SASTERA BUDAYA
PERSAHABATAN ATASI RASA BENCI, KECEWA, DENDAM
Apakah perbezaan antara
drama televisyen dengan filem? Ada yang bertanya ‘Bella & Jamie’ ini filem
atau drama televisyen. Mungkin filem kerana ia tampil secara layar lebar. Barangkali
juga drama televisyen kerana cerita dan temanya. Boleh sahaja (juga), kata
mereka, ‘Bella & Jamie’ ditampilkan sebagai drama televisyen sahaja.
Seperkara yang
dipersetujui, memang kurang filem Melayu tempatan yang menampilkan remaja
sebagai watak utama – permasalahan remaja. Itu alasan Liyana Jasmay (penerbit
bersama-sama kakaknya, Edriana Jasmay) apabila ditanya mengapa menerbitkan
‘Bella & Jamie’ (yang tidak mengecewakan).
Selepas empat tahun menimba
pengalaman menerbitkan drama televisyen, Liyana melangkah setapak lagi dalam
kerjayanya sebagai penerbit pada tahun ini.
Menerusi syarikat
produksinya, Mermaid Studios Sdn Bhd (yang ditubuhkan bersama-sama Edriana), Liyana
tampil dengan filem pertama, ‘Bella & Jamie’.
Selain Liyana sebagai
pelakon utama, ‘Bella & Jamie’ arahan pengarah muda berbakat besar Fairul
Nizam Ablah (bersama-sama Ghaz Abu Bakar), yang juga menulis lakon layarnya ini
turut menampilkan Che Puan Juliana Evans, Izzue Islam, Dynas Mokhtar, Khir
Rahman, dan Bell Ngasri.
Mengenai lakon layar,
menurut Liyana, pihaknya memilih karya yang memenuhi cita rasa golongan remaja.
Sebagai penerbit, tambah Liyana, pihaknya telah membuat kajian mendalam mengenai
pasaran filem tempatan.
Sebagai filem pertama,
Mermaid Studios Sdn Bhd mengambil keputusan untuk menghasilkan filem berskala
kecil dengan bajet yang tidak terlalu tinggi. Jelas Liyana, pihaknya mahu
menghasilkan cerita komedi ringan, tetapi dekat dengan jiwa penonton.
‘Bella & Jamie’ yang
berdurasi 90 minit dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, membawa kisah dua
sahabat baik, Siti Nabilah @ Bella (Juliana) dan Jamilah @ Jamie (Liyana) yang
melalui susah dan senang bersama-sama. Liyana turut menulis lakon layar filem
ini.
Hubungan Bella dan Jamie
lebih erat selepas mendapat tahu ayah dan ibu mereka – Badrul (Khir Rahman,
ayah Jamie), dan Maryam (Sharifah Nadia, ibu Bella) merancang untuk berkahwin.
Walau bagaimanapun, keakraban mereka tergugat apabila Bella mendapati Jamie
menjalinkan hubungan cinta dengan bekas kekasihnya, Reza (Izzue Islam). Reza
ialah bekas kekasih Jamie. Cinta mereka putus sebelum Jamie ke New York.
Terasa dikhianati, Jamie
membuat rancangan untuk memutuskan hubungan Badrul dan Maryam agar dia dan
Bella tidak menjadi adik-beradik, dan berhenti berkawan.
Untuk menjayakan rancangannya,
Jamie mengajak bergabung dengan Bella dan Reza buat kali terakhir. Mereka
mengupah Mastura (Dynas Mokhtar) yang juga bekas kekasih Badrul untuk
menimbulkan kecemburuan, dan kebencian Maryam terhadap Badrul.
Meskipun (entah kenapa)
filem Melayu tidak (selalu) dapat lari daripada soal perkahwinan, isu mahu
menghalang ‘pembinaan masjid’ (perkahwinan yang amat dituntut oleh Islam) dalam
filem ini tetap menarik. Oleh kerana marah dan benci, Jamie mahu menghalang
ayahnya berkahwin.
Namun demikian, ternyata
persahabatan mengatasi segala kejahatan. Bella akhirnya menyedari Reza bukanlah
teman lelaki yang baik (meskipun ada kebaikannya juga kerana memberitahu Badrul
tentang muslihat Jamie dan Bella). Mereka sama-sama ditinggalkan oleh Reza.
Walaupun menimbulkan
persoalan sama ada ia filem atau sekadar drama televisyen, ‘Bella &
Jamie’tetap membawa mesej positif, iaitu persahabatan sejati kekal
selama-lamanya, dan perkahwinan jangan dihalang.
Selain kerana menggunakan
dwi bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris, filem ini boleh dianggap sebagai
menyindir kecenderungan masyarakat Melayu mutakhir menggunakan bahasa rojak
(bercampur-aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, terutama Inggeris).
Dari mula hingga tamat, semua wataknya berbahasa ‘sekerat ular sekerat belut’.
Kemunculan Khir Rahman
walaupun menimbulkan pertanyaan, tetapi menarik kerana dia memang pelakon yang
baik. Khir membawa watak Badrul dengan bersahaja. Itu juga secara tidak
langsung membuktikan dia memang ‘mentor’ dalam filem ini sebagaimana yang
diakui Liyana semasa menjawab soalan mengapa Khir turut berlakon.
Menurut Liyana, hubungannya
dengan Khir rapat sejak penerbitan filem arahan Dato’ Afdlin Shauki, ‘Papadom’
(2009). Mereka sudah serasi, katanya, dan Liyana sudah menganggap Khir sebagai
gurunya.
No comments: