SASTERA BUDAYA
EZA DESMOND LAHIR DARI BAKAT DAN TULAR
Majlis ‘Pelancaran single dan Muzik Video
Rasmi ‘Bahagia’ – Eza Edmond & 25 Tahun Sheikh Qalam dalam Industri Muzik’
pada 30 Januari lalu, secara khususnya bertujuan melancarkan ‘single’ dan muzik
video rasmi lagu ‘Bahagia’, nyanyian Eza Edmond yang kini hit di radio-radio
tempatan, dan mula menarik perhatian umum.
Pelancaran tersebut diadakan atas permintaan para
peminat Eza Edmond selepas kejayaan video berlirik lagu ‘Bahagia’ yang dimuat
naik di Youtube, menarik tontonan hampir 25 juta secara keseluruhannya.
‘Bahagia’ mula mendapat perhatian umum, dan siulan
anak-anak muda, malah ramai yang membuat nyanyian semula (‘cover’) mengikut
versi mereka sendiri, selepas popular di aplikasi ‘Tik Tok’.
Tertarik dengan perkembangan itu, pihak Sheikh Qalam
Records telah mengadakan pertandingan #BahagiaChallenge yang pemenangnya telah
diumumkan pada 17 Januari 2019, bersempena dengan sambutan ulang tahun
kelahiran ke-21 Eza Edmond dalam sebuah majlis ringkas.
Lagu ‘Bahagia’ kini mula menduduki carta di Radio
Era FM, Suria FM, Hot FM, radio-radio RTM, dan ‘Muzik-muzik’ TV3.
Eza atau nama sebenarnya, Eza Hafizah Edmond
berasal dari Papar, Sabah dan berkelulusan dalam jurusan muzik dari Universiti
Tekonologi MARA, Shah Alam.
Kuasa tular benar-benar mempopularkan nama Eza.
Hanya dengan lagu ‘Kawan’ (#silameninggal), video tersebut tular bukan sahaja
di Malaysia, tetapi di seluruh Asia Tenggara pada April 2018.
Perkataan #silameninggal yang digunakan dalam lirik
lagu tersebut benar-benar memberikan kesan mendalam bagi kebanyakan peminat. Eza
sendiri tidak menyangka video yang tular menerusi laman sosial ‘Twitter’ itu
menarik perhatian kelompok Twit Famous Asia yang berpangkalan di Singapura.
Lagu dan video yang tular itu turut menaikkan nama
Eza untuk lebih dikenali di dunia maya, seperti yang berlaku kepada kebanyakan
pendatang baharu lain. Menerusi ‘Kawan’ juga, Eza diundang menjayakan rancangan
‘Motif Viral’ di Astro Ria, setelah mendapat tontonan 1.6 juta.
Tanpa menunggu lama, Eza dilamar oleh beberapa
syarikat rakaman sebaik sahaja namanya popular di media sosial. Oleh kerana yakin
dengan percaturan yang dibuat oleh pengurusan Sheikh Qalam Records, dia
akhirnya mengikat kontrak dengan syarikat tersebut.
Lagu ‘Bahagia’ ciptaan komposer muda, Hazmi Fahim, benar-benar
sesuai dengan jiwa gadis yang penuh kelembutan seperti Eza. Menariknya, gadis
manis tersebut tidak menghadapi masalah besar merakamkan lagu karya rakan
baiknya itu. Tambah mengujakan, ‘maestro’ muzik tanah air, Roslan Aziz turut
membantu melaksanakan proses adunan akhir bagi ‘mencantikkan’ lagi lagu
tersebut.
Selain Datuk M Nasir yang diberi penghormatan melancarkan
‘single’ dan muzik video itu; Sheikh Qalam atau nama sebenarnya, Othman
Mahmood, dan Eza sendiri, turut hadir ialah penyanyi/pelakon Mawi bersama-sama
isteri, dan anggota kumpulan Rabbani, Mohd Asri Ubaidullah.
Majlis tersebut turut memperkenalkan barisan artis
lain yang bernaung di bawah label Sheikh Qalam Records, iaitu Qalam Band, Ili Rawaida,
Boh Sharif, dan Mimah Zulkifli.
Selepas ucapan alu-aluan oleh Sheikh Qalam, ucapan
perasmian daripada M Nasir dan sesi sidang media bersama-sama wakil media;
Qalam Band, Ili Rawaida, Boh Sharif, Mimah Zulkifli, dan Eza mendendangkan lagu
masing-masing secara live.
No comments:
Post a Comment