SASTERA BUDAYA

EZA DESMOND LAHIR DARI BAKAT DAN TULAR

Majlis ‘Pelancaran single dan Muzik Video Rasmi ‘Bahagia’ – Eza Edmond & 25 Tahun Sheikh Qalam dalam Industri Muzik’ pada 30 Januari lalu, secara khususnya bertujuan melancarkan ‘single’ dan muzik video rasmi lagu ‘Bahagia’, nyanyian Eza Edmond yang kini hit di radio-radio tempatan, dan mula menarik perhatian umum.
Pelancaran tersebut diadakan atas permintaan para peminat Eza Edmond selepas kejayaan video berlirik lagu ‘Bahagia’ yang dimuat naik di Youtube, menarik tontonan hampir 25 juta secara keseluruhannya.
‘Bahagia’ mula mendapat perhatian umum, dan siulan anak-anak muda, malah ramai yang membuat nyanyian semula (‘cover’) mengikut versi mereka sendiri, selepas popular di aplikasi ‘Tik Tok’.
Tertarik dengan perkembangan itu, pihak Sheikh Qalam Records telah mengadakan pertandingan #BahagiaChallenge yang pemenangnya telah diumumkan pada 17 Januari 2019, bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran ke-21 Eza Edmond dalam sebuah majlis ringkas.
Lagu ‘Bahagia’ kini mula menduduki carta di Radio Era FM, Suria FM, Hot FM, radio-radio RTM, dan ‘Muzik-muzik’ TV3.
Eza atau nama sebenarnya, Eza Hafizah Edmond berasal dari Papar, Sabah dan berkelulusan dalam jurusan muzik dari Universiti Tekonologi MARA, Shah Alam.
Kuasa tular benar-benar mempopularkan nama Eza. Hanya dengan lagu ‘Kawan’ (#silameninggal), video tersebut tular bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh Asia Tenggara pada April 2018.
Perkataan #silameninggal yang digunakan dalam lirik lagu tersebut benar-benar memberikan kesan mendalam bagi kebanyakan peminat. Eza sendiri tidak menyangka video yang tular menerusi laman sosial ‘Twitter’ itu menarik perhatian kelompok Twit Famous Asia yang berpangkalan di Singapura.
Lagu dan video yang tular itu turut menaikkan nama Eza untuk lebih dikenali di dunia maya, seperti yang berlaku kepada kebanyakan pendatang baharu lain. Menerusi ‘Kawan’ juga, Eza diundang menjayakan rancangan ‘Motif Viral’ di Astro Ria, setelah mendapat tontonan 1.6 juta.
Tanpa menunggu lama, Eza dilamar oleh beberapa syarikat rakaman sebaik sahaja namanya popular di media sosial. Oleh kerana yakin dengan percaturan yang dibuat oleh pengurusan Sheikh Qalam Records, dia akhirnya mengikat kontrak dengan syarikat tersebut.
Lagu ‘Bahagia’ ciptaan komposer muda, Hazmi Fahim, benar-benar sesuai dengan jiwa gadis yang penuh kelembutan seperti Eza. Menariknya, gadis manis tersebut tidak menghadapi masalah besar merakamkan lagu karya rakan baiknya itu. Tambah mengujakan, ‘maestro’ muzik tanah air, Roslan Aziz turut membantu melaksanakan proses adunan akhir bagi ‘mencantikkan’ lagi lagu tersebut.
Selain Datuk M Nasir yang diberi penghormatan melancarkan ‘single’ dan muzik video itu; Sheikh Qalam atau nama sebenarnya, Othman Mahmood, dan Eza sendiri, turut hadir ialah penyanyi/pelakon Mawi bersama-sama isteri, dan anggota kumpulan Rabbani, Mohd Asri Ubaidullah.
Majlis tersebut turut memperkenalkan barisan artis lain yang bernaung di bawah label Sheikh Qalam Records, iaitu Qalam Band, Ili Rawaida, Boh Sharif, dan Mimah Zulkifli.
Selepas ucapan alu-aluan oleh Sheikh Qalam, ucapan perasmian daripada M Nasir dan sesi sidang media bersama-sama wakil media; Qalam Band, Ili Rawaida, Boh Sharif, Mimah Zulkifli, dan Eza mendendangkan lagu masing-masing secara live.

No comments:

Powered by Blogger.