Pages

Sunday, 10 February 2019

POLITIK












MANSUHKAN SOSMA SEKARANG

Forum ‘Siapa Pengganas & Potensi Salah Guna Kuasa’ di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 9 Februari lalu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai undang-undang negara yang zalim, dan tidak berperikemanusiaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 (POCA), dan Akta Pencegahan Keganasan 2002 (POTA).
Anjuran bersama Mansuh AKTA SOSMA, POCA & POTA, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Pejabat Ahli Parlimen Petaling Jaya, forum tersebut dijayakan oleh Dato’ Mufti Perlis, Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; dan peguam hak asasi, Syahredzan Johan sebagai ahli panel. Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli bertindak sebagai pemudah cara.

Saari Sungib (atau lebih mesra dengan panggilan Pak Abu:
·        ditahan di bawah ISA pada 1998.
·        menurut beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menakut-nakutkan mangsa terlebih dahulu sebelum menahan.
·        mereka menimbulkan perasaan tidak selesa pada bakal mangsa. Kawasan rumah dihampiri setiap hari menjelang penahanan. Mood kawasan rumah dan kejiranan ditanamkan dengan ketakutan.
·        ternyata taktik zaman komunis tersebut masih digunakan.
·        akhirnya, setelah beliau ditahan, jiran-jiran terkejut kerana memang tidak menyangka.
·        betapa beliau ditengking dalam tahanan sehingga mengalami trauma.
·        ditahan ketika isterinya hamil anak ketujuh, beliau dianggap sebagai pengganas Malaysia.
·        dalam tahanan, diminta berbogel, tetapi membantah kerana tahu cara itu bertujuan merendahkan semangatnya, dan menjatuhkan maruahnya.
·        dibebaskan selepas ditahan 10 hari. Ketika dapat melihat semula langit biru dan pepohon hijau, beliau masih terkejut kerana ada orang Melayu Islam yang sanggup mengugut/menyeksa orang Melayu Islam lain.
·        suatu hal yang tidak dapat dilupakan oleh beliau selama berada di Kem Tahanan Kamunting itu ialah bau. Beliau tanpa berselindung mengakui amat membenci bau tersebut.
·        beliau dapat menghidu bau yang selama ini tidak dihiraukannya. Malangnya, bau itu tidak menyenangkan (bau dalam diri) sehingga menghilangkan kewarasan – tiada penghayatan dalam solat – bingung dengan solat yang didirikan, subuh misalnya, tidak pasti subuh hari ini atau semalam.
·        pegawai cawangan khas (SB) mengugutnya untuk menyula dengan kayu jika tidak membuat pengakuan – menyebut seolah-olah sedemikianlah perbuatan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
·        walau bagaimanapun, beliau agak kecewa kerana SOSMA masih ada selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara.
·        bagi beliau, BN ‘bijak’ menggunakan ISA – ia memanipulasikannya – sehingga ada tahanan yang gembira kerana setiap petang boleh bermain bola sepak. Ada juga yang dapat ‘padanan perniagaan’ sehingga berniaga selepas dibebaskan. ‘Cara’ yang digunakan telah membuahkan rasa ‘rindu’ dalam kalangan tahanan – baru empat jam tidak disoal siasat oleh pegawai SB, tahanan sudah ‘kerinduan’.
·        walau bagaimanapun, beliau tidak sedemikian, sebaliknya menggubal undang-undang sendiri, iaitu ‘jangan percaya pada pegawai SB’, dan ‘tidak pernah percaya pada pegawai SB’.
·        beliau setakat ini memegang rekod dunia kerana merupakan tahanan penjara paling banyak menulis buku dalam tahanan. – lapan buku. Justeru, PDRM tidak mahu menahan beliau lebih lama lagi kerana ‘malu’ – jika ditahan lagi, mungkin beliau akan menulis 20 buku pula!
·        beliau turut menyatakan semasa dalam tahanan ISA menyimpan hasrat mahu menjadi Ketua Polis Negara. Meskipun dipertikai kerana perlu menjalani latihan pesat/giat sedangkan usia sudah meningkat, beliau tetap bersemangat kerana mahu melakukan perubahan dalam pasukan PDRM. Kata beliau, sikap pegawai SB amat mengejutkan, dan mengecewakannya.
·        beliau berharap rakan-rakan PH di Dewan Undangan Negeri Selangor dan di Parlimen amat memahami kezaliman ISA/SOSMA, lantas menolaknya dengan tanpa sebarang alasan/syarat.

Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau biasa dipanggil Dr MAZA:
·        menegaskan hanya Allah SWT sahaja yang adil. Bukan setakat adil, tetapi maha adil dan maha mengetahui.
·        beliau turut mengenang jasa Pak Abu kerana pernah menguatkan semangatnya ketika ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.
·        Keadilan, tambah beliau, ialah asas yang perlu untuk manusia. Ia soal asas yang turut membantu kaedah pengurusan kehidupan manusia.
·        mengenai penghakiman, beliau menegaskan hakim pun tidak dapat mengetahui salah atau benar manusia yang dibicarakannya. Hakim, tambah beliau, mesti menghukum berdasarkan bukti walaupun (sekiranya) tahu/pasti si tertuduh bersalah.
·        beliau turut mengingatkan kerajaan PH agar membuat semak dan imbang (check and balance) dalam hal menggunakan kuasa. Beliau merujuk hal menangani keganasan/pengganas.
·        beliau berharap dan menegaskan agar setiap saksi diteliti jika mahu mereka profesional. Tambah beliau, kita tidak boleh menafikan ramai anggota polis yang baik. Telah banyak, katanya, kerja yang PDRM lakukan untuk keselamatan rakyat. Sehubungan itu, beliau turut menarik perhatian bahawa kehidupan kita bukan di balai polis sahaja.
·        beliau juga menarik perhatian dengan mengatakan pengganas memang wujud walaupun definisi tepat mengenainya masih belum ada. Kata beliau, ada pihak yang menganggap mereka yang tidak membaca doa qunut dalam solat fardu subuh ialah pengganas. Itu kes berat.
·        keganasan tidak mengira/mengenali siapa. Pelabelan memang telah menjadi budaya dalam masyarakat kita.
·        walau bagamanapun, definisi yang tepat mengenai pengganas perlu diberikan. Meskipun kamus Oxford telah memberikan definisi, namun demikian, ia seperti tidak dihiraukan.
·        beliau kesal kerana ketua pengganas/pihak Zionis Yahudi Israel menerima pengiktirafan Hadiah Nobel untuk keamanan dunia. Hal sedemikian disebabkan oleh pengertian pengganas berada di tangan pemberi anugerah/penyokong pengganas itu.
·        tambah beliau, Tun Dr Mahathir, semasa menjadi Perdana Menteri keempat pernah menggesa agar definisi pengganas yang tepat diberikan.

Maria Chin:
·        ditahan kerana menganjurkan perhimpunan Gabungan Menuntut Pilihan Raya yang Adil dan Bersih (Bersih) 5 pada 19 November 2016.
·        Katanya, beliau diberitahu oleh kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) bahawa SOSMA boleh juga diguna pakai untuk menahan pemimpin politik.
·        antara sebab SOSMA bukan untuk pengganas sahaja, jelas Maria, ialah kerajaan Umno/BN mahu menyekat individu yang ia tidak senangi/setujui/dianggap mengancam/menggugat mereka – bukan ahli politik sahaja.
·        tegas beliau, rakyat negara ini perlu mendapat perbicaraan yang adil. Mereka boleh ditahan, tetapi jangan diseksa mental dan fizikal.
·        ketika ditanya apakah usaha pihak beliau dalam menangani keganasan dan pemansuhan SOSMA, Maria tidak menolak tanggungjawab tersebut.
·        beliau turut menarik perhatian kita pada Mac depan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Yui Keong yang menangani undang-undang negara akan memansuhkan beberapa akta/undang-undang tidak wajar.
·        beliau berharap SOSMA antara akta/undang-undang yang akan dimansuhkan itu.
·        walau bagaimanapun, beliau berpendapat kempen mendesak mansuhkan SOSMA perlu digiatkan dari sekarang. Masa sudah suntuk kerana menjelang Mac nanti, mungkin menteri berkenaan telah membuat keputusan.
·        dalam hal ini, tidak salah jika ada yang berpendapat forum tersebut sudah lewat. Sepatutnya ia diadakan pada November tahun lalu. Sementelah pula semua orang sibuk dengan Malaysia Baharu, dan mantan Perdana Menteri yang asyik berulang-alik ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
·        setelah ditanya, pihak penganjur menjelaskan forum tersebut amat memerlukan kehadiran Dr Maza, dan pakar rujuk agama itu memberitahu beliau berkelapangan pada Februari 2019, khususnya pada 9 Februari tersebut.
·        namun begitu, Maria tidak menolak hakikat bukan semua ahli Parlimen memikirkan hal SOSMA, terutama yang telah sibuk dengan tugas sebagai menteri (yang tidak berkaitan dengan undang-undang).

Syahredzan Johan:
·        beliau menegaskan SOSMA tidak sesuai dibandingkan dengan ISA. Katanya, SOSMA lebih wajar dibandingkan dengan POCA, dan POTA. Ini kerana SOSMA tidak memperuntukkan tempoh tahanan tanpa bicara. Ia hanya mengenai kesalahan keselamatan, seperti memerangi Yang di-Pertuan Agong oleh kumpulan al-Maunah, dan mensabotaj ekonomi negara, misalnya 1MalaysianDevelopment Berhad (1MDB).
·        masalah SOSMA, jelas beliau, ialah penahanan selama 28 hari. Memang, tambah beliau, di negara lain pun ada hal tersebut, misalnya United Kingdom (UK). N
·        namun demikian, di UK tuduhan dikemukakan di mahkamah terlebih dahulu, sedangkan di Malaysia, PDRM mempunyai kuasa sendiri.
·        di negara ini, dalam tempoh 28 hari itu, tahanan diseksa sehingga terpaksa mengaku. Beliau memahami tahap seksaan tersebut sehingga mengaku kalau dirinya yang terkena, hanya selepas dua hari beliau akan membuat pengakuan.
·        tahanan SOSMA juga, tambah beliau, tidak dapat diikat jamin. Walau bagaimanapun, yang dituduh mencuri RM2.6 bilion boleh diikat jamin, bebas dan semakin popular pula dengan slogan ‘Apa Nak Malu Bosku’ dan kini, ‘Bukan Besha-besha’ (Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak) pula.
·        tahanan yang telah bebas pula masih dalam tahanan. Hal tersebut memang pelik dan tidak wajar, tegas beliau kerana selepas ditahan tanpa bicara, dan setelah dibebaskan, masih lagi ditahan. Siapa yang akan memberikan semula masa tahanan yang terbuang?
·        jika dibicarakan, perbicaraan SOSMA berat sebelah. Saksi pula terlindung. Si tertuduh dan peguam tidak mengetahui saksi tersebut. Mereka terpaksa menerima meskipun tidak melihat wajah, apatah lagi mengenalinya.
·        yang paling zalim, kata beliau, ialah mengikut Seksyen 18A, apa sahaja yang dikatakan/disebut oleh mereka boleh didengari. Jika PDRM sendiri pun diterima juga.
·        menurut beliau, asas yang paling utama dalam sekolah undang-undang ialah seseorang itu perlu dibicarakan dengan adil. Jadi, tegas beliau, SOSMA perlu dimansuhkan.
·        beliau turut mengingatkan bahawa rakyat perlu berhati-hati dengan tuntutan janji dalam manifesto PRU14 PH (Buku Harapan). Katanya, pemimpin PH menyebut untuk menghapuskan peruntukan-peruntukan zalim dalam undang-undang seperti SOSMA. Jika sedemikian, ertinya janji telah ditunaikan.
·        cuma, untuk tuntas dan lebih difahami oleh rakyat, SOSMA perlu dihapuskan terus. Itu yang rakyat perlu tuntut. Memang timbul persoalan mengapa kerajaan PH masih tidak menghapuskan akta pengganti ISA itu.
·        beliau bertanya mengapa negara lain boleh mempunyai undang-undang yang khas untuk menangani keganasan. Kata beliau, forum yang diadakan bagus. Walau bagaimanapun, hebahan dan capaian yang lebih luas diperlukan.
·        penganjur, kata beliau, perlu mencuba untuk membawa forum mengenai keganasan ke siaran Astro Awani agar ia lebih meluas, dan menjadi perbincangan umum.
·        kebanyakan yang menghadiri forum ialah ahli keluarga mangsa ISA/SOSMA, bukan rakyat massa. Pihak media juga tidak ramai yang hadir.        
 

No comments:

Post a Comment