Pages

Friday, 1 February 2019





SASTERA BUDAYA

PERSAHABATAN ATASI RASA BENCI, KECEWA, DENDAM

Apakah perbezaan antara drama televisyen dengan filem? Ada yang bertanya ‘Bella & Jamie’ ini filem atau drama televisyen. Mungkin filem kerana ia tampil secara layar lebar. Barangkali juga drama televisyen kerana cerita dan temanya. Boleh sahaja (juga), kata mereka, ‘Bella & Jamie’ ditampilkan sebagai drama televisyen sahaja.
Seperkara yang dipersetujui, memang kurang filem Melayu tempatan yang menampilkan remaja sebagai watak utama – permasalahan remaja. Itu alasan Liyana Jasmay (penerbit bersama-sama kakaknya, Edriana Jasmay) apabila ditanya mengapa menerbitkan ‘Bella & Jamie’ (yang tidak mengecewakan).
Selepas empat tahun menimba pengalaman menerbitkan drama televisyen, Liyana melangkah setapak lagi dalam kerjayanya sebagai penerbit pada tahun ini.
Menerusi syarikat produksinya, Mermaid Studios Sdn Bhd (yang ditubuhkan bersama-sama Edriana), Liyana tampil dengan filem pertama, ‘Bella & Jamie’.
Selain Liyana sebagai pelakon utama, ‘Bella & Jamie’ arahan pengarah muda berbakat besar Fairul Nizam Ablah (bersama-sama Ghaz Abu Bakar), yang juga menulis lakon layarnya ini turut menampilkan Che Puan Juliana Evans, Izzue Islam, Dynas Mokhtar, Khir Rahman, dan Bell Ngasri.
Mengenai lakon layar, menurut Liyana, pihaknya memilih karya yang memenuhi cita rasa golongan remaja. Sebagai penerbit, tambah Liyana, pihaknya telah membuat kajian mendalam mengenai pasaran filem tempatan.
Sebagai filem pertama, Mermaid Studios Sdn Bhd mengambil keputusan untuk menghasilkan filem berskala kecil dengan bajet yang tidak terlalu tinggi. Jelas Liyana, pihaknya mahu menghasilkan cerita komedi ringan, tetapi dekat dengan jiwa penonton.
‘Bella & Jamie’ yang berdurasi 90 minit dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, membawa kisah dua sahabat baik, Siti Nabilah @ Bella (Juliana) dan Jamilah @ Jamie (Liyana) yang melalui susah dan senang bersama-sama. Liyana turut menulis lakon layar filem ini.
Hubungan Bella dan Jamie lebih erat selepas mendapat tahu ayah dan ibu mereka – Badrul (Khir Rahman, ayah Jamie), dan Maryam (Sharifah Nadia, ibu Bella) merancang untuk berkahwin. Walau bagaimanapun, keakraban mereka tergugat apabila Bella mendapati Jamie menjalinkan hubungan cinta dengan bekas kekasihnya, Reza (Izzue Islam). Reza ialah bekas kekasih Jamie. Cinta mereka putus sebelum Jamie ke New York.
Terasa dikhianati, Jamie membuat rancangan untuk memutuskan hubungan Badrul dan Maryam agar dia dan Bella tidak menjadi adik-beradik, dan berhenti berkawan.
Untuk menjayakan rancangannya, Jamie mengajak bergabung dengan Bella dan Reza buat kali terakhir. Mereka mengupah Mastura (Dynas Mokhtar) yang juga bekas kekasih Badrul untuk menimbulkan kecemburuan, dan kebencian Maryam terhadap Badrul.
Meskipun (entah kenapa) filem Melayu tidak (selalu) dapat lari daripada soal perkahwinan, isu mahu menghalang ‘pembinaan masjid’ (perkahwinan yang amat dituntut oleh Islam) dalam filem ini tetap menarik. Oleh kerana marah dan benci, Jamie mahu menghalang ayahnya berkahwin.
Namun demikian, ternyata persahabatan mengatasi segala kejahatan. Bella akhirnya menyedari Reza bukanlah teman lelaki yang baik (meskipun ada kebaikannya juga kerana memberitahu Badrul tentang muslihat Jamie dan Bella). Mereka sama-sama ditinggalkan oleh Reza.
Walaupun menimbulkan persoalan sama ada ia filem atau sekadar drama televisyen, ‘Bella & Jamie’tetap membawa mesej positif, iaitu persahabatan sejati kekal selama-lamanya, dan perkahwinan jangan dihalang.
Selain kerana menggunakan dwi bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris, filem ini boleh dianggap sebagai menyindir kecenderungan masyarakat Melayu mutakhir menggunakan bahasa rojak (bercampur-aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, terutama Inggeris). Dari mula hingga tamat, semua wataknya berbahasa ‘sekerat ular sekerat belut’.
Kemunculan Khir Rahman walaupun menimbulkan pertanyaan, tetapi menarik kerana dia memang pelakon yang baik. Khir membawa watak Badrul dengan bersahaja. Itu juga secara tidak langsung membuktikan dia memang ‘mentor’ dalam filem ini sebagaimana yang diakui Liyana semasa menjawab soalan mengapa Khir turut berlakon.
Menurut Liyana, hubungannya dengan Khir rapat sejak penerbitan filem arahan Dato’ Afdlin Shauki, ‘Papadom’ (2009). Mereka sudah serasi, katanya, dan Liyana sudah menganggap Khir sebagai gurunya.


No comments:

Post a Comment