NOSTALGIA

SASTERA BUDAYA



PMT: Erma gagal tafsir perempuan Melayu

SEBAGAI mukadimah apa yang ingin diperkatakan lewat tulisan ini, saya teringat sebait puisi pujangga tak bernama mengenai wanita. Teliti diksinya:
wanita
dijadikan dari rusuk lelaki
bukan dari kepala sebagai atasnya
bukan dari kaki sebagai alasnya
tetapi
dekat dengan lengan
untuk dilindungi
dan dekat dengan hati
untuk dididik dan dikasihi
Wanita atau perempuan, baik Melayu mahupun bangsa lain, diketahui umum bermula daripada Hawa yang dijadikan daripada rusuk Nabi Adam.
Pada zaman serba canggih dengan segala unsur sains teknologi dan pengaruh kebendaan hari ini, masih adakah lagi yang mahu mencari ‘perempuan Melayu’?
Jika ada, siapa? Lelaki atau perempuan dan perempuan Melayu bagaimanakah yang diinginkan itu? Masih adakah lagi ‘perempuan Melayu’ yang diingini itu?
Adakah perempuan Melayu idaman itu sekadar Melayu atau beragama Islam sekali gus? Harus diingat juga bangsa dan agama memang berbeza.
Lazimnya, Melayu disinonimkan dengan Islam. Namun begitu, sedarilah itu hanya anggapan klise. Tidak semestinya perempuan Melayu beragama Islam.
Begitulah antara persoalan yang terfikir oleh saya selepas menonton Perempuan Melayu Terakhir (PMT), filem kedua arahan Erma Fatima.
PMT mengisahkan seorang lelaki Melayu bernama Heikal (lakonan Eizlan Yusof) yang ingin mencari Melayu dan identitinya. Heikal adalah seorang sarjana lepasan sebuah universiti di London.
Dia kemudian bertemu dengan seorang wanita, Mustika (lakonan cemerlang Vanida Imran), seorang sarjana muda dalam perniagaan yang cuba memelihara nilai kemelayuan yang semakin hilang.
Kebetulan, Mustika ditunangkan dengan seorang pemuda yang dikatakan fanatik Islam, Engku Leh (Azri Iskandar) yang baharu pulang dari luar negara.
Tidak kira pada zaman mana pun, keinginan mencari perempuan Melayu sejati memang sesuatu yang wajar, lebih-lebih lagi pada zaman moden hari ini.
Kewajaran itu diperkuatkan lagi oleh keinginan untuk memperisterikannya serta membina alam rumah tangga yang bahagia. Secara tidak langsung, sedikit sebanyak membantu memelihara terus sifat kemelayuan perempuan itu.
Mengikut logik dan tuntutan agama, tentu sahaja perempuan Melayu yang beragama Islam lebih baik serta wajar menjadi idaman (walaupun mustahil ditemui perempuan Melayu Islam yang sempurna).
Dalam PMT, Mustika adalah perempuan Melayu yang beragama Islam. Dia cantik, lemah lembut dan berbudi bahasa walaupun tidak serba sempurna.
Dalam konteks masih adakah perempuan Melayu itu, saya fikir elok dibincangkan kewajaran Mustika menjadi idaman Heikal, pemuda Melayu yang juga beragama Islam.
Boleh juga ditimbulkan persoalan benarkah Mustika menjadi faktor berubahnya hasrat Heikal. Selain itu, tepatkah tanggapan Heikal bahawa Mustika adalah perempuan Melayu jati dan tulen yang dicarinya atau ada unsur lain yang lebih penting dan lebih mempengaruhinya selain faktor Melayu itu?
Tidak mungkinkah ada perempuan lain yang lebih tepat, tetapi dia bertemu Mustika terlebih dahulu, oleh faktor pengaruh ruang dan waktu, langsung terpikat.
Bagi saya, secara keseluruhannya Mustika bukan perempuan Melayu sejati, malah bukan juga perempuan Melayu Islam yang sebenarnya. Dia bukan role model yang sewajarnya, jika filem ini bertujuan mengangkatnya begitu, tidak sekadar hanya judulnya yang penuh sensasi, konon ada sesuatu yang boleh diteladani.
Menganggap Mustika sebagai perempuan Melayu berdasarkan kebaya dan selendang yang dipakainya serta pandai melenggokkan tarian tradisional adalah kurang tepat. Melayu lebih daripada hal luaran itu semua.
Melayu bukan terletak pada pakaian dan pandai menari inang atau bersilat cekak. Bertutur dalam bahasa Melayu sahaja tanpa mencampuradukkan dengan bahasa lain juga bukan semestinya menunjukkan itu Melayu tulen.
Jika daripada segi pakaian, kemahiran seni tradisional dan bercakap tidak semestinya menandakan Melayu, apa lagi mahu menyatakan Mustika itu adalah perempuan Melayu Islam, jauh sekali untuk dijadikan role model.
Memanglah pakaian tidak melambangkan secara mutlak Melayu atau Islam. Bagaimanapun, Mustika masih berpakaian mendedahkan aurat. Dia memakai pakaian tradisional yang mengikut bentuk badan, bergaul dengan lelaki bukan muhrim, membiarkan dirinya dicumbui, membiarkan adrenalinnya membuak bersama Heikal serta sedikit angkuh dan tidak beradab.
Contoh mengenai keangkuhan dan tidak beradabnya Mustika ialah ketika ditegur oleh pengikut Engku Leh supaya berhenti mengajar tarian. Mustika enggan berbuat demikian, sebaliknya terus menari sambil berhujah dengan muka tidak melihat kepada orang yang dilawannya bercakap. Jika bertudung litup, rajin bekerja dan menjaga batas pergaulan pun masih boleh dipertikaikan, apatah lagi seperti Mustika. Malah, cara menjawab atau bercakap dengan tidak memandang wajah bukanlah cara Melayu mahupun Islam.
Perempuan Melayu mahupun Islam tulen tidak seperti Mustika yang cuba berlaku curang serta mengingkari nasihat tunang dan menghampiri zina.
Oleh itu, Mustika, apatah lagi Muslimah dalam PMT bukan perempuan Melayu yang diharapkan. Adalah satu kesilapan besar jika perempuan sebegini yang ditonjolkan sebagai sempurna dalam filem yang dapat digolongkan sebagai hebat dan menggugah minda ini.
Sehubungan itu juga, mesej yang cuba dibawa oleh filem ini tidak kesampaian. Tajuknya juga kurang sesuai dan mengandungi sensasi. Memang begitu sukar mencari Melayu, terutama apabila mengingatkan bahawa Melayu itu berbeza pula Melayunya.
Selain itu, entah kenapa menonton PMT mengingatkan saya kepada filem Fenomena (Aziz M Osman – 1990), Selubung (Shuhaimi Baba – 1992) dan Syakila (Badaruddin Azmi – 1992). Nampaknya, berterusan pembikin filem tempatan beragama Islam secara sedar atau tidak memberi imej yang buruk kepada Islam.
Golongan yang berpegang teguh pada Islam dalam filem yang disebutkan terus ditonjolkan sebagai antagonis-ganas, sering menyalahkan orang lain dan pasif. Golongan ini akhirnya yang didapati bersalah atau tewas kepada protagonis yang lebih toleran dan terbuka dalam Islam.
Satu soalan terakhir, mengapa mencari Perempuan Melayu Terakhir dan tidak Perempuan Islam Terakhir?


No comments:

Powered by Blogger.