NOSTALGIA

SASTERA BUDAYA


DENGAN KOS BESAR PGL PATUT LEBIH MENGAGUMKAN


MENURUT pemerhatian saya, ada enam sebab utama filem Puteri Gunung Ledang (PGL) paling mendapat perhatian dan diperkatakan ramai.
Pertama, filem sulung terbitan Enfiniti Productions Sdn Bhd ini menelan biaya RM20.5 juta – jumlah paling besar pernah dikeluarkan oleh penerbit filem Melayu. Jika dilihat sejarah pembiayaan filem Melayu, jumlah ini boleh menghasilkan kira-kira 17 buah filem. Biaya promosinya sahaja RM4.5 juta! Tempoh pembikinannya juga hampir dua setengah tahun (sembilan bulan penggambaran) dengan rombakan skrip sebanyak 18 kali yang mengambil masa hampir 12 bulan!
Kedua, PGL terpilih (filem tunggal dari Asia Tenggara) menyertai Festival Filem Antarabangsa Venice ke-61 di Venice, Itali pada 1 hingga 11 September 2004 (meskipun sekadar untuk kategori pengarahan pertama). Ia antara 1,900 buah filem yang berjaya menyertai festival ini serta terpilih dalam 71 buah yang telah disenarai pendek untuk ditayangkan kepada 200,000 delegasi dari seluruh dunia pada malam ‘The Great Spectacular Midnight’, 5 September 2004 (turut diundang menyertai Festival Filem Toronto).
Ketiga, PGL adalah filem Melayu pertama bercorak purba serius pada alaf baharu (Lang Buana adalah filem purba komedi). Ia juga adalah filem Melayu berunsur legenda sejarah (boleh juga dikelaskan sebagai filem fiksyen sejarah) pertama yang dihasilkan pada dekad ini di bawah arahan sutradara bukan Melayu!
Keempat, peminat ingin menonton kemunculan semula Datin Tiara Jacquelina (sebagai Gusti Putri Retno Dumilah) selepas Ringgit Kassorga (tahun 1995 – meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik) dan cameo dalam Perempuan Melayu Terakhir (PMT – 1999).
Kelima, peminat juga ingin menonton kemampuan sifu dan music maestro tanah air, Dato’ M Nasir memegang watak Laksamana Hang Tuah. Kali terakhir Nasir muncul (itu pun sebagai cameo) dalam filem ialah menerusi PMT, arahan Erma Fatima.
Keenam, PGL memulakan tayangan umum di seluruh negara pada hari Selasa dan 31 Ogos, hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-47. Biasanya, filem baharu memulakan tayangan umumnya pada hari Khamis. Mungkin simbolik bagi memerdekakan filem Melayu?
Justeru, semua tiket sold out di semua pawagam seluruh negara sehingga mengutip RM315,000, iaitu jumlah kutipan tertinggi dalam sejarah tayangan filem Melayu pada hari pertama!
Selain Tiara dan Nasir, PGL arahan Saw Teong Hin ini turut dibintangi Adlin Aman Ramlie sebagai Sultan Mahmud Shah, Datuk Rahim Razali (Bendahara), Sofea Jane (Tun Teja), Khir Rahman (Tun Mamat), Sabri Yunus (Datuk Setia), Muhammad Naufal (Raja Ahmad), Man Bai (Topok), Radhi Khalid (Tapik), Azmil Mustapha (Demak) serta Alex Komang (Gusti Adipati Handaya Ningrat), Christine Hakim (Bayan) dan Slamet Rahardjo (Patih) dari Indonesia.
Selamat 145 minit durasinya, PGL mengisahkan cinta agung di antara Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah dari Majapahit yang melarikan diri ke Gunung Ledang untuk menemui kekasihnya, Datuk Laksamana Hang Tuah.
Semasa di Gunung Ledang, Gusti Putri dipinang oleh Sultan Mahmud. Bagaimanapun, Gusti Putri cuba menolak lamaran itu dengan mengenakan tujuh permintaan aneh sebagai hantaran, termasuk semangkuk darah Raja Ahmad, putera Sultan Mahmud.
Daripada segi plot dan watak, kisah dalam PGL ini berbeza dengan tulisan Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu (SM). Dalam SM, Hang Tuah tidak bercinta dengan Puteri Gunung Ledang. Usahkan bercinta, bertemu muka pun tidak. Dalam SM, legenda pahlawan Melayu itu sudah tua dan uzur (kontra dengan Hang Tuah dalam PGL yang masih muda, tampan dan gagah) hingga tidak berdaya mendaki ke puncak Gunung Ledang. Dia hanya berehat di kaki gunung itu. Tun Mamat sahaja yang naik ke puncak.
Dalam SM, Tun Mamat juga tidak bertemu dengan Puteri Gunung Ledang, sebaliknya berhadapan dengan seorang nenek tua. Sebaliknya, dalam PGL, dia bertemu dengan Nenek Kebayan (lakonan Ruminah Sidek – Gusti Putri yang menyamar) dan Gusti Putri yang sedang berinteraksi dengan Tuah. Dia diberitahu syarat yang dikenakan oleh puteri tersebut untuk raja Melaka itu.
Dalam PGL juga, Hang Tuah bertarung dengan Gusti Adipati yang murka kerana adiknya, Gusti Putri lari dari Majapahit. Dalam SM, tidak ada pertarungan ini kerana Hang Tuah sudah tua dan uzur.
Sebenarnya, pada awal perancangan PGL lagi saya sudah merasakan ada perbezaan dalam plot dan wataknya. Apatah lagi apabila penerbit memilih Nasir untuk memegang watak Hang Tuah.
Setelah pembikinan selesai dan promosi hebat, tertulis pula slogan ‘Cerita Cinta Agung’ pada posternya, sangkaan saya benar! Memang PGL ini adalah versi dan penafsiran baharu.
Saya sempat bertanya kepada sasterawan/budayawan veteran Atondra mengenai penampilan kisah yang berbeza dalam PGL. Katanya, tidak salah kerana kisah ini hanya rekaan. Menurut beliau, sesiapa pun boleh menghasilkan versi sendiri.
Tambahan pula saya tidak pernah menonton filem Puteri Gunung Ledang terbitan Cathay Keris pada tahun 1961, arahan S Roomai Nor (lakonan Mahmud June dan Fatimah Ahmad). Jadi, saya tidak dapat membuat sebarang perbandingan.
Bagaimanapun, akhirnya saya merumuskan bahawa berlainan versi tidak penting. Apa yang penting ialah pengajaran di sebalik kisah ini. Jika Tun Seri Lanang menerusi SM secara halus menyindir dan menyelar kerakusan nafsu raja hingga sanggup mematuhi segala syarat asalkan keinginan syahwat dipenuhi, dalam PGL juga kita berharap matlamat yang serupa dapat dipaparkan oleh Mamat Khalid, penulis skripnya.
Pengajarannya, jika sudah berahi, apa pun sanggup dlakukan. Sultan Mahmud sanggup untuk mengerah rakyat Melaka membina jambatan emas dan jambatan perak dari Melaka ke puncak Gunung Ledang, menyediakan tujuh dulang hati nyamuk dan hati hama serta setempayan air mata dara sunti dan air pinang muda.
Dalam SM, Sultan Mahmud tidak sanggup memenuhi syarat ketujuh itu. Namun, dalam PGL, penulis skrip menjadikannya lebih dramatik. Sultan Mahmud yang pada mulanya serba salah, akhirnya sanggup memenuhi syarat tersebut.
Soal PGL diarahkan oleh sutradara bukan Melayu pun turut menimbulkan kontroversi. Banyak yang bertanya, apa rasionalnya kisah sejarah orang Melayu ditangani orang bukan Melayu? Namun, lihatlah hasil kerja Teong Hin yang boleh memadamkan kritikan itu.
Adegan pertarungan ala kung fu juga menjadi persoalan. Banyak yang sangsi adakah begitu gaya pahlawan Melayu bertarung? Saya sempat mengajukan persoalan ini kepada Sabri pada awal pembikinan PGL dahulu.
Jawab Sabri, apa yang perlu dihebohkan kerana mungkin begitu gaya persilatan Hang Tuah. Bukankah Hang Tuah digambarkan begitu gagah perkasa? Tanya Sabri. Benar juga. Lagipun tiada siapa yang pernah mengambil gambar Hang Tuah bersilat.
Terus-terang dikatakan PGL adalah the most awaited film bagi saya. Setelah menontonnya, ternyata penantian saya tidak sia-sia. Dari detik awal lagi Penataan Muzik (oleh Nasir), Penataan Orkestra (Tan Yan Wei), Sinematografi (Jason Kwan), Koreografi (Ariffin Yeop Mahiddin) dan Kostumnya (Mahyuddin Sidek) mengagumkan. Belum lagi lakonan yang ditunjuk ajar oleh Krishen Jit.
Ada juga yang menganggap Nasir tidak layak membawa watak Hang Tuah. Tiara juga tidak sesuai kerana bangun tubuhnya yang kecil. Namun, Nasir membuktikan karismanya sebagai pelakon dengan gerak tubuh tangkas bersilat, bertutur, ekspresi wajah dan gerak bola mata yang meyakinkan. Dia begitu meyakinkan sebagai Hang Tuah yang gagah perkasa, tetapi dalam masa yang sama serba salah dan tension di antara kesetiaan terhadap raja dengan cintanya yang mendalam terhadap Gusti Putri.
Tiara juga membuktikan keupayaan lakonannya, bukan kerana dia sendiri adalah penerbit PGL dan ‘berkuasa penuh’ untuk memegang watak Gusti Putri. Ada yang mengatakan Sofea lebih sesuai dan jelita. Bagaimanapun, tontonlah sendiri PGL untuk membuat penilaian yang waras. Cuma, kata Slamet, mata Tiara untuk Gusti Putri terlalu liar.
Rahim juga terserlah kemampuannya sebagai Bendahara. Begitu juga dengan Alex (yang agak cocok bersama ekspresi wajah serta tonasi vokalnya yang wajar), Slamet dan Christine.
Walaupun agak kurus, Khir berjaya menghayati watak Tun Mamat yang kurang senang dengan Tuah. Kekecewaannya setelah puas mengampu untuk naik dalam ranking warga istana berjaya dipaparkan dengan tonasi vokal serta ekspresi wajah dan kerlingan mata.
Pada mulanya Rosyam Nor dipilih membawa tajuk Sultan Mahmud. Namun, aktor paling popular dan laris ini terpaksa menarik diri. Walaupun dipilih pada saat akhir menggantikan Rosyam, Adlin berjaya menghayati watak raja Melaka itu dengan baik.
Saya menganggap PGL adalah filem Melayu yang paling memuaskan hati selepas Buli. Sukar sekali dicari kecacatannya. Dialog dalam PGL juga begitu ekonomik hingga yang dituturkan adalah yang perlu sahaja, begitu indah dengan formasi dan rima yang menarik. Sebagai contoh, kata-kata Hang Tuah, “Apakan daya… tangan diikat di langit, kaki terpasak di bumi. Jasad tidak setanding mimpi…” dan Sultan Mahmud, “Bumi Melaka ini bumi berdaulat. Sehiris luka yang beta terima, seMelaka sakitnya dirasa.”
Filem ini juga mementingkan bahasa filem (visual language) yang kerap terabai dalam kebanyakan filem Melayu.
Dengan pengarahan, lakonan, koreografi, penataan muzik, sinematografi, kesan bunyi dan lain-lain yang cemerlang, apakah PGL maha sempurna? Bohong dan keterlaluan jika dikatakan begitu. Tiada hasil kerja manusia yang benar-benar sempurna. Kelemahan tetap ada dalam PGL. Cuma, tidak ketara kerana dapat ditutup oleh kecemerlangan menyeluruh.
Cuma, jika selama ini kita bertanya filem manakah yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa dengan penuh keyakinan serta bukan filem murahan dan memperbodohkan penonton, PGL adalah jawapannya.
Menurut Penerbit Eksekutif, Datuk Shazalli Ramly, PGL mendapat perhatian positif dua buah akhbar di Itali. Sebuah daripadanya memaparkan artikel bertajuk Malaysia is ready to conquer the world. Lakonan Nasir dan Tiara juga mendapat pujian. Gandingan mereka ada chemistry dan berkarismatik meskipun aksi berkasih-kasihan tidak dipaparkan secara berlebih-lebihan. Lebih memeranjatkan, di sebalik kemunculan ala bidan terjunnya, lakonan Adlin turut dikagumi. Semua ini petanda yang baik.
Dengan koreografi persilatan yang mengagumkan, penganjur festival di Venice itu turut tertarik, lantas meminta Nasir dan Alex membuat demonstrasi atau live sebelum atau selepas tayangan PGL (yang turut ditonton oleh sutradara kawakan Steven Spielberg).
Dengan kelebihan yang mengagumkan, saya bagaimanapun kurang senang dengan cerita keseluruhan PGL. Jelas sekali berdasarkan pemerhatian saya terhadap sejarah kehidupan manusia dan juga filem pelbagai bahasa/bangsa, wanita masih menjadi punca persengketaan dan perebutan kaum lelaki. Sampai bila wanita menjadi object of desire?
Mujurlah, pemaparan watak Gusti Putri dengan kata-kata yang sinis dan menyindir daripadanya dapat menampilkan klise ini dengan lebih berisi dan matang. Antaranya lebih kurang berbunyi, “Aku tidak ingin layu di kraton. Aku tidak ingin nasibku ditentukan kraton sahaja. Biarlah sekali ini aku menurut kata hatiku. Ingin bebas memilih cinta sejati kerana ia adalah hakku.”
Keteguhan dan ketegasan Gusti Putri ini yang dapat mengangkat darjat PGL lebih tinggi daripada filem Melayu bertema serupa yang lain. Unsur emansipasi wanita ini seiras dengan apa yang dipaparkan oleh Syed Sheikh al-Hadi menerusi novel Hikayat Faridah Hanum @ Setia Ashik Kepada Makshuknya (tahun 1926) dan Ahmad Rashid Talu (Iakah Salmah?/1928). Mungkin Mamat tergugah oleh kedua-dua novel itu?
Dek kekaguman, tentu dengan mudah memberi pujian yang adakalanya melangit. Namun, saya tidak mahu memuji melulu. PGL wajar dipuji. Dengan kosnya yang begitu besar, memang wajar ia hebat. Namun, ia juga wajar dikecam jika hasilnya hampas.
Jadi, PGL yang terhasil ini wajar lebih mendapat pujian jika kos pembikinannya tidak sehingga membuat mana-mana produser filem Melayu menggeleng-gelengkan kepala. PGL wajar lebih hebat daripada apa yang dapat ditonton ini dengan kos RM20.5 juta!
Sebenarnya, banyak lagi yang boleh dikupas dan diperdebatkan. Antaranya, PGL mahu menampilkan imej orang Melayu ke antarabangsa; tetapi apa yang ditunjukkan adalah kezaliman raja, merebut wanita dan kegagalan Hang Tuah dalam cinta, orang Islam ganas dan hanya mahu menakluk negara lain kerana wanita (watak Demang yang mahu menyerang Majapahit – lakonan Azmil Mustapha) serta pelakon beragama Islam memakai nanda di dahi (penganut Hindu).




No comments:

Powered by Blogger.