SASTERA BUDAYA


IPOH TAMPILKAN KEMBALI TIGA VOKALIS UNGGUL

DATO’ Jamal Abdillah merupakan juara ‘Bintang RTM’ 1979 selepas mula menyanyi enam tahun sebelum itu. Dari awal perjalanan pertandingan tersebut, Jamal telah menarik perhatian penonton kerana vokalnya yang mengagumkan.
Selepas bergelar juara, nama Jamal terus memuncak sebagai penyanyi sehingga popularitinya menarik minat penerbit dan pengarah filem Melayu tanah air pula. Antara filem yang dibintanginya sebagai pelakon utama termasuklah Azura (1984), Tuah (1989), Sejati (1991), Kekasih Awal dan Akhir (1993), Suratan Kasih (1996), dan Ghazal untuk Rabiah (1997). Dalam Toyol (1980), beliau muncul sebagai penyanyi dalam sebuah adegan.
Selain mencipta nama besar sedikit demi sedikit, Jamal turut mempopularkan kumpulan Alleycats secara tidak langsung. Salah sebuah lagu dendangannya dalam peringkat akhir ‘Bintang RTM’ 1979, ‘Senandung Semalam’ ialah nyanyian asal Alleycats yang belum dikenali. Ramai yang tertanya-tanya siapakah pendendang asal lagu ciptaan Wan Ibrahim dan Dato’ M Nasir itu.
Kehebatan vokal Jamal telah menarik minat komposer terkenal tanah air ketika itu, Dato’ Ahmad Nawab. Beliau dilamar menjadi penyanyi rakaman. Muncullah album demi album yang turut menampilkan banyak lagu merdu popular siulan ramai.
Album pertama Jamal ialah Perpisahan Tanpa Relamu (1980). Seterusnya Derita Cinta (1981), Hatiku Luka Kembali (1982), Layang-layang (1983), Sendiri (1984), Mati Hidup Semula (1986),Untukmu (1988), Sepi Seorang Perindu (1989), Seniman Menangis (1990), Jamal (1991), Penghujung Rindu (1994), Suratan Kasih/Penawar Kasih (1995/1997), Samrah (1998), Segala Cinta (2002), Aku Penghibur (2005), Tak Hilang Cinta (2009), dan Raja Pop 2 (2011).
Antara lagu Jamal, 59, yang popular termasuklah ‘Perpisahan Tanpa Relamu’, ‘Nasib Diriku’, ‘Azura’, ‘Aku’, ‘Keluhan Perantau’, ‘Derita Cinta’, ‘Sendiri’, ‘Kau Lupa Janji’, ‘Mati Hidup Semula’, ‘Cinta yang Terbiar’, ‘Penyeksaanku’, ‘Cinta Selayang Pandang’, ‘Kenangan Tak Bisa Dilenyapkan’, ‘Sepi Seorang Perindu’, ‘Seniman Menangis’, ‘Penghujung Rindu’, ‘Samrah Mentari’, ‘Aku Penghibur’, dan ‘Gadis Melayu’.
Ameng, 49, atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail berasal dari Besut, Terengganu. Walaupun Spring ditubuhkan pada 1987, Ameng hanya menganggotai kumpulan itu pada 1990 menggantikan penyanyi asal, Amat yang menarik diri sebelum album pertama berjudul Spring (1991) dirakamkan (ketika itu Spring masih membawa genre rock kapak dan berimej rambut panjang melepasi paras leher).
Album pertama itu kurang mendapat sambutan. Namun demikian, album kedua pada 1992, Sampai Hati telah mengubah nasib Spring dan Ameng. Lagu ‘Sampai Hati’ ciptaan M Nasir (melodi) dan Juwie (lirik) ‘meletup’ di pasaran.
‘Sampai Hati’ juga layak ke Anugerah Juara Lagu ke-8 (1993) dan Pujaan 10 Nescafe Radio Nasional. Sejak itu, populariti Spring meningkat secara mendadak, sekali gus menjadikannya sebagai kumpulan rock terkenal, sebaris dengan Search, Wings, Mega, Iklim, dan lain-lain.
Spring muncul dengan album seterusnya seperti Bourgenvilla (1994), Jujur (1995), Pujaan Gemilang (1995), Spring 5 (1996), dan Luahan (1997).
Banyak lagu popular terus menaikkan nama Spring seperti ‘Bourgenvilla’, ‘Butakah Cinta’, Sepi Tanpa Cinta’,’Sejujur Mana Kata-kata’,’Persada Cintaku’, ‘Romantis’, ‘Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta’, ‘Kerana Budi Ku Jatuh Hati’ dan ‘Pasanan Buat Kekasih’.
Selepas album Hati Mahu Baik pada 2001, Ameng dan rakan-rakan Spring mengambil keputusan membawa haluan masing-masing lantaran komitmen, dan isu yang melanda.
Ameng mula bergerak solo, tetapi masih di bawah naungan syarikat yang sama. Album solonya yang pertama, Langkah Semakin Jauh terus mengekalkan dirinya sebagai penyanyi pujaan ramai. Lagu yang menjadi judul album itu ciptaan Zul Mahat dan Amran Omar (lirik).
Dalam bidang lakonan, Ameng pernah membintangi filem Iskandar (2003) memegang watak kecil di samping Dato’ Awie, Hetty Sarlene, dan Datuk Jalaluddin Hassan. Ameng pernah membintangi filem Iskandar (2003) memegang watak kecil di samping Dato’ Awie, Hetty Sarlene, dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Zamani Slam, 47, atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim mula mencipta nama menerusi kumpulan pop terkenal 1990-an, Slam, yang dianggotainya dari 1993 sehingga 1999. Dia kemudian meneruskan kerjaya muzik secara solo mulai 2002.
Zamani menggantikan penyanyi asal kerana keunikan suaranya dan muncul bersama-sama Slam yang ditukarkan nama dari FIX. Album pertama kurang mendapat sambutan walaupun memuatkan lagu popular ‘Malam dan Semalam’, ‘Buat Seorang Kekasih’, dan ‘Nina’.
Walau bagaimanapun, album kedua, Kesan Terbukti (1995) telah mengubah nasib Slam dengan lagu-lagu ‘Kembali Terjalin’, ‘Tak Mungkin Berpaling’, ‘Nur Kasih’, ‘Bukan Niat Membalas Derita’, dan ‘Manisnya Rindu’ yang sangat diminati ramai.
Album seterusnya, Terbaik Slam (1995) menampilkan tiga lagu sementara menunggu rakaman album ketiga. ‘Gerimis Mengundang’ ciptaan Saari Amri (yang turut mencipta lagu-lagu hit disebutkan tadi) turut diminati ramai, dan semakin memuncakkan nama Slam.
Pada 1998, Slam muncul dengan album ketiga, Kembali Merindu (1996) yang menampilkan lagu popular ‘Jika Kau Rasa Getarnya’, ‘Kita Terpaksa Bermusuhan’, dan ‘Kembali Merindu’.
Dua tahun kemudian, Slam menghasilkan album Dalam Harapan yang popular dengan lagu ‘Mentari Muncul Lagi’.
Sebelum terpaksa meninggalkan Slam, Zamani tampil dengan album terakhirnya untuk kumpulan itu, Best of Slam (kompilasi). Para peminat menerima baik lagu ‘Rindiani’.  
Zamani turut menghasilkan beberapa single seperti ‘Isabella ‘98’’bersama-sama Jamal, Amy Search, dan Allahyarham Saleem Iklim (1998), ‘Syair Si Pari-Pari’ (2002), ‘Kala Hujan’ (2004), ‘Tak Keruan’ duet bersama-sama Sharifah Zarina (2010), ‘Cahaya Asmara’ (2015), dan ‘Tambatan Hati’ (2016).
Sebagaimana Jamal, populariti Zamani turut memikat hati penerbit filem dan telefilem tanah air. Pun begitu, tidak sebanyak yang dibintangi Jamal. Setakat ini, Zamani hanya sempat dipelawa membintangi filem Bara, arahan/terbitan Datuk Yusof Haslam,serta lakonan Awie, Datuk Rosyam Nor, dan Nasha Aziz.
Antara telefilem yang dibintanginya ialah Syair Si Pari-Pari (2002), Hantu (2003), dan Celak Pak Andam (2004).
Sebagaimana yang diketahui umum dan para peminat, Jamal, Ameng dan Zamani kerap menghadapi masalah peribadi. Namun demikian, bakat besar mereka mengatasi segala-galanya kerana masih diminati ramai.
Ketika kesihatan dan keperibadian mereka pulih dan membaik, Jamal, Ameng dan Zamani digabungkan dalam sebuah konsert yang diberi nama ‘Konsert 3 Suara’. Berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 22 September 2016, konsert itu mendapat sambutan hangat.
Lebih dua tahun berlalu, ‘Konsert 3 Suara’ itu masih segar dalam ingatan para peminat. Siapa yang dapat melupakan kehebatan Jamal-Ameng-Zamani ketika beraksi di pentas yang cukup berprestij itu? Gandingan pertama kali mereka itu mendapat pujian ramai, dan rata-rata menyatakan keinginan menonton lagi konsert serupa jika berpeluang.
Tidak lama lagi, keinginan/kerinduan para peminat itu akan dipenuhi apabila Binjamal Event Sdn Bhd berminat untuk meneruskan legasi konsert tersebut. Syarikat milik Dato’ Jamal itu berminat menganjurkan kali kedua ‘Konsert 3 Suara’.
Konsert yang kali ini berskala mega itu akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada 6 April 2019. Menariknya, Perak merupakan negeri kelahiran Jamal.
Gandingan hebat Jamal-Ameng-Zamani itu akan turut diserikan dengan penampilan anak sulung Jamal, iaitu Osama Yamani bersama-sama kumpulan Radiowave sebagai penyanyi undangan.
Pada 22 Januari 2019 lalu, telah diadakan sidang media ‘Konsert 3 Suara’ di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur. Selain Jamal, Ameng dan Zamani, turut hadir ialah Datin Seri Shamsidar Taharin yang mewakili Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Negeri Perak (KASIH), serta Osama dan ahli Radiowave.
Dalam sidang media itu, Datin Seri Shamsidar diberi penghormatan menerima replika cek bernilai RM20,000 sumbangan para penaja daripada Jamal.
Jamal, Ameng dan Zamani turut menyampaikan ucapan khas. Sebagai penyeri majlis/mengubat kerinduan, Ameng menyampaikan lagu ‘Kerana Budi Ku Jatuh Hati’ dan ‘Bourgenvilla’. Zamani pula mendendangkan lagu popular kumpulan Flybaits yang diminatinya, ‘Mengapa Perpisahan yang Kau Pinta’.
Menurut Jamal yang juga Pengarah Urusan Binjamal Event Sdn Bhd, beliau teruja dengan pengenjuran konsert tersebut, yang mengembalikan ingatan peminat terhadap konsert pertama di IB lebih dua tahun lalu.
Jamal yakin dengan kerjasama baik dari Kerajaan Negeri Perak, termasuk Pelancongan Perak, serta KASIH, dan Radio RTM, iaitu PerakFM, ‘Konsert 3 Suara’ akan mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Jelas Jamal, pemilihan Osama dan Radiowave bertujuan memberikan pendedahan, sokongan serta platform kepada mereka untuk terus bertapak dalam arus perdana industri seni tanah air.
Mengenai lokasi konsert, Jamal menjelaskan ‘Konsert 3 Suara’ berlangsung di Ipoh bersempena dengan pelancaran Festival Seni Perak 2019.
Konsert yang mendapat sentuhan pengarah muzik terkenal, Raja Mohd Sham itu terbahagi kepada segmen solo dan paduan suara. Jelas Jamal, setiap penyanyi akan mendendangkan lapan lagu solo, sementara untuk paduan suara pula sebanyak tiga lagu.
Antara lagu yang dipilih untuk segmen paduan suara termasuklah ‘Isabella 98’, ‘Terharu’, dan ‘Gadis Melayu’.
Menarik juga, Karnival ‘Konsert 3 Suara’ akan turut diadakan di luar/pekarangan Stadium Indera Mulia mulai jam 8 pagi sehingga 8 malam. ‘Konsert 3 Suara’ yang bermula pada jam 8.30 malam dijangka berakhir tiga jam kemudian.
Antara aktiviti yang akan mengisi karnival berkenaan termasuklah tapak gerai jualan, trak makanan, jualan but kereta, zumba, busking, futsal jalanan, sukan rakyat, pertandingan karaoke lagu Dato’ Jamal Abdillah, Ameng Spring, dan Zamani Slam, pertunjukan Lamboghini & Ferrari, pertandingan motor Vespa klasik dan Harley Davidson, kesedaran dari Pengasih Amanjaya Gopeng Perak, dan jualan pra Raya Aidilfitri.
Para peminat boleh mendapatkan tiket ‘Konsert 3 Suara’ pada harga RM183, RM133, RM103, dan RM83 menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com atau hubungi 03-2170 6333. Tiket boleh dibeli mulai 23 Januari 2019.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Aida Husin menerusi talian 012-2166873 atau mewahevent@gmail.com.
   



No comments:

Powered by Blogger.