SASTERA
BUDAYA
IPOH TAMPILKAN KEMBALI TIGA VOKALIS UNGGUL
DATO’
Jamal Abdillah merupakan juara ‘Bintang RTM’ 1979 selepas mula menyanyi enam
tahun sebelum itu. Dari awal perjalanan pertandingan tersebut, Jamal telah
menarik perhatian penonton kerana vokalnya yang mengagumkan.
Selepas
bergelar juara, nama Jamal terus memuncak sebagai penyanyi sehingga
popularitinya menarik minat penerbit dan pengarah filem Melayu tanah air pula.
Antara filem yang dibintanginya sebagai pelakon utama termasuklah Azura (1984), Tuah (1989), Sejati
(1991), Kekasih Awal dan Akhir
(1993), Suratan Kasih (1996), dan Ghazal untuk Rabiah (1997). Dalam Toyol (1980), beliau muncul sebagai penyanyi
dalam sebuah adegan.
Selain
mencipta nama besar sedikit demi sedikit, Jamal turut mempopularkan kumpulan
Alleycats secara tidak langsung. Salah sebuah lagu dendangannya dalam peringkat
akhir ‘Bintang RTM’ 1979, ‘Senandung Semalam’ ialah nyanyian asal Alleycats yang
belum dikenali. Ramai yang tertanya-tanya siapakah pendendang asal lagu ciptaan
Wan Ibrahim dan Dato’ M Nasir itu.
Kehebatan
vokal Jamal telah menarik minat komposer terkenal tanah air ketika itu, Dato’
Ahmad Nawab. Beliau dilamar menjadi penyanyi rakaman. Muncullah album demi
album yang turut menampilkan banyak lagu merdu popular siulan ramai.
Album
pertama Jamal ialah Perpisahan Tanpa
Relamu (1980). Seterusnya Derita
Cinta (1981), Hatiku Luka Kembali
(1982), Layang-layang (1983), Sendiri (1984), Mati Hidup Semula (1986),Untukmu
(1988), Sepi Seorang Perindu (1989), Seniman Menangis (1990), Jamal (1991), Penghujung Rindu (1994), Suratan
Kasih/Penawar Kasih (1995/1997), Samrah
(1998), Segala Cinta (2002), Aku Penghibur (2005), Tak Hilang Cinta (2009), dan Raja Pop 2 (2011).
Antara
lagu Jamal, 59, yang popular termasuklah ‘Perpisahan Tanpa Relamu’, ‘Nasib
Diriku’, ‘Azura’, ‘Aku’, ‘Keluhan Perantau’, ‘Derita Cinta’, ‘Sendiri’, ‘Kau
Lupa Janji’, ‘Mati Hidup Semula’, ‘Cinta yang Terbiar’, ‘Penyeksaanku’, ‘Cinta
Selayang Pandang’, ‘Kenangan Tak Bisa Dilenyapkan’, ‘Sepi Seorang Perindu’,
‘Seniman Menangis’, ‘Penghujung Rindu’, ‘Samrah Mentari’, ‘Aku Penghibur’, dan
‘Gadis Melayu’.
Ameng,
49, atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail berasal dari Besut,
Terengganu. Walaupun Spring ditubuhkan pada 1987, Ameng hanya menganggotai
kumpulan itu pada 1990 menggantikan penyanyi asal, Amat yang menarik diri
sebelum album pertama berjudul Spring (1991) dirakamkan (ketika itu Spring masih
membawa genre rock kapak dan berimej rambut panjang melepasi paras leher).
Album
pertama itu kurang mendapat sambutan. Namun demikian, album kedua pada 1992, Sampai Hati telah mengubah nasib Spring
dan Ameng. Lagu ‘Sampai Hati’ ciptaan M Nasir (melodi) dan Juwie (lirik) ‘meletup’
di pasaran.
‘Sampai
Hati’ juga layak ke Anugerah Juara Lagu ke-8 (1993) dan Pujaan 10 Nescafe Radio
Nasional. Sejak itu, populariti Spring meningkat secara mendadak, sekali gus
menjadikannya sebagai kumpulan rock terkenal, sebaris dengan Search, Wings,
Mega, Iklim, dan lain-lain.
Spring
muncul dengan album seterusnya seperti Bourgenvilla
(1994), Jujur (1995), Pujaan Gemilang (1995), Spring 5 (1996), dan Luahan (1997).
Banyak
lagu popular terus menaikkan nama Spring seperti ‘Bourgenvilla’, ‘Butakah
Cinta’, Sepi Tanpa Cinta’,’Sejujur Mana Kata-kata’,’Persada Cintaku’,
‘Romantis’, ‘Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta’, ‘Kerana Budi Ku Jatuh Hati’ dan
‘Pasanan Buat Kekasih’.
Selepas
album Hati Mahu Baik pada 2001, Ameng
dan rakan-rakan Spring mengambil keputusan membawa haluan masing-masing
lantaran komitmen, dan isu yang melanda.
Ameng
mula bergerak solo, tetapi masih di bawah naungan syarikat yang sama. Album
solonya yang pertama, Langkah Semakin
Jauh terus mengekalkan dirinya sebagai penyanyi pujaan ramai. Lagu yang
menjadi judul album itu ciptaan Zul Mahat dan Amran Omar (lirik).
Dalam
bidang lakonan, Ameng pernah membintangi filem Iskandar (2003) memegang watak kecil di samping Dato’ Awie, Hetty
Sarlene, dan Datuk Jalaluddin Hassan. Ameng pernah membintangi filem Iskandar (2003) memegang watak kecil di
samping Dato’ Awie, Hetty Sarlene, dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Zamani
Slam, 47, atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim mula mencipta nama menerusi
kumpulan pop terkenal 1990-an, Slam, yang dianggotainya dari 1993 sehingga
1999. Dia kemudian meneruskan kerjaya muzik secara solo mulai 2002.
Zamani
menggantikan penyanyi asal kerana keunikan suaranya dan muncul bersama-sama
Slam yang ditukarkan nama dari FIX. Album pertama kurang mendapat sambutan
walaupun memuatkan lagu popular ‘Malam dan Semalam’, ‘Buat Seorang Kekasih’,
dan ‘Nina’.
Walau
bagaimanapun, album kedua, Kesan Terbukti
(1995) telah mengubah nasib Slam dengan lagu-lagu ‘Kembali Terjalin’, ‘Tak
Mungkin Berpaling’, ‘Nur Kasih’, ‘Bukan Niat Membalas Derita’, dan ‘Manisnya
Rindu’ yang sangat diminati ramai.
Album
seterusnya, Terbaik Slam (1995)
menampilkan tiga lagu sementara menunggu rakaman album ketiga. ‘Gerimis Mengundang’
ciptaan Saari Amri (yang turut mencipta lagu-lagu hit disebutkan tadi) turut
diminati ramai, dan semakin memuncakkan nama Slam.
Pada
1998, Slam muncul dengan album ketiga, Kembali
Merindu (1996) yang menampilkan lagu popular ‘Jika Kau Rasa Getarnya’, ‘Kita
Terpaksa Bermusuhan’, dan ‘Kembali Merindu’.
Dua
tahun kemudian, Slam menghasilkan album Dalam
Harapan yang popular dengan lagu ‘Mentari Muncul Lagi’.
Sebelum
terpaksa meninggalkan Slam, Zamani tampil dengan album terakhirnya untuk
kumpulan itu, Best of Slam
(kompilasi). Para peminat menerima baik lagu ‘Rindiani’.
Zamani
turut menghasilkan beberapa single
seperti ‘Isabella ‘98’’bersama-sama Jamal, Amy Search, dan Allahyarham Saleem
Iklim (1998), ‘Syair Si Pari-Pari’ (2002), ‘Kala Hujan’ (2004), ‘Tak Keruan’
duet bersama-sama Sharifah Zarina (2010), ‘Cahaya Asmara’ (2015), dan ‘Tambatan
Hati’ (2016).
Sebagaimana
Jamal, populariti Zamani turut memikat hati penerbit filem dan telefilem tanah
air. Pun begitu, tidak sebanyak yang dibintangi Jamal. Setakat ini, Zamani hanya
sempat dipelawa membintangi filem Bara,
arahan/terbitan Datuk Yusof Haslam,serta lakonan Awie, Datuk Rosyam Nor, dan
Nasha Aziz.
Antara
telefilem yang dibintanginya ialah Syair
Si Pari-Pari (2002), Hantu
(2003), dan Celak Pak Andam (2004).
Sebagaimana
yang diketahui umum dan para peminat, Jamal, Ameng dan Zamani kerap menghadapi
masalah peribadi. Namun demikian, bakat besar mereka mengatasi segala-galanya
kerana masih diminati ramai.
Ketika
kesihatan dan keperibadian mereka pulih dan membaik, Jamal, Ameng dan Zamani
digabungkan dalam sebuah konsert yang diberi nama ‘Konsert 3 Suara’. Berlangsung
di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 22 September 2016, konsert itu
mendapat sambutan hangat.
Lebih
dua tahun berlalu, ‘Konsert 3 Suara’ itu masih segar dalam ingatan para peminat.
Siapa yang dapat melupakan kehebatan Jamal-Ameng-Zamani ketika beraksi di pentas
yang cukup berprestij itu? Gandingan pertama kali mereka itu mendapat pujian
ramai, dan rata-rata menyatakan keinginan menonton lagi konsert serupa jika berpeluang.
Tidak
lama lagi, keinginan/kerinduan para peminat itu akan dipenuhi apabila Binjamal
Event Sdn Bhd berminat untuk meneruskan legasi konsert tersebut. Syarikat milik
Dato’ Jamal itu berminat menganjurkan kali kedua ‘Konsert 3 Suara’.
Konsert
yang kali ini berskala mega itu akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh,
Perak pada 6 April 2019. Menariknya, Perak merupakan negeri kelahiran Jamal.
Gandingan
hebat Jamal-Ameng-Zamani itu akan turut diserikan dengan penampilan anak sulung
Jamal, iaitu Osama Yamani bersama-sama kumpulan Radiowave sebagai penyanyi
undangan.
Pada
22 Januari 2019 lalu, telah diadakan sidang media ‘Konsert 3 Suara’ di Dewan
Berjaya, Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur. Selain Jamal, Ameng dan Zamani,
turut hadir ialah Datin Seri Shamsidar Taharin yang mewakili Pertubuhan
Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Negeri Perak (KASIH), serta Osama
dan ahli Radiowave.
Dalam
sidang media itu, Datin Seri Shamsidar diberi penghormatan menerima replika cek
bernilai RM20,000 sumbangan para penaja daripada Jamal.
Jamal,
Ameng dan Zamani turut menyampaikan ucapan khas. Sebagai penyeri majlis/mengubat
kerinduan, Ameng menyampaikan lagu ‘Kerana Budi Ku Jatuh Hati’ dan
‘Bourgenvilla’. Zamani pula mendendangkan lagu popular kumpulan Flybaits yang
diminatinya, ‘Mengapa Perpisahan yang Kau Pinta’.
Menurut
Jamal yang juga Pengarah Urusan Binjamal Event Sdn Bhd, beliau teruja dengan
pengenjuran konsert tersebut, yang mengembalikan ingatan peminat terhadap
konsert pertama di IB lebih dua tahun lalu.
Jamal
yakin dengan kerjasama baik dari Kerajaan Negeri Perak, termasuk Pelancongan
Perak, serta KASIH, dan Radio RTM, iaitu PerakFM, ‘Konsert 3 Suara’ akan
mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Jelas
Jamal, pemilihan Osama dan Radiowave bertujuan memberikan pendedahan, sokongan
serta platform kepada mereka untuk terus bertapak dalam arus perdana industri seni
tanah air.
Mengenai
lokasi konsert, Jamal menjelaskan ‘Konsert 3 Suara’ berlangsung di Ipoh
bersempena dengan pelancaran Festival Seni Perak 2019.
Konsert
yang mendapat sentuhan pengarah muzik terkenal, Raja Mohd Sham itu terbahagi
kepada segmen solo dan paduan suara. Jelas Jamal, setiap penyanyi akan
mendendangkan lapan lagu solo, sementara untuk paduan suara pula sebanyak tiga
lagu.
Antara
lagu yang dipilih untuk segmen paduan suara termasuklah ‘Isabella 98’,
‘Terharu’, dan ‘Gadis Melayu’.
Menarik
juga, Karnival ‘Konsert 3 Suara’ akan turut diadakan di luar/pekarangan Stadium
Indera Mulia mulai jam 8 pagi sehingga 8 malam. ‘Konsert 3 Suara’ yang bermula
pada jam 8.30 malam dijangka berakhir tiga jam kemudian.
Antara
aktiviti yang akan mengisi karnival berkenaan termasuklah tapak gerai jualan,
trak makanan, jualan but kereta, zumba, busking, futsal jalanan, sukan rakyat,
pertandingan karaoke lagu Dato’ Jamal Abdillah, Ameng Spring, dan Zamani Slam,
pertunjukan Lamboghini & Ferrari, pertandingan motor Vespa klasik dan
Harley Davidson, kesedaran dari Pengasih Amanjaya Gopeng Perak, dan jualan pra
Raya Aidilfitri.
Para
peminat boleh mendapatkan tiket ‘Konsert 3 Suara’ pada harga RM183, RM133,
RM103, dan RM83 menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com atau hubungi 03-2170 6333. Tiket boleh dibeli mulai 23
Januari 2019.
Sebarang
pertanyaan boleh menghubungi Aida Husin menerusi talian 012-2166873 atau mewahevent@gmail.com.
No comments:
Post a Comment