Pages

Saturday, 29 June 2019



















SASTERA BUDAYA

TANPA WARNA-WARNI PUN KL TETAP MENAWAN

SETELAH terlibat dengan dunia korporat, serta komunikasi dan multimedia lebih suku abad, Azul Adnan beralih menyalurkan pengalaman, dan bakatnya untuk menjadi jurugambar, dan pengajar.
Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur ini, sebagai jurugambar bebas, dia mengambil gambar untuk acara korporat, perkahwinan, konsert, industri makanan dan minuman, dan lain-lain. Tambahnya, dia juga meminati fotografi pelancongan, dan dokumentari.
Setakat ini, gambar-gambar yang diambil oleh Azul telah terbit dalam majalah Lonely Planet, dan Philippine Airlines, akhbar The Star, dan New Straits Times, serta laman sesawang National Geographic, BBC, dan Levi’s. Selain itu, dia pernah menulis artikel untuk majalah fotografi dan pelancongan.
Selepas menyertai enam pameran fotografi secara berkumpulan sejak 2012, Azul yang belajar bidang fotografi sendiri diberi peluang mengadakan pameran fotografi perseorangan di ibu kota, iaitu ‘Perbandaran Kuala Lumpur’.
Sebanyak 35 foto hitam putih hasil bidikan kamera Azul, pada 2017, 2018, dan 2019 dipamerkan dalam pameran di Ruang Kreatif (MaTiC) dari 24 Mei 2019 lalu sehingga 21 Julai 2019 depan. Dua puluh lapan daripadanya bersaiz 24 inci X 36 inci, sementara tujuh lagi berukuran 12 inci X 18 inci.
Pameran berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
Malaysia; Balai Seni Negara, MaTiC (Pusat Pelancongan Malaysia), Epson, Festival
Fotografi Kuala Lumpur, dan Ruang Kreatif Balai Seni Negara.
Foto dalam warna-warni memang lebih menarik dan disukai ramai. Namun demikian, jelas Azul, dia menghasilkan foto dalam hitam putih kerana mahu memberi penekanan terhadap garisan dan bentuk, serta cahaya dan bayang. Katanya lagi, dia mahu mengabadikan intisari keberadaan, dalam landskap bandar yang dibesarkan. Menyisihkan warna juga, tegasnya, mampu mendalamkan lagi rasa individualisme, dan kesendirian.
Dalam sebahagian besar usianya Azul, 55, menghuni Kuala Lumpur (KL). Jadi, dia dapat menyaksikan pembangunan KL dari kota raya kecil menjadi kota metropolis moden.
Di sepanjang tempoh tersebut, jumlah penduduk meningkat kepada kira-kira 1.8 juta orang. Pertambahan itu seiring dengan pembandaran kota raya, sehingga membawa kepada pembinaan besar-besaran bangunan komersil, dan sistem pengangkutan awam.
Menurut Azul, dia selalu menyusuri jalan-jalan di KL memerhatikan gelagat orang ramai. Jelasnya lagi, dia perasan serta dapat mengagak bahawa dalam kesibukan dan kesesakan kota raya seperti KL, setiap orang akhirnya ada masa bersendirian juga.
Semua orang, katanya yang juga mengajar fotografi secara sambilan di kolej dan sekolah, ada kehidupan, agenda dan destinasi sendiri. Pada zahirnya berhubung, tetapi mereka kelihatan terpisah dalam perasaan, dan fizikal.
Jelas pensyarah tamu kolej multimedia, The One Academy ini lagi, dia mahu mengabadikan ‘adegan-adegan’ penghuni KL yang bersendirian berlatarbelakangkan landskap bandar yang melingkungi kehadiran mereka itu dalam foto hitam putih. Sama ada disedari atau tidak, ulang-alik dan aktiviti harian mereka dalam beberapa cara dipengaruhi, atau dicorakkan oleh persekitaran masing-masing.
Hasil pemerhatiannya, Azul mengakui ruang dan struktur bandar raya KL memang cantik, dan menggoda. Kawasan-kawasan di sebelah-menyebelah seperti siar kaki, stesen, atau taman dengan figura tanpa wajah sendirian mencipta visi bentuk, cahaya dan bayang bergandingan dengan konsep ‘makna’, ‘tujuan’, dan ‘rasa keberadaan’.
Ringkasnya, Azul mahu mengabadikan penceritaan yang menumpukan kepada, malah persoalan, perhubungan antara perbandaran KL dengan persekitaran penduduknya.
Antara foto yang dipamerkan dalam pameran itu termasuklah Y (2017/24 inci X 36 inci), Mahkota (2017/24 inci X 36 inci), Cahaya Kota Raya (2017/24 inci X 36 inci), Berhubung tetapi Terpisah (2018/24 inci X 36 inci), Aku Mahu Bersendirian di Sentul (2018/24 inci X 36 inci), Turun (2018/24 inci X 36 inci), dan Mengikut (2018/24 inci X 36 inci).
Dipamerkan juga Berlian (2019/12 inci X 18 inci), Puncak (2019/24 inci X 36 inci), Terlepas (2019/24 inci X 36 inci), Pertumbuhan (2019/24 inci X 36 inci), Nafas (2019/24 inci X 36 inci), Pagi Ahad (2019/24 inci X 36 inci), Tidak Sedar (2019/24 inci X 36 inci), Kuala (2019/24 inci X 36 inci), dan Satu Langkah Satu Masa (2019/24 inci X 36 inci).
Azul turut diundang sebagai pembicara dalam Festival Fotografi Kuala Lumpur pada setiap tahun sejak 2009. Selain itu, dia pernah dijemput menjadi ahli panel hakim untuk beberapa pertandingan fotografi.
Antara pameran berkumpulan yang pernah disertainya termasuklah ‘Ahli-ahli Sahaja’ di Balai Seni Lukis Negara pada 2012, Festival Fotografi Kuala Lumpur (2012, 2013, dan 2017), ‘Fotografi Jalanan’ (MaTiC/2017), ‘Fotografi pada Poskad’ (London/2017), ‘Festival Foto Antarabangsa Jeonju (Korea/2018), dan ‘Mata Melihat Jalan Besar’ (Wilson, Carolina Utara/2019).
Selain lulus Sijil Pelajaran Malaysia dari St John Institution, Kuala Lumpur, Azul memiliki A Level (Kolej Universiti Buckland, England), Sijil City & Guilds dalam Program Komputer (London), dan Sarjana Muda Sains Sistem Maklumat Pengurusan (USIUE, England).        
               




No comments:

Post a Comment