SASTERA BUDAYA
HANG TUAH SELAMATKAN MALAYSIA/DUNIA?
HANG TUAH SELAMATKAN MALAYSIA/DUNIA?
Filem XX Ray (1992) dibintangi Aziz M Osman,
Faizal Hussein, Nor Aliah Lee, Sharmaein Farouk, Allahyarham Ibrahim Pendek,
Edika Yusof, dan Esma Daniel. Sekuelnya, XX Ray II (1996) sekali lagi
menampilkan Lydiawati, Eda Nerina, Dato’ Jalaluddin Hassan, serta Allahyarham
Azmil Mustapha, dan Osman Kering. Aziz masih memegang watak Amir.
Kedua filem arahan Aziz itu bercorak fiksyen sains.
Selepas kira-kira 22 tahun, muncul pula sekuelnya, XX Ray III. Oleh
sebab sudah mesra fiksyen atau cereka sains yang menjadi jenama/sinonim XX
Ray, filem XX Ray III juga dianggap penuh sedemikian.
XX Ray III memang masih filem cereka sains. Namun
demikian, XX Ray III ternyata lebih daripada itu. Mesej besarnya sangat
menonjol. Dengan pesanan utamanya yang begitu ketara, XX Ray III ialah
filem patriotik.
Sebagaimana Ola Bola (2016) yang memperoleh
RM16.67 juta, dan Paskal the Movie (2018) mengutip RM30 juta, XX Ray
III diharap turut/wajar mengikut jejak dua filem patriotik/patriotisme itu.
Dalam XX Ray III, Rayyan, pelajar fizik (lakonan
Izzue Islam); Sam, pelajar kejuruteraan zarah (Adam John), dan Lana, pekerja
rahsia syarikat perindustrian yang berpangkalan di Jordan/sempadan Israel
(Nonny Nadirah) terlibat dalam misi menyelamatkan kerajaan Malaysia daripada
disabotaj oleh hartawan muda, Rosman (Dazrin Kamaruddin) yang mengugut untuk
mengulangi kejadian kehilangan tenaga elektrik di seluruh negara pada Ogos
1996.
Peristiwa tersebut disebabkan oleh wormhole
(lohong ulat) yang menyerap kuasa utama tenaga elektrik dari stesen jana kuasa
di Paka, Terengganu. Lohong ulat terjadi disebabkan oleh sebuah probe yang
tidak dikenali dari angkasa lepas. Bapa Rosman, Tan Sri Ismail (Dato’ Rahim
Razali) telah mengambil probe itu, dan menyembunyikannya.
Pada kenyataannya, probe tersebut ialah satu
daripada ribuan probe yang diprogramkan untuk membuka stargate
terbesar, dan menyerap tenaga matahari untuk dihantar semula ke alam semesta
lain. Rayyan, Sam dan Lana kemudian cuba mencari buku nota yang ditulis oleh
Profesor Amir (Aziz/tokoh urban legend) yang dipercayai mempunyai
jawapan untuk mengawal probe berkenaan, dan seterusnya menyelamatkan
sistem solar.
Kalau mencari logik, memang kita tidak menemuinya
dalam dua filem terdahulu. Mustahil manusia/watak dari dua zaman yang sangat
berbeza boleh bertemu, dan bekerjasama memusnahkan kejahatan.
Hang Tuah yang sangat terkenal pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka muncul pada zaman moden. Watak laksamana/pahlawan Melayu
Melaka itu mula ditampilkan dalam XX Ray II, lakonan Jalaludin. Tidak
masuk akal, tetapi patriotik dan patriotisme ialah perkara nyata, serta masuk
akal.
Setelah sekian lama kita menonton dan pemikiran dipantakkan
dengan filem keluaran Hollywood yang wira dan/atau adiwiranya
menyelamatkan dunia – sehingga ada yang obses, dan beranggapan/berfikiran hanya
orang Barat mampu menyelamatkan dunia – wira/adiwira dalam dunia filem, dan
pemimpin dalam dunia nyata.
Watak wira fiksyen dalam filem yang terkenal
sebagai penyelamat dunia ialah perisik rahsia James Bond (25 filem setakat ini
sejak Dr No pada 1962 sehingga Spectre {2015}), dan banyak
adiwira rekaan di pawagam seperti Batman, Superman, Spider-man, Iron Man,
Captain America, Thor, Incredible Hulk, Wonder Woman, dan Black Panther.
Menerusi XX Ray III yang diharapkan mencapai
kejayaan besar/mendapat sambutan hangat, Aziz cuba memberitahu masyarakat
bahawa filem Melayu tempatan juga menampilkan wira yang mahu/boleh
menyelamatkan dunia. Rayyan, Sam, dan Lana serta rakan-rakan mereka, juga Amir,
Rizal (Ashraf Muslim), Azli (Saiful Apek, yang menemui/menyimpan buku nota Amir
pada 1996), Adel (Ardell Aryana/adik Rosman dan Lana), dan Harun (Razak Ahmad/ayah
Rayyan) merupakan wira besar, dan wira kecil. Mereka yang pada mulanya mahu
menyelamatkan Malaysia, secara tidak langsung turut menyelamatkan dunia!
Lebih menarik, Hang Tuah (watak legenda yang
dipercayai wujud dan masih hidup kerana sumpahan keris) dijadikan seperti adiwira
dengan kesaktian keris beliau, Taming Sari. Aksinya pada penghujung cerita
walaupun klise dan diinspirasikan daripada filem-filem adiwira, terutamanya
keluaran DC Comics dan Marvel, menunjukkan sifat sedemikian dengan jelas.
Apatah lagi dengan latar belakang lagu ciptaan/nyanyian Datuk M Nasir, ‘Mentera
Semerah Padi’, selain lagu kempen terkenal mengenai produktiviti (beberapa
tahun lalu). Hang Tuah juga tidak mati meskipun ditembak dari jarak dekat oleh
orang Rosman.
Mesej lain yang tersirat ialah kiamat sudah dekat.
Walaupun tidak diketahui sama sekali tarikh dan masanya, agamawan telah
menyatakan zaman kini merupakan akhir zaman. Ada pula manusia (Rosman) yang
tamak dan hanya mementingkan wang ringgit, serta cuba menyanggah takdir apabila
perlakuannya seperti mahu mempercepatkan kiamat.
Selain itu, mereka yang melupakan Tuhan disindir.
Menerusi watak Sam yang kesal kiamat berlaku pada zamannya, Aziz menyindir
manusia yang baru mahu mendirikan solat, dan beriktikaf di masjid apabila
menjangka kiamat berlaku bila-bila masa. Jika tidak kiamat, tiadalah mahu
solat, apatah lagi ke masjid.
No comments: