perdana
DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) 2018, meskipun nampak seperti ringan.
POKOK ialah teater yang mencerminkan
kehidupan manusia dengan segala keanekaragaman, dan keunikannya.
Jika ada kekurangan, ia mungkin pada dialog
atau perbualan yang panjang berjela seolah-olah Tan Sri Johan terlupa bahawa
teater ialah karya visual, sebagaimana filem, dan drama televisyen.
POKOK boleh dianggap sebagai teater yang
mewah dialog sebagaimana LANTAI T PINKIE, karya Sasterawan Negara Datuk Seri Dr
A Samad Said.
Maaf jika dikatakan saya hampir terlena
ketika babak perbualan Mardiah dengan suaminya, Darwis di bawah pokok besar
bersebelahan rumah mereka.
Darwis tinggal dengan Mardiah di sebuah rumah
kecil di pinggir hutan. Rumah itu dipayungi pokok besar yang bukan sahaja
melindungi, tetapi juga mengancam keselamatan mereka.
Kadang-kadang dahan pokok besar itu patah.
Pokok itu juga akan mencederakan/membunuh mereka berdua jika tumbang. Pokok tersebut
menjadi metafora kehidupan mereka berdua. Ia juga sekali gus melindungi dan
mengugut, seperti juga kehidupan di sekeliling mereka.
Manusia seperti Tuk Kaya, tuan tanah di mana
mereka tinggal, menjadi pelindung, tetapi sekali gus punca kegelisahan Mardiah.
Namun demikian, saya yakin tidak tersilap
apabila mengatakan kemunculan Tuk Kaya berjaya mengubah rentak teater POKOK
yang agak lembab pada permulaannya.
Selain Mardiah yang dilakonkan dengan bersungguh-sungguh
oleh Haliza Misbun (walaupun agak banyak aksinya yang seolah-olah tidak
menggambarkan wanita sedang sarat mengandung), Tuk Kaya yang nakal (meskipun
normal bagi lelaki, tetapi pada usianya sebegitu diistilahkan sebagai gatal/‘biang
keladi’) lakonan mantap Rahim Jailani, memberi kesan. Rahim ternyata pilihan tepat
membawakan watak Tuk Kaya dengan tutur kata dan gerak tubuh yang meyakinkan.
Dia memang pelakon berwibawa, walaupun ada yang berpendapat Tuk Kaya belum
cukup nakal, dan jahat.
Tuk Kaya ternyata menjadi kunci membuka
tafsiran persoalan utama atau pokok cerita teater ini. Hasrat hatinya terhadap
Mardiah (sehingga tidak suka dipanggil Tuk Kaya oleh wanita itu, tetapi mahu
dipanggil sebagai Bang Radzi) yang ditolak telah membuka mata/minda penonton
(sebenarnya mata/minda Tuk Kaya) bahawa wanita itu mahu berubah menjadi baik.
Mardiah sudah insaf dan ingin menebus segala
dosa semasa muda dahulu. Tuk Kaya mahu mengambil kesempatan kerana ada kepentingan/kecenderungan
jahat.
Penjelasan Mardiah kepada Tuk Kaya menerusi
monolog – ketika Tuk Kaya dan pembantunya, Amud (Buyung Zasdar) dalam aksi
pegun (meskipun menarik, tiba-tiba mengubah corak persembahan teater POKOK yang
secara keseluruhannya realisme, dan agak terus langsung) sedikit sebanyak
membantu penonton memahami mesej POKOK.
Antara kata Mardiah kepada Tuk Kaya: “Saya
menggunakan kecantikan saya untuk menggoda, menyusahkan orang lain, melakukan
maksiat, dan akhirnya saya masuk ke penjara. Di penjara saya menggunakan
kecantikan saya untuk mencapai matlamat saya. Saya tidak ragu-ragu
menggunakannya. Saya memilih untuk menjadi hodoh di sini…. Sebab saya mahu jadi
baik…”
Seolah-olah mahu menyelesaikan masalah secara
‘deus ex machina’, watak Mardiah dimatikan – meninggal dunia semasa bersalin,
yang digambarkan menerusi ratapan/tangisan Darwis (Ebby Saiful) pada babak terakhir
(cahaya merah memenuhi ruang menguatkan lagi gambaran itu).
Meskipun boleh dianggap Tuk Kaya tidak lagi
berminat dengan Mardiah selepas ‘disekolahkan’ oleh wanita itu, Johan mengambil
jalan muktamad walaupun kejam dengan mematikannya.
Ada yang mengatakan tiada unsur komedi dalam
POKOK. Sememangnya POKOK tidak bercorak komedi. Walau bagaimanapun, penampilan
Tuk Kaya kadang-kadang telah mencetuskan gelak ketawa meskipun kecil menerusi
aksi dan turut kata nakalnya.
Agak malang, penampilan Buyung kurang
berkesan. Barangkali kerana dia telah lama tidak berlakon, apatah lagi dalam
pementasan teater yang secara langsung. Boleh dikesan betapa Buyung kekok
kerana seperti cuba mengawal diri dan lakonannya agar tidak terlupa dialog.
Balang Rimbun Sdn. Bhd. telah menghasilkan
drama seperti SANGGUL BERACUN, HARI-HARI TERAKHIR SEORANG SENIMAN, FATIN, dan
POK YA CONG CODEI. Pementasan POKOK merupakan kolaborasi pertama Johan dan U-Wei dalam sebuah projek. Ia ditaja
oleh DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perusahaan Automobil Kedua,
serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
POKOK dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa
dan Pustaka pada 7 sehingga 16 Disember 2018 mulai jam 8.30 malam, dan empat
pementasan pada waktu siang (‘matinee’), iaitu pada 8. 9, 15 dan 16 Disember
2018 mulai jam 3 petang.
Darwis yang kudung kaki kanannya bekerja
untuk Tuk Kaya. Dia pernah melakukan pelbagai kerja, termasuk bekerja di
Singapura. Kaki kanannya cedera parah dalam kemalangan sehingga terpaksa
dipotong.
Mardiah wanita jelita, tetapi kehidupannya
malang. Dia bekas penagih dadah, malah beberapa kali dipenjarakan kerana
pelbagai kesalahan, termasuk merompak. Terlalu lama dia bergelumang dengan dosa
dan jenayah. Tidak diduga jodoh dengan Darwis mengubah kehidupannya. Dia
mengahwini Darwis dengan rela walaupun lelaki itu cacat fizikal.
Mardiah mengakui sekian lama kehidupannya
tanpa arah tujuan. Hanya dengan Darwis dia menemui dirinya yang baharu, dan
mengenal makna kasih sayang.
Darwis terhutang budi dengan Tuk Kaya yang
memberikan ruang untuk dia bekerja, dan tinggal di tanahnya. Namun demikian,
Tuk Kaya selalu melihat/tertarik dengan kecantikan Mardiah, dan cuba
menggodanya.
Mardiah tahu apa yang difikirkan oleh Tuk
Kaya, tetapi dia enggan kembali ke jalan hitam yang pernah dilaluinya dahulu.
Kecantikan telah membebankan dirinya. Penjara telah mengajarnya tentang
kehidupan yang berbeza. Di bawah pokok besar itu dia menemui kehidupan yang
berbeza.
Mardiah mengaku kepada Amud yang juga kawan
Darwis bahawa dahulu dia berasa selamat di penjara. Sebaliknya, dia resah,
gelisah, tidak tentu arah, tidak selamat, dan kekurangan setelah keluar penjara.
Dia terasa tidak diperlukan dan dipandang rendah, serta tiada harga diri.
Tegas Mardiah, dia menemui dirinya ketika
berada di dalam penjara. Katanya, dia berasa tenang, dan selamat. Selepas mengahwini
Darwis, dia menemui laluan kehidupan yang berbeza.
Amud menyedari dilema Mardiah, dan lebih memahami
lagi penanggungan Darwis. Dia memberitahu Mardiah mengenai Darwis: “Orang macam
Darwis selalu fikir pasal kekurangannya, kecacatannya…. Orang yang serba
kekurangan akan berasa orang lain semuanya ada kelebihan.”
Oleh sebab membantu, Tuk Kaya cuba mengambil
kesempatan, tetapi dia sedar Mardiah wanita yang cuba menjadi manusia baik.
Darwis telah mengubah, dan mencorakkan kehidupan baharunya. Darwis sedar tempat
tinggal di bawah pokok besar itu bukan tempat yang sesuai untuk berkeluarga,
apatah lagi untuk membesarkan anak yang bakal lahir. Walau bagaimanapun, dia
juga sedar kali ini dia perlu berkorban.
7.5/10
No comments: