Pages

Saturday, 29 June 2019











SASTERA BUDAYA

SAMBUTAN AIDILFITRI KUMPULAN AMBANK MERIAH

PADA 28 Jun 2019 lalu telah masuk 24 Syawal 1440. Walau bagaimanapun, Kumpulan AmBank menganggap masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada para pelanggan, rakan korporat, dan tetamunya, serta pengamal media.
Sehubungan itu, majlis Rumah Terbuka Hari Raya yang diadakannya di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada tarikh tersebut masih relevan. Dilangsungkan selepas waktu pejabat dalam tempoh kira-kira enam jam, memang memberi peluang kepada para pengunjung datang beramai-ramai.
Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim tampil sebagai tuan rumah melayani para tetamu yang datang menjamu selera, dan berhibur. Antara yang turut hadir termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) AmBank, Dato’ Sulaiman Mohd Tahir; Ahli Lembaga Pengarah, dan CEO dari anak syarikat Kumpulan AmBank seperti Bank Peruncitan, Bank Pelaburan, Bank Perborongan dan Insurans – Insurans AmGeneral, Insurans AmMetLife, dan Tafakul AmMetLife.
Menurut Tan Sri Azman, Rumah Terbuka Hari Raya merupakan acara tahunan pihaknya, AmBankers untuk menggalakkan, dan mengeratkan lagi hubungan dengan para pelanggan dan tetamu, sambil menyambut Aidilfitri.
Tambah Azman, acara tersebut juga sebagai tanda penghargaan Kumpulan AmBank kepada para pelanggannya atas kepercayaan, dan sokongan dalam berurusan sejak bertahun-tahun lalu.
AmBankers di Kumpulan AmBank, kata Azman lagi, benar-benar menghargai kepentingan masyarakat pelbagai budaya, dan pelbagai agama di negara kita, untuk berkumpul, serta menyebarkan kegembiraan, dan keharmonian dengan setiap orang, terutamanya semasa meraikan temasya seperti hari acara tersebut.
Rumah Terbuka Hari Raya, tambah Azman, menjadi salah satu acara untuk AmBankers, dan para pelanggannya bertemu, serta saling berkenalan dengan lebih baik. Itu akan menguatkan dan mengeratkan rasa kebersamaan, dan kerja sepasukan antara AmBankers, terutamanya dari jabatan dan pejabat yang berlainan.       




















SASTERA BUDAYA

TANPA WARNA-WARNI PUN KL TETAP MENAWAN

SETELAH terlibat dengan dunia korporat, serta komunikasi dan multimedia lebih suku abad, Azul Adnan beralih menyalurkan pengalaman, dan bakatnya untuk menjadi jurugambar, dan pengajar.
Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur ini, sebagai jurugambar bebas, dia mengambil gambar untuk acara korporat, perkahwinan, konsert, industri makanan dan minuman, dan lain-lain. Tambahnya, dia juga meminati fotografi pelancongan, dan dokumentari.
Setakat ini, gambar-gambar yang diambil oleh Azul telah terbit dalam majalah Lonely Planet, dan Philippine Airlines, akhbar The Star, dan New Straits Times, serta laman sesawang National Geographic, BBC, dan Levi’s. Selain itu, dia pernah menulis artikel untuk majalah fotografi dan pelancongan.
Selepas menyertai enam pameran fotografi secara berkumpulan sejak 2012, Azul yang belajar bidang fotografi sendiri diberi peluang mengadakan pameran fotografi perseorangan di ibu kota, iaitu ‘Perbandaran Kuala Lumpur’.
Sebanyak 35 foto hitam putih hasil bidikan kamera Azul, pada 2017, 2018, dan 2019 dipamerkan dalam pameran di Ruang Kreatif (MaTiC) dari 24 Mei 2019 lalu sehingga 21 Julai 2019 depan. Dua puluh lapan daripadanya bersaiz 24 inci X 36 inci, sementara tujuh lagi berukuran 12 inci X 18 inci.
Pameran berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
Malaysia; Balai Seni Negara, MaTiC (Pusat Pelancongan Malaysia), Epson, Festival
Fotografi Kuala Lumpur, dan Ruang Kreatif Balai Seni Negara.
Foto dalam warna-warni memang lebih menarik dan disukai ramai. Namun demikian, jelas Azul, dia menghasilkan foto dalam hitam putih kerana mahu memberi penekanan terhadap garisan dan bentuk, serta cahaya dan bayang. Katanya lagi, dia mahu mengabadikan intisari keberadaan, dalam landskap bandar yang dibesarkan. Menyisihkan warna juga, tegasnya, mampu mendalamkan lagi rasa individualisme, dan kesendirian.
Dalam sebahagian besar usianya Azul, 55, menghuni Kuala Lumpur (KL). Jadi, dia dapat menyaksikan pembangunan KL dari kota raya kecil menjadi kota metropolis moden.
Di sepanjang tempoh tersebut, jumlah penduduk meningkat kepada kira-kira 1.8 juta orang. Pertambahan itu seiring dengan pembandaran kota raya, sehingga membawa kepada pembinaan besar-besaran bangunan komersil, dan sistem pengangkutan awam.
Menurut Azul, dia selalu menyusuri jalan-jalan di KL memerhatikan gelagat orang ramai. Jelasnya lagi, dia perasan serta dapat mengagak bahawa dalam kesibukan dan kesesakan kota raya seperti KL, setiap orang akhirnya ada masa bersendirian juga.
Semua orang, katanya yang juga mengajar fotografi secara sambilan di kolej dan sekolah, ada kehidupan, agenda dan destinasi sendiri. Pada zahirnya berhubung, tetapi mereka kelihatan terpisah dalam perasaan, dan fizikal.
Jelas pensyarah tamu kolej multimedia, The One Academy ini lagi, dia mahu mengabadikan ‘adegan-adegan’ penghuni KL yang bersendirian berlatarbelakangkan landskap bandar yang melingkungi kehadiran mereka itu dalam foto hitam putih. Sama ada disedari atau tidak, ulang-alik dan aktiviti harian mereka dalam beberapa cara dipengaruhi, atau dicorakkan oleh persekitaran masing-masing.
Hasil pemerhatiannya, Azul mengakui ruang dan struktur bandar raya KL memang cantik, dan menggoda. Kawasan-kawasan di sebelah-menyebelah seperti siar kaki, stesen, atau taman dengan figura tanpa wajah sendirian mencipta visi bentuk, cahaya dan bayang bergandingan dengan konsep ‘makna’, ‘tujuan’, dan ‘rasa keberadaan’.
Ringkasnya, Azul mahu mengabadikan penceritaan yang menumpukan kepada, malah persoalan, perhubungan antara perbandaran KL dengan persekitaran penduduknya.
Antara foto yang dipamerkan dalam pameran itu termasuklah Y (2017/24 inci X 36 inci), Mahkota (2017/24 inci X 36 inci), Cahaya Kota Raya (2017/24 inci X 36 inci), Berhubung tetapi Terpisah (2018/24 inci X 36 inci), Aku Mahu Bersendirian di Sentul (2018/24 inci X 36 inci), Turun (2018/24 inci X 36 inci), dan Mengikut (2018/24 inci X 36 inci).
Dipamerkan juga Berlian (2019/12 inci X 18 inci), Puncak (2019/24 inci X 36 inci), Terlepas (2019/24 inci X 36 inci), Pertumbuhan (2019/24 inci X 36 inci), Nafas (2019/24 inci X 36 inci), Pagi Ahad (2019/24 inci X 36 inci), Tidak Sedar (2019/24 inci X 36 inci), Kuala (2019/24 inci X 36 inci), dan Satu Langkah Satu Masa (2019/24 inci X 36 inci).
Azul turut diundang sebagai pembicara dalam Festival Fotografi Kuala Lumpur pada setiap tahun sejak 2009. Selain itu, dia pernah dijemput menjadi ahli panel hakim untuk beberapa pertandingan fotografi.
Antara pameran berkumpulan yang pernah disertainya termasuklah ‘Ahli-ahli Sahaja’ di Balai Seni Lukis Negara pada 2012, Festival Fotografi Kuala Lumpur (2012, 2013, dan 2017), ‘Fotografi Jalanan’ (MaTiC/2017), ‘Fotografi pada Poskad’ (London/2017), ‘Festival Foto Antarabangsa Jeonju (Korea/2018), dan ‘Mata Melihat Jalan Besar’ (Wilson, Carolina Utara/2019).
Selain lulus Sijil Pelajaran Malaysia dari St John Institution, Kuala Lumpur, Azul memiliki A Level (Kolej Universiti Buckland, England), Sijil City & Guilds dalam Program Komputer (London), dan Sarjana Muda Sains Sistem Maklumat Pengurusan (USIUE, England).        
               




Wednesday, 26 June 2019















SASTERA BUDAYA


SERAM TAK SERAM, TETAP ADA PENGAJARAN



SERAM atau tidak? Memang sejak mendengar judulnya sahaja saya menjangkakan ia filem
bercorak seram bertahap tinggi, malah jangkaan/harapan itu besar. Menjelang hari
mula tayangannya, keterujaan saya semakin kuat.
Filem ‘Annabelle Comes Home’ ini mula ditayangkan di Amerika Syarikat pada 26
Jun lalu, sementara di Malaysia sehari kemudian oleh Warner Bros Pictures, dan
New Line Cinema.
Walau bagaimanapun, keseramannya biasa-biasa sahaja. Sebaliknya timbul
kegeraman/kehampaan pula. Ada seram, tetapi rasa geram/hampa melebihi
sehingga terasa hanya membuang masa menontonnya.
Untuk apa filem ini dihasilkan, walaupun memang ditunggu-tunggu? Ia filem seram
‘supernatural’ yang dijangka akan ‘pecah panggung’ kerana ceritanya berdasarkan
legenda anak patung Annabelle. Namun demikian, filem sebelumnya, ‘Annabelle’
(2014, meraih $257.1 juta daripada kos $6.5 juta), dan ‘Annabelle: Creation’ (2017,
$306.5 juta/$15 juta) lebih menarik, mencengkam, serta membekas.
‘Annabelle Comes Home’ menarik perhatian penonton/peminat dan pemerhati filem
seram kerana ia sajian ketujuh francais ‘Conjuring Universe’, yang turut menampilkan
suami isteri Ed Warren (Patrick Wilson) dan Lorraine Wilson (Vera Farmiga),
perunding hal-ehwal kesyaitanan, serta pembasmi gangguan roh jahat yang diistilahkan sebagai ahli demonologi.
Meskipun ia arahan pertama Gary Dauberman, daripada cerita yang ditulis olehnya
bersama-sama James Wan (Wan turut menerbitkan filem ini bersama-sama Peter
Safran), saya tidak menafikan filem ini dihasilkan dengan sabar dan kronologi, dalam
menggerakkan jalan cerita, serta adegan demi adegan. Kesabaran itu perlu diikuti oleh
penonton juga. Jika tidak bersabar semasa menonton, akan kurang memahami.
Namun demikian, kesabaran penonton tidak berbaloi kerana keseramannya kurang
meresapi. Tidak banyak adegan seram di sepanjang 106 minit durasinya.
Adakah kekurangan tersebut disebabkan pembikin ‘Annabelle Comes Home’ lebih
suka membawa pengajaran tersirat daripada memaparkan keseraman melampau,
yang kosong, dan klise? Adakah itu juga kerana ia filem pertama si pengarah?
Dari permulaan lagi, saya dapat melihat beberapa siratan. Antaranya jangan
memandai-mandai mengenai sesuatu perkara yang kurang difahami, jangan suka
mengambil tahu hal orang lain, patuhi arahan, serta sayangilah ibu bapa, dan
jangan menyesal setelah mereka tiada lagi sehingga berharap dapat bertemu roh
mereka walaupun dengan cara yang salah.
Lantaran bersungguh-sungguh mahu melindungi Annabelle daripada ancaman yang
lebih bahaya, Ed dan Lorraine membawa anak patung yang kerasukan itu ke bilik
artifak berkunci di rumah mereka, menyimpannya di dalam almari kaca, dan
‘dilindungi’ doa oleh Paderi Gordon (Steve Coulter).
Walau bagaimanapun, perkara buruk terjadi setahun kemudian apabila Annabelle
membangkitkan roh jahat (syaitan yang dikaitkan dengannya, lakonan Joseph
Bishara) di dalam kurungan itu, yang mencari sasaran baharu, iaitu anak Ed dan Lorraine, Judy Warren (Mckenna Grace), serta dua orang pengasuhnya, Mary Ellen (Madison Iseman), dan Daniela (Katie Sarife).
Ed-Lorraine mengupah Mary kerana mereka perlu menjalankan tugas di tempat lain beberapa hari. Daniela yang mendapat tahu Mary bekerja di rumah Ed-Lorraine, berminat menyertai rakan baiknya. Dia ada misi sendiri, iaitu mahu memanggil roh ayahnya di rumah pakar demonologi itu. Rasa kesal dan bersalah, serta rindu menghantui Daniela yang didakwa menyebabkan kematian ayahnya.
Walau bagaimanapun, Daniela melakukan kesalahan lain pula apabila menceroboh
bilik artifak berkunci Ed-Lorraine itu meskipun telah diingatkan oleh Mary agar tidak
menyentuh apa-apa di dalam rumah tersebut, apatah lagi menceroboh mana-mana bilik.
Namun demikian, ketika Mary melayan Judy bermain di luar rumah, Daniela
mengambil kesempatan melaksanakan misinya. Secara tidak sengaja dia terjumpa
anak kunci bilik artifak itu, lalu menyelinap masuk walaupun tertulis larangan keras
pada pintunya.
Hampir semua artifak disentuh oleh Daniela, sehingga dia terpandang Annabelle,
dan curiga. Disebabkan sifat ingin tahunya yang mendalam, Daniela tanpa sedar telah membebaskan Annabelle. Keadaan menjadi kacau setelah Annabelle merasuk semua artifak di dalam bilik itu. Daniela turut dirasuk oleh salah satu artifak, sehingga hampir-hampir membunuh Mary.
Roh ayah Daniela menjelma dalam bentuk jasad asal, dan sama-sama memetik
piano, tetapi kemudian memarahi anak gadisnya itu. Daniela kemudian menyedari
dia telah melakukan kesilapan tidak mengikut pesanan Mary.
Daniela bukan sahaja suka ‘menyibuk’, dan mengabaikan larangan dengan
menceroboh bilik artifak berkunci Ed-Lorraine, tetapi turut memandai-mandai
(mengenai sesuatu perkara yang kurang difahami) apabila membuka almari kaca
yang mengurung Annabelle.
Sehubungan itu, seperkara lagi yang penting ialah manusia boleh berusaha menghalang
keburukan/kejahatan, misalnya dengan berdoa. Walau bagaimanapun, itu belum
mencukupi jika manusia sendiri yang mengundangnya. Paderi Gordon telah berdoa
‘mengunci’ Annabelle, dan Ed-Lorraine mengurungnya di dalam almari kaca. Namun
begitu, Daniela merosakkan usaha itu apabila membuka almari berkenaan.
Agak menarik kekecohan berlaku ketika Ed dan Lorraine tiada. ‘Annabelle Comes Home’ seolah-olah mahu menunjukkan kebolehan anak pasangan ahli demonologi itu, Judy yang baru berusia 10 menentang roh jahat.
‘Annabelle Comes Home’ merupakan filem seram ‘supernatural’ yang berdasarkan
legenda anak patung Annabelle. Ia sekuel filem ‘Annabelle’, dan ‘Annabelle:
Creation’, serta sebagai sajian ketujuh francais ‘Conjuring Universe’.
Pada awal April 2018, Warner Bros. mengumumkan 3 Julai 2019 sebagai tarikh filem baharu dalam francais ‘Conjuring Universe’ yang belum berjudul. Lewat bulan tersebut, diumumkan bahawa filem itu akan menjadi sajian lain dalam siri ‘Annabelle’, dengan Gary Dauberman bersetuju menulis lakon layar, dan mengarah sebagai filem pertama arahannya, berdasarkan olahan cerita oleh Dauberman sendiri, dan James Wan. Wan dan Peter Safran akan membiayai projek tersebut.
Pada 2018, San Diego Comic-Con, James Wan dan Safran mendedahkan bahawa filem tersebut akan muncul selepas ‘Annabelle’, dan menumpukan kepada anak patung setelah disimpan di dalam kotak kaca di muzium Warren. Dauberman kemudian membuat kepastian dengan menyatakan filem tersebut akan bermula tidak lama selepas pembukaan ‘The Conjuring’ di mana watak titular diperkenalkan, tetapi juga sebelum banyak sajian pertama francais itu.
Pada 5 September 2018, Michael Burgess dipilih sebagai jurukamera filem tersebut. Pada 30 Mac 30, 2019, Kirk Morri pula dilantik menjadi penyunting.
Pada lewat September 2018, Mckenna Grace ditawarkan membintangi filem ini sebagai Judy Warren, anak Warren suami isteri yang berusia 10 tahun. Madison Iseman pula sebagai salah seorang pengasuhnya.
Pada Oktober, Katie Sarife turut bersetuju berlakon. Pada bulan yang sama, Patrick Wilson dan Vera Farmiga diumumkan akan tampil kembali sebagai Ed, dan Lorraine Warren.
Produksi ‘Annabelle Comes Home’ ini dimulakan pada 17 Oktober 2018, di Los Angeles. Pada 7 Disember 2018, Wilson memberitahu dia sudah selesai menjalani penggambaran yang membabitkannya. Penggambaran penuh selesai pada 14 Disember 2018.
Filem ini mula ditayangkan di Amerika Syarikat pada 26 Jun lalu, sementara di Malaysia sehari kemudian oleh Warner Bros Pictures, dan New Line Cinema.

Saturday, 22 June 2019









SASTERA BUDAYA

DBP SUDAH LEBIH ENAM DEKAD!


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956, kira-kira setahun sebelum kemerdekaan negara kita yang ketika itu dipanggil Tanah Melayu (Malaya).
Tarikh tersebut merupakan detik bersejarah apabila sebuah institusi ulung bahasa di negara ini ditubuhkan di selatan tanah air, manifestasi daripada Kongres Bahasa, dan Persuratan Melayu III.
DBP sebagai gapura ilmu, yang lahir daripada kesaktian lidah rakyat terus memperjuangkan kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia institusi yang bergerak dengan tiga sayap utama, iaitu bahasa, sastera dan penerbitan dalam memenuhi matlamat penubuhannya untuk membina, serta mengembangkan bahasa, dan persuratan Melayu.
Pada 21 Jun lalu di Balai Budaya, Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik merasmikan sambutan ulang tahun penubuhan DBP yang ke-63.
Dalam mendepani cabaran semasa, sambutan kali ini mendukung aspirasi peremajaan, pendigitalan, dan pengantarabangsaan DBP dalam memastikan kelangsungan kewujudannya.
Setakat ini, DBP telah menerbitkan lebih 500 judul digital termasuk majalah, kamus dan ensiklopedia. Pada masa ini, judul terbitan berkenaan boleh dicapai menerusi rakan niaga DBP, iaitu portal E-Sentral, dan Bookcapital dalam format ePub, dan PDF.
Sebanyak 11 judul majalah terbitan DBP kini memasuki era digital, iaitu majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam, Pelita Bahasa, dan Tunas Cipta.
DBP juga telah menerbitkan e-buku interaktif kanak-kanak dalam bentuk aplikasi yang boleh dicapai melalui Google Play. Terbitan tersebut berkonsepkan didik hibur yang mengandungi unsur hiperaktif, animasi, dan lagu. Diharapkan inisiatif ini dapat memastikan bahasa Melayu dikembangkan secara meluas.
Selain itu, untuk merancakkan industri penerbitan buku dan industri kreatif, DBP telah bekerjasama dengan stesen televisyen tempatan bagi mengangkat karya sastera melalui adaptasi novel terbitan DBP ke bentuk telefilem, dan drama bersiri seperti di RTM, drama ‘Platun Harimau’ (2011), telefilem ’Hari-hari Terakhir Seorang Seniman’ (2013) diAstro, drama bersiri ‘Kemboja di Hati’ (2016) di TV Alhijrah, telefilem ‘Bening Cahaya Maulid (2016) di TV3, dan untuk siaran RTM, ‘Srengenge’ (2017), dan  telefilem ‘Sesekali’ (2019).
Selain Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Dato’ Padilah Haji Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharudin, antara tetamu kehormat yang turut menghadiri majlis sambutan itu termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (Bahagian Pengurusan), Dato’ Kamal Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Pendidikan, Mohamad Azhan Md Amin; Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Ilani Mohamad Ibrahim; Timbalan Duta Besar Iran, Abdol Ali Maktabi Fard; Sasterawan Negara (SN) Dato’ Seri (Dr) A Samad Said, Prof Dr Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr Anwar Ridhwan, Dato’ (Dr) Baharuddin Zainal (Baha Zain), dan Datuk Dr Zurinah Hassan, serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah DBP.
Dalam ucapannya, Dr Maszlee gembira kerana buku-buku terbitan DBP kini boleh didapati dalam bentuk e-Book sebagai tanda mengikut peredaran zaman, dengan memanfaatkan teknologi baharu.
Sebagai responsnya terhadap ucapan terima kasih Datuk Abang Sallehuddin kerana beliau menyayangi DBP, Maszlee mengatakan sayang atau tidak, hal-ehwal DBP tetap sentiasa dibawa olehya semasa sidang Dewan Rakyat.
Maszlee berharap dan meminta DBP agar menjadi sebuah badan yang berintegriti. Sehubungan itu, kata beliau, DBP perlukan penjenamaan semula.
Menariknya, Maszlee menggunakan istilah ‘satu keharaman’ jika DBP tidak berubah kerana kerajaan yang memerintah Malaysia sudah berubah – Malaysia Baharu.
Walau bagaimanapun, dalam beraneka cabaran dan tantangan yang perlu/terpaksa dihadapi, Maszlee yakin DBP akan mampu berubah dalam masa terdekat. Untuk itu, DBP perlu berubah dari ‘atas’. Setiap warga kerja DBP, tegas beliau, jangan melihat/menganggap diri masing-masing hanya sebagai pekerja. Mereka perlu sedar mereka sebenarnya ialah wira, dan kesatria sastera budaya bahasa negara. Untuk itu juga, tegas Maszlee, ‘tajdid sikap’ perlu ada dalam diri setiap warga kerja DBP.
DBP, tambah Maszlee, memang berperanan besar dalam menjayakan matlamat mengangkat Malaysia menjadi Negara Pembaca pada 2030.
Seperkara yang menarik juga, Maszlee menggesa agar DBP menjadi badan penghalalan bahasa, iaitu dalam aspek penggunaan bahasa Melayu yang tepat/betul. Kata beliau, jika makanan dan minuman tempatan ada tanda halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kenapa tidak ada tanda halal bagi bahasa Melayu daripada DBP! DBP perlu menjadi pengawal/penjaga standard bahasa Melayu di negara ini.
Mengenai kehadiran SN di UA yang memang dibawa/diundang oleh pihak tersebut, Maszlee turut mengatakan tidak memadai dengan hanya kehadiran ‘manusia berharga’ itu. Tegas beliau, SN yang dibawa ke UA perlu diberikan elaun khas sebagai penghargaan terhadap taraf, dan ilmu/pengalaman mereka.
Maszlee turut menyatakan beliau akan berusaha mengatur pertemuan SN dengan Kementerian Kewangan untuk urusan pemberian imbalan jasa kepada mereka. Tujuan tersebut, kata Maszlee untuk mengelakkan anggapan seolah-olah SN yang meminta. Kata beliau, selagi masih menjadi Menteri Pendidikan, beliau akan berusaha/cuba mengatur pertemuan itu.
Abang Sallehuddin pula dalam ucapan beliau menegaskan kesungguhan DBP untuk kembali ke landasan yang betul, dan mengulangi kegemilangan lalu, serta menjadi lebih baik.
Beliau menyatakan penghargaan DBP terhadap segala teguran dan ‘kemarahan’ Menteri Pendidikan Malaysia. Menegur dan marah itu ialah tanda Maszlee menyayangi DBP.
Sebaliknya, Sallehuddin menyatakan kebimbangan jika Maszlee tidak lagi mempedulikan DBP. Beliau sangat bimbang perkara itu berlaku!
Dalam ucapan beliau juga, Sallehuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang sentiasa menyokong DBP dalam segala usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.
Beliau berharap keprihatinan dan sokongan ini akan berterusan bagi memastikan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus terpelihara.
Majlis Sambutan Ulang Tahun itu dimulakan dengan pendeklamasian sajak berjudul ‘Suara dari Dinding Dewan’ yang pedas/panas, bertenaga, dan masih relevan oleh SN Datuk Seri A Samad atau Pak Samad (walaupun dihasilkan pada era 90-an).
Selain itu, tayangan video DBP dalam Era Malaysia Baharu turut dipersembahkan untuk tontonan para hadirin.
Maszlee juga diberi penghormatan melancarkan Terbitan Digital DBP, dan menyempurnakan sesi penyerahan sumbangan buku DBP. Selain itu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman DBP-Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), serta Majlis Menandatangani Surat Hasrat DBP-RTM-Syarikat Mache AllStar United Sdn Bhd (Penerbitan adaptasi novel Korban Kasih 1 dan 2), dan DBP-Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (Pertukaran Pelajar Malaysia-China).
 


Dewan Bahasa dan Pustaka Mahu Kembali Berwibawa

Di sepanjang  63 tahun penubuhannya, DBP telah melalui pelbagai bentuk penubuhan dan tranformasi. Mulai pertengahan 2018, transformasi yang dilalui DBP ialah pada tahap anjakan halaju maksimum. Semuanya terhasil daripada sokongan dan dukungan berterusan daripada Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik yang ingin melihat DBP terus cemerlang dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, serta gagasan beliau yang mahu melihat bahasa Melayu terus gemilang sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa pemersatu, malah gah di persada antarabangsa sebagai salah satu bahasa utama dunia.
Mulai 2018, DBP telah giat menggerakkan program berstatus nasional seperti Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan, yang tercetus menerusi idea, dan gagasan Dr Maszlee. Program ini merupakan penjenamaan semula program Bulan Bahasa Kebangsaan dan Kempen Membaca yang pernah dilaksanakan, dan merupakan antara program awal yang diperkenalkan oleh beliau selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.
Di bawah pimpinan Maszlee, usaha untuk terus melonjakkan kecemerlangan DBP dilaksanakan menerusi kajian semula Akta DBP yang memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, dan pengantarabangsaan bahasa Melayu, serta pemberian kuasa bagi penubuhan perbadanan, selaras dengan hasrat dan aspirasi beliau.
Kajian semula Akta DBP ini diharap akan memberi dampak positif dalam usaha DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, malah akan turut memberi dampak positif dalam usaha DBP mengantarabangsakannya.
DBP yakin usaha murni ini pasti akan mencapai kejayaan, terutamanya menerusi restu, dan sokongan dalam bantuk kewangan daripada kementerian. Kemahuan/tekad politik (political will) itu amat penting bagi menjamin kejayaan, serta keberkesanan sesuatu dasar atau program yang dilaksanakan oleh mana-mana agensi kerajaan.
Dasar merupakan sesuatu asas, panduan, keputusan atau aturan yang digubal oleh kerajaan bagi mencapai matlamat/objektif tertentu. Justeru, dengan mengambil kira pengalaman serta wibawa DBP, Maszlee sekali lagi telah memberikan tanggungjawab kepada DBP untuk mengkaji semula Dasar Buku Negara, serta menggubal suatu dasar baharu, iaitu Dasar Sastera Kebangsaan.
Amanah tersebut dapat DBP sempurnakan dalam jangka masa yang diberikan. Penggubalan kedua-dua dasar ini telah memberikan pengalaman berharga kepada pihak Ketua Pengarah dan pasukan kerja DBP kerana mereka perlu menyempurnakan tugasan berstatus nasional ini dalam jangka waktu yang singkat dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
Dalam mendepani cabaran masa hadapan, DBP perlu terus berevolusi dan mengadaptasi dengan cepat kepada perubahan, untuk terus kekal relevan. Melihat kepada keperluan ini, serta bagi menyahut saranan Menteri Pendidikan Malaysia yang amat menitikberatkan tentang perkembangan dunia digital, DBP telah menggerakkan transformasi digital yang akan menjadikan ‘DBP Organisasi Digital’.
Usaha pendigitalan DBP ini telah dimulakan seawal 2000, khususnya dalam usaha merakyatkan penyampaian perkhidmatan. Bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan cepat, cekap, berkualiti, proaktif, dan responsif, DBP telah mewujudkan rangkaian perkhidmatan seperti Sistem Bahasa Melayu Bersepadu (SBMB), Khidmat Nasihat DBP (KNDBP), Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Portal i-Pintar, Gerbang Kata, dan kedai buku maya DBPNiaga yang berupaya memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan digital.
Mulai 2019, DBP terus meneroka dunia digital, khususnya dalam fungsi penerbitan menerusi penerbitan majalah digital yang dirasmikan pada 21 Jun lalu, dan penerbitan buku digital, serta interaktif.
Keupayaan DBP dalam penerbitan digital ini diharap mampu membantu kementerian khususnya dalam merealisasikan penerbitan digital buku teks yang akan memasuki Gelombang Ketiga Penerbitan Buku Teks Digital (2021-2025), dan seterusnya menyokong aspirasi, serta matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dunia pendidikan pada era digital ini memerlukan anjakan yang ketara dalam teknik dan kaedah pengajaran, dan pembelajaran. Atas kepentingan ini serta dengan mengambil kira aspirasi Maszlee, kaedah pembelajaran campuran (blended learning) akan dilaksanakan oleh DBP. Menerusi kaedah ini, DBP akan membangunkan sistem pembelajaran bahasa Melayu secara dalam talian.
Pembelajaran secara dalam talian ini akan digabungkan dengan kaedah pembelajaran secara tradisional yang dilaksanakan oleh Akademi DBP. Menerusi kaedah ini, DBP akan berupaya meneroka lebih ramai calon pelajar bahasa Melayu, sama ada dalam mahupun di luar negara, serta DBP akan mampu membentuk program-program baharu yang turut memberi manfaat kepada kumpulan khusus seperti orang kelainan upaya (OKU).
Memang tidak dapat dinafikan peranan Sasterawan Negara (SN) dalam membentuk peradaban, dan ketamadunan negara, dan salah satu peranan SN ialah dalam membentuk nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Berdasarkan idea dan saranan Menteri Pendidikan Malaysia, bagi memastikan jiwa nurani generasi muda disuntik dengan cita rasa, dan kasih kepada kesusasteraan kebangsaan, program SN di universiti awam (UA) dan sekolah-sekolah telah mula dipergiatkan pada 2019. Jika sebelum ini SN hanya didekati oleh kumpulan dan kelompok tertentu sahaja, idea yang dicetuskan oleh Maszlee ini berupaya mendekatkan remaja, belia dan pelajar sekolah dengan SN. Usaha murni ini diharap akan terus dipergiat, dan diperluas ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Selain itu, usaha pembentukan peradaban dan ketamadunan negara, khususnya dalam bidang kesusasteraan turut dipergiat menerusi pelbagai aktiviti keilmuan dengan SN di Anjung DBP, serta menerusi program eksplorasi, dan eksperimentasi persembahan di Stor Teater DBP.