MANUSIA-SIBORG SALING BERKASIH
SATU hal yang sebenarnya bukan masalah besar,
tetapi menyeronokkan ialah menonton adegan spektekular dalam filem aksi lasak.
Sejak ada imej janaan komputer (CGI), para penonton tahu mereka semakin
dibohongi, tetapi mahu dan terus mahu menonton kerana ‘pembohongan’ itu
kelihatan benar/seperti sebenar – menggembirakan dan menghiburkan.
Demikianlah filem aksi lasak yang dinanti-nantikan,
‘Alita: Battle Angel’, arahan Robert Rodriguez yang berdurasi 122 minit, dan
menelan kos $150-200 juta. Sangat menghiburkan, dan mengagumkan, walaupun dari
segi kisah yang lakon layarnya oleh James Cameron dan Laeta Kalogridis, tiada
yang baharu - oleh dianggap klise kerana watak wirawati gagah perkasa, dan
tidak mati biarpun menghadapi pelbagai rintangan/musuh – adegan Alita (Rosa
Salazar - Salazar membawa watak tersebut dengan gerakan yang dikawal.) cuba
dibunuh oleh para pemburu pahlawan lain yang telah diupah oleh Vector
(Mahershala Ali), pengendali perlawanan tempur Motorball membuktikan hal itu –
dan sukar dilupakan.
Adegan pertarungannya dengan sibog besar dari Greweica/Battle
Angel OVA, Grewishka (Jackie Earle Haley) sangat menarik dan mengujakan. Selain
langkah seni pertahanan diri Alita yang hebat, hasil CGI untuk adegan itu amat
mengagumkan. Seperti adegan permainan Motorball, adegan pertarungan sengit Alita-Grewishka
juga tidak dapat dilupakan.
Mengapa filem yang ada adegan hasil CGI seperti
‘Alita: Battle Angel’ ini masih perlu ditonton/masih ada penonton? Pertama,
kerana pengaruh promosi. Kedua, Alita diadaptasi daripada komik karya Yukito
Kishiro oleh Cameron.
Ketiga, kerana percintaan antara manusia, iaitu Hugo
(Keean Johnson) dengan Alita, sibog wanita. Hugo turut mengajar Alita bermain Motorball.
Rahsia Hugo sebagai penyamun pahlawan terbongkar. Alita kecewa kerana dia juga
sasaran Hugo yang ditawarkan oleh Vector sebanyak $30,000.
Walau bagaimanapun, kerana cinta, Alita tidak
membunuh Hugo meskipun dihasut oleh Zapan (Ed Skrein), sibog yang pernah
ditewaskan oleh Alita sebelum itu. Akhirnya, Zapan tanpa teragak-agak menikam
perut Hugo dengan pedangnya. Alita yang tidak sanggup kehilangan Hugo membawa
kekasihnya kepada doktor pakar sibermedik yang bersimpati, Dr Dyson ‘Daisuke’
Ido (Christoph Waltz), dan jururawat Gerhad (Idara Victor).
Hugo dipenggal dan kepalanya ditunjukkan kepada
Zapan sebagai bukti telah dibunuh. Namun demikian, Hugo diselamatkan oleh Ido
dan Gerhad. Dia dijadikan sibog juga. Justeru, sesuailah Alita dan Hugo
meneruskan percintaan mereka.
Walau bagaimanapun, rahsia kematian Hugo bocor.
Pihak berkuasa memburu dia. Ido membantu Hugo melarikan diri. Sebenarnya, Hugo
mahu naik ke Zalem – sebab itu dia mengambil upah menyamun pahlawan di jalanan.
Dia bersendirian ke atas dan dikejar oleh Alita yang cuba menghalang. Ketika
dia bersetuju berpatah arah, Desty Nova yang memang menguasai Zalem mengeluarkan
senjata pemusnah.
Hugo tidak sempat menyelamatkan diri. Tubuhnya
berkecai terkena alat maut tersebut (cantik sekali CGI adegan itu – sebagaimana
juga semasa adegan tubuh Alita berkecai ketika menentang Grewishka – sebelum
Ido bersetuju memakaikannya baju perisai. Alita gagal menyelamatkan Hugo yang
jatuh ke Iron City semula. Mungkinkah ada sekuel, dan Hugo tidak mati?
Kisah ‘Alita: Battle Angel’ bermula apabila Alita
(‘Gally’ dalam versi asal Jepun, lakonan Rosa Salazar), siborg wanita yang hampir
musnah, tetapi kepala dan dadanya masih elok, ditemui oleh doktor pakar
sibermedik yang bersimpati, Dr Dyson ‘Daisuke’ Ido (Christoph Waltz) di tempat
buangan skrap di Iron City. Latar waktu ialah 2365 Masehi.
Ido membawa Alita siborg itu ke kliniknya. Dia memulihkan
Alita dengan bantuan jururawat Gerhad. Dia kemudian mendapati sibog perempuan
itu hilang ingatan. Nama Alita diberikan untuk mengenang nama anak perempuannya
yang telah mati. Alita tidak mengetahui siapa dirinya, dan dunia yang didiami.
Apabila Alita belajar untuk memulakan kehidupan baharu,
dan mengenali lorong-lorong Iron City, Ido cuba melindunginya daripada kenangan
masa lampau yang misteri.
Alita segera pulih dan mengingati semula Panzer
Kunst, seni mempertahankan diri legenda, walaupun dia tidak mengingati yang
lain. Alita menggunakan Panzer Kunst untuk menjadi Pemburu Pahlawan, membunuh
penjenayah siborg di pembuangan skrap, kemudian bermain dalam sukan ekstrem,
Motorball.
Semasa dalam pertempuran/pertarungan, Alita mengingati
semula kehidupan awalnya di Marikh. Dia terlibat dengan kota terapung Tiphares sebagai
salah seorang ejen mereka, dan dihantar untuk membasmi jenayah. Paling utama
ialah genius yang gila, Nova, yang menentang Alita sebelum menjadi rakannya.
No comments:
Post a Comment